Khir Toyo berkeras ‘komersilkan’ kawasan rekreasi Bandar Baru Bangi


BANGI – Keputusan Kerajaan Selangor pimpinan Dr Mohd Khir Toyo untuk tetap membangunkan 10.823 ekar tanah di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi -- walaupun tanah itu diwartakan oleh pejabat tanah Hulu Langat sebagai kawasan rekreasi – terus mendapat bantahan penduduk setempat.

ADUN Kajang, Dr Shafie Abu Bakar, dalam perbahasan sidang DUN Selangor, 15 Julai lalu tidak bersetuju tanah bernilai tinggi itu diserahkan kepada syarikat kroni, Bestarama Sdn Bhd kerana ia patut diberikan kepada PKNS untuk membangunkannya sebagai kawasan rekreasi.

Hasil carian menunjukkan pemegang syer Bestarama Sdn Bhd merupakan pemegang syer yang sama untuk beberapa syarikat yang mendapat keistimewaan daripada Dr Khir Toyo, termasuk penswastaan kutipan sewa-beli rumah kos rendah kerjaan negeri Selangor.

Sebelum ini penduduk tempatan, termasuk Yang Dipertua Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi (BBB), Prof Madya Dr Tajul Ariffin Noordin kesal apabila tanah berkenaan tidak dibangunkan untuk kepentingan umum, di samping mengekalkan kawasan hijau. Kata Dr Tajul, perancangan asal BBB sebagai bandar universiti sudah jauh menyimpang apabila faktor komersil lebih dititikberatkan sehingga banyak kepentingan awam terjejas.

Aktivis media, Ahmad Lutfi Othman kemudiannya membuat aduan rasmi kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) di Putrajaya kerana mensyakki ada unsur-unsur rasuah semasa Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) meluluskan permohonan syarikat Bestarama Sdn Bhd, pada 5 Mac lalu. Difahamkan PKNS sendiri tidak bersetuju tanah itu dibangunkan secara komersil.

Lutfi secara konsisten dalam tempoh sembilan bulan, sejak November 2001, membuat aduan demi aduan kepada BPR, dengan mengemukakan pelbagai butiran lengkap dan terperinci bagi menyokong keterangannya berhubung dakwaan Dr Khir Toyo terbabit dengan amalan rasuah dan salahguna kuasa ketika menjalankan tugas sebagai menteri besar Selangor.

Semasa menjawab persoalan Dr Shafie di DUN Selangor, Menteri Besar Selangor Dr Khir berkata, tanah berkenaan bukan lagi kawasan lapang kerana ia digantikan dengan Tasik Cempaka.

“Selepas mendapat surat dari Ahli Parlimen Hulu Langat, saya melawat kawasan itu dan kerajaan memutuskan untuk membangunkannya sebagai Council Home untuk kita sewakan,” tegasnya. Namun, bagi Dr Shafie, cadangan baru itu tetap membawa keuntungan besar kepada kroni: “Kita mahukan ia dibangun sebagai kawasan rekreasi memandangkan kepadatan penduduk sedia ada.

Green belt di Bangi sudah tidak ada lagi dan konsep bandar universiti, seperti dipersetujui Tun Razak itu, telah dicabuli.” “Soalnya,” kata seorang penduduk, “apakah kerajaan negeri telah menarik balik kelulusan yang diberikan kepada Bestarama, ataupun ini satu lagi sandiwara Khir Toyo untuk menutup amalan salahguna kuasanya?

Jika kerajaan negeri mahu bangunkannya untuk kemudahan pegawai kerajaan dan pekerja kilang, tanah itu tidak perlu diberikan kepada mana-mana syarikat swasta."


Best view with Internet explorer 4.0 and above & resolution 800 X 600 pixel
Hakcipta Terpelihara wEBreForM. Mengambil, mencetak dan menyebarkan artikel yang terdapat didalam laman ini amatlah digalakkan dan dihargai oleh kami wEBreForM Crew.
Community WR | Webmaster wEBreForM | www.webreform.dk3.com

Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!