Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Seruan Keadilan Online - Wednesday, March 24, 2004 9:40 PM

16 kerusi bagi Wanita, peningkatan 200 peratus!

Parti Keadilan Nasional telah mengeluarkan senarai calon-calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke 11 hari ini, 11 Mac 2004. Bagi kali kedua Keadilan meletakkan calon-calonnya dalam pilihan raya umum. Perkara menarik dalam senarai yang dikeluarkan ialah bilangan kerusi yang diberikan kepada wanita.

Calon-calon wanita mendapat 16 kerusi iaitu 6 Parlimen dan 10 DUN berbanding  4 Parlimen dan 2 DUN dalam pilihan raya tahun 1999, peningkatan sebanyak 200 peratus. Kerusi Parlimen yang akan ditandingi ialah Permatang Pauh (Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), Sepanggar (Datin Saidatul Badru Tun Said), Kuantan (Fuziah Salleh), Kota Kinabalu (Christina Liew), Alor Setar (Siti Nor Muhd Tuah) dan Balik Pulau  (Dr Rohana Ariffin). Manakala kerusi pula ialah Derga (Rohani Bakar), Tualang Sekah (Salma Ismail), Kota Anggerik (Animah Ferrar), Seri Delima (Susan Loone), Air Limau (Zainon Jaafar), Tanjung Puteri (Dr Zaliha Mustafa), Karambunai (Datin Saidatul Badru), Luyang (Christina Liew),  Gum Gum (Zaharah Tan Abdullah), dan Tamparuli (Ronah@Rosnah Onek).

Calon-calon terdiri daripada golongan professional dan ahli akademik - doktor, peguam, pakar perunding korporat, pensyarah dan usahawan.  Kebanyakan calon mempunyai latar belakang aktivis sosial disamping kerjaya yang ada. Pengalaman yang dimiliki  akan memberikan calon-calon wanita kelebihan mengurus kepentingan rakyat apabila mereka menang kelak.

Dalam perkembangan lain, Wanita MCA mendapat tambahan 5 kerusi menjadikan 12 kerusi kesemuanya buat pilihan raya kali ini. Dr. Ng Yen Yen amat berterima kasih kepada pucuk pimpinan kerana memberi peluang yang lebih kepada Wanita MCA dalam pilihan raya kali ini. 

Apabila ditanya tentang perkembangan ini, Ketua Wanita Keadilan, Pn Fuziah Salleh berpendapat, isu calon wanita mengalami suatu lonjakan daripada pilihan raya umum yang lalu dan menuju kepada sasaran minima 30% yang diletakkan. Sedangkan Wanita MCA hanya dapat 12 kerusi setelah begitu lama menjadi sayap wanita.

Menurut beliau lagi, Wanita Keadilan mempunyai potensi untuk menempatkan diri di tahap pembuat dasar kerana calon-calon yang mewakili parti, mempunyai latarbelakang yang menyokong misi Malaysia Baru untuk rakyat.