Aplikasi teknologi VR popular terutamanya di dalam permainan CD-ROM, laman web, multimedia interaktif dan sebagainya. QuickTime VR berupaya memperkenalkan komposisi sesebuah persekitaran ruang dalaman sesebuah bangunan. Melalui teknologi VR, pengguna atau penonton seolah-olah dapat berjalan dan melihat pelbagai kawasan di dalam sesebuah ruang dalam
bangunan tersebut. Contohnya seorang pereka dalaman boleh menunjukkan contoh rekaan beliau hanya dengan merender sesebuah fail tersebut sebagai QuickTime VR dan mengirimkan fail tersebut kepada pelanggan melalui kaedah digital.
Teknologi VR boleh didapati dalam dua jenis yang berbeza iaitu jenis VR panoramik dan jenis VR objek. VR jenis panoramik merupakan sebuah fail foto atau ilustrasi digital yang direka pada saiz panoramik. Fail panoramik pula boleh dihasilkan dengan menyusun sejumlah gambar foto secara bahagian demi bahagian yang diambil sekitar 360°. Siri gambar ini kemudiannya boleh disusun secara automatik melalui kaedah “stiching” yang boleh didapati daripada perisian khusus pembangunan QuickTime VR seperti Apple QuickTime VR Tool, PhotoVista dan Stich.
Tetapi penggunaan kamera yang dikhaskan untuk penghasilan VR akan mempercepatkan proses penghasilan gambar berformat panoramik. Penggunaan kamera khas ini membolehkan sebuah komposisi objek yang lengkap dihasilkan kurang daripada 15 minit sahaja. QuickTime VR
panoramik pada dasarnya merupakan sebuah gambar foto atau ilustrasi digital yang membolehkan penonton melihat sesebuah komposisi persekitaran berdasarkan pergerakan penunjuk tetikus sama ada pada bahagian kiri, kanan, atas dan bawah komposisi fail VR berkenaan. Jika perlu, pengguna juga boleh zum dekat dan zum jauh pada bahagian tertentu komposisi VR. QuickTime VR jenis ini amat popular dan sesuai digunakan untuk menunjukkan tempat-tempat menarik atau ruang dalaman sesebuah persekitaran VR. Selain itu, fail VR yang siap boleh dipindahkan ke laman web dan multimedia interaktif. QuickTime VR objek dihasilkan melalui perisian animasi 3D. Sebahagian besar daripada perisian animasi 3D yang terdapat di pasaran menyediakan arahan tambahan untuk mengeksport fail komposisi 3D itu ke format QuickTime VR. Kamera maya perlu diletakkan di dalam komposisi 3D dan disetkan untuk merakam ke seluruhan komposisi yang merangkumi 360°. Contohnya, komposisi ruang dalaman sesebuah bangunan yang dipindahkan ke format QuickTime VR membenarkan penonton “berjalan” ke pelbagai sudut di dalam bangunan maya tersebut.
Melalui pemantapan pembinaan perisian pembangunan VR, pengguna atau pereka kini boleh menghasilkan VR panoramik dengan menggunakan klip video bersaiz panoramik yang diambil melalui kamera konvensional tetapi dibantu dengan tripod dan lensa khas. Namun penggunaan peralatan asas yang mudah dan murah masih boleh digunakan tetapi penghasilan fail VR dalam kuantiti yang banyak akan menjadi lebih mudah dan pantas.
Selain daripada penggunaan klip video sebagai bahan atau sumber VR panoramik, melalui penggunaan perisian pembangunan VR yang khusus sebanyak 12 rangkaian fail suara dapat dimasukkan ke dalam sesebuah fail QuickTime VR panorama dan QuickTime VR objek. Menariknya, 12 rangkaian fail suara tersebut boleh mewakili setiap aktiviti tertentu mengikut arah yang digerakkan oleh penonton atau pengguna. Contohnya, jika pengguna mengunjungi VR sebuah galeri maya maka kesan suara latar akan aktif secara automatik. Suara bersifat naratif yang memberikan penjelasan mengenai salah sebuah hasil kerja yang dipamerkan. Akan tetapi, jika pengguna mengarahkan penunjuk tetikus ke arah yang lain, kekuatan suara latar tersebut akan menjadi semakin berkurangan seolah-olah apabila mengalihkan pandangan dan badan kita ke arah lain. Dalam masa yang sama fail suara yang memberi penerangan tentang hasil karya ke dua itu akan diaktifkan, sementara fail kesan suara yang pertama tadi semakin tidak kedengaran.