Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!


Posted Thursday, October 22, 1998

RIWAYAT PEMERINTAH DI TRIBUNAL ALLAH S.W.T


Inna lillahi innalilahhi rojjiuun.

Setiap yang hidup, semestinya akan menemui maut dan pasti akan dihidupkan kembali ke atas rohnya oleh Allah S.W.T. di negeri atau di alam Barzah.

Inilah tribunal Allah yakni Mahkamah Tuhan Robbul Jalil Yang tidak ada pembohongan seperti yang telah dijanjikan oleh Allah S.W.T.

Bermula detik sebelum ada kehidupan di dunia fana’ ini, Allah Zalla Wajalla telah menjadikan keseluruhan kehidupan, kebathinan yakni ghaib hanya dengan roh

yang bersih (kudus), jauh dari zulumat seperti hasat dengki, riak, takkabur, ujud dan samaah.

"Alastu Birrabbikum ?"

"Kolu Bala".

Itulah ikrar taat setia oleh setiap roh penghuni diluhur mahfuz pada ketika itu.

Ertinya: "Ditanya oleh Allah akan Roh, siapakah Tuhan kamu?, Maka jawablah roh-roh itu : Tiada yang lain bahkan Kau jua".

Maka bermulalah titik tolak kebesaran Allah menjadikan Adam bertubuh dan berjasad sebagai penghuni Syurga. Itulah sebaik-baik kejadian yang Allah telah jadikan yang diakui oleh para Malaikat melainkan Iblis. Maka terkeluarlah Iblis dari qariahnya, iaitu kaum Jin, dengan satu janji yang dikabulkan oleh Allah yakni menghasut sebanyak-banyaknya kaum Jin dan Bani Adam (keturunan Adam) untuk menjadi ahlinya yakni dilaknati Allah sehingga hari Qiamat.

Sehingga berjaya Iblis menghasut Hawa yang dijadikan oleh Allah dari tulang rusuk Adam semasa berdua-duaan di dalam syurga, menikmati kasih sayang Allah pada ketika itu.

Maka diturun oleh Allah darjatnya, terbukalah pakaian-pakaian kebesarannya di Syurga dan diturunkan di bumi nyata dengan penuh penyesalan.

Maka bermulalah kehidupan di dunia sehinggalah terjadilah berjuta-juta umat Adam dengan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul dengan empat Kitab Allah yakni Risalah firman Allah kepada Rasul-Rasul yang terpilih dan Quranlah penutup kepada risalah yang diturunkan kepada Muhammad s.a.w. sebagai risalah mu’takhir bagi mengimankan umat-umatnya, Jin dan Insan sehingga hari Qiamat.

Maka bermulalah kematian demi kematian dari kehidupan yang terjadi selepas manusia berkelamin diantara lelaki dan perempuan.

Diuji oleh Allah S.W.T., sebelum ajalnya dengan kenikmatan di dunia dan dipengaruhi dengan pelbagai dugaan-dugaan yang berlawanan seperti kuat dan lemah, miskin dan kaya, bersih dan kotor, cantik dan buruk, gah dan hina dan sebagainya. Disebaliknya persamaan di setiap kelahiran mempunyai roh dan akal untuk bergerak dan untuk berfikir dan mencari kebenaran akan hal tujuan mengapa Allah S.W.T. menjadikan manusia di dunia ini.

Diriwayatkan pada suatu ketika, ada suatu negeri yang sangat bertuah dijadikan Allah dengan pemberian-pemberian hasil mashul dari tanah seperti galian minyak, emas, perak dan sebagainya. Tanah-tanah yang subur hijau dengan tumbuh-tumbuhan dan hutan yang tebal. Dijadikan hujan dan panas seimbangnya.

Penghuni-penghuni yang tinggal didalamnya ditakdirkan berbagai-bagai bangsa dan agama dan Islam disebut sebagai agama rasminya.

Kehidupan pada zaman itu sangatlah maju. Negeri yang kecil mendapat nama diseluruh dunia dan disitulah negeri yang diperintah oleh seorang hamba Allah yang berjaya menggalahkan seteru-seterunya yang kuat dengan kekuatan minda dan berkomplot untuk memerintah pada sekian lama.

Pemerintah ini banyak menggunakan akal dan fikirannya. Dipilih olehnya di antara rakyat –rakyat dari kalangan yang berbilang bangsa untuk menjadi Majlis Tertinggi, Menteri-menteri, pegawai-pegawai dan penasihat-penasihatnya.

Di antaranya orang-orang yang pandai agama, cerdik pandai ekonomi, ahli perniagaan, jurutera, peguam, pendidik, doktor dan lain-lain.

Maka memerintahlah ia untuk menjadikan negeri ini maju, lebih maju dari negeri-negeri yang sudah maju ketika itu dengan perancangan yang angkuh dan mendabik dada tanpa mengucap syukur kehadrat Illahi.

Pemerintah ini juga tidak lupa untuk mangadakan pasukan-pasukan keselamatan untuk menjaga kepentingan dan keselamatan negerinya. Pada awal pemerintahannya, pemerintah ini telah berjaya mengikat dan menambat hati rakyat negeri ini dengan berbagai-bagai kenikmatan dunia tanpa diseimbangi dengan keperluan rohaniah.

Berbagai-bagai tempat hiburan dijadikan atas nama keperluan hidup. Beserta itu, kenikmatan hasil mashul negeri ini digunakan dengan sewenang-wenangnya untuk mendirikan bangunan-bangunan yang tinggi dan besar-besar yang tidak diketahui faedah-faedahnya. Berbagai-bagai projek negeri telah diberikan kepada keluarganya dan kaum kerabatnya.

Maka berkuasalah dia di atas undang-undang yang dijadikan bagi menetukan ia terus berkuasa dan di dalam itu maka alpalah dia dengan kekuasaan, kemewahan yang ada ketika itu sehingga timbullah keinginannya untuk menjadikan dirinya, keluarga dan orang-orang yang terdekat dengannya seperti menteri-menteri dan pegawai-pegawainya untuk mengambil kesempatan agar menjadi lebih kaya-raya dan dengan itu dapat mengekalkan kuasa yang sedia ada.

Manusia merancang, Allah Taalalah yang menentukannya.

Maka didatangi oleh Allah seorang dari Menteri Kanannya telah mula curiga dengan tindak tanduk perlakuan pemerintah tersebut. Maka jadilah sengketa diantara mereka.

Bermuafakatlah permerintah dengan pegawai-pegawainya yang dipercayai taat dan mendapat habuan untuk berkongsi kekayaan dengan Si Pemerintah. Rahsia penipuan dan pembohongan pasti akan diketahui rakyat sekiranya Si Polan, Menteri Kanan tersebut yang telah mengsyaki dan mendapat bukti kepada penyelewengan tidak dibunuh atau dikeluarkan dari Kerajaan Pemerintah.

Lebih-lebih lagi Si Polan ini adalah terlalu kuat agamanya dan banyak pengikut daripada rakyat negeri ini.

Maka berulanglah riwayat-riwayat yang telah difirmankan oleh Allah di dalam Al Quran, "Bahwasanya isteri, anak-anak, kaum kerabat, kekayaan dan kekuasaan itu adalah pintu segala fitnah".

Maka untuk menyelamatkan isteri, anak-anak, kaum kerabat, kekayaan dan kekuasaannya, maka Si Pemerintah merancangkan suatu komplot fitnah yang besar yang tidak dapat diterima oleh akal rakyat-rakyat negeri itu.

Si Pemerintah dengan menggunakan nama di atas kuasanya serta merta melucutkan jawatan yang ada pada Si Polan tersebut. Diaibkan ia dihadapan rakyat-rakyat dan anak isteri serta keluarganya dan seterusnya dihumban ke dalam penjara dan diarahkan oleh Si Pemerintah dan pegawai-pegawai atasannya yang lain kepada Ketua Keselamatan untuk menentukan segala fitnah ini diakui oleh Si Polan dengan apa jua jalan sekalipun.

Tiada siapa dikalangan orang atasan yang berani untuk menetang apa jua kezaliman yang sedang berlaku kepada Si Polan ini. Hanyalah doa adan amalannya dan mengarahkan dirinya kehadrat Allah Taala.

Dengan tidak disangka-sangka, rakyat jelata telah ditiupkan oleh Allah agar bangun menentang kezaliman dan kefasikan oleh pemerintah tersebut. Perhimpunan rakyat menentang pemerintah berlaku di sana sini, banyak yang ditangkap, dianiayai, dipukul, dibelasah oleh Pasukan Keselamatan. Rakyat tetap bangun seperti terbitnya cendawan selepas hujan. Mereka menadah tangan meminta Allah menunjukkan kebenaran dan membantu perjuangan mereka menentang kefasikan pemerintah tanpa takut dan bimbang.

Maka berlakulah takdir. Si Pemerintah dengan tiba-tiba diserangi penyakit yang sangat merbahaya dari seorang yang pada hidupnya sangat berkuasa dan kaya-raya, angkuh dan takabur. Tiba-tiba menjadi lemah dan longlai.

Puas pakar perubatan bertungkus-lumus mencari penawar untuk menyembuhkan penyakit yang tidak diketahui punca asalnya.

Anak-anak dan isteri tidak terkira kesedihan dan tangisan. Menteri-menteri dan pegawai-pegawai kanan yang dipercayai seolah-olah hilang pertimbangan kerana selama ini mereka tidak pernah bermimpi, Pemerintah mereka yang kuat, yang pandai sedang dalam kesakitan sedangkan mereka tidak pernah tahu selok-belok pemerintahan.

Taqdir Allah mengatasi segalanya. Kedatangan Malaikat Maut membawa perintah untuk mengambil roh yang berzulumat dengan segala bentuk kekotoran duniawi.

Si Pemerintah yang di dalam kesakitan yang amat tidak mahu pergi berjumpa Illahi sedangkan di dalam Naza’ sakaratul maut dan a’marat, hatinya masih mahu duduk di dunia yang penuh dengan kemashuran, kekayaan dan kekuasaan dan ingin menongkat langit.

Maha suci Allah yang Maha mangetahui, tiada berlenggah walau sesaatpun, maka Malaikat Maut merentap roh yang sesat dari jasad pemerintah dengan sentapan yang amat sakit yang hanya dapat dibayangkan, seolah-olah seekor kibas yang diseliatkan kulitnya dari dagingnya hidup-hidup dan sehina-hina roh ditarik oleh Malaikat keluar dari lubang dubur Si pemerintah, keluar bersama-sama air-air kuning dan najis yang busuk sebusuk-busuknya meninggalkan jasad Si Pemerintah yang tidak lagi mempunyai erti pada kekuasaan dan kekayaan dunia.

Maka meratap tangislah anak-anak isteri, kaum kerabat, rakan taulan dan orang-orang yang masih mengharapkan untuk Si Pemerintah terus hidup demi kehidupan yang Maha kaya yang Maha mewah yang Maha berkuasa.

Belumpun sempat mayat Si Pemerintah ditanam, anak-anak telah mula bergaduh untuk merebut kekayaan yang terkumpul. Menteri kanan yang lain serta pegawai-pegawai atasan yang jengkil dan tidak pernah mengetahui selok-belok memerintah dengan erti kata sebenar mula memfitnah satu sama lain seperti yang telah ditauladani daripada Si Pemerintah yang telah mati untuk mengalahkan seteru-seteru di antara mereka agar dapat menjadi pengganti sebagai Pemerintah.

Maka huruharalah keluarga dan huruharalah negara, kerana rakyat terus membantah dan mahukan pemimpin rakyat dikeluarkan dari penjara dan memerintah negeri.

Mayat Si Pemerintah yang busuk tidak mahu didekati oleh sesiapapun. Maka yang menguruskannya hanyalah orang biasa – orang bawahan. Dimandikan dengan maki hamun, Dikapankan dengan segera dengan kain putih yang tiada seberapa harganya. Disembahyangkan dengan diupah seberapa banyak orang yang boleh diupah, Ditalqinkan oleh ahli agama yang keahliannya hanyalah untuk mengajar Si Pemerintah akan hal kehidupan selepas mati, selepas Si Pemerintah tidak bernyawa lagi.

Maka mulalah era kehidupan selepas mati. Di Barzah mulalah Tribunal Allah yang dikatakan tiada pembohongan. Pada ketika itu, berseorangan, berhadapan dengan Al-Nungkar dan Al-Nangkir. Maka Si Pemerintah di dalam Barzah menangis sambil bekata-kata:

  1. Janganlah dihukum akan aku. Aku tidak tahu kesalahan aku. Bagaimana akan aku tahu kesalahan aku kerana selama aku hidup di dunia, orang-orang yang mati sebelum aku tidak pernah kembali ke dunia untuk memberitahu aku adanya Mahkamah Tribunal Allah selepas mati.
  2. Memekek Malaikat dan terus memukul hingga mati dan dihidupkan kembali .

    - Maha sakitnya!

  3. Ampunkan aku. Orang-orang agama yang aku lantik mengiakan segala perbuatan aku ini mengikut syariat Rasul dan aku yakin mereka ini berilmu lalu aku percaya yang mereka itu dikalangan yang benar.
  4. Lalu dipukul lagi oleh Malaikat dikepalanya dengan Maha kuat sampai mati dan dihidupkannya lagi.

  5. Sudahlah, cukuplah, sakitnya. Aku bukan seorang, ramai lagi menteri-menteri aku, pegawai-pegawai aku, isteri dan anak-anak aku yang menyucuk dan membatu-api aku dan menyuruh aku menipu hasil kekayaan negeri supaya kami kuat dan kami akan terus berkuasa. Tolong jangan pukul aku seoarang diri.
  6. BOOM ! Hali lintar terus menyambar, membakar hangus dan dihidupkan kembali

    – Malang sungguh nasib !

  7. Tidak, bukan aku yang menzalimi Si Polan tapi Ketua Keselamatan aku yang melakukan fitnah. Hukumlah dia ! Menteri-menteri aku takut keburukan dan rahsia kejahatan mereka terbongkar dan kekayaan mereka dirampas!!
  8. SPLASH ! Air yang mendidih-didih terus mencurah-curah kepada Si Pemerintah sehingga berkecai kulit dan isi daripada tulangnya – Maha pedihnya !

  9. Tidak, bukan aku yang menzalimi rakyat, memukul rakyat. Menteri-menteri aku, timbalan aku dan ketua anggota keselamatan dan anggota-anggota keselamatan yang berbuat demikian. Kasihankan aku.

Dipicit oleh Malaikat kerongkongnya sehinga terkeluar isi perutnya dari duburnya.

  1. Tidak-tidak. Aku mengikut hukum yang betul yang aku jadikan, dan berbagai-bagai undang-undang yang baik untuk negeri aku. Semua hakim-hakim aku mengikut arahan yang terbaik dari peguam negeri aku. Aku menerima lapuran setiap masa dan aku berpuas hati. Jangan tanya aku, kalau ada penipuan tentang saksi-saksi palsu, bukti-bukti palsu. Kau tanya pada peguam aku, hakim aku, Ketua keselamatan aku.

Kalau ada merekalah yang bersalah. Hukumi mereka! Kenapa engkau hukum aku berkali-kali. Aku sudah tak tertahan lagi. Mereka juga telah menerima habuan daripada kerja-kerja yang mereka lakukan. Jangan laknati aku seorang. Mereka juga mesti engkau adili sekarang.

Jerit Si Pemerintah. Maka dilakukan lagi oleh Malaikat berbagai-bagai lagi hukuman yang perit dan yang pedih, tidak ada akal fikiran manusia yang dapat menyamai kepedihan dan keperitan tersebut.

Kesemua penipuan dan pembohongan keluar nyata di dalam INFORMATION TECHNOLOGY TRIBUNAL ALLAH yang telah sedia ada, hanya menunggu manusia-manusia yang KUFUR, FASIK, KAFIR DAN ZALIM, mengikut giliran-giliran mereka seperti yang telah dijanjikan melainkan mereka yang kembali ke jalan kebenaran dan bertaubat nasuha yakni taubat melalui mulut diikuti dengan perlaksanaan yang disaksikan oleh orang-orang yang beriman, orang-orang yang memerangi kefasikan dan sentiasa mencari perubahan secara kebaikan yakni Islah demi kebaikan ummah, agama dan negara.

Wallahualam bisawwab.

Daripada Golongan Muslimin Yang Insaf



Email: reformasi-terkini@usa.net