Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Mencari Asal-Usul

Sejarah penubuhan WINGS bermula pada sekitar tahun 1985 di Sekolah Menengah Sri Ampang di Kuala Lumpur. Disitulah empat orang anak muda yang masih menuntut bergabung tenaga membentuk sebuah pancaragam sekolah. Oleh kerana terdorong dan terlampau meminati muzik terutama irama Rock, mereka sepakat untuk mendendangkan lagu berentak Rock'N'Roll disepanjang persembahan yang mereka lakukan. Bermulalah kelahiran kumpulan Wings tetapi kumpulan ini masih belum mempunyai nama.

Anggota asal kumpulan WINGS ialah Awie, Jojet, Jo dan Syam. Perpecahan melanda kumpulan ini apabila Jojet telah berhijrah ke kumpulan Gersang dan Jo mengundurkan diri. Pada awal tahun 1987, Wings mendapat tawaran untuk merakamkan album dibawah label ASP dan nama WINGS digunakan sebagai nama kumpulan ini. Ilham penggunaan nama WINGS sebagai nama grup dicetuskan oleh Awie apabila orang ramai selalu menegurnya kerana lengannya yang berotot (muscle) atau lebih tepat seperti 'sesayap' (WING). WINGS bertungkus-lumus menyiapkan album pertama mereka dengan bantuan 2 anggota baru iaitu Eddie dan Black yang menggantikan tempat Jojet dan Jo selain Awie dan Syam selaku anggota asal. Pada masa itu, pengurus kumpulan WINGS adalah Bob Lokman. (kini pengacara TELEBRITI di TV2)

Album pengenalan WINGS 'Belenggu Irama' telah diedarkan diakhir tahun 1987 dan mendapat jualan yang begitu membanggakan. Mereka berjaya kerana faktor-faktor berikut:-

  • Promosi yang kuat di konsert-konsert.
  • Mampu beraksi secara langsung.
  • Gaya,personaliti,suara,aksi penyanyi utama iaitu Awie telah menarik perhatian pendengar muzik.
  • Dekat dengan peminat. Mereka kerap berada di pertunjukan pentas di serata Malaysia.
  • Sumbangan lagu balada dan rock N roll dari beberapa komposer yang hebat seperti M.NASIR, J.S KEVIN, dan USOP KOPRATASA.
  • Malang sungguh bagi WINGS apabila nama mereka telah disenarai hitamkan dari muncul di TV milik Kerajaan dan lagu mereka dilarang penyiaran dicorong radio kerana keengganan WINGS memotong rambut mereka yang panjang (ketika itu isu rambut panjang sangat kontroversi sehinggakan RTM mengetatkan syarat pada setiap artis yang ingin dipromosi di TV dan radio, berbeza dengan TV swasta seperti TV3 yang membenarkan WINGS muncul dan bertanding di Muzik-Muzik '88.) Pada sekitar Januari 1988, setelah lebih kurang 2 bulan WINGS mempromosikan album, Syam telah mengambil keputusan untuk meninggalkan WINGS dengan alasan tidak sebulu dengan pengurus WINGS, Bob Lokman. Tham Wing Kwan adalah penggantinya tetapi tidak lama. Sesudah itu tempat Tham diisi oleh Joe yang merupakan bekas ahli kumpulan Scandals.

    Proses rakaman album kedua pun bermula dan selesai lalu dipasarkan diakhir tahun 1988. Seperti album pertama WINGS, 'Hukum Karma' juga mengecap jualan yang tinggi. 2 lagu 'slow-rock' dari album kedua mereka telah berjaya melonjakkan lagi nama WINGS untuk kekal popular. Lagu berentak balada itu ialah Taman Rashidah Utama (ciptaan Bob Lokman) dan Misteri Mimpi Syakilla (Ciptaan JS Kevin) yang berjaya memasuki pertandingan Juara Lagu '89.

    Persembahan mereka ketika Juara Lagu '89 sungguh memikat. Awie dengan kekuatan vokalnya yang mampu menjerit lantang dan berqasidah, Joe dengan petikan gitarnya yang bermutu seperti dalam rakaman, Eddie pula dengan gerak kawalan gitar bass yang licin manakala Black dengan paluan dram yang menggegarkan sambil dia dan Eddie mencipta kesan bunyi gitar karan 'distortion'. Kerjasama itu bagi menolong Joe mengalunkan gitar solo dengan baik. Jika hendak dibandingkan dengan kumpulan lain yang turut bertanding dalam Juara Lagu '89 hanya kumpulan ILUSSI dan GERSANG sahaja yang tidak menggunakan gitar kedua, tetapi mereka telah diiring oleh keyboard. Untuk lagu Taman Rashidah Utama, WINGS memaparkan persembahan yang bernada sedih dengan mengena pakaian 'suit' serba putih dan diiringi oleh pasukan kuaiyer berlainan pula dengan lagu Misteri Mimpi Syakilla yang bernada ceria , WINGS mengena pula baju berwarna-warni seperti lagak 'rockers' dengan menyarung jaket dan berseluar ketat. Kedua-dua lagu itu dipersembahkan oleh WINGS dengan mengikat rambut supaya kelihatan kemas dan rapi. Corak persembahan WINGS yang bersungguh-sungguh telah menawan hati juri pertandingan. Mereka telah memenangi tempat kedua dan ketiga dalam kategori persembahan terbaik di Juara Lagu'89. Tempat pertama pula telah dimiliki oleh kumpulan SEARCH dengan lagu Isabella.

    Setelah berakhirnya Juara Lagu'89, setelah 3 tahun bersama ASP, WINGS telah mengikat kontrak dengan BMG Pacifik (kini BMG Music Malaysia). Melalui sumber-sumber yang boleh dipercayai, WINGS dapat tawaran tersebut kerana SEARCH telah mencadangkan pengambilan WINGS kepada BMG Pacific. Berikutan itu Bob Lokman telah mengundurkan diri dari menjadi pengurus mereka dan tempatnya telah diisi oleh Ali Bakar sehingga sekarang. WINGS kemudiannya telah menubuhkan sebuah syarikat kecil bagi menguruskan sendiri siri konsert mereka disamping pengurusan dibawah Ali Bakar iaitu FLY-WINGS sdn bhd. WINGS pun memasuki studio dan menyiapkan album ketiga berjudul Teori Domino dan diedarkan kepada umum pada bulan MAC 1990 dan diterbitkan oleh M.Nasir dan WINGS. Album ini juga mencatatkan angka jualan yang bagus. Lagu SEJATI ciptaan M.Nasir telah menjulang sekali lagi nama WINGS dan terus popular sehinggakan telah memenangi undian Bintang-Bintang Popular tajaan Berita Harian dan Utusan Malaysia dipertengahan 1990. WINGS juga menjadi pujaan di negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Brunei. Malah ada permintaan untuk mengadakan konsert disana. WINGS mula ligat untuk memenuhi permintaan itu. Pada sekitar Oktober 1990, Wings telah diberi penghormatan menjadi pembuka tirai untuk kumpulan Europe (popular dengan lagu FINAL COUNTDOWN)beraksi pertama kali di Malaysia.Oleh kerana terlalu banyak 'show', WINGS telah menyingkirkan Black kerana menghidap asma. Disaat akhir itulah WINGS memasuki pertandingan Juara Lagu '90 dengan lagu Sejati. Jojet telah diambil untuk menggantikan tempat Black selepas kumpulan GERSANG dibubarkan untuk pertandingan Juara Lagu '90. Seperti kebiasaannya WINGS pasti membuat persembahan yang berlainan dari peserta lain, dengan menonjolkan imej kebaratan dan sedikit kemelayuan. Awie memakai seluar dan jaket 'Mosiac' berwarna merah sambil rambutnya dihias dengan anting-anting serta berkaca mata hitam. Joe pula memakai jacket merah dan topi 'koboi' manakala Eddie dan Black masing-masing mengenakan pakaian tuxeido hitam. Persembahan mereka telah diiring oleh alat-alat muzik tradisional seperti paluan gong dan serunai. Vokal Awie tidak perlu dipertikaikan lagi, tetapi kali ini beliau menjerit sekuat hati bagi menutupkan lagu sejati; SEJATEEEEEEEY!. Eddie pula sambil memetik gitar bass turut menjadi penyanyi latar kepada Awie semasa harmoni dan ketika membuat gema suara. WINGS berjaya jua untuk merebut tempat pertama bagi kategori Persembahan Terbaik dan tempat ketiga bagi kategori Juara Lagu pada Juara Lagu '90 itu. WINGS boleh berbangga dengan Juara Lagu '90 tetapi mereka juga patut berasa malu, kerana Black yang disingkirkan muncul jua dalam majlis berkenaan apabila dia menjadi pemain dram undangan kumpulan XPDC.

    Tahun 1991 telah menyaksikan pemilihan Jojet sebagai anggota baru WINGS serta penyiapan album keempat 'Jerangkung dalam almari' Tetapi sambutan kepada album kali ini kurang memberangsangkan. Hal ini berlaku oleh kerana:-

  • Kurang promosi di radio atau TV berikutan isu rambut panjang yang makin memuncak.
  • Mereka juga tidak lagi bermain di ekspo, 'funfair' atau pertunjukan pentas di daerah-daerah kecuali konsert besar di ibukota atau bandar-bandar.
  • Imej WINGS terjejas disebabkan beberapa peristiwa hitam. Salah satunya ialah berita Awie ditangkap khalwat bersama seorang gadis.
  • Album ini tidak menyengat kerana hanya 1 lagu balada yang menjadi lagu 'killer' iaitu 'Aku pun tahu'.
  • Persaingan dengan album ROCK berkumpulan mahupun solo seperti CRK, BLACKROSE, OLAN, SHIMA, HATTAN dan ELLA.
  • Pengharaman konsert artis Rock berambut panjang.
  • Oleh itu sepanjang tahun 1991, WINGS tidak lagi menyerlah seperti dahulu. Malah WINGS juga tidak memasuki Juara Lagu '91 cuma mereka ditawar untuk berlakon dibawah arahan Yusof Haslam didalam filem 'Pemburu Bayang'. Walaubagaimanapun filem berkenaan hanya mempromosikan lagu-lagu dari album Teori Domino dan bukannnya album terbaru. WINGS kekal utuh di persada muzik tempatan, menjelang tahun 1992.

    Pada awal tahun 1992, filem 'Pemburu Bayang' lakonan WINGS telah ditayangkan dan mencapai kutipan tiket 'Box-office'. Filem itu telah meningkatkan sedikit jualan album mereka. Album kompilasi BEST OF WINGS pula telah diedarkan pada pertengahan tahun 1992. Album ini menampilkan rakaman versi baru beberapa buah lagu hit mereka seperti Taman Rashidah Utama, Intan ku kesepian, Inpirasi Taming sari dan lain-lain berserta 1 lagu baru. Seperti album 'Jerangkung dalam almari', album ini juga gagal kerana masalah rambut panjang. Ini telah mendorong WINGS untuk memotongkan rambut panjang mereka itu. Di masa yang sama, kumpulan SEARCH turut terasa dengan bahang isu rambut panjang juga ingin mengorbankan rambut mereka demi mendapat mata pencarian. Setelah SEARCH & WINGS berunding dengan RTM, RTM telah bersetuju untuk membenarkan SEARCH & WINGS muncul di TV & Radio semula. SEARCH, WINGS dan RTM sepakat untuk mengadakan 1 upacara pemotongan rambut secara langsung di TV. Pada tanggal 22 November 1992, SEARCH & WINGS dipotong rambut oleh Dato' Mohammed Rahmat selaku Menteri Penerangan. Apabila majlis itu selesai, SEARCH & WINGS menghebahkan kepada umum tentang penggabungan mereka dalam 1 album iaitu 'DOUBLE TROUBLE'.

    Pada awal tahun 1993 sesudah tamat isu rambut panjang, album itu pun dilancarkan dengan angka jualan yang menakjubkan. SEARCH & WINGS ligat mempromosikan album itu di konsert-konsert. Semasa inilah Awie tiba-tiba menghadapi masalah vokal yang menjejaskan kelancaran suaranya tetapi tidak ketara. Tidak beberapa lama kemudian iaitu di pertengahan tahun 1993, WINGS mula sibuk di studio. Kali ini rakaman telah dilakukan di Melbourne, Sydney, Australia dibawah pengawasan jurutera bunyi : Steward Day untuk rakaman album terbaru WINGS. Ada juga lagu yang telah dirakamkan di Malaysia, cuma ia diadun dan diproses semula disana supaya kualiti rakamannya lebih elok. Disebabkan Awie yang masih belum pulih 100% dari sakit tekaknya, album ini terpaksa juga dirakamkan dalam pitch yang rendah, berbeza dengan album-album terdahulu. Setelah siap sepenuhnya, album kesembilan ini telah dipasarkan dengan tajuk Bazooka Penaka. WINGS meriah kembali, tawaran pertunjukan pentas tidak putus-putus diterima. Serentak dengan dengan promosi yang sedang dipergiat, konsert Double Trouble jelajah negara bersama Search juga dilancarkan. Ini menyemarakkan lagi sokongan para peminat rock yang selama ini telah menunggu persembahan gabungan dua gergasi rock terunggul tanahair ini. Bagi Wings, konsert ini juga adalah bersempena pelancaran album terbaru mereka dan merupakan peluang untuk mempersembahkan lagu-lagu baru mereka kepada peminat.

    Kejayaan album 'Bazooka Penaka' ini telah membuka mata 2 syarikat perfileman untuk menawar WINGS untuk berlakon iaitu Skop Production dan Julie Dahlan Production. Tawaran itulah sebenarnya menjadi punca perpisahan Awie dari Wings. Hal ini demikian kerana Awie lebih tertarik apabila melihat skrip filem 'Sembilu' keluaran Skop Production yang menampilkan dirinya sebagai hero tunggal dan watak kecil untuk anggota WINGS yang lain. Manakala anggota WINGS yang lain memilih untuk berlakon filem 'Putera' yang mana ia memberi peluang lakonan sama rata kepada setiap anggota WINGS. Masalah ini telah membuat kumpulan WINGS bertelagah sesama sendiri. Pada 13 November 1993, konsert Double Trouble diadakan di Stadium Negara Kuala Lumpur. Sebenarnya, ini merupakan konsert terakhir Awie bersama Wings kerana pada dua hari berikutnya iaitu pada 15 November 1993 Awie telah menghantar surat perletakkan jawatan sebagai pengarah Flywings sekaligus menarik diri dari menjadi vokalis Wings. Perkara ini tidak dihebohkan dengan segera. Ianya dirahsiakan oleh anggota Wings yang lain dan pihak pengurusan syarikat rakaman BMG.

    Hampir sebulan selepas itu, barulah berita penarikan diri Awie dari Wings disiarkan secara rasmi. Awie disahkan tidak lagi menjadi anggota kumpulan Wings. Berita ini mengemparkan seluruh dunia muzik tanahair. Dikala Wings berada dipuncak kegemilangan, kehilangan Awie merupakan satu tamparan hebat dan kumpulan rock ini ibarat telah kepatahan sayap. Seluruh peminat mereka amat terkejut dan begitu kecewa dengan berita ini.

    Alasan yang diberikan oleh Awie ialah sakit tekaknya yang masih belum sembuh dan justeru itu beliau berehat dari mengelak ianya dari menjadi lebih teruk. Wings tidak berpecah dan beliau menyerahkan kepada 3 lagi anggota Wings iaitu Joe, Eddie dan Jojet untuk mencari vokalis baru dan meneruskan misi perjuangan Wings. Tambah beliau, tindakan ini adalah keputusan yang amat berat kerana amat sukar untuk berpisah dari kumpulan yang cukup disayanginya itu.

    Pada awal tahun 1994, sesudah sah Awie mengundurkan diri dari WINGS, kumpulan WINGS bertekad untuk berlakon filem 'Putera' dan Awie yang sudah tidak terikat dengan WINGS, berlakon pula filem 'Sembilu'. Kedua-dua filem itu menghadapi rombakan skrip, bagi filem 'Sembilu' ialah pembuangan watak-watak yang sudah tidak relevan, untuk filem 'Putera' pula ialah penukaran beberapa watak dan pelakon. Didalam filem 'Putera', Joe menggantikan tempat Awie manakala Ali Bakar iaitu pengurus WINGS telah menggantikan tempat Joe. Filem yang diarahkan oleh Zulkefli M. Osman ini berjaya mendapat kutipan yang bagus apabila ditayangkan. Tetapi ia tidak dapat menandingi filem 'Sembilu' lakonan Awie kerana lebih bernilai komersial. Sementara itu WINGS masih lagi mencari penyanyi untuk menggantikan Awie di sesi ujibakat yang diadakan di seluruh negara. Tetapi masih tidak ada lagi calon yang sesuai. WINGS telah memikirkan beberapa calon untuk menggantikan tempat Awie seperti Mus (bekas penyanyi MAY), One (bekas penyanyi Lipan Bara) dan Azul iaitu bakat baru yang dicungkil bakat ketika sesi ujibakat itu. Tetapi berikutan beberapa masalah, cadangan itu tertunda. Pada pertengahan tahun 1994, WINGS telah menyiapkan 2 album 'tribute' dengan bantuan 12 orang penyanyi jemputan bergelar SUPERFRIENDS dalam album Opera dalam kenangan'. SUPERFRIENDS terdiri Hattan, Mus, Amy, Ramli Sarip, Ito, A.Romzi, Azul, Nike Ardilla, Sahara Yaakob, M.Nasir dan Andy Mclean dari Australia. Malangnya album itu kurang mendapat sambutan berikutan kesukaran mengumpulkan setiap penyanyi itu untuk publisiti. Pada sekitar Oktober tahun 1994, WINGS menamatkan khidmat Jojet sebagai pemain dram dan merujuk kembali Black.

    Tahun 1995, WINGS masih lagi mencari penyanyi. Pencarian itu terhenti setelah berjumpa Mel iaitu penyanyi kelab malam. Suara Mel yang berbeza tetapi padat meyakinkan WINGS bahawa Mel boleh menggantikan Awie. Mel pun dipupuk dan dibentuk imejnya oleh WINGS selama 3 bulan. Pada sekitar Jun tahun 1995, WINGS bersiap-sedia menyiapkan album baru bersama Mel. Album Orang Asing pun diedarkan. Album itu telah mendapat pujian dan jolokan 'album ROCK of the year' kerana keserasian suara Mel dengan muzik WINGS. Selain dari suara Mel, album Orang Asing ini turut menampilkan vokal Joe menyanyi secara solo pada 1 lagu iaitu 'Lupakanlah". Tetapi album ini juga kurang dipromosi atas tindakan Mel yang tidak mahu mengadakan konsert bersama WINGS kerana beliau khuatir, dia tidak dapat membuat persembahan terbaik seperti Awie lakukan dahulu. Mel merasakan usia dan fizikalnya tidak membenarkan dia melompat-lompat, berguling-guling dan sebagainya. WINGS berkecil hati lalu melepaskan Mel dari kontrak bersama BMG, Mel beindigoar dari WINGS untuk membuat album solo. Tamatnya penglibatan Mel dengan WINGS makin merumitkan jualan album. Mujurlah disebabkan album itu mengandungi lagu-lagu bermutu, album Orang Asing tetap laris. Sementara itu filem Amelia, Mawar Berduri sedang dalam pembikinan, Joe menjadi pelakon utama. Filem SUPERSTAR juga turut dalam pembuatan, filem ini turut mengutarakan kumpulan WINGS dan pertama kalinya Black muncul di layar perak. Kedua-dua filem ini menampilkan nyanyian Mel, oleh kerana Mel telah tiada maka, terpaksalah Joe berlakon menyanyikan lagu-lagu itu. Semasa Joe berlakon dalam filem Amelia-Mawar Berduri, beliau telah berjumpa dan mengenali dengan seorang krew produksi bernama Andi Rahman. Andi Rahman telah mempersembahkan sebuah lagu baru ciptaannya kepada Joe. Mendengarkan melodi lagu tersebut, Joe meminta Andi Rahman menyimpankan lagu itu agar ia dapat dirakamkan dalam album WINGS terbaru.

    Januari tahun 1996, kedua-dua filem berkenaan pun ditayangkan, ia tidak mendapat kutipan tiket yang baik kerana filem-filem itu kurang diberi publisiti. Mei 1996, telah menyaksikan WINGS kembali bernafas semula setelah Awie & Mel meninggalkan WINGS. WINGS akhirnya berjaya membawa Mus menyertai mereka setelah dilanda masalah selama bertahun-tahun. Pada satu sidang ahkbar WINGS telah mengumumkan bahawa Mus adalah penyanyi baru mereka dan bakal merakam album baru bertajuk Biru Mata Hitamku. Seperti kebiasaan, rakaman album ini dilakukan di Australia dan siap sepenuhnya ditanahair. Maka pada akhir Oktober 1996, album Biru mata hitamku telah diedarkan kepada orang ramai sambil menampilkan lagu Biru mata hitamku sabagai lagu hits utama. Biru mata hitamku telah dicipta oleh Andi Rahman. Lagu inilah yang Joe suruh Andi Rahman simpan dulu. Album ini telah berjaya untuk medapat jualan 150, 000, 00 unit, suatu angka jualan yang membanggakan. Tetapi kali ini, WINGS tidak mengadakan siri-siri konsert seperti dahulu kerana tiada tajaan. Tawaran-tawaran hanya pada pertunjukan pentas biasa. Oleh itu WINGS kurang melakukan aktiviti.

    Apabila 1997 menjelma, WINGS telah merakamkan 1 album mini bertajuk Puisi Aidilfitri yang telah dijual semasa bulan ramadan 1997. Album mengandungi 3 lagu bertema Hari Raya dan 3 lagu baru. WINGS terus mempromosikan album Biru Mata hitamku dan album Puisi Aidilfiri di pertunjukan-pertunjukan pentas, walaupun tidak semeriah dahulu. Pada bulan Jun 1997, WINGS telah bertanding dalam kategori Pop Rock pada Muzik-Muzik '97 setelah enam tahun tidak berbuat demikian. Lagu Biru Mata hitamku itu telah bertahan dalam carta Muzik-Muzik selama 23 minggu hingga melayakkan mereka memasuki Juara Lagu '97. Sementara itu album kompilasi Masterpiece dipasarkan. Album ini mengandungi lagu-lagu terbaik ciptaan JS Kevin dan 1 lagu baru nyanyian WINGS iaitu Pesona Sanubari. SEARCH & WINGS juga merancang untuk bergabung sekali lagi dalam album Double Trouble 2. Juara Lagu'97 membukakan tirainya pada Disember 1997, ia telah menyaksikan suatu pertandingan yang sengit kerana dibarisi oleh calon-calon yang handal. Selain dari WINGS yang memberi persembahan, SEARCH, Siti Nurhaliza, Awie, Ziana Zain, Jamal Abdillah, M.Nasir dan Shima turut memberikan persembahan yang terbaik. WINGS tidak mendapat sebarang kemenangan di Juara Lagu ' 97 itu, disebabkan faktor ruang pentas yang sempit sehinggakan Mus yang selalu kelihatan lincah dipentas hanya berdiri menyanyi sambil memetik gitar kedua. Selain itu, Mus juga kurang menghayati lagu Biru Mata Hitanku itu. Beliau membuat persembahan yang ala konsert. Maka, Juara Lagu '97 tidak memberikan kenangan manis untuk WINGS.

    1998 bermula dengan ketibaan album Double Trouble 2. Album ini mendampingkan kesekian kalinya gabungan SEARCH & WINGS. Tetapi kerana faktor tiada tajaan dan faktor kegawatan ekonomi, kedua-kedua kumpulan ini tidak mengadakan siri konsert atau promosi. Album berkenaan makin terjejas apabila Amy meninggalkan SEARCH. Tetapi hal ini tidak menghalang WINGS untuk merakam album baru. Album berjudul Mencari Asal-usul ini dipasarkan pada Jun 1998. Seperti selalu, album WINGS pastinya laku. Lagu-lagu yang disumbangkan oleh Andi Rahman, Darwis (M.Nasir), Mad Razali (JS. Kevin) dan WINGS sendiri telah berjaya menambat hati para pendengar. Tajuk album 'Mencari asal-usul' memang padan dengan WINGS, kini WINGS sudah kembali menjejaki tapak-tapak funfair dan ekspo untuk promosi album. WINGS sedar bahawa tanpa usaha promosi yang kuat dan hanya menantikan siri konsert, maka pastinya meraka sebagai pemuzik seperti hilang mata pencarian. Oleh itu, WINGS bertekad mengambil peluang di funfair dan ekspo untuk mereka maju ke hadapan. Begitulan kehidupan WINGS sepanjang tahun 1998, memenuhi perlawaan mengadakan pertunjukan pentas di funfair-funfair dan ekspo-ekspo disamping DEF-Gab-C dan Mael & Real XPDC.

    Pada pertengahan tahun 1999 pula, album baru atau lebih tepat, album kompilasi WINGS yang ketiga- bertajuk 'Best of WINGS 2' dipasarkan. Ia menampilkan 2 lagu baru iaitu NASIB KITA dan RASTALI. Nasib Kita iaitu sebuah lagu balada berciri rock, disampaikan oleh Mael (bekas penyanyi XPDC dan sekarang vokalis Real-X) bersama Mus. Lagu Rastali pula adalah lagu heavy metal kesinambungan Blues Ular Sawa dan Sakit Bantal Empuk iaitu 2 lagu hits terdahulu. Tetapi bagi kali ini pula, Wings tidak membuat promosi menyeluruh, cuma sekali-sekali di tapak ekspo dan konsert-konsert kecil. Malah lagu Nasib Kita turut dibuat klip video tetapi tanpa rakaman visual baru (visual pemuzik Wings diambil secara 'candid' dari video klip terdahulu.) Hanya Mus sahaja beraksi dengan visual baru. Manakala bagi part Mael menyanyi - digambarkan sebagai aliran sungai!!

    .Pada awal May 2000, album baru Wings bertajuk Mr.Barbarik dipasarkan dengan sambutan hangat dari peminat mereka. Apa yang menarik tentang album ini ialah kesemua lagunya berciri heavy metal. Ini berikutan 'demam metal' ketika itu. Malah lagu 'slow' mereka, juga 'garang' - Suara Mus kedengaran seperti meneran. Lagu slow berhantu mereka ialah Inspirasi Syakilla, yang mana ia adalah kesinambungan Misteri Mimpi Syakilla. Kedua-dua lagu ini ciptaan JS Kevin. Seperti kebiasaan, Wings mula sibuk kembali dengan pertunjukan pentas. Tidak lama selepas itu, Joe dan Mus iaitu 2 ahli Wings telah diberi tugas untuk menjayakan rakaman duet antara Mus, Awie dan Ziana Zain dalam album kompilasi Mega ROCK Hebat. Joe merupakan penerbit bagi lagu HIDUP (SELAGI HIDUP) yang terkandung dalam album kompilasi tersebut. Pada saat inilah Awie dan Joe berbaik semula hubungan antara mereka. Awie juga bersetuju untuk bersatu semula dengan Wings selepas ini.

    Setelah 3 bulan album Mr.Barbarik berada dipasaran, ketika Wings sedang rancak mempromosikannya, secara tiba-tiba - timbul cerita bahawa Mus iaitu vokalis Wings akan menarik diri daripada menganggotai kumpulan itu. Walaubagaimanapun Wings cuba menafikannya dengan membuat sidang ahkbar tergempar untuk menafikan desas-desus itu. Joe, Eddie, Black dan Mus masing-masing menyangkal dakwaan mereka telah berpecah. Tetapi akhirnya, berita penarikan diri Mus itu menjadi realiti apabila 2 minggu kemudian Mus telah mengumumkan bahawa beliau bukan lagi ahli Wings. Alasan pengunduran dirinya daripada Wings ialah beliau ingin menjadi penyanyi solo kerana ia lebih menguntungkan, jika dibandingkan menjadi penyanyi berkumpulan - jika menjayakan 1 show, bayaran terpaksa dibahagi 4 orang. Pengumuman Mus itu disahkan oleh ahli Wings yang lain, mereka turut menyertai sidang akhbar tergempar itu. Agenda sebenar Wings ialah membuat peralihan atau 'building-up' kepada projek penyertaan semula 'Awie' bersama Wings yang mana album itu dijadualkan dibuat pada tahun 2001.

    Pada 2 September 2000, sewaktu M Nasir bersanding dengan isteri barunya, Marlia Musa di Sungai Buloh, secara tidak sengaja 'Awie' & 'Wings' telah bergabung semula dalam 1 pentas kenduri kahwin. Ia terjadi berikutan permintaan emcee majlis berkenaan iaitu Bob Lokman (bekas pengurus asal Wings) supaya mereka membuat persembahan untuk majlis 'sifu' mereka. Ketika itu Joe, Eddie dan Black bersama isteri masing-masing baru hendak beindigoar dari majlis itu, sedangkan Awie baru tiba. Atas desakan Bob Lokman itu mereka bergabung semula di satu pentas 'orang kahwin'. 'Awie' & 'Wings' telah menghiburkan kedua-dua pengantin dan orang ramai dengan 2 lagu iaitu Bernafas dalam lumpur dan sebuah lagu 60 an. Para hadirin di majlis itu, terpukau menyaksikan persembahan mereka. Setelah hampir 7 tahun tidak bersama kini mereka bergabung kembali. Semangat setiakawan mereka masih utuh walaupun disuatu masa mereka pernah bergaduh.

    Bertitik tolak daripada persembahan dimajlis itu, 'Awie' & 'Wings' sering membuat pertunjukan pentas di tempat terbuka sepanjang tahun 2001. Disamping mengumpul lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam album 'REUNION' itu.

    Januari 2002, 'Awie'& Wings mula aktif di studio rakaman untuk menyiapkan album baru mereka. Lagu-lagu daripada komposer J.S. Kevin (Masterpiece) paling ketara menjadi pilihan mereka. 'Syncrosound' adalah studio rakaman pilihan mereka. Selain merakam 11 lagu baru bagi album tersebut, 2 lagu medley iaitu lagu lama dari album terdahulu telah digabung menjadi 2 lagu turut dirakam. Lagu pertama adalah himpunan lagu-lagu balada dan lagu kedua ialah himpunan lagu-lagu berentak rock'n'roll.

    8 April 2002, album berjudul Naga K'ramat mula dipasarkan dengan menampilkan lagu Ranggi Metropolitan sebagai lagu Hit utama.

    Rencana ini ditulis oleh : Mad Jenin dan Mad Paus untuk AJ Production. Hakcipta terpelihara.

     


    "RAMAI MANUSIAAAAAA"

    WINGS JUGA PERNAH BERMAIN DI KELAB MALAM.


    ILUSTRASI INI MEMAPARKAN 3 LOGO WINGS.
    LOGO PERTAMA DIGUNAKAN OLEH WINGS SEJAK ALBUM TEORI DOMINO. LOGO KEDUA PULA DIPAKAI SEMENJAK ALBUM ORANG ASING. MANAKALA LOGO KETIGA DIGUNA SEMPENA ALBUM NAGA KRAMAT.

    FOTO WINGS BAGI IKLAN JUARA LAGU '89 DI TV3.


    WINGS SEMASA RAKAMAN ALBUM MENCARI ASAL-USUL.

    MEL & WINGS.


    MUS & WINGS.


    'LINE-UP' WINGS SEMASA ALBUM ORANG ASING.
    (dari kanan : Mel , Eddie, Black & Joe.)


    AKSI WINGS SEMASA ALBUM 'BIRU MATA HITAMKU.'


    WINGS HAMPIR BERKUBUR KERANA ISU RAMBUT PANJANG. HAL ITU TAMAT APABILA MEREKA BERSETUJU UNTUK MENGGUNTINGKAN RAMBUT.

    APABILA AWIE MENINGGALKAN WINGS, JOE, EDDIE & JOJET TETAP SETIA MEMPERTAHANKAN KUMPULAN INI.


    KEMUNCULAN WINGS DI TAPAK-TAPAK EKSPO ATAU KONSERT-KONSERT SERING DINANTIKAN.


    JUARA LAGU '89 + JUARA LAGU'90 TELAH MENJULANG NAMA WINGS.


    ALBUM 'MEGA ROCK HEBAT' TELAH MENGEMBALIKAN HUBUNGAN ANTARA AWIE & JOE.


    APABILA M.NASIR & MARLIA MUSA BERSANDING, WINGS (HUKUM KARMA)BERGABUNG SEMULA.

    ILUSTRASI : MAD JENIN

    Hakcipta; 2003, AJ Production.
    Kecuali Foto-foto dan hakcipta lagu serta logo dimiliki
    oleh Utusan, Karangkraf, FLY WINGS, BMG Malaysia, NSR dan sebagainya.
    Sila hantarkan segala pertanyaan atau pandangan anda mengenai halaman Web ini menerusi alamat e-mail saya
    xcosmopoint@hotmail.com