Bekalan minyak dunia meruncing, apa pilihan kita?
Tuesday, May 17 @ 21:52:36 MYT


Oleh ALANG BIDARA

Berita mengenai kenaikan harga minyak petrol dan diesel menjadi topik utama mutakhir ini. Ramai di antara kita yang menyalahkan kerajaan kerana gagal mentadbir serta tidak mengambil kira kepentingan rakyat terbanyak.

Ini berikutan rakyat terbanyak dibebankan dengan kenaikan harga minyak dan peningkatan harga tol serta berbagai kenaikan harga barangan keperluan yang akan menyusul.

Namun amat menghairankan apabila tidak banyak pihak yang melihat lebih jauh daripada kegagalan kerajaan dan di sebalik kenaikan serta kegagalan kerajaan membanteras penyeludupan diesel itu.

Sebenarnya bukan menjadi rahsia lagi bahawa bekalan minyak di seluruh dunia bakal menghadapai saat menurun pada masa terdekat.

Banyak tulisan serta analisis yang dibuat pelbagai pihak tentang peristiwa yang bakal menghuru-harakan kehidupan manusia zaman moden ini. Ini kerana hampir seluruh aktiviti manusia masakini terlibat dengan keperluan minyak petrol atau diesel.

Antara individu yang menyuarakan bekalan minyak akan menurun ialah Dr Hubbert M King, seorang pakar kajibumi (geologist) yang pernah bekerja dengan syarikat minyak Shell di Amerika.

Pada tahun 1956 beliau meramalkan (setelah membuat kajian terperinci mengenai bekalan minyak Amerika) pengeluaran minyak bagi negara Amerika akan memuncak pada tahun tahun 1970-an.

Ketika itu Amerika masih lagi membangun setelah menghadapi Perang Dunia Kedua. Namun banyak pihak memandang sinis serta meperlekehkan kenyataan Dr King itu. Namun pada tahun 1970, terbukti ramalan beliau benar.

Malah telah disiarkan dalam laman web Petronas sendiri sebuah tulisan berbentuk analisis tentang bekalan minyak dunia. Antara lain ia menyebutkan bekalan minyak dunia (world oil supply) akan sampai ke kemuncak (peak oil) di sekitar tahun 2010; iaitu cuma lima tahun dari sekarang!

Selepas tahap kemuncak, maka bekalan akan menurun dan akan sampai ke satu tahap di mana telaga minyak akan tidak lagi mengeluarkan minyak mentah untuk disalurkan ke penapis.

Sektor pertanian, industri makanan, pengangkutan, pembekalan kuasa elektrik dan berbagai kegiatan ekonomi dan sosial lain memerlukan cairan emas hitam itu sebagai sumber tenaga untuk mengerakkan semua kegiatan ini.

Sekiranya bahan api alternatif tidak dibangunkan segera, maka ia boleh menyebabkan kesengsaraan kepada kita semua.

Bayangkan bagaimana sektor perladangan hendak digerakkan tanpa diesel yang diperlukan bagi jentera pembajak, dan bagaimana pula industri petrokimia hendak digerakkan untuk mengeluarkan baja?

Majoriti kita bekerja di sektor yang memerlukan minyak petrol atau diesel. Bayangkan bagaimana mahu digerakkan kereta serta motosikal untuk kita ke pejabat serta balik kampung.

Macam mana dengan kapal terbang tanpa bahan api. Apa jadi dengan kereta api, bas, lori, serta kapal-kapal dagang yang digunakan untuk mengangkut penumpang serta barangan dagangan.

Pada bulan Mac 2005 minyak mentah di pasaran dunia mencecah USD55 satu tong. Walaupun ia menurun sedikit ketika ini, tetapi ada ramalan penganalisis pasaran minyak dunia, harga minyak akan naik hingga ke paras USD100 satu tong dalam masa terdekat.

Menyedari hakikat ini suatu hal, tetapi bertindak mengatasinya suatu hal yan lain pula. Saya berasa hairan mengapa PAS serta Harakahdaily yang merupakan agen pembela rakyat tidak banyak menangani isu ini.

Seluruh dunia, terutama di negara-negara Barat, usaha membangunkan bahan bakar untuk menggantikan minyak diesel dan petrol giat dijalankan.

Di Kanada ada syarikat yang membina kilang yang mengeluarkan bio-diesel dari bahan buangan serta minyak dari berbagai sumber (waste product).

Di Britain usaha digiatkan bagi membangunkan bio-diesel dari bahan bijirin.

Di Amerika bio- diesel dikeluarkan dari minyak kacan soya. Malah di negara India telah ada bas penumpang yang menggunakan bio-diesel.

Malah di Malaysia sendiri telah dimulakan pembinaan sebuah kilang di Labu, Seremban yang dijangka mula beroperasi pada tahun 2008. Dicadangkan pengeluaran kilang kepunyaan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ini ialah 5,000 tan metrik bio-diesel sebulan. Tetapi bio-diesel itu akan dieksport ke Eropah dan Turki. Masih belum dapat dikeluarkan untuk kegunaan dalam negeri kerana infrastruktur belum ada bagi menyokong pembekalan domestik.

Namun saya berpendapat kerajaan perlu lebih giat membangunkan bio-diesel ini kerana bekalan minyak dunia akan kehabisan tidak lama lagi. Sesungguhnya jika dibangunkan dengan baik, negara kita memang mempunyai potensi besar sebagai pengeluar bio-diesel terbesar dunia, kerana Malaysia merupakan salah sebuah negara pengeluar minyak sawit terbesar di dunia.

Sekiranya Petronas teragak-agak atau tidak mampu (tidak mahu kerana bimbang akan menjejaskan industri petroleum mereka?) maka mungkin pihak MPOB serta pihak FELDA perlu berganding bahu membangunkan bio-diesel.

PAS melalui harakahdaily perlu memainkan peranan sebagai satu 'pressure group' yang mendesak kerajaan memainkan peranan yang lebih pro-aktif dan menggerakkan tindakan segera bagi membangunkan bio-diesel.

Juga mendesak kerajaan agar menurunkan kadar cukai jalan bagi kenderaan diesel di negara ini. Satu cara lagi ialah mendesak pihak pembuat kereta Malaysia, Proton, Perodua bagi membuat kenderaan menggunakan bio-diesel atau kereta yang berenjin yang boleh digerakkan oleh petrol atau pun campuran petrol dan bio-diesel.

Ini supaya industri kereta kita akan mampu terus hidup di masa akan datang di mana kereta yang menggunakan petrol tidak bergerak lagi. Di kala itu kita mungkin akan meletakkannya di rumah sebagai perhiasan atau menjualkannya di kedai besi buruk! - um