KUKU yang diciptakan
Allah mempunyai peranan dan kepentingannya kepada manusia. Dalam
Islam, kuku berperanan dalam beberapa perkara hukum yang tidak
seharusnya diabaikan umat Islam. Walaupun dilihat seolah-olah
perkara kecil, kadang-kadang ia menjadi perkara besar. Contohnya,
ketika seseorang masih dalam ihram haji atau umrah didenda membayar
dam kerana memotong kuku. Demikian juga kuku boleh menyebabkan
tidak sah wuduk atau mandi junub, jika air tidak atau terhalang
sampai ke kuku.
Hukum dan
hikmat memotong kuku.
Memotong kuku
termasuk amalan sunat. Hal ini disebutkan dalam hadis daripada
Saidatina Aisyah yang maksudnya: "Sepuluh perkara dikira
sebagai fitrah (sunah) iaitu memotong misai, memelihara janggut,
bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi,
mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air
(beristinja), berkata Zakaria: "Aku lupa yang ke-10 kecuali
berkumur." (Hadis riwayat Muslim)
Memotong kuku
adalah sunat bagi lelaki dan perempuan sama ada kuku tangan atau
kaki. Adapun hikmat daripada pensyariatan memotong kuku adalah
menghilangkan segala kotoran yang melekat atau berkumpul di celahnya.
Kotoran itu jika tidak dibersihkan boleh menghalang air ketika
bersuci.
Selain itu,
jika kuku dibiarkan panjang dan segala kotoran atau najis melekat
padanya, nescaya ia menjejaskan kesihatan.
Cara dan
benda untuk memotong kuku
Sunat memotong
kuku bermula daripada tangan kanan, kemudian tangan kiri, memotong
kuku kaki kanan kemudian kaki kiri.
Menurut Imam
an-Nawawi, sunat memotong kuku bermula jari tangan kanan keseluruhannya
daripada jari telunjuk hingga ke jari kelingking dan diikuti
ibu jari. Kemudian tangan kiri daripada jari kelingking hingga
ibu jari.
Sementara, kuku
kaki pula, bermula kaki kanan daripada jari kelingking hingga
ibu jari. Kemudian kaki kiri daripada ibu jari hingga kelingking.
Harus seseorang
memotong kuku menggunakan gunting, pisau atau benda khas seperti
alat pemotong kuku supaya tidak memudaratkan kuku atau jari.
Selesai memotong
kuku, segera membasuh tangan (tempat kuku yang dipotong) dengan
air.
Menurut kitab
al-Fatawa al-Hindiyah dalam mazhab Hanafi bahawa makruh memotong
kuku menggunakan gigi kerana boleh mewarisi penyakit kusta.
Waktu memotong
kuku
Islam juga mengambil
kira waktu memotong kuku yang tidak tertakluk pada panjang kuku.
Kuku harus dipotong
pada bila-bila masa. Bagaimanapun, jangan membiarkan kuku tidak
dipotong melebihi 40 hari. Hal ini diriwayatkan daripada Anas
bin Malik yang maksudnya: "Sudah ditentukan waktu kepada
kami memotong misai, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan
mencukur bulu ari-ari agar kami tidak membiarkannya lebih daripada
40 malam." (Hadis riwayat Muslim)
Menurut Imam
Al-Syafie dan ulama Al-Syafi'eyah, sunat memotong kuku sebelum
mengerjakan solat Jumaat seperti disunatkan mandi, bersugi, berharuman,
berpakaian kemas sebelum ke masjid.
Diriwayatkan
Abu Sa'id al-Khudri dan Abu Hurairah, katanya, Rasulullah saw
bersabda bermaksud: "Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat,
bersugi, berwangian jika memilikinya dan memakai pakaian yang
terbaik, kemudian keluar rumah hingga sampai ke masjid, dia tidak
melangkahi (menerobos masuk) orang yang sudah bersaf, kemudian
mengerjakan sembahyang apa saja (sembahyang sunat), dia diam
ketika imam keluar (berkhutbah) dan tidak berkata-kata hingga
selesai mengerjakan sembahyang, maka jadilah penebus dosa antara
Jumaat itu dan Jumaat sebelumnya." (Hadis riwayat Ahmad)
Daripada Abu
Hurairah, katanya bermaksud: "Nabi Muhammad memotong kuku
dan menggunting misai pada hari Jumaat sebelum Baginda keluar
untuk bersembahyang." (Hadis riwayat al-Bazzar dan ath-Thabrani)
Sementara, menurut
Ibnu Hajar, sunat memotong kuku pada Khamis, pagi Jumaat atau
Isnin.
Menanam potongan
kuku
Islam sangat
prihatin terhadap memuliakan anak Adam, termasuk anggota badannya.
Kuku yang potong, sunat ditanam dalam tanah sebagai tanda menghormatinya
kerana ia anggota manusia. Hal ini disebut dalam kitab Fath al-Bari,
bahawa Ibnu 'Umar menanam potongan kuku'.
Memotong
kuku ketika haid, nifas dan junub
Menurut kitab
Al-Ihya, jika seseorang dalam keadaan junub atau berhadas besar,
jangan memotong rambut, kuku atau mengeluarkan darah atau memotong
sesuatu yang jelas daripada badannya sebelum dia mandi junub.
Hal ini kerana segala potongan itu pada akhirat kelak akan kembali
kepadanya dengan keadaan junub.
Memanjangkan
kuku
Tabiat memanjangkan
kuku bertentangan dengan sunnah Nabi Muhammad yang menggalakkan
supaya memotong kuku. Jika dibiarkan kuku panjang, nescaya banyak
perkara yang membabitkan hukum seperti wuduk, mandi wajib dan
sebagainya.
Selain itu,
antara perkara sunat yang dilakukan bagi orang sakit atau hampir
nazak adalah mengelokkan diri iaitu dengan memotong kuku, misai,
mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari, bersugi, mandi, berwangian
dan memakai pakaian yang bersih.
Imam Al-Syafie
tidak menyatakan dalam kitabnya sunat memotong kuku mayat, tetapi
beliau menyatakan perselisihan pendapat antara gurunya dalam
menggalak dan meninggalkan perbuatan memotong kuku mayat. Beliau
memilih dan mentarjih pendapat untuk meninggalkan perbuatan memotong
kuku mayat.
Pendapat yang
betul adalah membiarkan kuku mayat kerana segala anggota mayat
itu dimuliakan dan tidak ada hadis sahih yang menggalakkan memotong
kuku mayat. Malah, makruh hukumnya jika berbuat demikian. Demikian
juga menurut Imam Ibnu Hajar, pendapat yang azhar adalah makruh
memotong kuku mayat.
Adapun orang
yang meninggal ketika dalam ihram haji atau umrah, haram dipotong
kuku mayat itu, seperti haram mewangikan tubuh badan dan memotong
rambutnya. Ini diibaratkan keadaannya ketika masih hidup, dengan
haram ke atasnya memotong kuku ketika ihram. Namun, jika kuku
mayat itu menyukarkan tukang mandi untuk membersihkannya, tidak
mengapa jika dipotong dan tidak juga dikenakan dam ke atas orang
yang memotong kuku itu. |