Text Box: BEKALAN MINYAK PETROL DAN DIESEL, CABARAN DAN HARAPAN
Oleh: Alang Bidara
 
Pengenalan
Industri minyak di zaman moden ini bermula pada tahun 1859 apabila minyak dijumpai di Pennsylvania, Amerika Syarikat. Industri minyak menjadi lebih maju dengan dipacu oleh pembinaan enjin pembakar-dalaman (internal combustion engine), yang menjadi asas kepada industri kereta dan jentera pengangkutan dan jentera-jentera yang lain. Sejak itu pembangunan industri minyak berkembang dengan cepatnya.
 
Industri Amerika
Oleh kerana minyak yang ada begitu banyak dari bumi Amerika (terutamanya di Texas), Amerika menjadi sebuah negara gergasi industri yang berasaskan besi, iaitu industri jentera berat, industri otomobil, industri senjata, dan lain-lain. Semasa Perang Dunia Kedua, permintaan alat senjata seperti senapang, meriam, peluru berpandu, kapal-kapal perang, kenderaan berat seperti truck dan jeep melambung dan ini mengembang dan memajukan lagi industri besi Amerika. Selepas perang, industri pembinaan dan industri pembinaan pula berkembang. General Motors (GM) menjadi sebuah syarikat otomobil Amerika yang terkemuka di dunia ketika itu.
Banyak syarikat minyak Amerika menjadi syarikat gergasi daripada keuntungan industri minyak lumayan. Antaranya Exxon, Mobil, Texaco. Syarikat minyak gergasi Eropah pula ialah Shell dan BP (British Petroleum).
 
Negara-Negara Utama Pengeluar Minyak Di Dunia
Mengikut perangkaan tahun 1988, sepuluh negara pengeluar minyak mentah terbesar dunia ialah Soviet Union, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Mexico, China, Iraq, UK, Iran, Venezuela dan Canada. Dari segi simpanan minyak pula (crude reserves) pula sepuluh negara teratas ialah Arab Saudi, Iraq, UAE, Iran, Kuwait, Soviet Union, Venezuela, Mexico, Amerika Syarikat dan China.
 
Pada tahun 2002 sepuluh negara pengeluar minyak mentah terbesar di dunia ialah Amerika Syarikat, Arab Saudi, Russia, Mexico, Iran, China, Norway, Canada, Venezulea dan United Kingdom. Dari segi penggunaan minyak petrol pula, enam negara pungguna utama (consumption) ialah Amerika Syarikat, Canada, United Kingdom, Jepun, Mexico dan China.
 
OPEC
Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Minyak (OPEC - Organization of Petroleum Exporting Countries) ditubuhkan pada tahun 1960 untuk menjaga kepentingan negara-negara pengeksport minyak petrol. Keahlian OPEC terdiri daripada Iran, Iraq, Kuwait, Arab Saudi, dan Venezuela. Antara tahun 1960 dan 1975 keahlian OPEC bertambah dengan penyertaan Qatar, Indonesia, Libya, UAE, Algeria dan Nigeria. Pada mulanya Ecuador dan Gabon juga ahli OPEC tetapi keluar dari OPEC pada tahun 1992 (Equador) dan 1995 (Gabon). Buat masa ini, OPEC mengeluarkan 40% dari semua keperluan minyak mentah dunia. Semua negara OPEC lebih banyak mengekspot dari mengimport minyak, kecuali Indonesia. Kebanyakan negara-negara bukan OPEC pula lebih banyak mengekspot daripada mengimport minyak.
 
Syarikat-Syarikat Minyak Terbesar Dunia
Enam syarikat minyak terbesar di dunia ialah ExxonMobil, Shell, BP, Total, ChevronTexaco and ConocoPhillips.
Exxon Mobil dan ChevroTexaco adalah dari Amerika; Shell dari Belanda, manakala BP adalah dari Britain. Total adalah sebuah syarikat Perancis manakala Conoco adalah syarikat China.
 
Sektor Yang Terlibat
Minyak menjadi sumber tenaga yang berharga murah bagi menggerakkan berbagai sektor kehidupan moden. Antaranya ialah sektor otomobil dan pengangkutan awam, di mana petrol dan diesel menjadi bahanapi bagi kenderaan pengangkutan seperti kapalterbang,keretapi, bas, lori, kapal dan jentera pembinaan. Di sektor pertanian pula diesel digunakan untuk kenderaan pembajak, penuai dan pengangkutan hasil pertanian dari ladang ke pasar dan pasar raya. Juga hasil dari penapisan minyak mentah menghasilkan urea yang menjadi bahan penting di dalam baja dan racun serangga yang digunakan di dalam pertanian.
Tidak dilupakan juga sektor penjanaan kuasa letrik yang menggerakkan industri perkilangan, pengedaran barangan, pembuatan, pejabat, perhotelan, industri pelancungan dan berbagai-bagai lagi.
Tidak syak lagi minyak petrol adalah penggerak tamadun zaman moden ini. Ia menjadi sumber tenaga kepada segenap sektor dan industri. Negara-Negara pengeluar minyak menjadi negara yang kaya raya. Syarikat-Syarikat minyak pula menjadi syarikat gergasi dunia. Sebab itulah minyak petrol juga digelar sebagai emas hitam, kerana membawa kekayaan.
 
Tanda-Tanda Merosotnya Bekalan Minyak Petrol dan Diesel
Namun di dalam keghairahan mengejar kemajuan hidup di zaman industri moden yang berasaskan minyak petrol sebagai sumber tenaga ini, ramai para-para saintis yang melahirkan kebimbangan akibat kemerosotan pengeluaran minyak nanti. Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah minyak petrol adalah hasil bumi, dan setiap hasil bumi akan habis juga akhirnya. Contoh yanag nyata bagi negara kita ialah bijih timah. Di tahun 1960'an dan tahun 1970'an Malaysia merupakan antara pengeluar utama bijih timah di dunia. Sekarang di manakah bijih timah kita. Begitulah ibaratnya kepada hasil minyak mentah ini.
 
Seawal tahun 1956 lagi, Dr M King Hubbert, salah seorang pakar kajibumi (geologist) yang bertugas dengan Shell telah membuat kajian tentang hasil minyak petrol di Amerika. Beliau menggunakan teknik kajian kaji bumi, berserta matematik dan fizik dan hasil kajian beliau menunjukkan pengeluaran minyak di sesebuah telaga minyak akan mengikut geraf berbentuk loceng (bell curve). Ini bererti pengeluaran minyak akan menjadi semakin banyak sehingga bila 50% daripada minyak dikeluarkan dari telaga minyak, akan mencapai kemuncaknya, dan akan menurun selepas itu. Mengikut kajian itu juga, beliau menjangkakan pengeluaran minyak di Amerika akan mencapai kemuncaknya pada tahun 1970'an.
 
Apabila kertas kerja kajian tersebut diumumkan, banyak pihak merpertikaikannya, tak kurang juga mencemuh beliau, sehingga ada suara-suara sumbang yang menuduh beliau kurang siuman dan sebagainya. Beliau tetap mempertahankan hasil kajian itu dan tidak berganjak dari pendapat tersebut. Pada tahun 1970, ternyata pendapat beliau tidak meleset, tahun itu berlakunya kemuncak pengeluaran minyak petrol dari bumi Amerika, pada tahun-tahun berikutnya pengeluaran merosot setiap tahun. Tahap kemuncak pengeluaran tersebut dikenali sebagai Hubbert Peak Oil, sempena nama Dr M King Hubbert.
 
Sekiranya kita buat andaian yang sama, maka tidak dapat tidak kita akan mencapai kesimpulan bahawa telaga minyak di mana-mana pun akan menghadapi nasib yang serupa, iaitu: pengeluaran menaik sehingga memuncak sekitar 50% dari jumlah minyak yang ada di telaga tersebut, kemudian menurun. Ertinya setiap negara pengeluar minyak akan mengharungi Hubbert Peak Oil ini.
 
Dengan lain perkataan seluruh dunia akan menghadapi kekurangan minyak petrol dan seluruh dunia akan menerima akibatnya dari Hubbert Peak Oil ini.
 
Satu lagi tanda akan benarnya Hubbert Peak Oil ini, ialah kalau kita lihat sejak dari tahun 1998 sehingga tahun 2005, terdapat sepuluh pergabungan syarikat-syarikat minyak iaitu: BP dan Amoco pada Disember 1998; Amoco dan Arco April 1999; Exxon dan Mobil Disember 1999; Chevron dan Texaco Oktober 2000; Phillips dan Conoco November 2001; Shell membeli Penzoil-Quaker State pada September 2002; Frontier Oil dan Holly Februari 2003; Marathon membeli 40% dari saham Ashland pada Mac 2004; Westport Resources dan Kerr-McGee April 2004; ChevronTexaco akan mengambil-alih syarikat Unocal.
 
Kenapa berlaku sedemikian rupa? Tidak lain dan tidak bukan selain dari kerana sumber telaga minyak yang baru tidak dijumpai lagi. Apa yang dikeluarkan sekarang ialah dari telaga-telaga minyak yang dijumpai pada tahun-tahun 1960'an dan sebelumnya.
 
Oleh kerana tidak lagi dijumpai telaga-telaga minyak yang baru, maka syarikat-syarikat minyak ini, mahu tidak mahu terpaksa bergabung demi "menyelamatkan diri" dari menanggung kerugian akibat kos tinggi yang terpaksa ditanggung kerana eksplorasi minyak tetapi tidak menjumpainya.
 
 
Mengapa Tidak Meneroka Bidang Bahanapi Alternatif dan Fakta Penurunan Bekalan Minyak Dunia “Disembunyikan”?
Kita tentu tertanya-tanya mengapakah syarikat-syarikat minyak gergasi ini seolah-olah tidak mengambil langka-langkah serius bagi mencari sumber tenaga alternative; dan pada masa yang sama fakta berkurangnya bekalan minyak ini seolah-olah disembunyikan oleh syarikat-syarikat dan industri petroleum.
 
Pertama, kalau pengguna sedar hakikat penurunan bekalan minyak, pengguna akan mengurangkan penggunaan minyak petrol dan diesel secara mendadak. Dengan ini bekalan minyak di pasaran akan melebihi dari permintaan pengguna. Ini akan menurunkan harga minyak, maka keuntungan syarikat-syarikat minyak akan terjejas. Harga yang tinggi adalah baik bagi syarikat-syarikat minyak. Ini jelas terbukti bila kita baca berita tentang keuntungan Petronas berlipat ganda yang disiarkan di media baru-baru ini!
 
Kedua, sekiranya pelabur-pelabur syarikat minyak menyedari bekalan minyak di dunia semakin pupus, mereka akan berpendapat pelaburan di dalam industri minyak tidak akan memberikan pulangan yang lumayan, malah mungkin merugikan. Maka pelabur-pelabur akan mengeluarkan wang mereka dari industri minyak dan melabur di dalam sector perniagaan yang lebih menguntungkan. Ini juga akan menjejaskan perniagaan industri minyak!
 
Ketiga, adalah lebih baik pengguna dan pelabur diyakinkan supaya terus ‘setia’ dengan penggunaan minyak dan pelaburan industri minyak, bila harga minyak terus meningkat, kerana ini akan memberi keuntungan yang berlipat kali ganda. Pelabur mesti diyakinkan bahawa kekurangan bekalan ini bersifat hanya sementara. Ini akan menjadikan pengguna-pengguna terus bergantung dengan minyak walaupun keadaan semakin gawat akibat bekalan meruncing!
 
 
Bio Diesel & Ethanol
Buat masa ini ada dua bahan yang dilihat sebagai pengganti, bio diesel bagi diesel dan ethanol bagi petrol. Bio diesel dihasilkan melalui proses transesterification dari minyak kelapa sawit, minyak soya, minyak dan lain-lain minyak masak seperti minyak kelapa, minyak jagung, lemak binatang, malah minyak lebihan dari restoran boleh digunakan. Ethanol pula dihasilkan melalui pemerosesan bahan organic seperti air tebu, jerami padi, bahan lebihan dari kayu balak dan sebagainya. Proses ini dipanggil fermentation atau pemeraman. Ini sama seperti kilang-kilang arak yang memproses alkahol dari ubi, jagung dan sebagainya.
 
Untuk pengeluaran bio diesel di Malaysia, tentulah minyak sawit yang paling sesuai kerana Negara ini merupakan salah satu pengeluar minyak sawit di dunia. Bagi ethanol, maka syarikat-syarikat arak di negara ini yang telah begitu lama beroperasi boleh memberikan satu sumbangan bermanafaat dan tentunya lebih baik dari membikin arak yang membawa mudharat kepada masyrakat!
 
Sesungguhnya usaha ke arah pengeluaran bio diesel dan ethanol secara besar-besaran sedang giat dijalankan di luar negara. Di Malaysia kita dapati Cuma dua buah kilang yang akan dibina untuk pengeluaran bio diesel. Satu di Labu, Negri Sembilan di bawah tajaan MPOB (Lembaga Minyak Sawit Malaysia) yang dijadualkan mulai beroperasi pada tahun 2007, manakala sebuah lagi di Lumut, Perak di atas usaha-sama Capital Investment Bank (Labuan) dan sebuah syarikat tempatan, Loreno Sdn Bhd; yang dijangka mulai beroperasi pada tahun 2008.
 
Sayugia disebutkan bahawa bio diesel yang dikeluarkan oleh kilang MPOB di Labu itu akan diekspot ke Eropah dan Turki, bukan untuk jualan di pasaran tempatan.
 
Buat masa ini usaha-usaha membangunkan bio diesel dan ethanol sebagai bahanapi alternative kepada diesel dan petrol di negara ini masih di peringkat permulaan. Sedangkan para saintis dan pihak NGO yang berkesedaran tinggi terhadap masalah dunia ini, telah meramalkan kemuncak pengeluaran minyak dunia akan berlaku di dalam masa lima atau enam tahun sahaja lagi.
 
Pada tahun 2004, harga minyak mentah di pasaran ialah USD35 setong (USD35 per barrel). Pada bulan Mac 2005, harga mencecah USD55 setong dan di akhir Jun 2005, harga mencecah ke paras USD60 setong. Bila Petronas mengumumkan keuntungan yang berlipat kali gandi, apa perasaan rakyat jelata? Apa perasaan pengguna minyak petrol? Sudahkah mereka lupa tak sampai sebulan diumukan kenaikan harga minyak petrol dan diesel, syarikat minyak negara mengumumkan keuntungan besar?!
 
Mungkinkah apabila harga minyak mentah meningkat ke paras USD100 setong DAN harga petrol menjadi RM2.50 seliter baru rakyat akan sedar?!
 
 
KESIMPULAN
Sebagai persediaan menghadapi krisis ini, adalah dicadangkan perkara-perkara seperti berikut:

Suatu undang-undang perlu digubal pelalui Akta Parlimen, atau apa jua langkah perlu yang mencakupi: 
Pertama, mewujudkan skim pengecualian cukai atau geran Kerajaan Persekutuan bagi R & D (Research and Development) bagi pihak swasta, IPTA, IPTS, Kolej swasta atau invidu yang memerlukan bagi pembangunan bio-diesel dan ethanol. 
Kedua, memberi subsidi baja, racun, serta jentera bagi sektor pertanian negara bagi menanam kelapa sawit, kelapa, jagong, tebu dan lain-lain tanaman sebagai sumber asas untuk memproses bio-diesel dan ethanol. Bagi ladang yang sedia ada perlu ditingkatkan lagi hasil pengeluaran kerana industri pertanian perlu menyokong industri pengeluaran makanan dan juga industri bio-diesel dan ethanol.
Ketiga, pihak pengangkutan awam seperti bas, keretapi, kapalterbang, feri, teksi perlu diberi sokongan agar semua kenderaan baru yang dibeli mesti dapat menggunakan bio-diesel atau ethanol sebagai bahanapi. Ini akan menukar pergantungan terhadap diesel dan petrol kepada bio-diesel dan ethanol.
Keempat, bagi pihak pengeluar elektrik, sama ada TNB atau IPP (independent power providers) perlu menukar secara berperingkat-peringkat stesyen janakuasa letrik kepada yang menggunakan bio-diesel atau ethanol sebagai bahanapi. Ini bagi mengalih pergantungan kepada bio-diesel/ethanol daripada petrol/diesel.
Kelima, bagi industri automatif, pihak Perodua atau Proton atau Naza perlu diberi insentif bagi membangunkan kereta/kenderaan yang menggunakan ethanol/bio-diesel. Mereka perlu diberi pengecualian cukai selama lima tahun atau lebih bagi membangunkan sektor automatif negara. Kerajaan perlu mengurangkan cukai jalan bagi kenderaan yang menggunakan bio-diesel, tidak semahal seperti kenderaan diesel.
Keenam, syarikat petroleum negara (Petronas) diberi peranan besar bagi mewujudkan saluran pengedaran bagi ethanol dan bio-diesel. Pihak FELDA juga boleh mewujudkan saluran yang sedia ada, iaitu kedai FELDA yang wujud di setiap tanah rancangan FELDA. Lain-lain agensi kerajaan atau swasta seperti MPOB, PORIM, PORLA, PORAM diberi tugas penting bagi menggerakkan industri bio-diesel dan ethanol ini. Syarikat-syarikat arak seperti Anchor, Guiness dan sebagainya ditawarkan pengecualian cukai dan insentif yang tinggi agar mereka menggunakan kilang-kilang yang mengeluarkan alcohol untuk pengilangan arak bagi pengeluaran ethanol untuk industri ethanol/bio-diesel negara. Tentunya kilang-kilang mereka boleh diubahsuai secara minima bagi mengeluarkan ethanol.
Ketujuh, kerajaan Malaysia mestilah pengaruhnya di dalam pertubuhan OIC serta NAM bagi membuat pemuafakatan dengan negara-negara OIC dan NAM bagi menjalankan perniagaan atau pemindahan teknologi  antara satu sama lain bagi membangunkan industri bio-diesel/ethanol. Sesungguhnya Brazil merupakan pengeluar utama dunia bagi ethanol yang diproses dari tebu. Malaysia sendiri boleh menjadi pengeluar utama bio-diesel. Dengan yang demikian kita tidak perlu lagi dikuasai oleh Amerika/Britain di dalam hal ini.
 
Peranan rakyat ke arah menyedari hakikat dan masalah yang akan menimpa tamadun moden kita ini adalah penting agar segala langkah positif dan konkrit dapat dimulakan oleh kerajaan. Badan NGO juga mesti memainkan peranan berkesan menyedarkan rakyat dan kerajaan, semoga kerajaan segera mengambil langkah berkesan menghadapi krisis yang bakal berlaku ini.
 
Semoga kerajaan tidak lagi terlalu terpengaruh oleh “janji-janji manis” serta tekanan ekonomi oleh syarikat-syarikat gergasi minyak, sama ada Petronas atau yang lain-lain lagi.
 
Setiap sektor dan industri yang bergantung kepada minyak (hamper semua sektor awam, swasta, NGO adalah terlibat!!) perlu juga mengambil langkah-langkah pro-aktif menghadapi krisis besar zaman moden ini.