Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Wahai Tuhanku, berikanlah daku Ilmu Hikmah [pengetahuan ugama] dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang Sholeh[Al-Syura:83]
Suluhan Makrifat

Sheikh Junaid pernah berkata: "Makrifat ialah pengamatan(penglihatan) tentang adanya kejahilan anda di sisi Ilmu Allah". Jahil adalah hakikat zat anda berbanding dengan Ilmu Allah. Anggaplah ilmu anda sebagai Ilmu Allah. Ilmu(pengetahuan) sebenarnya pada zhohir sahaja dan Ilmu Allah yang dihadkan untuk anda; pada segi batinnya adalah hakiki dan Tidak Terhad.

Hadis Qudis ada mengatakan: "Allah jadikan manusia dalam bayanganNya". Zat Allah meliputi semua peringkat Qhaib, Syahadah, Ruh, Imsal; begitu juga hakikat insan meliputi yang sama. Bezanya ialah yang dari Allah itu adalah hakikat(A'yan Saabitah) dan yang dari insan itu hanya tiruan(A'yan Khorijah). Sebuah Hadis yang bermaksud: "Siapa yang kenal dirinya akan kenal Tuhannya". Barangsiapa kenal Tuhannya sebagai meliputi semua peringkat ini, kenallah dirinya sebagai meliputi yang sama. "Aku kenal Allah dengan Allah".

Anggaplah zat, sifat dan afaal anda sebagai Zat, Sifat dan Afaal Allah dan menjadi satu(dalam Ahadiah). Inilah jalan setengah kaum sufi dan bukan orang-orang lain (Ibrar dan Ikhtiar) yang menjalankan latihan dan mujahadah dan berkata: "Anggaplah diri anda dalam jalan Fana dan Allah dalam jalan Baqa; Diri anda - Ubudiyah(Kehambaan) dan Allah - Rububiyah(Ketuhanan). Ini adalah fahaman secara pertentangan dan bukan tujuan hadis ini. (Siapa yang kenal diri akan kenal Tuhannya).

Nafsu(kehendak) adalah syirik tersembunyi(syirik khofi) yang ada dalam semua anggota. Firman Allah dalam surah Yusof:106 bermaksud: Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.(Surah Yusof:106) "Keakuan" musyrik adalah dinding(hijab) yang paling tebal. Sehingga "Keakuan" itu hilang dari dirinya, maka "KEDIAAN" Allah tidak akan terzhohir pada diri.

Apa sahaja yang membawa anda kepada Allah adalah agama; dan apa sahaja yang menghalang anda menuju Allah adalah Alam(Dunia). Pengetahuan anda tentang hakikat makrifat adalah agama. Pelarian anda dari 'Ghair' kepada 'Ghair' adalah bertentangan dengan maksud agama(membawa kepada Allah). Lihatlah pada "perintah"(Qada Allah)bukan kepada yang kena perintah, kerana melihat kepada perintah itu akan meliputi pandangan kepada ada "Yang Memerintah" dan "Yang DiPerintah". Tidak ada ruang antara Dialah Yang Zhohir dan Yang Batin, Dialah yang Awal dan Yang Akhir. Apa yang zhohir itu adalah yang batin dan apa yang batin itulah yang zhohir. Apa yang awal itu adalah juga yang akhir dan begitu juga sebaliknya. Demikian juga "Yang Memerintah" itu adalah juga "Yang DiPerintah" dan "Yang DiPerintah" itulah "Yang Memerintah". Tiada ruang untuk "Ghair" antaranya.

Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya.


Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH