Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
  Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 21. 06. 2001 /  28 Rabiul Awal 1422)
MEMAHAMI KEPADA SEGALA HAKIKAT
DOSA YANG MEMBAWA KEPADA KEHAMPIRAN
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Petikan Dari Keterangan Terdahulu

Dan setengah daripada segala wajah kurnia dalam tegah  dan tegah dalam kurnia itu bahawasanya Allah Taala...........

Terjemahan  Tok Pulau Manis,  dari Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari ra yang berikutnya;
 

Terkadang Allah membuka untukmu pintu taat,  tetapi belum dibukakan bagimu pintu qabul,  sebagaimana ada kalanya ditakdirkan engkau berbuat dosa tetapi menjadi sebab Wasil ilaLlah.

Keterangan Suluk

Alhamdulillah,  kita masih lagi dibawa untuk memahami dengan sedetail-detailnya pengertiaan berkaitan dengan wajah kurnia dalam tegah dan tegah dalam kurnia;  dan kali ini ianya menjejaki kepada rupa wajah yang lebih halus dan seni,  yang jarang sekali kebanyakan manusia dapat memahami tanpa cahaya petunjuk dari Allah Taala.

Wajah Tegah dalam Kurnia terkadang boleh berlaku kepada seorang hamba yang diberikan keupayaan dan kekuatan untuk mendirikan pelbagai amal taat namun sayangnya segala amalan yang dikerjakan itu hampa dan kosong serta ditolak daripada diterima oleh Allah Taala.  Inilah yang bahayanya bagi seorang yang rasa sudah selesa dan senang hati kerana memiliki kerajinan dan ketekunan dalam mendirikan amal ibadat.

Wajah Kurnia dalam Tegah pula,  ialah seperti dihalang seseorang daripada dapat melakukan amal taat sebagaimana semestinya;   bahkan sering terjerumus dengan dosa dan maksiat,  tetapi alangkah nikmatnya dosa-dosa yang dikerjakan itu menjadi sebab bagi dirinya untuk sampai kepada Allah Taala.

Hairan juga,  yang taat semakin jauh dengan Allah,  tetapi yang berdosa semakin dekat dengan Allah.  Inilah sebahagian wajah kurnia dalam tegah dan wajah tegah dalam kurnia yang akan kita perhalusi dalam pengajian kali ini.

Kita ikuti pula keterangan Tok Pulau Manis berkaitan dengan hal dari...........Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Terkadang dibukakan bagimu pintu taat dan tiada dibukakan bagimu pintu Qabul.  Maka dihukum denganmu dosa.  Maka adalah dosa itu akan sebab sampaimu kepada-Nya,  kerana bahawasanya orang yang mukmin itu apabila jatuh daripada dosa,  maka adalah dosa itu akan sebab sampaimu kepada-Nya,  kerana bahawasanya orang yang mukmin itu apabila jatuh daripada dosa,  maka jadilah ia menyesal  dan Ihtiqar dirinya.  Maka adalah demikian itu sebab dalam sampaimu.

Keterangan Suluk

Kadang-kadang(bukannya selalu atau bukan semestinya begitu),  dibukakan bagimu pintu taat dengan rajin dan tekun untuk mendirikan dan menambah, mempertingkatkan setiap amalan kebajikan yang disukai oleh syarak.

Tetapi malangnya, ...... semua amal taat dan kebajikan yang dikerjakan itu tiada dibukakan bagimu pintu Qabul  yakni  tidak diterima oleh Allah.  Dengan kata lain amal taat yang mengunung tinggi banyak sekali pun yang kita kerjakan belum tentu dapat menjamin diterima oleh Allah Taala.  Bila sudah tidak diterima,  maka semakin menjauhlah hamba itu dengan Tuhan-Nya.

Banyaklah punca dan sebab-sebabnya yang menjadikan amal taat itu tidak diterima,  tetapi yang paling besarnya ialah wujudnya hama syirik dalam ibadat;  paling tidak,  ... menilik dan  memandang kepada keupayaan diri.  Orang yang bersyirik adalah mereka yang menduakan Allah.  Bila dua,  maka terlontar jauhlah diri daripada mencapai hakikat Keesaan atau Tauhid.

Apabila jalan taat dan kebaikan tidak dapat menghampirkan diri hamba dengan Tuhan-Nya,  sebagai satu Kurnia dari  Yang Bersifat Pengasih lagi Penyayang,  maka dihukum denganmu dosa  yakni maka Allah akan menjatuhkan dirimu kepada suatu dosa dan maksiat yang amat kau kesali.    Dalam baik-baik kita mengistiqamahkan amal kebajikan dan ketaatan kepada Allah,  maka tiba-tiba timbul satu musibah yang menyebabkan diri tersilap dan terjerumus ke dalam najis dosa dan maksiat.  Mungkin tanpa disedari kita telah mengkhianati saudara kita dengan terpaksa menipu atau menindas mereka demi untuk menjaga maruah dan harga diri kita atau keluarga.  Mungkin tanpa sengaja,  kita terambil hak orang lain yang lebih memerlukan demi untuk memelihara keperluan diri dan mungkin apa sahaja yang menjadikan diri kita bertindak tidak mengikut jalan yang diredhoi oleh Allah.  Bila disedari akan kesilapan dan kesalahan diri itu,  betapa hati(orang mukmin) akan menyesali,  menjadi berterbangan segala jantung   kerana takutkan pembalasan Allah.

Tersumbat hati dengan dirasai bahawa tidak satu makhluk pun yang dapat membersihkan najis yang  terpalit itu,  malah dirasakan tidak ada sesuatu yang dapat menolong dan membantunya melainkan Allah Taala Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengampuni.   Maka adalah dosa itu akan sebab sampaimu kepada-Nya  yakni dengan dosa dan penyesalan itu akan membukakan pintu kesedaran bahawa tidak ada sesuatu lagi melainkan Allah sahaja yang dapat membantunya.  Hati yang penuh kesedaran ini sahajalah yang akan sampai kepada Allah.

yang menjadikan diri lemah longlai tersandar di dinding tanpa ada ruang lagi di sekeliling dengan memandang dan mengharapkan pertolongan belas ihsan dan kebaikan melainkan dari Allah semata-mata.  Keadaan inilah,   dengan hati yang merujuk terus kepada Wajah Allah tanpa sebarang tolehan kepada yang lain;  akan membawa seseorang berhadapan dengan Hadirat-Nya.  Hal ini tidak sebagaimana yang biasa terjadi kepada ahli taat yang memandang akan wujud upaya dirinya.

Inilah ciri-ciri seorang hamba yang  mukmin  kerana orang yang mukmin itu apabila jatuh daripada dosa,  maka jadilah ia menyesal  dan Ihtiqar dirinya.  Maka adalah demikian itu sebab dalam sampaimu.

Tegasnya sewaktu taat tidak dibukakan pintu kehampiran kerana punya hama syirik yang menilik upaya diri,  sebaliknya pintu kehampiran itu dibukakan buat yang berdosa tetapi menyesali dan menyedari lemah dirinya(dengan maksud tidak wujud sesuatu kuasa yang dapat menolong dirinya bagi mendapat sesuatu kebaikan melainkan dengan limpah kurnia dari Allah Taala)
 

Keterangan dan Huraian oleh Tok Pulau Manis

Maka sayugianya jangan menilik hamba itu kepada segala surah(rupa) sesuatu[amal];  dan hendaklah menilik ia kepada segala hakikatnya kerana segala surah taat  itu tiada menghendaki ia akan wujud qabul baginya,  kerana mengandungi ia daripada ifat(penyakit) yang memberi kecederaannya daripada tiada ikhlas dalamnya.  Dan demikian itu yang menegahkan daripada beroleh qabul baginya.

Keterangan Suluk

Setelah diketahui betapa sia-sianya memandang kepada upaya diri dalam mendirikan taat,  maka wajiblah bagi hamba yang ingin mencapai kehampiran dengan Allah  tidak menilik kepada segala surah(rupa) sesuatu[amal]  yakni;

Bahkan sebagai seorang hamba yang sedar diri hendaklah menilik ia kepada segala hakikatnya  yakni Kehendak Allah,  Kekuasaan Allah,  Kekayaan Allah,  Kemurahan Allah dengan segala Limpah Kurnia-Nya.  Bersyukur dengan memandang kepada Allah Yang Memberi bukannya kepada apa yang diberikan .

Kenapa dan mengapa sehingga wajib seorang hamba itu menilik kepada segala hakikatnya bukan kepada segala rupa amalannya?

Ini adalah kerana segala wajah taat  itu tiada menghendaki ia akan wujud qabul baginya  yakni Allah tidak memandang kepada zhohir dan rupa segala bentuk amal ibadat sebagai syarat penerimaan diterima sesuatu amalan tersebut,  kerana pada seorang yang memandang kepada wajah taat atau keupayaan dirinya menunjukkan mereka masih dibayangi oleh ifat(penyakit) yang memberi kecederaannya daripada tiada ikhlas dalamnya yakni  penyakit-penyatkit seperti riya',  ujub, takabbur dan sebagainya yang sememangnya sukar untuk dilihat seumpama semut hitam yang berjalan di atas batu hitam pada waktu yang kelam.

Dengan adanya hama penyakit yang menyelinap di sebalik sesuatu ketaatan itu,  maka jauhlah amalan tersebut daripada memasuki pintu qabul atau penerimaan oleh Allah Taala.

Keterangan dan Huraian oleh Tok Pulau Manis

Dan wujud surah(rupa) dosa itu tiada menghendaki ia akan jauh tetapi terkadang adalah demikian itu sebab sampainya kepada Tuhan-Nya  dan hasilnya dalam hadirat hampir-Nya seperti yang dikata orang;  terkadang dosa itu memasukkan ia ke dalam syurga.

Keterangan Suluk

Jika terkadang ketaatan yang didirikan itu boleh melontarkan jauh seorang hamba daripada pintu kehampiran dengan Tuhan-Nya,  demikianlah pula kadang-kadang dosa dan maksiat yang dikerjakan oleh seorang hamba itu boleh menjadi sebab untuk sampai kepada Tuhan-Nya,  masuk ke dalam Hadirat-Nya Yang Maha Mulia.  Keadaan ini amat ajaib dan susah sekali untuk diterima oleh kebanyakan orang yang tidak memahami pokok hakikat ini.  Namun yang pastinya di sisi orang-orang sufi terkadang dosa itu membawa rahmat kepada mereka sehingga ada yang berkata; terkadang dosa itu memasukkan ia ke dalam syurga.

Kenapa boleh jadi terbalik hukumnya di sini?   Yang banyak mengerjakan amal taat dijauhkan dari pintu rahmat Tuhan sedangkan yang mengerjakan maksiat ditarik masuk ke dalam pintu Rahmat-Nya.

Penjelasan ini boleh kita perolehi dari............Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan kata Abu Hazam ra.;

Bahawasanya hamba yang mengerjakan amal kebajikan itu  maka dibaikkannya pada ketika mengerjakan dia,  dan tiada menjadikan Allah daripada kejahatan yang terlebih memberi mudhorat baginya daripadanya.

Keterangan Suluk

Mengikut pandangan mereka yang suci faham dan luas ilmu,  jika seorang hamba mengerjakan amal kebajikan serta dibaikkannya sewaku mengerjakannya seperti

maka orang yang membaikkan amalannya seperti ini,  meletakkan dirinya dalam  lembah kejahatan dan tiada menjadikan Allah daripada kejahatan ini yang terlebih memberi mudhorat bagi dirinya.  Betapa tidak memberi mudhorat sedangkan dalam amal taat itu tumbuh pelbagai virus dan penyakit hati seperti ujub,  suma'ah,  riya', sombong  dan takabbur,  syirik dan sebagainya lagi.  Namun bagi para salik,  ada lagi yang  terlebih memberi mudhorat kepadanya sebagaimana yang pernah diucapkan oleh seorang Sufi sebagaimana berikut;

Kepentingan untuk diri sahaja adalah racun yang bisa bagi orang yang masih murid.
 

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan bahawasanya hamba yang mengerjakan amal kejahatan itu,  maka dijahatkannya pada ketika mengerjakan dia;  dan tiada menjadikan Allah Taala daripada kebajikan yang terlebih memberi manfaat baginya daripadanya.

Keterangan Suluk

Berbeza dengan seorang hamba(mukmin) yang mengerjakan dosa dan maksiat,  maka dijahatkannya pada ketika mengerjakan dia;

Betapa tidak memberi manfaat untuk dirinya kerana dengan memandang kepada dhoifnya diri,  lemahnya upaya, hinanya diri,  merujuk dan kembali kepada Allah,  menjadikan mereka seorang yang kembali menetap kepada hakikat kehambaan(Ubudiyah) sebagaimana yang dikehendaki;  tidak sebagaimana seorang yang mendakwa Sifat Rububiyah Tuhan-Nya.

Maka mengata  Muaalif akan makna demikian itu dengan katanya......

Terjemahan  Tok Pulau Manis,  dari Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari ra yang berikutnya;
 

Maksiat yang mempusakai ia akan kehinaan dan Iftiqor,  maka keluar hamba itu daripada dirinya dan kembalilah ia kepada Tuhan-Nya terlebih baik daripada taat yang mempusakai ia akan kemuliaan dan kebesaran.  Maka keluarlah hamba itu daripada Sifat Ubudiyah kepada mendakwa Sifat Rububiyah.  Maka inilah maksiat yang mempusakai Sifat Ubudiyah iaitu yang terlebih mulia sifat.

Keterangan Suluk
 

Bersambung lagi dalam Pengajian yang berikutnya di bawah tajuk Maksiat Yang Mempusakai Sifat Ubudiyah.

Insya Allah...................

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]
Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar