Posted Saturday, November 7, 1998
NOTIS KEPADA PEJUANG-PEJUANG REFORMASI Assallammualaikum dan Salam Reformasi PEJUANG REFORMASI ADALAH PENDOKONG UKHUWAH ISLAMIAH DAN UMMAH: Kesemua kita adalah dikalangan rakyat yang berbagai kaum dan bangsa walaupun berbeza kepercayaan agama, namun kita telah sedar dari kealpaan tentang segala pembohongan demi pembohongan daripada pihak pemerintah yang terang-terang telah menyalahgunakan kuasa mereka. Perjuangan Reformasi kita adalah berlandaskan dasar-dasar persaudaraan di bawah naungan dan panji-panji Islam untuk membentuk hubungan yang lebih erat antara satu dengan lain, saling menghargai, saling menolong, saling memberi dokongan, saling memberi maklumat, saling menasihati tentang iman dan taqwa demi memberi kesejahteraan dan keselamatan bersama. Sehingga ke hari ini, Dr. Mahathir adalah seperti api di dalam sekam dan menggunting di dalam lipatan. Nampak di luar Dr. Mahathir sangatlah berhemah tetapi dialah penderhaka kepada agama, bangsa Melayu dan penghianat kepada bumi Malaysia. Apabila Dr. Mahathir melepaskan racun-racun fitnah didalam misi-misinya untuk menghapuskan tokoh-tokoh pemimpin yang bersemangat dan mempunyai idea dan cita-cita keIslaman, maka sekarang muncullah kita, orang-orang yang tekun dan cenderung untuk berjuang bagi menyelamatkan maruah agama, bangsa dan negara dari tipu muslihat Dr. Mahathir dan kaum kerabatnya. Pejuang-pejuang Reformasi tidak berharap kepada pertolongan sesiapapun. Sudah tidak ada kuasa Raja. Sudah tidak ada kuasa Tentera. Sudah tidak ada Keluruhuran Perlembagaan. Sudah tidak ada Kedaulatan Undang-undang dan tidak ada Tata susila – Semuanya telah hancur, dirobik dan dirobohkan oleh Dr. Mahathir. Hanya yang tinggal kepercayaan dan iman kepada Tuhan. Hanya yang tinggal kuasa rakyat. Hanya kita yang mampu mengubah nasib kita sendiri dan kitalah pejuang dan tentera Allah yang unggul. Bersatulah membentuk barisan, kita berjuang dengan satukan tenaga kita, satukan suara kita. Jangan biarkan kita dijadikan sepak-terajang oleh anjing-anjing gila perliharaan Dr. Mahathir. Jangan jadikan perjuangan kita diperkecil-kecilkan oleh media tali-barut Dr. Mahathir. Ayuh, bangkit ke medan perjuangan, jangan takut dan jangan bimbang Allah sentiasa bersama kita. Alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang mandi, biar basah seluruh badan. Alang-alang berkorban, kita berikan harta dan nyawa kita kerana Allah dan negara tercinta. Bulatkan hati kepada Allah. Demi maruah, demi agama, demi bangsa, kita mesti bersatu bermuafakat dan kita mesti yakin kita akan berjaya menebus dan menyempurnakan hasrat perjuangan kita yang telah diredhai oleh Allah. Bapak kebathilan, Dr. Mahathir pasti kecundang, pasti tersungkur kerana kekuatan Dr. Mahathir sudah tidak bermakna tanpa kekuatan dan sokongan ulama’ tabi’in, ulama yang membawa warisan Nabi Muhammad s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda serta Rakyat yang bertaqwa. ALLAHU AKBAR ALLAHU AKBAR ALLAHU AKBAR Hidup REFORMASI ! Bebaskan ANWAR, Pemimpin Rakyat ! RAKYAT Mahu MAHATHIR Undur ! Jadikan kelaziman pada tiap-tiap hari Jumaat, bermula pada hari Jumaat, 6hb November, 1998, kita satukan tujuan kita kepada Allah dan Rasul. Kita memanjat doa meminta restu dari Allah beramai-ramai di Mesjid Negara.
Bersatulah dengan satu tujuan, tekunkan beribadah jemaah dan kita teruskan perjuangan kita dengan berdoa pada setiap hari diwaktu Maghrib dan Isya’ di Mesjid Negara. Seterusnya berhimpunlah di Mesjid Negara pada tiap-tiap hari Sabtu di antara Waktu Zohor dan Asar meminta restu dari Illahi sebelum kita melangkah untuk berjuang.
Disitulah pemimpin kita merakamkan amanatnya yang terakhir sebelum beliau ditangkap dan disitulah kita akan lenyapkan riwayat pemerintah yang bermaharajalela dengan kemegahan dan kemewahan duniawi.
Disitulah kita akan semadikan perjuangan kita di dalam sejarah. Setiap arahan seterusnya kita selenggarakan bersama-sama di Mesjid Negara. Walaupun ada bahaya dari talibarut-talibarut polis dan cawangan khas, persetankan mereka. Ambil arahan dari sumber yang jernih, dari hati dan perasaan yang Allah akan berikan kepada kita, Insya Allah.
Disinilah kita akan rakamkan jumlah sebenarnya penyokong-penyokong saudara Anwar dan pendokong Ukhuwah Islamiah dan Ummah.
Biar dunia melihat. Biar Mahathir melihat. Disitulah kita akan bergerak dan digerakkan oleh Allah ke mana jua bagi menunjukkan kekuatan kita. Ya Rabbi, Subhanallah, Walhamdulillah Walaillah hakilallah,
Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar
Saranan daripada: Golongan Muslimin Yang Insaf (November,3, 1998)
Email: reformasi-terkini@usa.net