Selamat Datang Ke Laman
Dalam pencarian "Guru Sebenar Guru"...antara ilmu, amal dan bual; manakah satu yang sebenarnya bekal? Ramai mengaku 'berilmu' tapi kurang berakal apatah lagi yang sedikit ilmunya tapi langsung tidak berakal;
itulah punca amal dan bual tidak menjadi bekal.
|
Keranamu Malaysia
(Hamzah Mohamed)
Mengenai Saya Sila ke laman Latar Belakang Saya
" Tidak akan kamu berperasaan gundah walau sekali, jika kau tahu apa yang dicari."
~ Umar al-Khattab
|
Pengurusan Berkualiti Menyeluruh Hal Ehwal Murid Di Peringkat Sekolah Peranan Dan Ketrampilan Kerja
"You can delegate authority, but not responsibility." ~ Stephen W. Cominsky
Pendahuluan
Apa pun nama atau label yang kita letakkan kepada sekolah-sekolah yang dikenalpasti sebagai sekolah-sekolah yang cemerlang seperti sekolah berkesan, sekolah bestari, sekolah berwatak, sekolah perdana atau sekolah harapan negara tidak akan wujud secara kebetulan atau secara bernasib baik sahaja atau diberi layanan istimewa daripada pihak-pihak tertentu tanpa wujudnya orang-orang yang bekerja keras meletakkan kepentingan organisasi dan misi ke satu tahap yang sukar ditandingi oleh sekolah-sekolah lain. Siapakah yang memainkan peranan sehingga organisasi mencapai tahap yang gemilang dan cemerlang itu kalau bukan para pentadbir dan guru-gurunya? Organisasi yang tersohor tentulah dianggotai oleh orang-orang yang juga tersohor. Kejayaan orang-orang inilah yang membawa organisasi mereka mencapai matlamat dan objektif dengan berkesan. Kecemerlangan pengurusan sering diukur menerusi kecekapan dan keberkesanan para pengurusnya dalam mencapai objektif organisasinya. Kecemerlangan pengurusan ini hendaklah dilihat sebagai kecemerlangan dan kejayaan semua ahli organisasi terutama di kalangan 'pengurusan' iaitu para penolong kanan terutamanya Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dalam konteks kertas ini. Sebagai 'ketua' di bidang hal ehwal murid ini bererti Penolong Kanan Hal Ehwal Murid juga adalah seorang 'pemimpin'. Antara ciri-ciri pemimpin yang berkesan adalah:
Kepemimpinan yang berkesan ialah kebolehan mencapai sebahagian atau semua ciri di atas. Oleh itu setiap dari kita wajar mengetahui dan menghayati beberapa ciri dan aspek yang bersangkutan dalam membentuk dan mewujudkan pengurusan Hal Ehwal Murid yang 'tip-top' di sekolah masing-masing berdasarkan objektif-objektif kertas ini seperti berikut:
Untuk lebih menjamin kejayaan apa jua urusan yang kita hadapi dan tangani jangan lupa aspek SIKAP; yang menentukan kita sedia atau tidak untuk 'berubah'; sedia atau tidak untuk menukar strategi dan pendekatan; dan bersikap optimistik bahawa kita adalah seorang GPK HEM yang lebih berwibawa dan lebih berkesan.
1. Mengetahui, memahami 'pengurusan' bidang tugas dengan lebih komprehensif.
2. Meningkatkan kesedaran peranan GPK HEM
3. Mampu menterjemahnya kepada 'kerja-buat' dan produktiviti berkualiti
1. sentiasa on-time 2. sentiasa berkualiti 3. menampakkan unsur imaginatif, kreatif dan inovatif.
1. Pelaporan retan, data dan maklumat, banci, diagnosis dan anlisis 2. Pengelolaan program dan aktiviti berkaitan di sekolah 3. Penyeliaan, pemantauan serta semakan tindak ikut berhubung RMT/PSS, SPBT, Buku Setok, Rekod dan Fail, Jadual Kedatangan, Buku Daftar Sekolah dan Buku Resit Yuran Khas, Buku Rekod Kesihatan Murid (RKM1), Hapuskira Perabot dan Buku Teks dan lain-lain yang seumpamanya. 4. Penglibatan Total dalam semua AJK peringkat sekolah, Pasukan Petugas, Program Khas Untuk Guru atau Murid, Majlis dan Upacara, dan sebagai wakil Guru Besar jika diarahkan.
4. Meningkatkan kewibawaan dan ketrampilan personel
i. ilmu pengetahuan & pengalaman ii. kemahiran: mengurus dan teknik iii. sikap positif: fikir positif dan buat positif iv. komunikasi: interpersonal dan intrapersonal
5. Menggarap Kualiti Menyeluruh (TQM) dalam pengurusan amnya dan dalam pengurusan Hal Ehwal Murid khasnya.
i. semuanya terlibat (sistem, personel, unit, prosedur) ii. melibatkan pendekatan jangka pendek dan jangka panjang iii. tidak ada aspek, walau bagaimana kecil sekali pun dibiarkan tanpa ditangani iv. diketahui dan difahami oleh seluruh warga organisasi.
Prinsip 1 : Kualiti ialah sebarang produk atau servis yang memuaskan hati pelanggan. Ia bukan soal lebih baik atau lebih mahal. Ia soal menepati kehendak pengguna. Untuk capai kualiti semua pelanggan (luar dan dalam) organisasi mestilah berpuas hati.
Prinsip 2: Standard kerja ialah 'defect free' (tiada kecacatan). Setakat hampir- hampir belum cukup. Untuk capai kualiti setiap orang mesti ada sikap 'defect free' dalam apa sahaja yang dibuat.
Prinsip 3 : Kualiti diukur dengan 'price of non quality' (PONQ). PONQ ialah apa yang jadi kos kepada organisasi dari segi masa, kewangan atau peluang apabila perkara-perkara tidak dilakukan dengan cara yang paling baik.
Asas # 1 : Menepati Standard Asas # 2 : Mengongsi Visi Asas # 3 : Pencegahan Asas # 4 : Buat Betul Kali Pertama (DIRFT) Asas # 5 : Pengukuran Asas # 6 : Penglibatan Total Asas # 7 ; Penambahbaikan Berterusan (KAIZEN)
Indikator menunjukkan kualiti pengurusan wujud dan dihayati:
Aspek ADA;
Aspek TIADA;
6. Sedia Menghadapi Tugas Yang Lebih Berat
Iklim Sekolah
Selaku seorang Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, kita merupakan orang penting (selepas Guru Besar) yang dijangkakan dapat membantu dan membimbing guru-guru dan murid-murid kita mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik dan bukan akademik melalui portfolio yang kita sandang. Di samping organisasi pengajaran yang merupakan 'teras' kepada matlamat dan objektif mengapa sesebuah sekolah tu diwujudkan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid perlu berfungsi membina dan memupuk iklim sekolah yang sihat, kondusif, ceria, bersih, cantik, kemas, seronok, selamat serta menjadi kebanggaan guru dan murid. Unsur-unsur tidak formal dan normatif di sekolah seperti disebutkan itu amat mempengaruhi malah menyokong pembelajaran serta pembentukan sikap diri insan yang amat tinggi nilainya. Sewajarnyalah kita membetulkan sikap dan tingkah-laku terutamanya dari segi penyempurnaan tugas-tugas seharian kita di sekolah.
Kepemimpinan yang paling berkesan ialah kepemimpinan melalui teladan. Oleh itu sebelum memimpin orang lain, pimpinlah diri kita dahulu. Di sinilah sikap dan ketrampilan kita dalam memberi teladan kerja memainkan peranan penting dalam membentuk dan memupuk 'school-wide improvement' yang melibatkan semua orang dan berjalan secara berterusan.
Mencapai tahap pengurusan atau budaya kerja yang berkualiti tinggi memerlukan satu kekuatan jiwa dan mental bagi melakukan perubahan dan menangani kemelut dan konflik yang sama ada telah lama wujud atau yang baru 'diimport' yang terdapat di sekolah kita sekarang. Menangani perubahan tidak bermakna sekadar 'bertukar sekolah' tetapi kita masih tidak ' bertukar sikap, pemikiran dan amalan' kita selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Menangani perubahan memerlukan penglibatan semua orang di sekolah. Salah satu pengaruh menghalang pelaksanaan pembaharuan ini adalah pengaruh negatif kumpulan tidak formal (informal group) di kalangan guru-guru atau kakitangan bukan guru yang lain di sekolah.
Tidak sukar mencapai keberkesanan kerja-buat atau mempertingkatkan kefahaman dan amalan kita kepada 'kerja sebagai ibadah' atau 'amalan soleh' dalam hubungan tugas-tugas hakiki kita selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sekolah jika kita membetulkan dan memperluas konsep 'ibadah' dan 'amal soleh' itu sendiri.
Prof. Hassan Langgulung (1991) menyebut; "Sebagai contoh apa yang dimaksudkan daripada ungkapan itu adalah pandangan yang menyeleweng tentang makna "soleh". Pengertian manusia soleh, sepeti yang kita fahami sekarang adalah orang yang tidak mencuri, tidak minum arak, tidak berzina dan lain-lain. Sekan-akan kita lupa sama sekali tentang apa dia akhlak yang luhur itu. Seakan-akan akhlak yang luhur dan mulia itu sekadar menjauhi perkara-perkara haram itu. Sedang akhlak luhur seperti kesungguhan, kesiapsiagaan, disiplin, tolong-menolong dan lain-lain tidak bermakna apa-apa. Kenapa?"
Majid Ersan Al-Kailani dalam bukunya Mendidik Peribadi Muslim (1997) mentakrifkan 'amalan soleh' sebagai:
"Amalan soleh bukan sahaja terbatas kepada berbuat kebajikan dan memberi manfaat; akan tetapi ia juga menolak hal yang buruk dan mengatasi bahaya. Amalan soleh, dengan demikin, terbahagi kepada dua, iaitu amalan dengan tujuan memberi manfaat kepada umat manusia dan di redhai Allah s.w.t., dan amalan dengan tujuan mengenepikan bahaya daripada umat manusia dan kemurkaan Allah s.w.t. Manusia yang melaksanakan dua bahagian amalan soleh ini disebut sebagai orang soleh dan muslih (baik sekaligus memperbaiki), manakala orang yang hanya mengerjakan bahagian pertama disebut sebagai orang soleh sahaja." Cabaran kerja kini memerlukan setiap penjawat awam memperlengkapkan diri masing-masing bukan sahaja dalam aspek-aspek profesionalisme tetapi juga dalam aspek-aspek pengurusan yang bekesan, kemahiran interpersonal, pengurusan konflik dan 'stress' dalam kerjaya dan kehidupam sosial dan peribadi, yang boleh membantu kita selaku penolong kanan yang mempunyai ciri-ciri integriti, watak dan jatidiri yang dapat menjadi role-model dan sumber inspirasi kepada seluruh warga organisasi di mana kita bertugas.
Penutup Begitu besar dan beratnya amanah dan tanggungjawab yang kita pikul selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sekolah hendaklah benar-benar diinsafi. Saiz sekolah bukan jadi ukuran; tidak juga dijadikan alasan untuk tidak menyempurnakan amanah, tanggungjawab atau pun tugasan. Betapa kecil sekolah yang kita tadbirkan atau betapa sekali pun keadaan rupa fizikal sekolah kita, tidak patut sama sekali kita meremehkan bidang tugas dan tanggungjawab hakiki kita. Apa yang perlu kini ialah kita mengubah paradigma dan pemikiran, menambah ilmu pengetahuan dan paling penting mengamalkan apa yang kita sudah pelajari dan buktikannya melalui kerja-buat kita setiap waktu dan ketika. Tak tahu dan tak pandai hendak melakukan sesuatu boleh dipelajari, tetapi jika sudah tahu dan sudah pandai tapi tak mahu buat kerja amatlah malang sekali. Ringkasnya sekadar tahun dan 'mengaku pandai' tidak ada gunanya; yang penting apa yang dibuat dan apa yang diurus, dan apa yang telah kita buktikan melalui kerja-kerja kita selama ini. Bruce Lee seorang aktor kung fu terkenal pernah disebut sebagai berkata: "Knowing is not enough, you must apply. Willing is not enough, you must do". Buatlah refleksi diri masing-masing agar segala kelemahan dan ketidakketrampilan kita sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dapat diatasi dan perbaiki ke tahap yang paling tinggi. Sepatutnya tidak wujud lagi ulasan dan teguran daripada 'stakeholders' kita berhubung dengan pengurusan hal ehwal murid yang sering dilaporkan tidak cekap, tidak berkesan, lewat malah terus tidak diambil tindakan sewajarnya walaupun perkara-perkara tersebut berulang kali diutarakan di dalam setiap taklimat, bengkel atau mesyuarat yang dikelolakan sama ada oleh Jabatan Pendidikan Pahang atau pun Pejabat Pendidikan Daerah sendiri.ٱ
Rujukan
_____________ Buku Panduan Pengurusan Profesional Sekolah Rendah (1991). Jemaah Nazir Sekolah Persekutuan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur. Hassan Langgulung (1991) Falsafah Pendidikan Di Malaysia: Suatu Analisis Permulaan; dalam Reformasi Pendidikan Di Malaysia, Mohd Idris Jauzi (editor), Nurin Enterprise, Kuala Lumpur. Hussein Mahmood (1993) Kepemimpinan dan Keberkesanan Sekolah. Dewan Bahasa Pustaka, Kuala Lumpur. Majid Ersan Al-Kailani (1997) Mendidik Peribadi Muslim. Berita Publishing Sd. Bhd., Kuala Lumpur. Mohd. Kamal Hassan (1988) Pendidikan dan Pembangunan: Satu Perspektif Bersepadu. Nurin Enterprise, Kuala Lumpur. Ramaiah, AL. (1992) Kepimpinan Pendidikan: Cabaran Dan Masa Kini. IBS Buku Sdn. Bhd. Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin (1994) Pentadbiran Pendidikan. Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.
______________________________________________________________________ ( * Ceramah dalam Program In-House Sekolah-Sekolah Kelompok Daerah bertempat di Pejabat Pendidikan Daerah Maran pada 14 Mac 2000)
| Home Page | Kembali | Ceramah 1 | Ceramah 2 | Ceramah 3 | Ceramah 4 | Ceramah 5 | | Ceramah 6 | Ceramah 7 | Ceramah 8 | Ceramah 9 Copyright ©2002-2003 Hamzah Mohamed
|