PEMBEDAHAN
       Adakalanya kanser boleh disembuhkan hanya dengan kaedah pemedahan tanpa menggunakan rawatan lain. Tetapi, kebiasaannya pembedahan hanya dilakukan ke atas ketumbuhan dan diikuti rawatan secara kemoterapi atau radioterapi. Sesetengahnya pula hanya dirawat dengan kaedah radioterapi sekiranya kanser masih lagi diperingkat awal seperti kanser serviks dan kanser tekak.
       Pembedahan bagi kanser dianggap sebagai suatu pembedahan yang besar dan adakalanya melibatkan pembuangan organ dan anggota penting. Contohnya jika kanser tersebut melibatkan pangkal rahim, keseluruhan rahim akan dibuang. Begitu juga dengan kanser tulang seperti tulang kaki, mungkin kaki tersebut terpaksa dipotong. Biasanya pembedahan kanser memerlukan kepakaran yang tinggi dan memerlukan bekalan darah yang mencukupi.
       Waktu pemulihan yang diperlukan oleh seseorang pesakit setelah menjalani pembedahan mungkin agak lama teruatamanya jika melibatkan pembuangan organ atau anggota badan. Ada juga pembedaha yang memerlukan pembedahan susulan atau reconstructive surgery seperti pembedahan akibat kanser pada tulang dagu.
       Semua bahagian anggota badan yang telah dibedah akan dihantar ke makmal kaji sel untuk dikaji setakat mana dan jenis kanser yang dihidapi oleh pesakit. Jika sel kanser telah merebak melalui saluran darah atau kelenjar, pembedahan yang dijalankan tidak dapat mengatasi masalah secara keseluruhan. Sebaliknya, kaedah radioterapi atau kemoterapi mungkin digunakan.
KEMOTERAPI
       Sesetengah penyakit kanser tidak memerlukan pembedahan sebaliknya boleh dirawat dengan menggunakan kaedah kemoterapi seperti kanser rahim dan leukemia. Namun begitu, kaedah ini hanya boleh digunakan ke atas beberapa jenis kanser sahaja. Biasanya kaedah kemoterapi digunakan sebagai kaedah rawatan lanjutan selepas pesakit menjalani pembedahan sekiranya kanser telah merebak ke anggota tubuh yang lain.
       Rawatan kemoterapi memerlukan pemerhatian rapi kerana ia bukan sahaja memusnahkan sel-sel kanser tetapi juga boleh merosakkan sel normal. Kesan sampingan ini akan menimbulkan beberapa masalah misalnya kekurangan sel darah putih. Kadangkala pesakit akan mengalami keguguran rambut dan ulser pada bibir. Rawatan ini perlu diulang selepas 1 atau 2 bulan sekiranya sel kanser masih lagi aktif.
RADIOTERAPI
       Kaedah rawatan radioterapi merupakan satu kaedah yang penting bagi penyakit kanser. Rawatan ini boleh dilakukan dengan secara pancaran dari luar atau pancaran daripada logam radium yang dimasukkan ke dalam tubuh. Contohnya bagi kanser rahim, logam radium radioaktif dimasukkan ke dalam rahim selama beberapa hari dengan tujuan supaya logam tersebut mengeluarkan bahang radiasi dan memusnahkan sel-sel kanser.
       Antara kesan sampingan yang akan timbul akibat daripada rawatan ini adalah seperti kesan bakar pada kulit yang mungkin berwarna sedikit kehitaman. Tetapi dengan teknik rawatan baru, kesan sampingannya dapat dikurangkan. Kadangkala organ-organ lain disekitar ketumbuhan kanser boleh terganggu akibat daripada pancaran X-ray.