Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!


Posted Thursday, November 26, 1998

TUMPUAN PERJUANGAN REFORMASI MASA KINI, VISI UNTUK MASA DEPAN

 

Sebagai Presiden kepada Rangkaian Pari-parti di bawah Barisan Nasional (BN), Mahathir semestinya amat cemas dan bimbang di atas laporan-laporan daripada Pihak Cawangan Khas PDRM yang dari masa ke semasa memberi laporan berkenaan dengan penurunan prestasi kekuatan UMNO dan BN.

Mahathir juga telah kehilangan keyakinannya kepada beberapa individu-individu tertentu yang begitu optimistik sebelum ini di dalam kerajaan yang telah memegang iltizam untuk meyediakan strategi-strategi yang canggih bagi Mahathir untuk menamatkan kerjaya politik dan menggulingkan Anwar daripada kerajaan bagi mengelakkan pertentangan kuasa dan populariti yang begitu ketara di antara Presiden dan Timbalannya.

Strategi-strategi jangka pendek yang dikatakan sangat efektif melalui putaran dan liputan spontan isu-isu semasa yang di bawa oleh media yang hangat, menjadi bahan perbualan harian seperti skandal seks Clinton, skandal seks Hakim Mahkamah Tinggi di luar tabii dan beberapa kes-kes liwat tempatan melibatkan kanak-kanak di bawah umur yang dilihat seolah-olah sebagai satu fenomena wabak penyakit moral dari mereka yang berkedudukan dan berpengaruh dan secara sengaja, apabila Mahathir mula bertindak memasukkan jarum-jarum fitnahnya melalui tukang canang (individu-individu optimis tadi) untuk meniupkan angin-angin kemarahan dan kebencian rakyat kepada Anwar.

Sejak terbitan buku 50 dalil yang pertamanya disebarkan secara meluas di persidangan UMNO yang lepas, falsafah Mahathir telah bertukar kepada orang yang cenderung dan anti kepada orang-orang yang bermoral rendah dan melalui media massa Mahathir berharap strateginya ini akan berjaya mendapat sambutan dan sokongan hangat daripada jutaan rakyat Malaysia dan ahli-ahli UMNO apabila dia bertindak untuk menggulingkan Anwar dengan menggunakan isu-isu moral ini.

Dengan kebangkitan dan pencapaian rakyat Malaysia di dalam kefahaman agama Islam itu sendiri, orang-orang Melayu terutamanya, termasuklah ulama-ulama adalah golongan yang pertama telah bangun menyertai Anwar Ibrahim yang ternyata telah dianayai dan dizalimi oleh Mahathir tanpa mengikut lunas-lunas agama, perlembagaan dan undang-undang negara yang sedia ada.

Rakyat Malaysia yang berani terus menyertai perhimpunan-perhimpunan Rakyat yang dianjurkan oleh Anwar yang telah diterima sebagai pemimpin rakyat yang telah kembali kepangkuan rakyat dan telah mengumumkan satu perjuangan menuntut keadilan, kebebasan dan kebenaran melalui REFORMASI RAKYAT, walaupun sudah ada kesedaran bahawa Anwar dan beberapa pemimpin yang telah insaf akan ditangkap di bawah ISA dan dihukum dengan cara yang tidak demokratik dan zalim.

Penyertaan rakyat yang prihatin berhubung dengan kezaliman dan ketidakadilan Mahathir bertambah subur saban hari dan dari perkarangan rumah Anwar kehadiran rakyat telah mencurah-curah sehingga di jalan-jalan besar di Bukit Damansara untuk mendengar arahan-arahan dan taklimat-taklimat Anwar berhubung dengan segala bentuk kepincangan di dalam pemerintahan kerajaan masa kini hinggalah kejayaan membawa tuntutan REFORMASI ini bergerak keseluruh negara melalui "Road Show" bersama Anwar dan pengedaran kaset-kaset dan video ucapan Anwar keseluruhan negara. Maklumat-maklumat terkini melalui alternatif media melalui internet juga telah berjaya menyampaikan mesej-mesej tindakan dan notis-notis Reformasi kepada Rakyat apabila Media Massa tempatan kehilangan kepercayaan dan sumber-sumber maklumat yang dicetak berbau dakyah dan fitnah.

Walaupun menghadapi tekanan-tekanan dan tindakan-tindakan ganas dan zalim daripada pihak polis yang penuh taat setianya kepada Perdana Menteri dan ketua Polis Negara, dedikasi rakyat dan sokongan mantap dalam memenuhi tuntutan-tuntutan REFORMASI menjadikan suasana politik semasa di dalam kerajaan dan UMNO bergelora dengan hebatnya.

Kejayaan ini bukanlah kerana Anwar petah berucap tetapi adalah hasil daripada tindakan melulu dan membabi buta Mahathir itu sendiri, yang tidak berperikemanusiaan dan membelakangkan proses perundangan dan perlembagaan negara dengan secara terang dan berterusan menerusi sistem pemerintahan kuku besinya, amalan rasuah serta salahguna kuasa untuk menjaga kepentingan diri, keluarga serta kelompok-kelompok korporat yang Mahathir mempunyai kepentingan.

Sesungguhnya, dasar dan polisi tuntutan REFORMASI rakyat iaitu menuntut perubahan ke arah keadilan, kebenaran dan kebebasan adalah dituntut oleh agama, bangsa dan Nusa. Tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak di dalam dan luar begara pada masa itu, rakyat telah bangun sehingga kini untuk menyatakan pendirian mereka dan anti kepada dasar kuku besi dan rasuah yang berleluasa.

"Tuntutan melalui demonstrasi aman di dalam menjaga kepentingan keseluruhan rakyat dan visi masyarakat dari segi kerajaan yang berkualiti, adil dan saksama di dalam memberi perkhidmatan dan peluang-peluang perniagaan serta membasmi kemiskinan", merupakan asas perjuangan REFORMASI rakyat di seluruh negara.

Rakyat sedar bahawa Mahathir akan menggunakan segala kuasa dan jentera-jentera kerajaan dan media massa untuk memburuk-burukkan perjuangan REFORMASI seolah-olah REFORMASI di Malaysia ini diciplak dan ditiru daripada negara-negara jiran terutamanya Indonesia.

Mahathir akan terus mengutuk demonstrasi-demonstrasi rakyat yang telah bangun ini sebagai golongan anti kerajaan dan perusuh-perusuh yang ganas dan ditaja oleh orang-orang tertentu di dalam dan luar negeri.

Mahathir akan menyalahkan orang-orang dan negara-negara yang bersimpati dengan Anwar sebagai dalang untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik. Mahathir akan terus mengutuk dan menghina Wan Azizah, isteri dan ibu yang malang dengan berbagai fitnah agara rakyat membenci dan memarahi Anwar dan Wan Azizah yang telah mendapat simpati daripada pemimpin-pemimpin dunia.

Mahathir akan terus marah kerana kecewa untuk mendapatkan pinjaman-pinjaman luar dan ekonomi negara juga telah bertambah tenat oleh itu terpaksa mencari sasaran-sasaran tertentu untuk menutup kegagalannya memerintah dengan adil dan saksama serta gagal memulihkan ekonomi seperti yang telah dijanjikan.

Mahathir bertambah bimbang dengan maklumat-maklumat yang bocor daripada kerajaan kepada rakyat melalui internet dan juga Anwar Ibrahim. Kebimbangan Mahathir terus membuatkannya sasau apabila Mahathir mengarahkan jentera parti dan pemuda Barisan Nasional di dalam kursus pimpinan yang diadakan baru-baru ini mengeluarkan strategi-strategi untuk menakut-nakutkan rakyat yang berlainan agama dan budaya akan kebinasaan yang sentiasa menunggu sekiranya parti-parti politik yang mencorakkan Islam menang di dalam pilihanraya.

Arus politik Mahathir dan UMNO ketika ini jelas memusuhi Islam - yakni memusuhi Allah dan Rasul serta Kitabullah dan Sunnah Nabi s.a.w.

Bersama-samalah kita membina negara dan masa depan yang lebih gemilang dan cemerlang.

(sila buat salinan dan edarkan ke seluruh negara)



Email: reformasi-terkini@usa.net