Surat Terbuka Umno Kg Uma buat PM
PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSTU (BARU) ATAU UMNO
(UNITED MALAYS NATIONAL ORGANISATION)
BAHAGIAN PERMATANG PAUH
Cawangan Kampong Uma
17hb. November, 1998.
YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad.
Perdana Menteri Malaysia,
Jabatan Perdana Menteri,
Jalan Dato' Onn,
50480 Kuala Lumpur.
YAB Dato' Seri,
Perkara : Kepentingan Masa Depan UMNO
Malaysia sudah terkenal di seluruh dunia. Kehadiran Dato' Seri di puncak
kepimpinan negara selama 17 tahun telah berjaya menjana pembangunan yang
pesat dalam pelbagai bidang bagi kepentingan rakyat dan negara. Rakyat
berterima kasih atas segala sumbangan, pengorbanan dan perkhidmatan
cemerlang Dato' Seri selama ini. Rakyat menghargai kemampuan, kegigihan
dan keberkesanan Dato' Seri dalam menerajui Malaysia menerokai wawasan
progresif alaf Millenium yang serba canggih dan mencabar.
Namun, disebabkan terdapat sedikit masalah sekarang ini, rakyat
berpendapat perlu ada teguran yang membina bagi memperbetulkan kesilapan
yang telah berlaku. Insiden perlucutan keahlian dan jawatan Dato' Seri
Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Presiden UMNO, pada 3hb. September, 1998,
telah menimbulkan suasana ketidakstabilan politik dalam negara.
Perkembangan ini telah menjejaskan pemulihan kegawatan ekonomi negara
akibat berkurangnya pelaburan asing dalam masa yang terdekat ini.
Rakyat tidak menyenangi peristiwa yang berlaku sekarang ini. Ini nyata
terbukti apabila ramai di kalangan ahli-ahli UMNO, termasuk di peringkat
cawangan ini, telah keluar dari parti atau turut enggan untuk membayar
yuran keahlian mereka bagi tahun 1999. Perubahan sikap dan pendirian
rakyat secara mendadak, di seluruh negara, bukan sahaja tertumpu kepada
generasi muda tetapi termasuk golongan tua juga.
Keputusan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim, jika didapati bersalah
sekalipun, tidak mudah untuk mengubah pendirian rakyat. Operasi "Turning
Over" dan Neutralisation" tidak akan berkesan lagi kerana rakyat sudah
meragui ketepatan berita yang disiarkan oleh media massa tempatan,
kewibawaan Sistem Kehakiman dan Institusi Keselamatan Dalam Negeri dan
kebenaran kata-kata pemimpin-pemimpin UMNO sendiri.
Jentera Kerajaan yang bertanggungjawab untuk mengawal dan membentuk
pemikiran rakyat sudah separuh lumpuh. Propaganda mengugut dan
menakut-nakutkan rakyat terutama sekali Orang Melayu melalui isu
"Ketuanan Politik Bukan Melayu". "Rusuhan Kaum", "Negara Di Jajah"
dsbnya sudah tidak relevan lagi. Isu seperti ini sudah tidak mendapat
tempat di pemikiran mereka.
Pemikiran rakyat kini bukan tertumpu untuk menilai kemampuan parti-parti
politik lain sebagai altrnatif kepada UMNO tetapi untuk memastikan
perjuangan kepada perubahan itu berjaya. Jika rakyat sudah memahami
perbezaan antara "Memerintan Dengan Menggunakan Undang-Undang" dan
"Memerintah Berdasarkan Undang-Undang", Parti PAS mampu menawan sokongan
dari golongan ini kerana mereka telah berjaya menunjukkan kebolehan
mentadbir negeri Kelantan dengan baik.
Fenomena ini, walaupun amat membimbangkan, perlu diterima sebagai satu
hakikat kepada UMNO jika benar wujud keikhlasan bagi mencari formula
penyelesaian kepada permasalahan yang ada. Rakyat hanya menunggu
pilihanraya diadakan bagi mengembalikan kedilan melalui sistem demokrasi
berperlembagaan. Rakyat telah menyokong UMNO berdasarkan lambang lambang
parti dalam pilihanraya sebelum ini dan dengan itu rakyat juga mampu
untuk menafikan hak UMNO kembali berkuasa, secara yang sama, semata-mata
kerana isu kepimpinan Dato' Seri sekarang ini. Jika reliti yang ada
sitolak, satu kejutan akan pasti berlaku, buat pertama kali dalam
sejarah tanah air sejak merdeka.
UMNO Cawangan ini telah mengadakan satu Mesyuarat Jawatankuasa Tergempar
pada 15hb. November, 1998 untuk mengenalpasti punca perubahan sikap
rakyat terhadap UMNO. Pembentukan sikap negatif ini berpunca dan
berhubungkait dengan beberapa sebab seperti berikut :
1. Majoriti rakyat telah tidak bersetuju dengan keputusan Majlis
Tertinggi melucutkan keahlian dan jawatan Dato' Seri Anwar Ibrahim
sebagai Timbalan Presiden UMNO. Mereka berpendapat bahawa :
a) Majlis Tertinggu telah tidak menghormati hak Perwakilan UMNO yang
telah melantik Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Presiden parti.
b) Majlis Tertinggi telah membuat keputusan yang tidak adil terhadap
Dato' Seri Anwar Ibrahim apabila beliau dinafikan hak untuk terus kekal
menjadi ahli UMNO.
c) Majlis Tertinggi telah tidak ikhlas dalam menggungakan peruntukan di
dalam Fasal 18.6 (D) Perlembagaan UMNO kerana gagal untuk merujuk kepada
kes-kes yang bersamaan sebelum ini, bagi memutuskan hukuman yang saksama
trhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim.
d) Majlis Tertinggi telah gagal membuat pertimbangan yang bijak untuk
memaksa Dato' Seri Anwar Ibrahim supaya bercuti dari tanggungjawabnya
dalam parti buat sementara waktu. Keputusan untuk melucut keahliannya
sepatutnya menjadi pilihan terakhir, walaupun dalam keadaan Dato' Seri
Anwar Ibrahim telah enggan untuk mengundurkan diri.
e) Majlis Tertinggi telah gagal untuk mengamalkan prinsip keadilan yang
diperuntukkan di dalam Perlembagaan Negara; yang mana seseorang itu
belum bersalah selagi tidak dibuktikan bsersalah oleh Mahkamah.
f) Majlis Tertinggi telah secara keterlaluan, melampaui batas dan tidak
berperikemanusiaan, bersubahat dengan media massa tempatan untuk
mengaibkan maruah Dato' Seri Anwar Ibrahim di mata ramai. Perbuatan
sebegini juga tidak mempunyai nilai moral yang tinggi kerana maruah dan
martabat bangsa Melayu, secara tidak langsung, sudah turut menjadi
rendah dan tercabar. UMNO telah gagal untuk mempraktikkan konsep
bermesyuwarah dalam mencari penyelesaian kepada kes ini.
2. Majoriti rakyat tidak mempercayai kesemua 10 pertuduhan terhadap
Dato' Seri Anwar Ibrahim kerana:
a) Kes pertuduhan rasuah terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak
mempunyai sebarang nilai kewangan. Kesnya hanya menjurus kepada
menyalahgunaan kuasa yang kebiasaannya berlaku di mana saja.
b) Kes pertuduhan liwat terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim hanya layak
untuk dibicarakan mengikut Seksyen 25 Akta Kesalaha Jenayah Syariah
sahaja. Hak pendakwaan yang mengikut prerogatif Peguam Negara seperti
penggunaan Seksyen 377B dalam kes ini, telah manafikan asas keadilan
mengikut semangat perundangan itu sendiri. Pada dasarnya, Perundangan
Islam adalah lebih "stringent" dan bersesuaian untuk membicarakan
kes-kes berbentuk moral kerana ianya mengharamkan perbuatan liwat sma
sekali berbanding dengan Perundangan Ala Barat yang menghalalkan
perlakuan secara sukarela oleh dua pihak yang berumur lebih 21 tahun di
tempat tertutup.
3. Rakyat menganggap bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim telah dianiayai
kerana pertuduhan terhadapnya mempunyai unsur-unsur bermotig politik.
Alasan yang ditimbulkan adalah:
a) Apabila hak Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk membela diri dan
mempertahankan kepentingannya dalam parti telah dinafikan melalui
perlucutan keahliannya.
b) Apabila terdapat unsur keraguan kepada prosedur, perjalanan dan
keputusan perbicaraan kes liwat Dr. Munawar Ahmad Anees dan Sukma
Darmawan Sasmitaat Madja.
c) Apabila prosedur dan instrumen kerajaan dimanipulasikan untuk
menafikan hak persalah membuat rayuan bagi mendapat pengadilan semula.
(Persoalannya adakah prosedur untuk membicara dan menghukum pihak yang
menjadi mangsa jenayah akan kekal dabagai amalan dan kes rujukan bagi
perundangan di Malaysia?)
d) Apabila hak kebebasan Dato' Seri Anwar ibrahim untuk bersuara dan
memberi penerangan kepada rakyat telah disekat oleh kuasa polis dan
penahanannya di bawah ISA.
e) Apabila hak kebebasan bersuara untuk Datin Seri Dr. Wan Azizah dan
rakan-rakan seperjuangan Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk menyambung sessi
penerangan kepada rakyat telah turut disekat.
f) Apabila tidak terdapat kepekaan untuk menyiasat lapuran Tun Hanif
mengenai salahlaku Dato' Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1993. Pendekatan
bertindak mengikut kesesuaian masa dan situasi adalah bercanggah dengan
prisnsip kewujudan perundangan itu sendiri.
g) Apabila hak Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk mendapat ikat jamin telah
dinafikan atas kelewatan mengesahkan Akta Rasuah 1997 oleh Dewan Negara
samada secara sengaja ataupun tidak sengaja.
h) Apabila terdapat berbagai keputusab dan prosedur mahkamah yang tidak
konsisten. Ini tidak haruss wujud krrana asas perundangan dan
ketidakadilan tidak sepatutnya berubah-ubah mangikut masa da kehendak
persekitaran. Hak tertuduh untuk mendapat keadilan perlu diutamakan
daripada hak prerogatif Peguam Negara untuk memilih mana-mana
undang-undang yang sesuai demi kelebihan pendakwaan sahaja.
i) Apabila wujud niat dan pendekatan untuk memastikan Dato' Seri Anwar
Ibrahim tetap didapati bersalah melalui pertuduhan tambahan yang sengaja
dicari dan/atau diada-adakan.
j) Apabila terdapat kenyataan yang negatif, yang boleh mempengaruhi
perbicaraan di mahkamah, seperti "akan berlaku rusuhan kaum sekiranya
Dato' Seri Anwar Ibrahim didapati tidak bersalah",.
k) Apabila terdapat pendekatan untuk tidak menyasat pertuduhan / dakwaan
awam mengenai amalan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan sifat rendah moral
anggota-anggota kabinet dan Majlis Tertinggi lain secara serious demi
untuk membersihkan imej Kerajaan sekarang.
l) Apabila hak Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk kembali ke UMNO terus akan
disekat mengikut bualcara Dato' Seri dalam Program Biz Asia CNN pada
10hb. November 1998; walaupun jika beliau didapati tidak bersalah oleh
mahkamah.
4. Rakyat telah hilang kepercayaan atas kewibawaan Dato' Seri untuk
terus memimpin Negara lagi kerana:
a) Corak kepimpinan Dato' Seri sudah jelas mendekati diktator apabila
wujud budaya takut dalam Majlis Tertinggi, Jentera Pentadbirab Kerajaan
dan di kalangan rakyat jelata. Budaya memerintah dengan kuasa mutlak ini
adalah tidak sihat untuk negara dan UMNO kerana tidak akan terdapat
badan atau individu yang mampu berfungsi debagai pengimbang kepada
sebarang penyalahgunaan kuasa dsbnya.
b) Kuasa-kuasa penting dalam pentadbiran negara telah dibolot dan
diletak di bawah pengawasan / penyeliaan Dato' Seri seorang sahaja.
Pendekatan Dato' Seri untuk memikul tanggungjawab tambahan di
Kementerian Kewangan dan sebagai Timbalan Perdana Menteri juga
sebenarnya telah menggambarkan bahawa Dato' Seri tidak yakin dan percaya
kepada barisan kepimpinan UMNO untuk mengambil alih tugas ini. Penumpuan
kuasa kepada seorang pemimpin sahaja adalah pendekatan yang membuka
peluan kepada penyalahgunaan kuasa yang lebih besar.
c) Sikap keangkuahan yang ditunjukkan olwh Dato' Seri tidak bersesuaian
dengan sifat ketimuran kita. Kenyataan Dato' Seri yang menolak
kembalinya Dato' Seri Anwar Ibrahim ke UMNO, jika didapati bersalah,
adalah bertentangan dengan sejarah UMNO itu sendiri. Kesilapan Dato'
Seri untuk tidak dapat membezakan hak peribadi dan hak parti telah
menimbulkan keraguan mengenai kesesuaian kepimpinan yang ada untuk
kepentingan parti.
d) Pengubahsuaian Perlembagaan UMNO dan Negara telah berlaku mengikut
kesesuaian masa untuk memberi kelebihan perundang kepada Dato' Seri bagi
menerajui parti dan memerintah negara tanpa mampu dicabar oleh sesiapa.
Pendekatan yang baik sebenarnya adalah untuk meminda perlembagaan agar
bersesuaian untuk semua zaman dan situasi, jika boleh, untuk mengelak
sebarang manipulasi yang memberi kelebihan kepada seseorang sahaja. UMNO
semakin ke belakang dan kurang matang. Sebagai contoh, pendekatan untuk
menurunkan had umur keahlian dari 18 ke 16 tahun telah menggambarkan
bahawa UMNO sudah tidak diterima oleh masyarakat maka oleh itu anggota
baru adalah diperlukan untuk mengisis kekosongan tersebut. Pendekatan
yang memerlukan 25% sokongan dan 5 tahun keahlian untuk melayakkan
seseorang ahli itu bertanding dan bergerak aktif dalam UMNO sebenarnya
merugikan UMNO juga. Budaya ini adalah tidak sihat kerana pendekatannya
adalah berbentuk menghalang hak ahli lain demi untuk mempertahankan
kedudukan barisan kepemimpinan lama. Apa sebenarnya yang perlu
ditakutkan kerana ahli baru tidak mungkin dapat menandingi kehebatan dan
pengaruhi pemimpin lama yang telah lama terbina. Pendekatan sebegini
akan menjadi UMNO pasif dan tidak efektif.
e) Dato' Seri adalah penyebab kepada perpecahan UMNO yang bertalian
berlaku dalam UMNO sebelum ini. Mengikut statistik, adalah sukar untuk
menuding jari kepada orang lain kerana sudah empat pemimpin kanan (Dato'
Musa Hitam, Tengku Razaleigh, Tun Gahfar Baba dan Dato' Seri Anwar
Ibrahim) dalam UMNO yang telah kecundang di tengah jalan untuk
meneruskan perjuangan mereka. Untuk jawatan TPM sahaja, perangkaan
statistik yang berjumlah 67% telah memberi petunjuk untuk kenyataan di
atas. Berdasarkan fakta ini, maka tidaklah hairan jika Dato' Seri juga
manghadapi masalah dalam UMNO di waktu kepimpinan YAM Tengku Abdul
Rahman Putra Al-Haj.
f) Dto' Seri telah gagal untuk membuktikan sifat kejujuran yang tinggi
dalam menerajui kepimpinan negara. Jika direnung kepada peristiwa lalu,
Dato' Seri Anwar Ibrahim nampak lebih jujur dari Dato' Seri.
Di saat akhir sebelum dipecat dan termasuk di Mesyuarat Tertutup UMNO
Bahagian Permatang Pauh pada 31hb. Ogos 1998, Dato' Seri Anwar Ibrahim
masih tetap berpendirian untuk terus setia menyokong kepimpinan Dato'
Seri dan bekerja untuk UMNO. Lafaz ini berlaku di hadapan penyokong kuat
di kubunya sendiri. Manakala kejujuran Dato' Seri semakin meragukan.
Pada Ogos 1997, Dato' Seri telah memprtahankan Dato' Seri Anwar Ibrahim
melalui penafian kepada pertuduhan dalam surat layang tersebut. Pada 1
hb. September 1998, Dato' Seri telah menyebut bahawa perletakan jawatan
Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak akan diterima tanpa sebab-sebab yang
kukuh dan pada 2hb. September 1998, satu trajedi yang sebaliknya telah
berlaku.
Pendirian Dato' Seri yang tidak stabil dan tidak menentu amat merbahaya
kepada negara kerana bukan UMNO sahaja yang akan menjadi kucar-kacir
tetapi rakyat akan turut menderita disebabkan keputusan yang tidak
konsisten dan kadangkala lebih mencelakakan. Sisa-sisa hidup Dato' Seri
mungkin hanya tinggal sedikit sahaja lagi berbanding dengan generasi
akan datang. Kesilapan yang berlaku akan terus dirasai dan dipikul oleh
generasi ini.
Sebenarnya isu kepimpinan yang ada sekarang tidak akan wujud jika Dato'
Seri jujur dan ikhlas untuk mengumumkan tarikh tepat persaraan Dato'
Seri sebagai PM. Kami percaya Dato' Seri Anwar Ibrahim dan kroninya
mampu bersabar jika destinasi mereka semakin jelas. Persoalan samada
Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak sabar, tidak perlu timbul kerana Dato'
Seri juga patut menyedari bahawa jangka masa 17 tahun Dato' Seri berada
di kerusi Perdana Menteri ini sudah terlalu lama. Jangka masa ini telah
melebihi dua kali ganda dari Perdana Menteri yang lain sebelum ini.
Keterlalulamaan dalam jawatan ini jelas telah meletakkan Dato' Seri
terlalu berkuasa dan terlalu menggunakan kuasa.
k) Dato' Seri, untuk kali keduanya, telah tidak menunjukkan sifat tidak
menghormati kedudukan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agung dan
Raja-Raja Melayu, apabila pemecatan Dato' Seri Anwar Ibrahim tidak
mendapat persetujuan Baginda Tuanku. Ini tidak wajar timbul kerana ia
adalah satu penderhakaan kepada masyarakat Melayu itu sendiri.
l) Dato' Seri telah membentuk budaya takut dalam UMNO dan Negara.
Pendekatan ini adalah tidak sihat kerana pemimpin-pemimpin pelapis akan
menjadi pasif, penakut dan tidak berkeyakinan atas diri sendiri untuk
memberi pandangan bernas, kreatif atau pun menegur sebarang kesilapan
yang mungkin wujud. Budaya sebegini akan memberi kesan saikologi negatif
kepada wawsan 2020. Amat aneh sekali, di sebalik pemim[pin yang lantang
wujud pula rakyat yang begitu menyendiri (reserved).
m) Pakej ekonomi yang dianjurkan oleh Dato' Seri telah tidak mendapat
kepercayaan dan keyakinan rakyat. Disebabkan ada usaha yang begitu jelas
untuk menggunakan wang rakyat dari KWSP dan Tabung Haji secara
berterusan dan berulang-ulang, ada rakyat yang sudah tidak bersedia
untuk menabung dalam negara. Pakej ekonomi yang memaksa pengaliran
wamula wang rakyat ke dalam negara ini tidak disimpan dalam Institusi
Perbankan Tempatan tetapi dalam Institusi perbankan milik asing.
n) Dato' Seri telah mencemarkan imej negara di mata negara Asean, Asia,
Dunia Arab dan dunia keseluruhannya. Apabila berlakunya insiden 2hb
September 1998, Negara sekarang terpaksa berdepan dengan krisis
ketidakyakinan negara asing terhadapnya dan ini menykarkan negara untuk
mendapatkan bantuan kewangan dari negara-negara asing. Maruah negara
talah menjadi begitu rendah sekali; kita umpama peminta sedekah kerana
hampir muflis.
o) Dato' Seri gemar menimbulkan suasana bertelagah dengan negara-negara
lain seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Amerika Syarikat. Ini
tidak sihat semasa negara dilanda masalah kerana penumpuan seharusnya
untuk menyelesaikan masalah dalaman dan bukan untuk melayani
kerenah-kerenah meraka. Tindakbalas Dto' Seri terhadap mereka
mengesahkan bahawa kepimpinan negara tidak jauh berbeza dangean mereka.
p) Dato' Seri telah gagal untuk membuktikan kepada dunia bahawa Sistem
Kehakiman Negara adalah bebas dari pengaruh kerajaan.
q) Pendekatan untuk mengubahsuai peraturan dan menghina kehadiran
kumpulan pemerhait bebas adalah kurang bijak kerana ia mengesahkan
bahawa kita sebenarnya sudah tidak bebas dan hanya menjemput lebih
banyak masalah kepada negara. Jika sistem kita adalah adil dan bebas,
kita sebenar tidak perlu takut kerana keadilan kita akan menjadikan
kehadiran mereka sia-sia sahaja. Kita tidak juga perlu takut kerana
keputusan mahkamah akan dibuat oleh hakim kita sendiri tanpa pnglibatan
atau pengaruh Badan Pemerhati Bebas ini.
r) Disamping kesilapan ini, rekod hak asasi manusia kita yang semakin
buruk mampu meletakkan Malaysia terpinggir dari dunia Antarabangsa dan
kemungkinan terkeluar dari senarai "Preferred Nation" Amerika Syarikat.
Dato' Seri mesti berusaha memperbaiki imej Malaysia yang sudah dikenali
sebagai "Regim Mahathir".
5. Rakyat tidak senang dengan kenaikan harga barangan keperluan seharian
secara mendadak dan tidak terkawal. Pendekatan untuk memulihkan ekonomi
negara sekarang ini tidak akan berkesab selagi imej buruk negara tidak
dibersihkan, Malaysia masih terasing dari dunia Antarabangsa dan isu hak
asasi manusia tidak diperbaiki.
6. Rakyat tidak meredhai pendekatan Kerajaan untuk menggunakan wang
tabungan rakyat dalam KWSP, Tabung Haji dan hasil pendapatan negara dari
Petronas sebagai dana untuk menyelamatkan syarikat-syarikat milik
perseorangan. (Jika syarikat-syarikat ini masih 'viable', tidak salah
bagi kerajaan untuk membelinya mengikut 'discounted price' atau "forced
sale value" kerana ini akan memberi keuntungan kepada kerajaan dalam
masa yang panjang dan di samping mempertahankan kepentingan rakyat yang
bekerja di dalam syarikat tersebut).
7. Rakyat mencurigai maksud sebanar rundingan antara Dato' Seri dengan
Perdana Menteri Singapura mengenai persetujuan untuk mengkaji semula
perjanjian pembekalan air dengan Republik itu pada 5hb November, 1998.
Rundinagn ini yang dibuat secara tergesa-gesa dan tidak mengikuti
protokol biasa, pada dasarnya, telah membelakangi usul dari
cawangan-cawangan UMNO dan kepentingan rakyat jelata. Ini adalah kerana
sumber air masa ini pun semakin tidak mencukupi untuk kegunaan negara.
Rakyat juga berhak untuk meragui rundingan ini kerana takut jika harta
negara seperti Tanjong Pagar, Pulau Pisang dan ruang udara turut dijual
untuk menampung kesempitan bagi mendapatkan dana-dana negara.
UMNO sudah tergugat dan dalam keadaan yang cukup kritikal akibat
perubahan pendirian rakyat berdasarkan 7 alasan yang tersebut di atas.
Imejnya yang teruk terjejas agak sukar dipulihkan dalam masa yang
singkat ini melainkan dengan satu pendekatan yang luar biasa di mana
semua pihak perlu berkorban, berkompromi, saling maaf memaafkan,
bertolak ansur, melupakan peristiwa yang telah berlaku dan melihat ke
hadapan bersama niat untuk menyelesaikan ujian yang menimpa UMNO
sekarang ini. Dato' Seri tentu lebih arif dengan perkembangan sekarang.
Oleh itu hasrat Dato' Seri untuk mengundurkan diri, seperti mana
dimaklumkan dalam bualcara Dato' Seri bersama Program Biz Asia CNN pada
10hb November 1998, adalah dialu-alukan. Jika niatnya sudah ada, kami
berpendapat bahawa perlaksanaannya perlu disegerekan karana:
a) Orang Melayu sekarang sudah berbeza. Kebanyakan dari mereka sudah
berpelajaran, maju berfikir dan tidak terlalu bergantung lagi kepada
Kerajaan.
b) Orang Melayu bukan lagi bersifat hangat-hangat tahi ayam kerana
demonstrasi-demonstrasi yang berlaku sekarang ini sudah berlanjutan
kepada bulan ketiga.
c) Orang Melayu sudah menunjukkan sifat kesedaran yang mengkagumkan
apabila menunjukkan sokongan yang luar biasa sekali kepada Dato' Seri
Anwar Ibrahim di perkarangan Masjid Negara pada 20hb September 1998.
d) Orang Melayu yang kurang senang dengan Kerajaan telah bertambah
apabila wanita-wanita yang berdemonstrasi di hadapan Istana Negara telah
dituduh sebagai pelacur upahan dan apabila ramai anak-anak muda Melayu
ditangkap dan tercedera akibat tindakan kasar oleh anggota FRU.
e) Orang Melayu sudah tidak takut kepada ugutan dan tindakan Kerajaan.
Ini dapat dilihat apabila mereka telah berani bangkit untuk menolak
secara berdepan penjelasan dari pemimpin-pemimpin UMNO.
f) Orang Melayu dalam senyap-senyap sudah memulau, mengelak dan menolak
propaganda Kerajaan melalui Media Massa dan Majlis-Majlis yang
dianjurkan. Keadaan ini amat membimbangkan kerana kemampuan untuk
membentuk pemikiran yang pro-Kerajaan semakin terhad.
UMNO hanya mempunyai 1¼ tahun untuk menangani masalah sekarang.
Pilihanraya di Sabah mungkin tidak akan berpihak kepada Barisan Nasional
sekali lagi kerana pendekatan menukar-ganti Ketua Menteri telah
mengurangkan keberkesanan peranan Kerajaan Barisan Nasional di sana.
Jika ini berlaku, keputusannya akan turut mempengaruhi rakyat di
Semenanjung Malaysia untuk mengikut jejak langkah yang sama.
Perbicaraan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim yang sedang berjalan sekarang
hingga ke pertengahan tahun hadapan tidak akan memberi kelebihan kepada
UMNO. Ingatan rakyat akan sentiasa segar kerana pihak peguam bela juga
mampu untuk terus menimbulkan suasana keraguan terhadap terhadap UMNO.
Jika kegawatan ekonomi sekarang terus meleset, maka peluang yang ada
kepada UMNO untuk pulih akan menjadi lebih tipis.
Pembubaran Parlimen sekarang bererti membunuh diri. Menangguhkan
pilihanraya ke penghujung 1999 juga turut membawa kesan yang sama. Kunci
penyelesaian berada di tangan Dato' Seri, Majlis Tertinggi dan Dato'
Seri Anwar Ibrahim untuk bermusyuwarah demi kepentingan UMNO. Masa itu
emas; UMNO perlu bertindak segera.
Perlantikan Timbalan Perdana Menteri baru jika dibuat sekarang ini tidak
akan mengubati krisis keyakinan rakyat terhadap UMNO. Penentuan oleh
para Perwakilan adalah pendekatan terbaik untuk mengelak perpecahan
dalam UMNO dari menjadi lebih tenat lagi.
Desas-desus untuk membawa Tengku Rasaleigh ke kedudukan kepimpinan yang
lebih tinggi perlu dipertimbangkan dangan bijak kerana ia mampu
mencederakan UMNO dengan lebih teruk lagi. Kita perlu juga menghormati
jasa, menghargai pengorbanan dan taat setia pemimpin kanan seperti Dato'
Seri Najib Abdul Razak dan Dato' Abdullah Ahmad Badawi kepada parti.
Mereka - mereka ini perlu diberi keutamaan untuk mengisi kekosongan yang
ada. Jika tidak, UMNO juga menempuh mautnya sendiri.
Gelombang kebangkitan rakyat perlu dihormati. Menyedari bahawa UMNO kini
berdepan dengan krisis keyakinan rakyat terhadapnya, cawangan ini telah
meluluskan beberapa ketetapan berikut untuk tindakan oleh semua pihak
yang masih sayangkan parti ini:
Demi kepentingan, kebaikan, kesejahteraan, perpaduan dan masa depan
Orang Melayu, kesinambungan kuasa UMNO untuk memerintah negara,
pemulihan kegawatan ekonomi negara dengan segera dan keamanan negara;
1. Bahawasanya, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad dengan hormatnya adalah
diminta membri pertimbangan yang serious, untuk menawarkan diri berundur
dengan segera.
2. Bahawasanya, Majlis Tertinggi UMNO dengan hormatnya juga disaran
untuk mengadakan Mesyuarat Tergempar untuk membincang dan meluluskan
ususl-ususl berikut:
a) Menerima perletakan jawatan Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai
Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia.
b) Menentukan tarikh Persidangan Perwakilan Pusat Tergempar bagi
meluluskan keputusan Majlis Tertinggi yang telah menerima perletakan
jawatan Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagai Presiden UMNO dan
Perdana Menter Malaysia.
c) Membatalkan keputusan yang dibuat oleh Majlis Tertinggi pada 3hb.
September, 1998; mengenai perlucutan keahlian dan jaawatan Dato' Seri
Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Presiden UMNO.
d) Meluluskan ketetapan bahawa kes-kes pertuduhan terhadap Dato' Seri
Anwar Ibrahim adalah bermotif politik dan dengan itu kes-kes ini layak
digugurkan tanpa perbicaraan yang lebih lanjut.
Kami, Ahli Jawatankuasa UMNO Cawangan Kampong Uma, Bahagian Permatang
Pauh, bahawasanya sedar dan mengakui bahawa keputusan yang telah diambil
ini adalah bertentangan dengan Majlis Tertinggi.
Kami berhak untuk bersimpati dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim tanpa perlu
menanti keputusan perbicaraan kes-kesnya. Pendekatan ini adalah sama
sebagaimana kepimpinan UMNO bertindak untuk menghukum Dato' Seri Anwar
Ibrahim sebagai bersalah sebelum dibicarakan.
Keputusan ini bukan mewakili UMNO Bahagian Permatang Pauh atau mana-mana
cawangan di bawahnya. Ia telah dibuat secara ikhlas, atas dasar
kesedaran untuk mempertahankan kepentingan UMNO secara amnya serta
maruah UMNO Bahagian Permatang secara khususnya dan dengan semangat
untuk mengembalikan keadilan kepada rakyat dan negara.
Oleh sebab asas perjuangan politik di cawangan ini adalah jelas, kukuh,
tidak terikut-ikut dan tidak berkepentingan peribadi semata-mata, kami
tetap yakin dengan pendirian yang dibuat ini tanpa takut atau merasa
ragu ia dianggap sebagai pendekatan yang kurang bijak, terlalu taksub
kepada kepimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim atau bertujuan menunjuk jaguh
dalam arena politik semasa.
UMNO kini sudah tidak mempunyai pilihan yang lebih baik. Ketetapan di
atas adalah bersesuaian untuk menyelamatkan kepentingan UMNO, mengelak
perpecahan Orang Melayu dan ketidakstabilan suasana politik antara kaum
dari berulang lagi. Ia juga bermatlamat untuk memperbaiki imej negara
yang teruk terjejas serta mengembalikan keyakinan dana-dana asing agar
melabur semula dalam negara demi untuk memulihkan ekonomi negara dengan
seberapa segera.
Jika dengan ketetapan ini, Majlis Tertinggi membuat keputusan untuk
memecat kami serta menggantung cawangan ini, pihak kami tetap akan
menerima hukuman tersebut dengan baik tanpa hasrat untuk membuat rayuan
kembali. Kami tidak akan berasa kesal dengan tindakan ini, malah kami
tetap bersyukur kerana memiliki sedikit keberanian, keyakinan, komitmen
dan tanggungjawab untuk memberi pandangan dan teguran yang wajar kepada
Dato' Seri demi kepentingan UMNO, Orang Melayu, rakyat jelata dan juga
negara.
Harapan kami semoga teguran ini mampu menjadi penawar bagi menyedarkan
semua pihak mengenai asas perjuangan UMNO semenjak merdeka. Semoga
sejarah pengorbanan YAM Tengku Abdul Rahman Putera Al-Haj dan Tun
Hussein Onn kepada negara boleh dijadikan iktibar untuk menyelamatkan
kepentingan UMNO.
|