Menangkis
Segala Fitnah Pembangkang
|
|
|
||||||||||||
"Perjuangan Yang Belum Selesai tidak ada yang lebih menyayatkan dari melihat bangsaku dijajah Tidak ada yang lebih menyedihkan dari membiarkan bangsaku dihina Air mata tiada ertinya sejarah silam tiada maknanya sekiranya bangsa tercinta terpinggir dipersenda dan dilupakan..." Dr. Mahathir Mohamad,Mei 1996
|
UNSUR SALAH LAKU DI PERINGKAT MESYUARAT PEMUDA BAHAGIAN ALOR SETAR Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar telahpun berlangsung pada 3 April lepas dan telah menyaksikan rombakan kabinet secara besar-besaran dilakukan oleh pakatan pemimpin tertinggi di peringkat bahagian untuk menghapuskan sama sekali ahli jawatankuasa pemuda bahagian yang dikatakan sudah tidak lagi sebulu dengannya. Saya di antara ahli perwakilan yang hadir dengan ini dapat menyaksikan
perkara ini dan mendengar sendiri dari para perwakilan yang hadir tentang
satu strategi yang begitu licik dan bijaksana diatur oleh mereka-mereka
yang ingin menghapuskan keseluruhan muka-muka lama pemuda bahagian dengan
cara yang begitu kotor, dalam erti kata lain, menggunakan wang sebagai
pertaruhan untuk mendapat kerusi.
Semasa mesyuarat dijalankan, sudah ada timbul bibit-bibit percakapan di antara perwakilan dan pemerhati yang bercakap sesama sendiri di dewan makan sebelah mesyuarat yang menjadi tempat singgahan para perwakilan yang bosan dengan ucapan yang sedang dilangsungkan. Antaranya ada yang sudah mengetahui penghapusan muka-muka lama akan berlaku, ada yang berkata mendapat sejumlah wang sebanyak RM50 yang dilipat bersama dengan sekeping kertas yang mengandungi nombor-nombor yang perlu diundi oleh para perwakilan semasa mereka mendengar taklimat pemimpin tertinggi di Tingkat 4. Dan yang lebih malangnya ada juga perwakilan yang secara sukarela memberitahu kepada saya bahawa Pimpinan UMNO Bahagian merestui calon ini dan tidak merestui calon yang lagi satu. Menerusi dari pemerhatian dan pemikiran, adakah merupakan suatu yang dibolehkan dari segi etika pemilihan sekiranya seseorang Pemimpin Bahagian itu menyatakan restu dan sokongannya kepada calon yang akan bertanding sebagai Ketua Pemuda Bahagian? Adakah tidak bersalahan dengan etika UMNO dengan memanggil semua perwakilan yang datang untuk diberi kata dua dalam satu dewan dan cuba mempengaruhi pemikiran perwakilan mengenai calon-calon yang bakal bertanding sebelum beberapa jam lagi untuk menghadapi mesyuarat yang sebenar? Mengapakah pemimpin tertinggi dalam UMNO Bahagian Alor Setar ini harus mencampuri dalam hal ehwal pemilihan Ketua Pemuda Bahagian Alor Setar? Adakah kerana muka-muka lama yang tidak sebulu dengannya ini yang menyebabkan beliau berasa takut dan gentar lalu menyiapkan strategi untuk menghapuskan mereka dan seterusnya menyiapkan satu laluan yang cukup selesa bagi dirinya untuk meneruskan kesinambungan politiknya yang dionakkan dengan cara yang begitu kotor? Saya sebagai perwakilan sungguh berasa sedih dan pilu mengenai seorang pemimpin yang saya sanjungi melakukan perkara yang sekotor itu demi untuk menjaga dirinya dan kepentingan politiknya di masa hadapan. Sebagai seorang perwakilan juga saya berasa sedih kerana para perwakilan UMNO pada malam itu memilih calon yang menggunakan wang sebagai tempat untuk merebut jawatan sebagai Ketua Pemuda dan Naib Ketua hasil dari pakatan yang cukup licik dengan Pemimpin Tertinggi dalam UMNO Bahagian. Di manakah maruah UMNO? Adakah maruah seorang pemimpin itu dapat dinilai dengan wang? Adakah jawatan-jawatan yang dipertandingkan itu harus dicemari dengan wang? Bagaimanakah sikap para perwakilan UMNO yang memilih pemimpin semata-mata kerana disogokkan dengan sejumlah wang? Sampai bila harus kita menjual maruah UMNO sebegini? Adakah mereka-mereka ini sudah lupa dengan pesanan YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad supaya menolak sama sekali pemimpin yang menggunakan wang untuk mendapatkan jawatan-jawatan tertentu dalam parti? Yang lebih menyedihkan apabila pemimpin yang dipandang pada zahirnya suci tetapi sanggup untuk melakukan politik secara kotor ini demi untuk kesinambungan politiknya di masa hadapan. Satu pertanyaan saya pada sedara, adakah sedara masuk ke dalam UMNO ini semata mata kerana jawatan ataupun kerana perjuangan yang suci demi memartabatkan agama bangsa dan negara? Cukuplah dengan sandiwara yang jijik yang dilakukan oleh sedara, saya sebagai seorang perwakilan yang hadir pada masa itu berasa sedih dengan perilaku sedara yang mengetuai barisan tertinggi UMNO Bahagian Alor Setar. Saya berharap, agar perkara ini dapat disiasat oleh Badan Jawatankuasa Disiplin UMNO. Dan sekiranya ia diberi perhatian, maka saya percaya ramai mangsa politik wang ini akan cuba tampil untuk memberi keterangan dan bukti. Saya sebagai seorang ahli UMNO merasa begitu sedih kerana perkara politik wang ini boleh berlaku. Rupanya masih ada lagi pemimpin yang menggunakan wang sebagai taruhan masa depan anak-anak muda melayu UMNO. Kerana politik wang, Rosak Bangsa Melayu.
|
|
||||||||||||