Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Can Maha..thir make the spirit of reformasi fade away..?


sedutan daripada
Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa - Bab 8
oleh MOHD SAYUTI OMAR

APAPUN tanggapan buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM?"  telah
mencatat rekod sejarah tersendiri. Walaupun usaha untuk menjatuh dan
menyingkirkan Anwar dilakukan dengan berbagai cara oleh musuh-musuhnya hampir
10 tahun lalu, tetapi buku "50 Dalil" menjadi 'momentum' kejatuhan Anwar pada
2 September lepas.

Tentu penulisnya, Abdul Khalid @ Khalid Jafri Abu Bakar Shah, merasa bangga
dan gembira kerana bukunya itu bukan sahaja menggemparkan Perhimpunan Agung
UMNO 18 Julai lalu, tetapi menggelombangkan seluruh negara dan mungkin juga
dunia. Mungkin media massa 'international' akan mengaitkan rentetan kejatuhan
Anwar ialah kerana buku berkenaan.

Apa yang hebatnya, itulah buku politik Khalid yang pertama diterbitkan, dan
ianya terus mencipta sejarah.

Kemunculan Khalid mengalahkan para penulis yang sudah menulis berpuluh buah
buku sebelum ini.

Sekurang-kurangnya bagi saya yang mengenali Khalid yang pernah menjadi boss
saya, ada dua sejarah yang telah dicipta oleh Khalid setakat ini. Pertama,
beliau juga wartawan yang menjadi penerbit akhbar Tabloid Mingguan Perdana dan
kedua, penulis buku politik pertama yang bukunya disorot dan dipergunakan
seoptimanya oleh musuh-musuh tokoh yang diattack oleh buku itu (Anwar
Ibrahim), termasuk oleh Perdana Menteri yang terkenal sebagai seorang moralis.

Kenapa buku itu dikira hebat kerana sebelum ini sudah ada buku yang mengkritik
Anwar tetapi ianya tidak dilihat dan ditangai serta digeruni seperti buku itu.
Kalau hendak dikira, saya sendiri merupakan penulis buku politik pertama yang
mengkritik Anwar pada tahun 1990. Selain itu Yahaya Ismail juga turut
membelasah Anwar kemudian diikuti oleh Ahmad Lutfi Othman secara berterusan.
Tetapi buku-buku kami tidak diperkatakan sehebat buku Khalid. Buku saya hanya
dibahas di dalam Perhimpunan Agung, dan tidakpun sampai dibawa ke mahkamah.

Apakah istimewanya buku Khalid itu? Sebenarnya dari segi isi dan kandungan
tidak banyak beza dengan buku-buku politik picisan lain. Dari segi akademik
buku itu tidak layak berada di atas mana-mana rak buku. Kenapa ia menjadi
hebat ialah kerana ia digunakan oleh golongan tertentu untuk kepentingan
politik mereka. Dari 50 dalil yang dikemukakan satu pun tidak mempunyai perawi
yang sah.

Banyak perkara aneh yang berlaku ke atas buku itu. Walaupun ia ditahan oleh
mahkamah daripada diedar dan diterbitkan, tetapi larangan itu tidak
dipedulikan. Paling menghairankan, Jabatan Agama Islam sendiri turut sama
mengedarkan buku tersebut yang difotostatkan dan dikirimkan kepada imam-imam
masjid. Semua imam masjid di dalam Wilayah Persekutuan menerima salinan
fotostat buku berkenaan. Dan paling memeranjatkan lebai-lebai di kampung juga
dihidangkan dengan buku tersebut.

Saya bukan dengki kerana buku itu menjadi best-seller. Tetapi apa yang
memusingkan kepala ialah kenapa buku itu turut sama disebarkan kepada imam
masjid. Bagi mereka yang sempat membaca buku itu, ia bukan sahaja tidak
sesuai, malah amat jijik untuk dibawa masuk ke dalam rumah Allah. Jelas
apabila buku itu turut sama disebarkan kepada imam, mereka yang bertanggung
jawab menerbit dan mengedarkan buku berkenaan sanggup melakukan apa sahaja
asalkan maksud mereka tercapai. Mungkin orang-orang inilah juga tergamak
melemparkan perut babi ke dalam masjid seperti yang berlaku di Kedah tidak
lama dahulu.

Adapun kenapa buku itu menjadi panas dan perhatian umum ialah kerana kesilapan
di pihak Anwar sendiri apabila beliau memohon perintah mahkamah untuk menahan
buku berkenaan dari diedar. Tindakan itu dikira silap besar, kerana injunksi
itulah menyebabkan orang ramai jadi lebih tertarik untuk membaca buku
berkenaan. Sekiranya injunksi itu tidak dilakukan, mungkin ianya mati begitu
sahaja, seperti puluhan buku politik lain.

Dalam hal ini para penasihat Anwar kurang bijak. Niat baik mereka hendak
melindungi Anwar daripada fitnah tidak menguntungkan Anwar. Awar tentu tahu,
penyebaran buku itu atas alasan politik bertujuan hendak menjatuhkannya. Kalau
sudah tahu ianya dibuat atas maksud politik, beliau tidak sepatutnya mengambil
tindakan undang-undang. Undang-undang tidak boleh menyelesaikan apa jua
masalah politik di negara ini. Politik hendaklah dilayan secara politik yang
penuh professional. Seharusnya Anwar berhati-hati dalam keadaan sekarang, di
mana ketika kejernihan dan kesucian jurisdiction di negara ini dipertikaikan
oleh banyak pihak.

Kita yakin kalau Anwar tidak tergesa-gesa mengambilkan tindakan mahkamah,
kehangatan buku itu akan hanyut begitu sahaja. Minat orang untuk
mendapatkannya juga akan mati dengan sendirinya. Apa lagi keseluruhan isi buku
berkenaan merupakan surat layang yang sebelum ini sudahpun tersebar luas.
Sebahagian besar politician sudah maklum mengenainya, dan pihak polis sendiri
pernah menutup siasatan ke atas buku berkenaan.

Apapun buku itu sudah menjadi sejarah - sebagai alat yang digunakan oleh para
musuh Anwar untuk menjatuhkannya. Buku itu juga telah menjadi asas penyiasatan
polis terhadap beberapa pertuduhan ke atas Anwar. Rasional yang digunakan oleh
polis terhadap buku itu sungguh meragu dan mengelirukan. Kerana apa yang
ditekankan ialah mengenai surat layang, yang sebelum ini sudah ditutup dan
tidak perlu dibangkitkan lagi, tetapi ia tiba-tiba dibangkit kembali.

Bukan itu sahaja, buku berkenaan juga bukan setakat mencatat sejarah tetapi
menimbulkan keganjilan kerana diberi keistimewaan oleh kerajaan sendiri?
Itulah buku yang seumpamanya yang dibiarkan oleh pihak polis tanpa apa-apa
tindakan. Walaupun ia mengandungi fitnah yang amat berat, namun pihak polis
membiarkannya. Pun begitu juga dengan Dr Mahathir yang tiba-tiba menjadi baik
dengan Khalid. Dulu Dr Mahathir pernah menempeleh penulis politik sebagi
pelacur dan hidup di atas penderitaan orang lain. Tapi kenapa bila Khalid jadi
popular dengan kehinaan yang ditanggung Anwar beliau diam membisu. Bertuahlah
Khalid Jafri. Disebabkan keistimewaan itulah yang menguatkan lagi kepercayaan
umum bahawa memang wujud konspirasi untuk menjatuhkan Anwar seperti mana yang
didakwa Anwar.

Saya sendiri merasa hairan kenapa buku Khalid boleh dilepaskan begitu sahaja.
Kalau hendak dibandingkan, buku beliau itu lebih teruk daripada buku-buku
saya. Tetapi yang jelasnya buku saya dilarang pengedarannya dan ada yang
diwartakan sebagai haram. Apakah pihak berkuasa bersikap double standard dalam
perkara ini?

Buku itu juga membawa erti yang cukup besar kepada Datuk Nallakarupan dan
keluarganya. Gara-gara buku itulah rumah Datuk Nalla digeledah dan akhirnya
polis menemui 125 butir peluru hidup. Akhirnya Datuk Nalla didakwa di mahkamah
mengikut Seksyen 57(1) - (6) Akta Keselamatan Dalam Negeri yang boleh dihukum
gantung mandatori.

Betapalah Khalid telah menyebabkan terheretnya seorang insan ke mahkamah dan
terhinanya seorang pemimpin di khalayak dunia. Dengan kejayaan itu Khalid
Jafri layak menerima hadiah nobel di akhir abad ini dan adalah sesuai kalau
hadiah itu disampaikan oleh Dr Mahathir dalam satu majlis yang gilang
gemilang!

Khalid boleh berbangga dengan kejayaannya itu. Tetapi beliau harus ingat jika
apa yang dibangkitkan itu tidak benar, menjadi pensubahat dengan pemfitnah,
beliau akan menerima hukumannya. Mungkin di Malaysia hari ini beliau terlepas
dan selamat kerana ada orang membantunya, tetapi di hadapan Rabbul Jalil
beliau akan berhadapan dengan dirinya sendiri. Pada masa itu tidak ada manusia
agung dan kebal mana boleh membantunya lagi.

Apa yang didakwa Khalid sudah terjawab bahawa itu fitnah semata-mata. Anak
tidak berdosa bernama Afifa yang diseret dalam fitnah itu sah bukan anak
Anwar. Ujian DNA yang dilakukan kedua ibubapanya, Azmin dan Shamsidar
menunjukkan Afifa anak kedua pasangan tersebut. Jelas dalam hal ini tuduhan
yang mengatakan Afifa adalah anak haram Anwar dengan Shamsidar adalah fitnah
semata-mata. Semua yang terlibat dengan fitnah itu harus bertaubat dan meminta
maaf kepada Anwar, Shamsidar, Afifa dan Azmin. Mengikut kaedah Islam, penabur
fitnah harus dihukum.

Sesuai dengan hebatnya buku 50 Dalil, adalah elok kalau kita berkenalan dengan
penulisnya. Ramai yang tidak mengenali Khalid Jafri. Kebetulan saya adalah
kawannya dan pernah bekerja di bawahnya sewaktu menjadi wartawan Mingguan
Perdana di tahun 1983. Jadi sedikit sebanyak saya mengenali dan tahu latar
belakangnya.

Kira-kira sebulan setengah sebelum menjelangnya Perhimpunan Agung UMNO, saya
ada bercakap menerusi telefon dengan Khalid mengenai aktiviti semasanya. Dalam
percakapan itu dia menceritakan yang beliau sedang menulis satu buku
menghentam Anwar. Buku itu berjudul "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh
Menjadi Perdana Menteri?". Mengikut kawan sebidang saya Ahmad Lutfi Othman,
beberapa hari sebelum itu, cover buku itu sudahpun diiklankan di dalam surat
khabar tabloid Tempo kepunyaan Tan Sri Rahim Tambhy Chik yang berpejabat di
Taman Kosas, Ampang, Selangor.

Kebetulan pada masa itu saya sedang menyipakan buku; Siapa Pencabar Anwar.
Secara berseloroh saya meminta Khalid terbitkan buku itu dan sama-sama jual di
Perhimpunan Agung UMNO kelak.

Waktu itu beliau hanya ada lima dalil sahaja dan mencari dalil-dalil
seterusnya. Maknanya beliau baru di peringkat menyiapkan draf untuk buku
berkenaan pada masa bercakap dengan saya.

Sebenarnya kata Khalid, dia mereka-reka segala dalil-dalil itu untuk
melengkapkan penulisannya sebagai sebuah buku. Di sini bolehlah dimengertikan
bahawa Khalid sendiri tidak yakin dengan dalil-dalil yang dikemukakan itu.
Barangkali ketika mencari dalil-dalil inilah beliau berjumpa dengan orang yang
memberi idea agar menjadikan surat layang yang kononnya ditulis oleh Ummi
Afilda itu sebagai dalil-dalil seterusnya yang lebih mantap dan merangsangkan
pembaca.

Manakala beliau bertandang ke rumah saya pada 8 Julai, selama kira-kira 2 jam
mulai 11:55 hingga 2:30, selepas seminggu Perhimpunan Agung UMNO, beliau
menceritakan bagaimana dia memproses buku berkenaan.

Khalid mengakui dia tidak mempunyai wang dan kemudahan untuk menerbitkan buku
berkenaan. Seminggu menjelang Perhimpunan Agung UMNO beliau masih lagi
tercari-cari orang yang boleh menjadi sponsor buku itu. Dalam keadaan itulah
beliau berjumpa dengan Khairuddin Hassan. Menurut Khalid, Khairuddin Hassanlah
yang menguruskan penerbitan buku berkenaan termasuk mengedarkannya. Buku itu
dicetak oleh syarikat percetakan milik Bumiputera yang beralamat di Shah Alam,
Selangor. Sesuatu yang mendukacitakan juga kenapa pencetak yang dikatakan
penyokong sebuah parti Islam, tergamak mencetak buku berkenaan yang isinya
sungguh meloyakan. Kalaupun kerja percetakan itu disebabkan ekonomi merudum,
cetaklah benda-benda lain. Ianya dicetak sebanyak  
15,000 naskhah, tetapi cuma 2,000 sahaja yang sempat diedarkan manakala
bakinya dimusnahkan pihak polis.

Buku itu siap dicetak pada 16 Julai 1998 dan Khairuddin telah menyerahkan
senaskah kepada Datuk Aziz Shamsuddin, S/U Politik Dr Mahathir yang
kemudiannya meyerahkan kepada PM. Menurut Khalid, apabila PM baca buku itu
beliau memberitahu Aziz agar disebarkan.

Saya ada juga menimbulkan kepada Khalid dalam perjumpaan itu apa buku itu
boleh dipertanggungjawabkan. Katanya, orang-orang yang terlibat di dalam buku
itu bersedia untuk tampil ke hadapan menjadi saksi. Aziz dan Ummi Afilda,
dakwa Khalid ada membuat surat sumpah menyatakan kesediaan untuk hadir menjadi
saksi di mahkamah. Khalid juga ada membayangkan kemungkinan tindakan ke
atasnya tidak akan diambil kerana penyebaran buku itu direstui seseorang.
Mengenai berapa banyak upah yang beliau terima, Khalid menyatakan tidak ada
sesiapa mengupahnya, cuma Khairuddin ada memberi sedikit wang untuk beliau
bergerak.

Sepanjang Perhimpunan Agung UMNO di mana soal buku itu hangat diperkatakan,
Khalid menceritakan yang beliau lari melarikan diri ke Terengganu, balik ke
kampung isterinya di Dungun. Orang-orang Anwar telah 'bertindak' ala mafia ke
atasnya, mengganggu rumah tangganya.  Manakala Ummi Afilda pula ketika itu
dihantar bercuti di London dan segala perbelanjaannya ditanggung oleh pihak
tertentu.

Khalid Jafri sebenarnya bukan seorang aktivis parti. Dia lebih dikenali
sebagai seorang wartawan. Bidang yang menjadi profesyennya ialah sukan. Beliau
pernah bekerja di Utusan Melayu. Di Utusan beliau mencipta sejarah tersendiri
apabila bertumbuk dengan Pegawai Perhubungan Utusan, FD Mansor kerana soal
tuntutan elaun. Sampai patah gigi kawan itu dibahamnya. Semasa di Utusan
beliau terkenal sebagai kaki gaduh.

Dan banyak juga skandal yang dilakukan di Utusan manakala affairnya dengan
seorang wartawan kanan wanita bukan menjadi rahsia lagi. Teman-teman yang
pernah bekerja di Utusan seperti Kamal Amir, Abu Hassan Yusuf, Fauziah Raof,
Omar Manan dan Ahmad Alimoon cukup tahu kisah jelek Khalid ini.

Selepas dipecat dari Utusan, Khalid mula hidup baru dengan menjalankan
berbagai aktiviti, termasuk berniaga tayar di Johor Bahru. Perniagaan itu
mengalami keruntuhan dan akhirnya membawa beliau ke alam bankrap. Selepas itu
beliau kembali menerjunkan diri dalam lapangan penerbitan dengan menerbitkan
suratkhabar Mingguan Perdana.

Khalid memang terkenal sebagai seorang yang kaya dengan idea, kreatif serta
berpandangan jauh dalam dunia penerbbitan. Mingguan Perdana, surat khabar yang
mendedahkan skandal seks, menyiarkan cerita karut marut dan misteri, mendapat
sambutan luar biasa di kalangan masyarakat. Kehidupan Khalid ketika ini sudah
mula berubah. Wang juga sudah banyak.

Kemewahan, kesenangan yang Allah berikan kepadanya menyebabkan beliau lupa
daratan. Beliau berbelanja wangnya dengan semewah yang boleh. Satu hal yang
nyata, mana-mana pekerja wanita yang cun dan cantik, akan dinaikkan gaji
berlipat ganda. Bayaran yang diberikan tidak setimpal dengan kelulusan
seseorang. Di satu segi cara Khalid itu bagus kerana ia menaikkan imej dan
martabat wartawan. Tetapi apabila pemberian itu ada udang di sebalik batu,
maka ramai yang tidak senang. Khalid juga berkahwin dengan dua orang stafnya,
termasuk isterinya sekarang.

Moral Khalid boleh tahan juga. Semua pekerja Mingguan Perdana tahu akan latar
belakang Khalid dan juga 'fe-el' perangainya. Khalid memang pantang melihat
wanita dahi licin akan disapunya, tanpa mempedulikan isteri orang atau anak
dara. Satu kejadian aib di pejabat Mingguan Perdana di Jalan Genting Kelang di
antara beliau dengan seorang artis menjadi sebutan umum. Hancurnya empayar
Mingguan Perdana adalah disebabkan kerakusan dan kejelekan perangai Khalid
serta maksiat yang dilakukannya.

Saya tidak bermaksud hendak menukilkan keburukan 'sahabat' saya itu. Jika
dikira keberanian beliau mendedahkan surat layang Anwar, sepatutnya semua
kisahnya ditelanjangkan di sini baru ada keadilan, tetapi sebagai orang Islam
kita tidak tergamak dan takutkan Allah.

Kegahan Mingguan Perdana hanya dapat bertahan beberapa tahun sahaja. Selepas
itu ia ranap dan ini menyebabkan kehidupan Khalid menjadi fakir lagi sekali.
Rumah tangganya terumbang-ambing. Ini amat terasa apabila segala wang
simpanannya habis. Kehancuran Mingguan Perdana membawa petaka buruk kepada
seluruh karyawannya. Segala janji yang dilafazkan tidak ditunaikan. Kekayaan
menjadikan beliau hilang pedoman.

Selepas bertapa di Terengganu beberapa tahun, akhirnya Khalid muncul sekali
lagi dalam arena penerbitan dan media massa. Untuk menjalankan perniagaannya
beliau telah meminta bantuan Asaari Muhammad, bekas pemimpin nombor satu Arqam
itu. Sayalah orang yang menjadi 'mediator' untuk memohon bantuan daripada
Asaari. Beliau minta RM 100,000.00 dari Asaari. Tetapi disebabkan hal-hal
tertentu, khasnya mengenai moral Khalid yang teruk, wang itu tidak jadi
disalurkan. Khalid benar-benar kecewa dengan tindakan Asaari itu dan telah
menuduh bahawa saya telah mengambil wang berkenaan.

Selepas mengalami kegagalan, Khalid mengubah cara hidupnya, dari ala cowbow
kepada hidup secara beriman. Beliau membaca buku-buku agama dan saya sendiri
meminjamkan beberapa buah buku yang sampai sekarang tidak dipulangkan.
Perubahan ini telah menarik perhatian saya untuk membantunya mendapatkan
RM100,000.00 daripada Asaari.

Namun itu hanya sandiwara sahaja. Dalam berpura-pura baik beliau terus dengan
perangainya. Sekali lagi ramai sahabat yang simpati tertipu dengannya!

Walaupun beliau bukan aktivis politik, tetapi Khalid mempunyai god-fathernya
sendiri. Semasa Tan Sri Musa Hitam menjadi Timbalan Perdana Menteri di tahun
1982, beliau merupakan 'hard-core' Musa. Apabila Musa kalah, beliau
terumbang-ambing mencari pengkalan penghidupan baru. Untuk seketika beliau
berdagu di bawah Tan Sri Muhammad Hj Muhhamd Taib. Bekas MB Selangor itu
katanya telah memberi peruntukan yang bukan sedikit untuk Khalid memulakan
semula perniagaan. Hasil wang itu beliau membuka pejabat yang menerbitkan
beberapa majalah hiburan di Seksyen 1 Wangsa Maju. Khabarnya rumai kedainya
yang disewanya itu ditinggalkan begitu sahaja tanpa menjelaskan sewaan.

Perniagaan itu juga tidak menjadi. Ekoran itu beliau berhijrah ke Langkawi. Di
Pulau Lagenda itu beliau berlutut pula kepada Sanusi Junid. Atas ihsan Sanusi,
maka tertubuhlah Syarikat Pulau Lagenda yang menerbitkan Buletin Langkawi dan
buku '50 Dalil'. Buletin ini digunakan sepenuhnya semasa pertandingan di
antara Sanusi dengan Datuk Bakar Taib dalam pemilihan UMNO bahagian 1996 yang
menyaksikan Sanusi Junid tersungkur.

Nasib Khalid juga tidak begitu menyinar di Pulau Lagenda itu. Buletin yang
diterbitkan tidak laku Sanusi dikatakan hanya sanggup membiayai kos penerbitan
untuk satu isu sahaja. Selepas gagal di Langkawi beliau akhirnya kembali ke
Kuala Lumpur bekerja dengan Rahim Tamby Chik dengan menjadi Editor Tempo yang
kemudian terkubur kerana tidak laku. Mungkin kerana terdesak selepas Tempo
ditutup, Khalid terpaksa memikirkan bagaiman untuk mendapatkan wang segera.
Satu-satunya cara ialah dengan menulis buku menghentam Anwar kerana isu itu
sudah dijangka akan mendapat perhatian umum.

Begitulah liku-liku hidup Khalid Jafri. Ianya penuh variasi. Dari seorang
jutawan akhirnya menjadi seorang kuli yang bangkrap dan sanggup menjadi si
Kitol dan Patih Karma Wijaya moden. Jika kita mengenalinya, maka tidak
hairanlah kalau Khalid bersedia bersubahat dengan mereka yang berniat jahat ke
atas pemimpin negara ini.

Sebagai hamba Allah yang saya kenali, saya memohon kepada Khalid kembalilah ke
jalan kebenaran. Bertaubatlah kepada Allah sebelum matahari naik di sebelah
timur. Sedarlah fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan.

Pengirim: Yusri-Mohd.Ali@sealedair.com



KEMBALI KE ASAL!