Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Kembali

Hari Perpaduan Kaum


    Rusuhan kaum pertama Singapura telah berlaku pada 11hb Disember 1950. Rusuhan ini tercetus setelah banyak publisiti dan tuduhan mahkamah mengenai hak penjagaan seorang gadis berumur tiga belas tahun bernama Nadra atau lebih dikenali sebagai Maria Hertogh. Nadra yang dilahirkan oleh seorang ibu Katolik Belanda telah diberikan kepada seorang Melayu untuk penjagaan pada Perang Dunia Kedua. Fokus rusuhan itu ialah tentang kehidupan Maria yang dibesarkan dengan ajaran agama Islam tetapi kedua ibu bapanya beragama Katolik. Kontroversi yang berlaku ini merupakan fius yang telah mencetuskan rusuhan. Akibat dari rusuhan yang berlaku selama 3 hari itu, 18 orang telah terbunuh dan 173 lagi tercedera.

        Satu lagi rusuhan antara kaum berlaku pada 21hb Julai 1964. Rusuhan  ini tercetus apabila seseorang (bangsa Cina) melempar sebuah botol ke arah perarakan yang sedang berlangsung sempena Maulid Nabi (s.a.w.). Ini meningkatkan api kemarahan di kalangan peserta perarakan dan kekecohan mula berlaku. 23 orang telah terbunuh dan 460 lagi cedera akibat pertelingkahan yang berlaku selama 11 hari itu. Hari ini, setelah lebih dari 35 tahun peristiwa itu ditelan zaman, sudah cukup masanya rusuhan itu telah membawa kepada kesedaran dan pengajaran pahit kepada kita bagaimana tenunan perpaduan masyarakat boleh dileraikan dengan kelalaian menangani isu-isu sensitif. Oleh disebabkan itulah, 21hb Julai telah diisytiharkan sebagai Hari Perpaduan Kaum.


  
Kita tidak mahu sejarah hitam berulang lagi. Umumnya, sudah diterima bahawa persefahaman dan toleransi antara kaum perlu dipupuk dan disemai sejak kecil lagi, terutama sekali dalam kemajmukan masyarakat Singapura. Selain dari keluarga, sekolah turut memainkan peranan penting sebagai wadah interaksi kaum. Buat permulaan, mengingati sejarah Singapura cukup penting bagi kesedaran bersama. Sejarah mengajar kita jatuh sesebuah negara bergantung kepada nilai cinta sesuatu bangsa. Oleh itu, kita harus menghayatinya supaya lebih teguh lagi nilai sahsiah setiap warga Singapura. Dengan memahami isu kerentanan seperti kepekaan hubungan kaum dan detik hitam rusuhan juga, akan dapat wujud dan tertancaplah semangat cinta watan dalam diri pelajar. Konsep rancangan Pendidikan Nasional yang telah dibentangkan pula merupakan salah satu proses pembangunan satu bangsa, satu negara dan menguji keampuhan daya saing generasi pelapis Singapura. Generasi muda hari muka Singapura merupakan produk yang menentukan penakatan Singapura sebagai sebuah negara dunia. Mesej dalam Pendidikan Nasional bukanlah sekadar menghayati keperluan Singapura, malah cara memupuk jiwa rakyat agar cukup sedar akan peranannya dan sanggup membela kepentingan negara. Dalam rangka inilah kita dapat membina diri sebagai bangsa dunia dan bangga sebagai warga Singapura. Hakikatnya, masyarakat yang menunjukkan semangat perpaduan yang utuh akan mempunyai kedudukan yang lebih baik dalam dunia yang penuh persaingan ini. 

         Kita cukup beruntung kerana dasar berbilang kaum di negara ini tetap terpelihara dan tidak terpisah dari realiti jati diri Singapura. Walau bagaimanapun, keprihatinan masyarakat minoriti pula kian ketara sejak kebelakangan ini mengenai dasar pemerintah dan kesannya ke atas persamaan peluang berdasarkan sistem meritokrasi bagi semua warga tanpa mengira aliran kaum atau agama yang sekian lama terbukti memberikan kemaslahatan bersama. Dalam masyarakat kita yang berbilang agama, budaya dan kaum, memang genting masyarakat minoriti kita diberi ruang untuk mempunyai perbezaan, memelihara warisan dan budaya walau mereka berkongsi nilai asas bersama dan mewujudkan jati diri bersama dengan seluruh warga Singapura. Jika kita memaksa mereka tunduk pada satu acuan kesingapuraan dan meninggalkan resam, agama dan tradisi, keharmonian kaum kita akan terancam. Kita perlu sama-sama saling memahami dan bertoleransi dalam memelihara warisan budaya kita yang unggul. Kita tidak seharusnya membiarkan nilai dan adat tradisi terkikis oleh pengaruh budaya Barat. Dewasa ini, pemerintah telah menarik perhatian terhadap pembangunan elit budaya Cina dan memperkukuhkan suasana budaya sekolah SAP (Bantuan Khas Pemerintah). Walau bagaimanapun, ini telah menyebabkan bercambahnya keprihatinan di kalangan bukan bangsa Cina bahawa pemerintah surut dari matlamat berbilang kaum. Apa jua ukurtaranya, Singapura masih boleh dikatakan kian terjalin dan terpadu sebagai satu masyarakat berbanding satu generasi dahulu ketika merdeka. Sebagai tamilan, tempat kerja kita berbilang kaum dan kita mempunyai  bahasa kebangsaan yang digunakan dalam pengajaran di sekolah-sekolah. Ini membolehkan jalur-jalur kaum itu tadi berintegrasi membentuk sebuah masyarakat yang utuh.


        Kita sepatutnya bersyukur kerana negara kita tidak seperti negara-negara seperti Amerika Syarikat dan Afrika Selatan di mana jurang di antara jalur kaum jelas kelihatan. Di Amerika Syarikat, misalnya, penduduk kulit hitam selalu menjadi sasaran untuk pemeriksaan, hanya kerana bangsa mereka. Afrika Selatan pula masih jauh dari keindahan visinya untuk membentuk ‘bangsa pelangi’ kerana mereka masih terkial-kial membaiki perhubungan kaum dan mengubati luka sistem apartheidnya. Ini merupakan satu imej paradoks negara Afrika Selatan yang baru. Masyarakat masih hidup berasingan; orang berkulit putih hidup mewah di pinggir kota dan orang berkulit hitam di rumah-rumah setinggan.

    Oleh kerana takut akan pertelingkahan kaum ini, negara Australia pula telah membentuk satu pertubuhan untuk mengekang diskriminasi kaum. Pertubuhan ini juga mempromosikan kelebihan masyarakat  yang kohesi dan kaum yang harmoni berteraskan sikap saling hormat-menghormati, persefahaman, belas kasihan, keadilan dan pendamaian. Ia juga menasihati dan membantu pegawai pemerintah dalam menggubal norma-norma dan budaya supaya dapat merangsangkan lagi perpaduan kaum dan kesamarataan. Selain itu, ia juga membawa kesedaran awam tentang nilai dan kepentingan perpaduan kaum.

     
  Walaupun demikian, Singapura tidak boleh menutup sebelah mata dalam isu perkauman ini. Bibit-bibit parut kesilapan kaum masih ada dan tidak dapat dinafikan, ia akan menjadi sebahagaian dari negara ini. Ada yang berpendapat, mencorak sebuah kaum Singapura seperti ‘alchemy’ tetapi dengan kesabaran dan cara yang betul, ia boleh dilakukan. Jadi, tidak kira kita bangsa Melayu, Cina, India atau lain bangsa rakyat Singapura, ia dapat mengelakkan dari kesengsaraan jika mengetepikan ukurtara tersebut dan hanya menganggap diri kita sebagai satu bangsa iaitu bangsa Singapura. Walau bagaimanapun, perlu diingat yang kita tidak harus melupakan adat budaya bangsa kita sendiri.

         Negara Singapura boleh diumpamakan sebagai seekor ikan yang kecil. Tetapi, ikan kecil ini tidak semestinya tidak dapat mempertahankan dirinya. Ia boleh berbuat demikian dengan mencari keselamatan dalam kumpulan. Dengan kumpulan inilah ia boleh membentuk pertahanan dirinya dari musuh. Ini meliputi intipati keselamatan negara untuk memelihara warisan dan masa depan kita. Selain dari menggubal dasar dan menyesuaikan diri  kita juga harus sama-sama berjaga dan bersiap-sedia menghadapi kekacauan di rantau ini. Walau bagaimanapun, jika kita sama-sama tegak berdiri dan sentiasa berwaspada, tidak kira bangsa atau agama, kita boleh bergerak ke masa hadapan dengan lebih berkeyakinan lagi.

         Kita merupakan sebuah dunia yang dibentuk dari penduduk minoriti. Tiada bangsa atau kumpulan agama di dunia ini yang majoriti. Oleh sebab itulah biar kita jadikan perpaduan kaum sebagai satu fitrah manusia kerana ia merupakan jalan harapan dan penyelesaian bagi ketenteraman dan kedamaian hidup manusia sejagat.

Sulastri M. Thamrin