Oleh: AHMAD KAMIL MOHAMED
SEMUA orang Melayu tidak perlu terperanjat atau tersentak dengan pendedahan yang dibuat oleh Utusan Malaysia tiga hari lalu bahawa peniaga Melayu cuma menguasai 10 peratus unit hartanah (ruang niaga) komersial di seluruh negara.
Justeru bangsa kita sebenarnya masih lagi merangkak-rangkak dalam dunia perniagaaan ketika bangsa lain sudah meluncur laju meninggalkan kita jauh di belakang.
Ini diburukkan lagi dengan sikap orang Melayu sendiri yang biasanya tidak senang melihat bangsanya maju.
Pandangan seorang ahli korporat, Datuk Sulaiman Samat yang mengatakan orang Melayu berperasaan hasad dengki sesama sendiri memang ada kebenarannya.
Sebenarnya sifat-sifat negatif orang Melayu inilah yang menjadi batu penghalang untuk orang Melayu mampu bersaing dengan kaum lain dalam dunia perniagaan.
Kejayaan bangsa sendiri selalu dilihat dengan penuh prasangka buruk dan ada kalanya diperlekehkan sedangkan kehebatan kaum lain terus dikagumi.
Ketika kaum lain bersepakat dan tolong menolong sesama sendiri untuk memajukan perniagaan masing-masing, kita pula lebih senang dengan cara kita sendiri membawa haluan masing-masing demi keuntungan sendiri.
Ketika mereka bertungkus lumus membantu rakan mereka yang baru hendak belajar berniaga, kita pula sibuk memikirkan siang malam cara bagaimana hendak melumpuhkan perniagaan rakan kita yang baru hendak naik - takut menggugat perniagaan kita pula nanti!
Ketika Dewan Perniagaan kaum lain berhempas pulas memikirkan cara terbaik untuk mewujudkan lebih ramai lagi tauke-tauke di kalangan mereka, mengukuhkan lagi dana mereka supaya dapat disalurkan kepada peniaga-peniaga mereka yang memerlukan bantuan; Dewan Perniagaan Melayu pula membuang masa bercakaran sesama sendiri memikirkan soal jawatan itu dan ini daripada mengambil tahu tentang nasib rakan-rakan mereka yang mungkin perlukan bantuan modal dan nasihat.
Tidak ada sesiapa yang dapat menafikan bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah berupaya menelurkan ramai usahawan Melayu dan juga beberapa kerat tokoh korporat Melayu yang boleh kita banggakan pada hari ini. Paling penting dapat juga memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi yang wujud antara kaum sebelum DEB diperkenalkan.
Begitu juga penubuhan Mara misalnya telah memberi peluang yang lebih luas kepada orang Melayu yang menghadapi masalah modal untuk berniaga - begitu juga bantuan dari segi nasihat dan kepakaran malah ruang niaga juga turut disediakan oleh Mara.
Di kawasan bandar, UDA pula memainkan peranan mendapatkan tapak-tapak ruang niaga untuk disewakan atau dibeli oleh orang Melayu yang hendak berniaga. Begitu juga bank-bank khususnya seperti Bank Bumiputra dan Bank Pembangunan, Bank Pertanian ditubuhkan khusus untuk memberi kemudahan kredit kepada Melayu yang ingin berniaga.
Agensi-agensi yang terbabit untuk membantu orang Melayu berniaga juga sentiasa menganjurkan program-program latihan kepada peniaga Melayu untuk melengkapkan diri mereka dengan pelbagai ilmu dan kemahiran supaya dapat bertahan dalam sepak terajang dunia perniagaan.
Di peringkat pembangunan wilayah pula, pelbagai usaha telah dilakukan untuk membantu orang Melayu supaya mampu memiliki tanah sendiri.
Felda, Felcra, Dara , Kejora , Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) dan banyak lagi rata-ratanya ditubuhkan khas untuk memastikan bahawa ekonomi orang Melayu tidak terus jauh ketinggalan berbanding dengan kaum yang lain. Dan di setiap pembangunan wilayah berkenaan, kerajaan memberi peluang kepada orang Melayu untuk membangunkan sendiri bandar-bandar yang bakal menjadi pusat kegiatan ekonomi penduduk tempatan.
Di Dara, misalnya kita ada Bandar Tun Razak dan juga Bandar Jengka di LKWJ. Apa jadi dengan bandar-bandar itu setelah dua puluh tahun diamanahkan kepada orang Melayu untuk menjadikannya sebagai sebuah pusat bandar yang rancak kegiatan ekonominya?
Tidak keterlaluan untuk saya mengatakan bahawa bandar itu ibarat hidup segan mati tak mahu.
Saya secara kebetulan sempat ke Bandar Tun Abdul Razak, Keratong Pahang baru-baru ini - amat menyedihkan setelah dua puluh tahun cuma ada gerai-gerai dan warong-warong kecil sahaja yang bertapak di situ - rumah kedai jauh sekali?
Namun begitu, pengalaman saya berkhidmat beberapa tahun di Jengka benar-benar membuka mata saya akan belang sebenar orang Melayu dalam perniagaan. Kegagalan Bandar Jengka untuk muncul setanding dengan bandar-bandar yang dikuasai oleh orang bukan Melayu berpunca daripada sikap orang Melayu juga. Amat menghairankan sebuah bandar yang hampir seratus peratus dikelilingi oleh orang Melayu tidak boleh dibangunkan - sedangkan dalam masa yang sama sebuah pekan kecil yang terletak tidak jauh dari situ yang dihuni oleh cuma sebilangan kecil komuniti Cina mampu menjadi sebuah bandar kecil yang boleh menawarkan pelbagai bentuk barangan dan kemudahan malah hingga kepada perniagaan jualan kereta sekalipun! Anehnya masyarakat Felda lebih seronok bertumpu di pekan Sungai Jerik ini daripada sama-sama menyumbangkan peranan mereka sebagai kuasa beli untuk membangunkan Bandar Jengka.
Cuma sejak kebelakangan ini, ekoran daripada munculnya UiTM, hospital, bank-bank, kegiatan ekonomi di Bandar Jengka sudah agak rancak dan dengarnya sudah ada usahawan Melayu yang mampu memiliki pasar rayanya sendiri.
Nah, apa lagi yang tidak dibuat oleh kerajaan untuk memberikan peluang kepada orang Melayu menceburkan diri dalam dunia perniagaan? Pada saya bukan faktor modal dan bukan juga faktor kemahiran dan kepakaran yang menjadi batu penghalang kepada kegagalan orang Melayu dalam bidang perniagaan kini.
Ia sebenarnya berkaitan dengan soal sikap orang Melayu sendiri yang kaya dengan hasad dengki, mementingkan diri sendiri dan tidak bersatu padu untuk membantu sesama sendiri.
Justeru, untuk memastikan survival orang Melayu dalam bidang ekonomi amalan-amalan yang merugikan bangsa - menikam dari belakang, memijak kepala orang lain untuk naik, menjadi enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing perlu dikikis sama sekali.
Ambillah iktibar daripada kejayaan kaum lain yang boleh berdiri di atas kaki sendiri hasil daripada kekukuhan permuafakatan mereka, kerana tidak selamanya kita harus dilihat sebagai kaum yang suka bergantung kepada orang lain.
AHMAD KAMIL MOHAMED, Pensyarah Pusat Bahasa, UiTM, Segamat.