Menangkis
Segala Fitnah Pembangkang
|
|
|
||||||||||||
"Perjuangan Yang Belum Selesai tidak ada yang lebih menyayatkan dari melihat bangsaku dijajah Tidak ada yang lebih menyedihkan dari membiarkan bangsaku dihina Air mata tiada ertinya sejarah silam tiada maknanya sekiranya bangsa tercinta terpinggir dipersenda dan dilupakan..." Dr. Mahathir Mohamad,Mei 1996
|
KEBIMBANGAN AYAHANDA PM BERASAS Oleh: Damar Wulan Konsep meritokrasi telah lama diperjuangkan
oleh gagasan pembangkang di negara kita ini. PAS pernah menganggap hak
keistimewaan orang Melayu yang dipertahankan oleh UMNO selama ini sebagai
salah satu sifat assobiyah, sesuatu yang amat berbeda dengan apa yang diperjuangkan
oleh UMNO sebenarnya.
Kajian yang dilakukan sekumpulan penyelidik di UUM menunjukkan perbedaan prestasi yang jelas antara pelajar-pelajar Melayu yang memasuki universiti di peringkat Matrikulasi berbanding dengan pelajar-pelajar Cina yang memasuki universiti melalui STPM. Analisis yang dijalankan menunjukkan sekalipun pelajar-pelajar Melayu yang dipilih mengikuti program Matrikulasi merupakan pelajar-pelajar yang cemerlang di peringkat SPM, apabila menjejakkan kaki ke universiti, prestasi mereka semakin merosot tahun demi tahun pengajian. Kemerosotan para pelajar Melayu ini amat ketara bermulanya semester kedua di universiti, sebaliknya pelajar-pelajar Cina mula menunjukkan kemajuan di dalam prstasi akademik mereka pada masa yang sama. Mengapa begitu mendadak sekali prestasi pelajar-pelajar Melayu tersebut jika dibandingkan dengan rakan-rakan mereka yang berlainan kaum? Salah satu sebab yang dikenalpasti adalah syarat minimum untuk mengikuti kebanyakan program-program di universiti bagipelajar-pelajar lepasan matrikulasi hanyalah dengan CGPA 2.00, satu syarat mudah yang menyebabkan mereka berleka dan tidak menumpukan kepada kecapaian akademik yang cemerlang. Selain daripada itu, keadaan ini ditambah-burukkan lagi dengan kehadiran kader-kader politik pembangkang yang berlindung di sebalik kelab-kelab bersorak `keIslaman' di mana para pensyarahnya cenderung kepada perjuangan parti pembangkang. Kelab-kelab ini sekalipun menggunakan nama sarjana-sarjana terkemuka Islam sebagai nama kelab mereka, kebanyakan intipati aktiviti mereka menjerumus kepada bagaimana untuk mendapatkan sokongan daripada golongan muda Melayu kepada parti pembangkang yang kononnya ditindas dan dizalimi oleh kerajaan dengan retorik-retorik bahawa kerajaan yang wujud menyerupai kepemimpinan Kamal Attartuk di Turki, ditambah dengan `kisah-kisah' penganiayaan oleh kerajaan (UMNO khususnya) kepada mereka yang kononnya mahu memperjuangkan Islam di negara ini. Pelan tindakan dan strategi mereka bertindak sungguh licik, dan ini dibantu oleh sikap beberapa pensyarah yang gagal menggunakan ilmu yang mereka miliki untuk menganalisis kebenaran sesuatu cerita yang hendak disampaikan berdasarkan kehendak Islam sebenar, demi meraih simpati dan sokongan terhadap perjuangan parti pembangkang yang mereka sokongi. Akhirnya, di sebalik strategi, pelan dan tindakan yang diatur oleh para akademia Melayu untuk membantu meningkatkan pencapaian akademik anak-anak Melayu kita di kampus, ianya bertukar menjadi `satu kelebihan untuk memanjakan diri' dan semakin menjauhkan mereka daripada menempatkan diri di dalam arus kecemerlangan akademik yang sepatutnya menjadi rebutan mereka tatkala di kampus. Mereka berasakan tiada apa yang dapat menghalang diri mereka memiliki segulung ijazah yang menjadi bukti kehadiran mereka di menara gading, mereka terus berleka dan tidak peka, sebaliknya kebanyakan daripada mereka memilih untuk menghabiskan masa dengan berpeleseran dan melibatkan diri dengan aktiviti yang berkaitan dengan politik. Peduli apa dengan tidak menghadiri kulish 3 atau 4 hari sewaktu berkempen untuk pembangkang, kerana mereka masih tetap `dilindungi'. Isunya bukan kerajaan atau PM sudah desperate untuk mendapatkan sokongan mereka terhadap usaha kerajaan. Hakikatnya, kebimbangan PM itu adalah kegagalan anak-anak Melayu itu menguasai ilmu, akibat daripada terlalu banyak kelebihan dan `kemanjaan' yang diberikan kepada mereka berbanding anak-anak kaum lain, sehingga menjadikan mereka terlalu selesa dan melupakan matlamat dan tanggungjawab diri yang diberikan kepada mereka oleh agama, bangsa dan negara. Meritokrasi mungkin satu jawapan untuk kegawatan pencapaian akademik pelajar-pelajar Melayu di IPTA. Jawapan lain yang diperlukan ialah bagaimana untuk mengendalikan para pensyarah waimapun pegawai mereka yang lebih kanan yang turut melupakan tanggungjawab sebenar mereka mendidik anak bangsa dengan ikhlas dan jujur demi kemenangan sebuah parti. Semoga Allah SWT terus melindungi
bangsaku!
|
|
||||||||||||