DARI KAMAR KEKUASAAN KE RUANG KURUNGAN Pada saat ini saya dikurung di penjara Sungai Buloh selepas saya dibebaskan daripada cengkaman konco-konco Mahathir di Bukit Aman. Disebabkan saya telah membuat permohonan habeas corpus, maka kehendak Mahathir ialah supaya saya terus-menerus ditahan tanpa dibicarakan, dan dia mahukan supaya walau dengan apa cara sekalipun, permohonan saya itu mesti digagalkan. Jikalau permohonan saya itu didengar mengikut cara-cara yang betul, ia akan mendedahkan peranan yang dimainkan oleh Mahathir di dalam konspirasi terhadap saya. Itulah sebabnya dia amat takut, dan dia tidak berani berdepan dengan saya di dalam mahkamah yang terbuka, ataupun di mana-mana sahaja. Mahathir mahukan supaya saya dikurung sekurang-kurangnya selama empat tahun. Rancangan asalnya ialah supaya saya dikurung terus-menerus di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang zalim itu, tetapi tekanan yang diterimanya terlalu kuat. Permohonan habeas corpus saya, kutukan masyarakat antarabangsa apabila saya ditahan tanpa dibicarakan, ditambah lagi dengan sokongan rakyat yang luar biasa besarnya kepada diri saya, semuanya itu berjaya melemahkan tangan si kuku besi itu. Meskipun demikian, dia tetap tidak mahu sebarang risiko. Maka itulah sebabnya, saya tidak dibenarkan diikat jamin dan sampai sekarang saya masih terus dikurung. Suasana tenang di dalam penjara ini sangatlah jauh bezanya dengan keadaan lokap polis di Bukit Aman, ataupun, lebih buruk lagi, dibandingkan dengan 'penjara tunggal' di bawah pengawasan Special Branch. Sebelum ini saya tidak pernah tahu di mana sebenarnya saya berada, disebabkan saya sentiasa dipindah-pindahkan dengan mata saya diikat dan tangan saya digari. Alangkah leganya saya rasa! Sekurang-kurangnya sekarang saya boleh nampak langit yang biru dan pokok-pokok kelapa sawit yang hijau. Saya juga berpeluang membaca buku dengan sepuas-puasnya, dan saya dapat berfikir dengan tenang tanpa lagi diganggu dengan tidak putus-putusnya macam dulu. Berkat aktiviti bersembahyang, banyak membaca dan banyak bersenam, dapatlah saya mengelakkan perasaan lesu dalam penjara. Sikap ramah mesra dan dorongan yang saya terima daripada kakitangan penjara dan rakan-rakan banduan yang lain membuat saya berasa lebih yakin dan bersemangat. Namun, penjara adalah penjara, ia bukan tempat yang penuh selesa. Pihak berkuasa penjara sendiri hairan oleh kenyataan palsu Mahathir yang mengatakan di sini saya dilayan sebagai 'orang penting'. Meskipun saya mengakui bahawa secara amnya anggota polis memberikan simpati mereka kepada saya, dan mereka juga tidak menyembunyikan kebencian mereka kepada Mahathir serta kebencian mereka kepada pegawai-pegawai tertinggi polis, sesungguhnya saya teruk diseksa selama tempoh tiga minggu polis menahan saya. Saya dimalukan, dihina, diazab, ditelanjangi, saya tidak dibenarkan membaca dan saya cuma diberi makanan yang dibungkus dengan suratkhabar buruk ataupun dalam kertas plastik. Azab yang saya tanggung bermula kira-kira sepuluh minit selepas saya dimasukkan ke dalam lokap Bukit Aman, dengan mata saya diikat dan tangan saya digari. Saya ditumbuk berkali-kali dengan amat kuatnya pada sebelah kanan kepala saya, pada bahagian kiri dahi saya, pada mata kiri saya dan pada leher saya. Darah meleleh keluar dari hidung dan mulut saya. Memandangkan tumbukan-tumbukan kuat itu ditumpukan pada kepala dan leher saya, mampak sangatlah bahawa tujuannya ialah supaya saya mengalami kecederaan dalaman yang takkan boleh disembuhkan lagi. Berkali-kali saya diberitahu oleh berbelas-belas pegawai polis dan anggota bawahan, bahawasanya sudah tentu pihak berkuasa tertinggi dalam polis terlibat, dan sudah tentu ia direstui oleh menteri berkaitan, kalau tidak tindakan seperti itu tidak mungkin dilakukan. Isu ini sekarang sedang disiasat dan, sebagaimana yang biasa terjadi, janji-janji diberikan kepada orang awam dan masyarakat antarabangsa bahawa siasatan itu akan dijalankan dengan adil. Saya amat meragui hasil siasatan itu. Saya tahu bahawa anggota-anggota polis yang bertugas mengawasi saya diarahkan supaya tidak menyimpan sebarang rekod berkenaan orang-orang ternama yang datang ke lokap saya. Lihatlah sahaja bagaimana pada satu ketika, macam biasa, apabila Mahathir tidak dapat mengawal emosinya lagi, dia mengatakan kecederaan yang terjadi kepada saya adalah buatan saya sendiri. Saya menghormati kesungguhan pasukan polis yang menjalankan siasatan itu, tetapi mereka itu juga sedar akan adanya niat jahat dan sikap berpihak baik di kalangan ketua-ketua mereka mahupun pada pihak pejabat Peguam Negara. Kedua-duanya adalah di bawah kekuasaan Mahathir. Setiap kali saya terkenang peristiwa itu, ia membuat tengkuk saya berasa sejuk. Pertama, saya cuma sedar daripada pengsan keesokan paginya. Selepas kejadian itu, saya berkali-kali bertanya kepada anggota-anggota polis yang bertugas apakah ada orang-orang lain yang masuk ke dalam lokap saya dan melakukan apa-apa kepada diri saya. Kedua, mengapakah selama lima hari saya tidak diberi rawatan perubatan? Apabila saya disuruh membuka semua pakaian saya, saya beria-ia menolak. Saya berasa amat malu, tetapi mereka paksa juga saya kerana kata mereka, mereka mesti menjalankan tugas mereka. Saya perasan anggota-anggota polis itu asyik menengok dan memeriksa bahagian kemaluan saya dan punggung saya. Hati saya mengesyaki ia tentu ada kaitan dengan tuduhan palsu yang ditimpakan ke atas saya, di mana gambaran bahagian-bahagian sulit tubuh saya boleh diberikan kepada pihak-pihak tertentu untuk mereka gunakan sebagai dalil tambahan. .........bersambung. DARI KAMAR KEKUASAAN KE RUANG KURUNGAN SIRI 2 .......disambung dari siri 1 Sepanjang-panjang tiga minggu saya ditahan di bawah ISA, masa yang betul-betul dihabiskan dengan soal siasat serius tidak pun sampai dua jam. Ada soalan berkenaan Reformasi dan ada teguran yang mengatakan saya sepatutnya bersabar sedikit sahaja lagi sehingga saya menjadi perdanamenteri sebelum saya bawa perubahan. Saya bincangkan soal perbuatan Mahathir melakukan rasuah, menyalah gunakan kuasa dan bagaimana dia dan rakan-rakannya mengumpulkan harta untuk suku sakat mereka. Saya beritahu mereka, tengoklah sendiri bagaimana Peguam Negara Mokhtar Abdullah begitu bersungguh-sungguh cuba membuktikan rasuah teknikal ke atas diri saya. Nampak sangat dia berbuat demikian atas arahan Mahathir dan bagaimana dia sengaja memejamkan mata kepada kenyataan bahawa Mahathir dan suku-sakatnya melarikan wang berbilion-bilon. Mokhtar jangan cuba hendak mengaku dia tidak tahu perkara ini; dia pernah beberapa kali berbincang dengan saya berkenaan jenayah ini di mana Mahathir, Daim Zainuddin, Rahim Tamby Chik dan menteri-menteri lain terlibat sama. Biasanya mereka yang menyoal siasat saya memberhentikan perbincangan serius itu apabila mereka minta pisang goreng ataupun mee, dan selepas itu kami pun berbual-bual dengan mesra. Kemudian daripada itu, 14 orang pegawai daripada Bahagian Siasatan Jenayah (CID) bergilir-gilir mendapatkan kenyataan daripada saya di bawah seksyen 112 dan 113 Kanun Tatacara Jenayah berkenaan kemungkinan pelbagai kesalahan, termasuklah rasuah, liwat dan kesalahan seks dengan enam orang perempuan. Kes-kes yang melibatkan perempuan itu kini diketepikan buat sementara waktu disebabkan dari segi politik adalah lebih mudah apabila tuduhan ditumpukan pada kesalahan liwat sahaja. Pada waktu yang sama ada percubaan untuk mengenakan tuduhan ke atas isteri saya Azizah apabila dia bercakap tentang rasa bimbangnya terhadap keselamatan saya dalam tahanan polis dan kemungkinan saya disuntik dengan virus HIV. Saya beritahu mereka bahawa selepas terjadinya seranganala-Gestapo oleh polis dulu, saya tidak menolak kemungkinan tersebut. Saya tidak dapat menyembunyi perasaan benci saya apabila mendengar kata-kata dusta seperti itu; saya bertanya kepada seorang pegawai kanan CID apa lagi tuduhan-tuduhan jahat lain yang hendak mereka kenakan ke atas diri saya. Mengkhianati negara? Menjual rahsia negara? Membunuh? Pegawai-pegawai CID itu terus-terusan mengganggu saya kerana mereka hendak mendapatkan contoh rambut saya, termasuk bulu kemaluan saya, serta memeriksa bahagian-bahagian sulit saya. Saya katakan kepada mereka supaya berunding dulu dengan peguam-peguam saya, di mana peguam-peguam saya kemudiannya menasihati saya supaya jangan setuju dengan kehendak mereka. Walau bagaimanapun, dua orang doktor forensik dari Hospital Besar dapat mengambil contoh darah saya untuk ujian HIV. Saya tidak ada pilihan kecuali mengalah apabila mereka membacakan Seksyen 7 dalam Akta Dadah berbahaya. Kemudiannya baru saya diberitahu oleh penasihat undang-undang saya bahawa sepatutnya saya jangan mengalah kerana saya bukan dituduh di bawah akta tersebut. Selepas menjalani azab selama tiga minggu itu, sehari sebelum saya dibebaskan daripada tahanan ISA dan sebelum saya dibawa ke penjara, saya dijemput makan tengah hari yang amat mewah di tempat tertutup. Saya tidak sangka bahawa ia adalah suatu dalih polis untuk membohongi rakyat dan seluruh dunia kononnya selama saya di dalam tahanan polis saya diberi layanan yang baik. Alangkah murahnya cara yang mereka gunakan untuk menggula-gulakan hati tuan-tuan politik mereka! Tidak dapat tidak saya tentulah rindukan Azizah dan kaum keluarga saya, terutama sekali ibu saya yang sakit-sakit. Pada saat ini pula, Azizah dan anak saya Nurul Izzah, diancam akan ditahan. Undang-undang ISA digunakan untuk tujuan menjaga Mahathir dan suku-sakatnya. Kritikan dan bantahan rakyat terhadap rasuah yang berleluasa serta bantahan terhadap salah guna kuasa dicap sebagai anti-nasional dan ancaman kepada keselamatan negara. Tidak ada orang yang boleh lepas daripada ancaman, soal-siasat ataupun tangkapan, baik pemimpin-pemimpin UMNO, pembangkang, NGO, aktivis Islam, para pembantu peribadi saya, dan terutama sekali para pendukung Reformasi. Penyokong Reformasi di seluruh negara sedang diburu. Ini adalah tindakan gelabah seorang diktator terbenci yang hendak terus berkuasa. Dia bukannya cuba mendapatkan sokongan sah daripada rakyat, sebaliknya dia menanamkan budaya takut di kalangan rakyat. Rakyat kini marah kerana pelbagai penindasan digunakan untuk menamatkan perbezaan pendapat. Ada usaha yang sengaja dibuat dengan tujuan memprovokasi mereka yang menunjuk perasaan dengan aman, yang digambarkan sebagai golongan perusuh yang mahu menumbangkan kerajaan demokratik yang sah. Hingga hari ini, polislah yang mencetuskan tiap-tiap peristiwa ganas yang terjadi. Penangkapan demi penangkapan dibuat. ISA digunakan untuk menangkap para pemimpin mereka. Akta Polis dan apa-apa sahaja undang-undang yang boleh digunakan, mereka gunakan untuk menangkap para penyokong pemimpin-pemimpin itu. Mahathir masih terus bercakap dengan gaya orang tua perengus dan degil. Semakin hari orang semakin benci dengan mulutnya yang bisa, sikapnya yang suka marah-marah dan angkuh. Tabiat keras kepalanya itu berpunca daripada pandangannya yang picik terhadap rakyat yang disangkanya bodoh dan lembap. Kuasa mutlak digunakannya dengan sewenang-wenang untuk menindas hak-hak rakyat, demi membalas dendam peribadinya, bukan demi negara. Makin lama Mahathir jadi makin kepala batu dan makin tidak waras. Dia menjadikan politik suatu kerjaya yang kotor, manakala ahli-ahli politik dijadikannya kaki-kaki ampu yang tidak bermaruah. Idea-ideanya yang tidak masuk akal pun mesti digembar-gemburkan dengan hebatnya oleh media yang dikuasai kerajaan demi menonjolkan dia sebagai orang yang sentiasa betul. Dan dia adalah seorang manusia yang tidak mempunyai rasa bersalah. Malah UMNO pun tidak terlepas. Dia mengerahkan petugas-petugas parti supaya menganjurkan pertemuan-pertemuan khas untuk mengecam saya dan orang-orang yang dikatakan pengkhianat. Dalam majlis-majlis itu, orang-orang yang sudah bangkrap politik dan kuno pun digunakan semula, bersama dengan tokoh-tokoh yang pandai berpidato tapi mereka sendiri bergelumang dengan skandal. Sebelum saya dipecat, rakan-rakan sejawat saya menasihati saya supaya berhati-hati dan banyak bersabar, serta supaya saya terus menyokong Mahathir demi menjaga kepentingan kerjaya politik saya. Sewaktu dalam tahanan, pegawai-pegawai SB yang ingin tahu cerita sebenar bertanya kepada saya apa yang sudah terjadi ke atas hubungan saya dengan Mahathir. Kepada mereka saya katakan bahawa pada mulanya hubungan kami baik dan rapat. Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan dorongan anak-anaknya dan mereka yang rapat dengannya dalam politik dan perniagaan, makin lama sikap diktator dan kuku besinya semakin menjadi-jadi, dan dia bercita-cita hendak meninggalkan kesan-kesan kehebatannya dalam sejarah. Disebabkan dia tidak boleh ditegur dan dikritik sama sekali, dia hentam NGO dan media habis-habisan. Dia gunakan polis, Peguam Negara dan mahkamah untuk menjaga kuasanya. Malah, selepas berjaya mengetepikan setiap orang yang mencabarnya, dia fikir dia Superman dan pakar selok-belok strategi pecah dan perintah, baik dalam parti, negara, mahupun dalam hubungan antarabangsa. Dia cukup bangga apabila menyebut-nyebut kejayaannya meminda perlembangaan untuk mengurangkan kuasa raja-raja, malah dia angkuh dengan kejayaannya memecat Tun Salleh Abbas. Memanglah, kita pernah menyokong dia dalam isu pindaan perlembagaan, kerana kita menyangka kuasa yang diambilnya daripada raja-raja itu akan diserahkan kepada rakyat, bukan untuk dirinya sendiri. Alangkah butanya kita waktu itu kerana tidak nampak niat jahatnya yang mahu menggulingkan raja-raja Melayu supaya sebagai ganti dia dapat menabalkan dirinya sebagai pemimpin feudal agung bagi seluruh orang Melayu. Memang betul, tanda tangan Raja adalah syarat wajib bagi memecat saya, tetapi bagi Mahathir, dialah Raja. Malu rasanya bila kita nampak hidungnya kembang kempis mendengar dirinya dipuji-puji, terutama sekali dalam perhimpunan-perhimpunan agung UMNO, apabila dia diberi jolokan "PM paling agung, jurucakap Dunia Ketiga, pemimpin yang menjadi contoh kepada dunia, arkitek pemodenan Malaysia" dan macam-macam lagi, sampai muak kita mendengarnya. Didorong oleh nafsu hendak mengejar impian-impiannya yang maha besar belaka makin hari dia semakin terpisah daripada dunia yang sebenar. Pada satu ketika dia sudah tidak dapat lagi hendak membezakan antara hasrat dan keperluan rakyat dengan kemahuan-kemahuannya sendiri yang angkuh. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia semakin terasing kerana tidak sabar-sabar hendak menyiapkan projek-projeknya yang bakal menjadi tugu-tugu kekuasaannya. Dengan dikelilingi oleh para pembantu yang kaki ampu, dia sudah tidak sedar lagi bahawa idea-ideanya mula menjadi lapuk dan tidak sesuai lagi. Dia khayal dengan segala yang besar-besar. Yang dia tahu ialah mengaitkan pemerintahannya dengan projek-projek mega dan semua yang "ter-ter" belaka - jambatan terpanjang, bangunan tertinggi, lapangan terbang tercanggih, ampangan paling ter-menggerunkan. Demi memenuhi nafsu egonya, kediaman rasminya pun mestilah yang termahal. Kenyataan dalam parlimen yang mendakwa kos pembinaan rumah itu ialah RM17 juta adalah suatu pembohongan. Saya tahulah cara yang digunakan untuk memutar-belit angka-angka itu. Rumahnya akan menjadi istana yang paling besar dan paling canggih di negara ini. Rekacipta rumah itu adalah ilhamnya sendiri. Serba-serbi berkenaan rumah itu adalah dari Peranchis. Belanjanya ialah RM200 juta. Saya bersyukur kerana akhirnya rancangan hendak membina kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri dibatalkan. Pada mulanya kos rumah itu dianggarkan RM40 juta. Hati saya berat hendak menyetujui rekabentuknya yang amat mewah. Walaupun sesudah para arkiteknya mengecilkan projek itu, saya masih rasa ia terlalu mewah. Akhirnya, Azizah juga setuju supaya saya tidak luluskan sama sekali projek tersebut. Sebagai anggota pentadbiran peringkat tertinggi, kerap kali saya perlu membuat penjelasan dan melaksanakan dasar-dasar penting. Apabila dasar-dasar itu secara peribadi tidak saya setujui, saya jalankan juga walaupun dengan hati yang amat berat. Tetapi saya akan ambil setiap peluang yang ada untuk menekankan masalah membasmi kemiskinan, rumah kos rendah, pebangunan luar bandar, serta pembangunan industri kecil dan sederhana, bukannya projek-projek mega. Sekali-sekala, apabila saya mendapat peluang untuk bersuara dengan lantang, saya akan kritik tingkah-laku haloba golongan kaya, dan saya suarakan betapa perlunya dipertingkatkan amalan-amalan demokrasi serta pembangunan masyarakat madani. Malah dengan secara terbuka saya pernah menentang usaha Mahathir hendak menggunakan peraturan tanpa-bertanding bagi pemilihan peringkat bahagian, kerana itulah cara dia hendak menggagalkan dari awal-awal lagi sebarang kemungkinan dia dicabar sebagai presiden. Bersambung...... Dari Sebalik Tembok Sg. Buloh: Surat Dato' Seri Anwar Ibrahim DARI KAMAR KEKUASAAN KE RUANG KURUNGAN SIRI 3 Disambung dari SIRI 2**.. Rasuah, Nepotisme dan Mirzan Bila sampai kepada beberapa isu, saya diam sahaja dan saya cuba dengan sedaya upaya menyembunyikan rasa benci saya terhadap perangai kepala batu Mahathir serta sikapnya yang hipokrit, di mana dia juga membenarkan amalan rasuah dan pembaziran yang melampau. Meskipun begitu, dalam tempoh dua bulan sewaktu saya memangku jawatan Perdana Menteri, saya berpeluang melaksanakan beberapa prinsip yang menjadi pegangan saya. Saya pengerusikan sendiri proses menggubal undang-undang baru anti-rasuah yang lebih ketat dan keras, walaupun saya ditentang oleh beberapa orang anggota kabinet, terutama sekali berkenaan peruntukan yang membolehkan seseorang itu didakwa walaupun dia sudah tidak memegang jawatan kerajaan lagi. Mokhtar, si Peguam Negara itu, atas alasan-alasan yang dia satu orang sahaja tahu, menentang dengan kerasnya, tetapi pada waktu itu Ketua Pengarah Biro Pencegah Rasuah, Dato' Shafie Yahya menyokong saya dan kami pun berjaya. Barangkali, peristiwa itu membuat beberapa orang sahabat karib Mahathir, yang selama ini memang mencurigai saya, bertambah yakin bahawa saya tidak boleh diharap menjaga kepentingan mereka sekiranya saya menjadi Perdana Menteri. Saya percaya, keputusan saya mahu terus menyiasat kes Perwaja, termasuk menyiasat Eric Chia sendiri, serta kenyataan saya di Parlimen berkaitan isu itu, membuat beberapa orang berasa gerun, di antara orang-orang itu termasuklah Mahathir sendiri kerana selama ini dia selalu sahaja melindungi Eric Chia, malah pada satu waktu dia pernah memberi amaran kepada saya supaya jangan meneruskan siasatan tersebut. Apabila saya sebut nama V.K. Linggam yang menerima bayaran terlalu besar seperti yang dicatatkan dalam laporan Price Waterhouse, ia membuat beberapa orang panas punggung dan tak senang duduk. Tetapi, cubalah bayangkan, bolehkah saya biarkan begitu sahaja skandal Perwaja? Skandal itu menyebabkan kerajaan rugi 5 bilion ringgit, sementara laporan awal BPR pula menyebut banyak penyelewengan. Saya terpaksa akui, waktu itu saya lurus bendul sebab saya fikir Mahathir akan mengambil tindakan apabila saya laporkan kepadanya perbuatan-perbuatan rasuah yang dapat saya kesan. Saya sampaikan kepadanya laporan yang mendakwa Daim membawa keluar negara wang tunai sebanyak antara RM700 juta hingga RM1 bilion. Sebaik-baik saya selesai bercakap tentang hal itu, barulah saya sedar saya sudah silap besar. Rupa-rupanya Mahathir memang tahu. Apabila saya sebut saja perkara itu, dia sangat risau walaupun dia cuba menyembunyikannya. Saya laporkan juga kepadanya Daim cuba melarikan saham-saham milik UMNO yang bernilai RM800 juta. Dia kata, dia akan bercakap sendiri dengan Daim berkenaan hal itu, tetapi sampai sekarang,sejauh yang saya tahu, wang itu masih juga belum dimasukkan ke dalam akuan UMNO. Apabila sampai kepada isu jumlah pampasan yang sepatutnya dibayar selepas projek ampangan Bakun ditangguhkan serta rancangan menyelamatkan Mirzan Mahathir, percanggahan antara kami pun jadi runcing. Dia naik marah disebabkan saya berpegang kepada prinsip Ting Pek Khing mesti diberi pampasan berdasarkan harga yang disyorkan oleh syarikat perunding Price Waterhouse. Dia m ahu memberi Ting RM1.6 bilion, iaitu jumlah yang diminta oleh Ting, suatu jumlah yang hampir sekali ganda lebih banyak daripada jumlah yang disyorkan oleh syarikat audit tersebut. Dalam kes Mirzan, akhirnya Petronas membayar RM1.7 bilion untuk Konsortium Perkapalan/ Diperdana, walaupun Mahathir mahu supaya anaknya dibayar RM2.2bilion, sebagaimana yang dimintanya. Saya dan Petronas terus dengan pendirian supaya jumlah itu ditetapkan oleh pakar penilai perkapalan antarabangsa. Barangkali inilah kesilapan saya yang takkan Mahathir maafkan. Kali ini dia sudah tidak mahu pura-pura tidak marah kepada saya.Tak habis-habis dia pukul saya disebabkan anaknya rugi dalam jual-beli itu. Saya cuma dapat bertahan dan banyak bersabar apabila saya selalu dimarah-marah dan dihina kerana idea-idea liberal saya, terutama sekali selepas terbitnya buku saya "Kebangkitan Asia". Sewaktu saya bercakap tentang masyarakat Madani, dia leceh-lecehkan idea saya itu. Meskipun buku itu menerima pengiktirafan antarabangsa dan mendapat laporan positif dalam media antarabangsa, itu semua tidak memberi kesan. Dia tolak semua teguran, biar sekecil mana dan selembut mana sekalipun teguran itu. Tidak ada siapa yang tidak dibelasahnya -- baik kumpulan pencinta alam, parti-parti pembangkang, pertubuhan NGO, kumpulan hak asasi manusia, para cendekiawan dan ulamak, termasuk pihak media juga. Selaras dengan peribadinya, dia juga menghentam kebebasan seni dan sastera. Dia mula menghentam saya lebih daripada dua tahun yang lalu. Semua orang tahu bahawa ucapan "Engkau juga, Brutus?" yang disampaikannya sewaktu Perhimpunan UMNO itu sebenarnya ditujukan kepada saya. Kegawatan sektor kewangan yang melanda rantau ini menyebabkan jurang percanggahan pendapat antara kami tambah dalam. Dia tuduh saya menyokong Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), seolah-olah IMF tidak ada baiknya langsung. Sebenarnya, saya cuma bersetuju dengan beberapa syor IMF sahaja. Saya juga secara konsisten sentiasa menyeru supaya diadakan suatu struktur baru bagi kewangan dunia. Saya mengaku, saya memang sependapat dengan IMF dalam isu menangani rasuah serta tindakan menyelamatkan syarikat-syarikat yang bermasalah. Bagi saya, sebarang bantuan hendaklah dibuat dengan cara yang telus, dan tidak boleh berpihak kepada syarikat anak-anak dan suku-sakat sendiri. Mahathir terus berkeras tidak mahu menerima kenyataan wujudnya pelbagai kelemahan dalam sistem ekonomi kita. Dia bukannya cuba menangani masalah korupsi di negara ini, sebaliknya dia tuduh negara-negara lain yang korup, terutamanya negara-negara Barat. Paranoia Mahathir Saya syak Mahathir sudah membuat keputusan memecat saya sejak bulan Disember 1997 lagi, tetapi saya cuma dapat merasakannya pada bulan Februari 1998. Pada masa itu, sedikit pun saya tidak sangka, dia tergamak menggunakan cara-cara yang begitu hina dan mengaibkan, sedangkan kami sudah begitu lama bekerja rapat. Namun, saya teruskan juga tugas-tugas kerajaan serta parti, dan saya ambil keputusan tidak pedulikan begitu banyak nasihat dan pesanan yang saya terima daripada sahabat-sahabat. Mereka memberitahu, konco-konco Mahathir sedang bekerja dua puluh empat jam sehari memfitnah dan memburuk-burukkan saya. Apabila tarikh perhimpunan agung UMNO makin dekat, Mahathir jadi makin gelabah. Bila malam, dia tidak dapat tidur memikirkan adanya kemungkinan usul undi tidak percaya terhadapnya. Dia takut kalau-kalau ada tanda-tanda rasa tidak puas hati yang dirancang, seperti kalau akan ada sepanduk menuntut dia meletakkan jawatan ataupun, kalau nanti ada ejekan daripada ahli-ahli Pemuda UMNO. Saya katakan kepadanya, saya tidak tahu ada rancangan yang seperti itu, tetapi dia yakin betul ada orang yang hendak menjatuhkkannya. Dia sangat marah kepada Zahid Hamidi apabila dalam ucapannya, Zahid bercakap tentang amalan rasuah, kronisme dan nepotisme. Luar biasa marahnya. Dia balas balik dengan mengeluarkan senarai penswastaan sebagai bukti bukan cuma kaum keluarga dan suku-sakatnya sahaja yang mendapat habuan daripada kronisme UMNO. Itu satu silap mata murah. Dia tidak pula bezakan projek yang bernilai beberapa juta ringgit dengan projek-projek yang bernilai berbilion-bilion ringgit. Dia sebenarnya hendak menunjukkan bahawa saya tidaklah sebersih mana. Cuma dia tidak pula menjelaskan bahawa saya tidak pernah meluluskan projek-projek yang diberikan kepada anggota keluarga saya, malah dalam kes-kes tertentu, saya tidak tahu menahu pun. Pada hari pertama perhimpunan agung UMNO, buku 50 Dalil yang penuh dengan fitnah itu diedarkan kepada para perwakilan, padahal saya sudah mendapat injuksi mahkamah yang menghalang sebarang perbuatan seperti itu. Orang yang bodoh pun boleh tahu, itu adalah bukti suatu kempen yang serius dan bersungguh-sungguh sudah bermula untuk menjatuhkan saya. Tidak lama selepas perhimpunan agung itu, Johan Jaafar, editor Utusan Malaysia meletakkan jawatan dengan serta-merta. Ahmad Nazri Abdullah dari Berita Harian dan Yunus Said dari TV3 juga dipaksa meletakkan jawatan. Mereka bertiga adalah antara tokoh-tokoh wartawan yang rapat dengan saya. Dengan itu, bermaknalah keadaan sudah dipersiapkan untuk melancarkan perbicaraan-dalam-media yang bakal dimulakan sebaik-baik saya dijatuhkan daripada kerajaan dan parti. Pada waktu yang sama, Mahathir menjelajah ke seluruh negara dan memberipenerangan berkenaan "langkah-langkah mengejutkan" yang bakal diambil oleh kerajaan untuk menyelesaikan kegawatan ekonomi. Dia cuba mengubah fikiran dan psikologi rakyat supaya mereka bersetuju, bukan sahaja dengan langkah kawalan matawang, tetapi juga dengan tindakan-tindakan zalim yang bakal ditimpakan ke atas diri saya. Pada waktu itu juga, Rahim Noor si Ketua Polis Negara itu kerap pergi berjumpa Mahathir di pejabatnya. Kemudian, pada awal bulan Ogos, Datuk S. Nallakaruppan ditangkap. "Kami jumpa peluru hidup di rumahnya," kata Rahim Noor kepada saya apabila saya bertanya. "Dia ni lahir di Madras. Dulu dia papa kedana, sekarang kaya raya. Mesti ada benda." Saya minta jasa baiknya supaya menjaga keadilan. Maklumlah, Nalla akan dituduh di bawah ISA, dan kalau dia didapati bersalah, dia akan dihukum gantung. Kemudiannya, saya dapat tahu, CID menyediakan dokumen-dokumen, lalu mereka suruh Nalla menandatanganinya. Sebagai balasan, dia akan dikenakan tuduhan yang hukumannya lebih ringan. Di dalam dokumen-dokumen itu tertulis kenyataan bahawa kononnya Nalla pernah memberikan kepada saya RM60 juta, bahawa dia pernah membantu saya melakukan pengkhianatan kepada negara, dan dia membekalkan perempuan-perempuan untuk memuaskan nafsu seks saya. Tuduhan-tuduhan itu, dengan segala perinciannya yang kotor dan lucah, memfitnah saya dengan bermacam-macam jenayah, daripada jenayah mengkhianati negara hinggalah kepada jenayah salahlaku seksual. Fitnah-fitnah itu kemudiannya disiarkan secara besar-besaran oleh media, iaitu apabila selepas saya dipecat, Mokhtar si Peguam Negara itu, mengemukakan afidavit ke atas Nalla. Saya sedar apa yang terjadi itu dirancang dan diarahkan oleh kepimpinan tertinggi parti. Saya rayu Mahathir supaya memberhentikan perbuatannya itu, tetapi dia mengelak-elak. Pada waktu yang sama, pihak polis menyoal siasat adik angkat saya Sukma Darmawan serta beberapa orang sahabat saya. Bukan itu sahaja, saya ditekan oleh Mahathir, juga oleh Mokhtar si PN dan Rahim Noor si KPN, supaya pergi menjalani ujian DNA sebagai bukti saya bukan bapa kepada seorang anak luar nikah, sebagaimana yang didakwa di dalam buku 50 Dalil. Pada 12 Ogos, sejurus sebelum mesyuarat kabinet, Daim datang menemui saya. Katanya, petang kelmarin, si Mokhtar AG itu memberitahu dia, pada pagi itu juga, saya akan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan salahlaku seks, juga atas kesalahan di bawah Akta Rahsia Kerajaan, dan atas tuduhan mengkhianati negara. Apa lagi, saya pun terus meluru ke dalam pejabat Mahathir dan saya minta penjelasan dari dia. |