Ada apa dengan ShinShin ?
    Berita Kelantan
Mengenali UMNO dari pena dan lidah orang PAS sering dihubung dengan fitnah. "Itu semua fitnah!". Begitulah tempelakan mudah amalan lazim pemimpin UMNO. Ini boleh disaksikan dalam kes Menteri Besar Selangor yang sedang berlindung dari hujan fakta yang didedah oleh Dato' Dr. Hassan Ali. Mengikut Perdana Menteri, pemimpin PAS tidak pernah melihat sesuatupun yang baik dari UMNO.
Apa hal dengan laporan Polis Dato' Azmi Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar serta dakwaan Dato' Abdullah Ahmad tentang penyelewengan Wang PPRT sejumlah RM47 juta?. Seorang bekas Menteri UMNO sedang didedahkan oleh seorang menteri penuh UMNO dan disokong oleh bekas Timbalan Menteri UMNO. Semuanya cerita UMNO. "Pure and real." Ini tersiar di dalam sebuah rencana dalam Mingguan Malaysia bertarikh 11 November 2001 bertajuk 'Skandal PPRT Kelantan'. Masihkah fitnah?.
Sekurang-kurangnya untuk kali ini, mari kita menjadi pembaca yang hanya percaya kepada pemimpin UMNO sahaja. Yakinlah 100%. Mari kita hanya taksub dengan berita dari Akhbar Mingguan Malaysia sahaja. Ketepikan Harakah. Jauhkan diri dari Detik Daily, Laman Reformasi, Berita Keadilan, Malaysiakini.com, Memo, Perkasa, Warqah dan Suara. Kita jangan dengar fitnah.
Bermula dari premis ini, maka kenalah seluruh masyarakat Malaysia yakin bahawa UMNO tidak akan naik. Ini diketahui oleh Presiden UMNO sendiri yang telah menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan selama 10 tahun. Dalam pertemuan empat mata Dato' Abdullah Ahmad dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan sekarang (Dato' Mustapa Mohamad) juga, perihal tidak yakinnya UMNO untuk menang juga diakui. Ini semua tercatat di dalam artikel Dato' Abdullah Ahmad. Lalu penulis rencana tetap dalam ruangan isu itu menyimpulkan dalam keluaran Mingguan Malaysia bertarikh 18 November 2001 seperti berikut:
"UMNO Kelantan tidak akan menang Pilihanraya 2004 walaupun penulis mahu ia menang. Andainya UMNO Kelantan menang dalam pilihanraya umum akan datang, penulis akan serahkan harta penulis yang kononnya bergunung di Kelantan sebagaimana didakwa Annuar, kepada Baitulmal Kelantan".
(Tambahan: Tidak menang bererti kalah. Kalaulah katakan menang juga (walaupun diyakini kalah), berilah kepada Baitulmal separuh dan PAS separuh. Kenanglah sedikit jasa PAS yang telah berjaya menjaga Kelantan selama UMNO tiada dengan aman, tenang dan tanpa mengkhianati wang rakyat miskin atau kaya).
Kembali kita kepada analisis, demikianlah sebuah bacaan politik yang dibuat oleh seorang veteran UMNO. Penyakit yang membelit seluruh tubuh UMNO inilah yang meletakkan beliau (Abdullah Ahmad) selaku seorang realis, terpaksa mengakui dengan penuh terbuka tentang tiada langsungnya kemungkinan untuk UMNO kembali berkuasa. Di antara fakta yang didedahkan dan dipercayai menjadi punca kekalahan akan datang adalah amalan-amalan penyelewengan seperti berikut:-
Konspirasi:
Politik wang
UMNO ketepi Bumiputera
Kepentingan peribadi
Mengkhianati peruntukan golongan termiskin
Kepentingan peribadi
Penyelewengan
Kepentingan peribadi
Kegagalan projek
Salah menyalah
"you perlu berhenti dan berikan kepada Pak Lah. You adalah penyebab UMNO kini tidak popular". (Mingguan Malaysia 18 Nov. 2001)
Guna duit orang miskin kempen pilihanraya
Lobi melobi
Ikut mana yang kuat. Bukan ikut mana yang betul.
Mulianya perangai setengah pemimpin
(Dipetik dengan cermat dari Rencana di Utusan Malaysia 13 Nov. 2001 dan Mingguan Malaysia 18 Nov. 2001 oleh Abdullah Ahmad)
Gesaan terbuka yang berbunyi "you perlu berhenti" adalah ledakan puncak gambaran betapa bergolaknya UMNO di segenap peringkat. Empat belas penyakit seperti yang di senaraikan adalah unsur tipikal, topikal dan sangat kritikal. Ia hampir boleh ditemui di mana-mana baik di dalam, di tengah, d itepi , di atas dan di bawah UMNO. Dari akar umbi hingga ke pucuk pimpinan. Tidak hairanlah pokoknya semakin kering, garing dan gering. Dia hanya hidup dengan bantuan alat pernafasan dan "pace maker" berupa ISA, Akujanji dan penggelapan berita dan maklumat. Ayat-ayat yang berbunyi "you perlu berhenti" menjadi "taboo" yang amat ditakuti. Baik di peringkat bahagian yang dalam konteks ini diwakili oleh Bahagian Peringat, inilah realiti yang sama-sama kita sedang saksikan; atau di peringkat negeri seperti yang juga sama-sama kita sedang saksikan melalui aksi Dato' Seri Khir Toyo di Selangor - inilah UMNO. Skandal demi skandal sedang jatuh bertimpa-timpa. Baiki dinding, runtuh bumbung, sentuh dinding, jatuh tingkap, repair lantai, tumbang tiang! Mungkin punca yang ada cuma itu sahaja. Itulah mungkin satu-satunya. Tidak syak lagi.
Tanpa terlalu banyak memberikan kicap cuka, kita pulangkan penilaian ini untuk renungan lanjut. Rasanya tidak ada orang yang berani katakan yang artikel ini menabur fitnah. Rujukannya tidak lain dari Akhbar Mingguan/Utusan Malaysia bertarikh 11, 13 dan 18 November 2001.
Pemimpin UMNO biasanya tidak berbohong dan tidak mungkin Utusan Malaysia boleh berbohong. Yang biasa berbohong mengikut tuduhan ialah Harakah? Maka, tersebarlah sebuah kebenaran: dari UMNO mengenai UMNO buat seluruh rakyat Malaysia. Carilah amalan "good governance", "efficiency" dan "transparent" yang digariskan MAMPU dalam skandal PPRT di Kelantan ini. Mudah-mudahan berjumpa! Inilah dia agaknya erti kecekapan dan kebijaksanaan mentadbir seperti yang sentiasa menjadi dakwaan YAB Perdana Menteri?
Moral dari kisah ini senang saja. Yang salah tetap salah. Terlalu banyak berbohong akhirnya inilah jadinya. Benda Sembahyang Hajat yang dibuat rakyat sekeliling pening yang memohon pertolongan dari Allah untuk menunjukkan yang benar itu sebagai benar jangan dibuat main.
Nampak macam biasa sahaja tetapi sebenarnya ia telah mengundang campur tangan dari kuasa yang 'Luar Biasa'. Kalau orang Melayu dulu menyebut UMNO ni barangkali telah terminum air Yassin, maka kini kita elok ambil renungan dari sepotong maksud Ayat Quran yang berbunyi:
Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan."
(Surah Al-Qashash: Sebahagian daripada Ayat 77)
Sesungguhnya Allah itu amat dekat, tidak sejauh yang disangkakan oleh kebanyakan manusia. Sifat Maha MelihatNya amat meliputi segala sesuatu.
ANUAL BAKHRI BIN HARON
  This article first appeared in Berita Kelantan.
|
 
 
Ada apa dengan ShinShin ?
- Main Menu -   - Guest Book & Forum -   - Welcome Page -
All Rights Reserved 2003 Ada apa dengan ShinShin ?