Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Kembali

Apakah ciri-ciri unik masyarakat di negara kamu yang telah membawa kepada kemajuan negara?


    Dunia hari ini telah menyaksikan Singapura muncul sebagai salah sebuah negara yang disegani. Berdasarkan sistem ekonomi yang stabil di samping pentadbir yang berkaliber, tidak dapat dinafikan bahawa Singapura sebagai sebuah negara industri akan terus mantap dan kukuh di persada dunia. Ciri-ciri unik masyarakat di negara ini juga merupakan pemangkin kepada kemajuan negara.

        Singapura adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kelompok masyarakat dan etnik. Oleh itu, perpaduan antara rakyat sangat penting dan merupakan salah satu ciri unik masyarakat negara ini. Sikap toleransi dan hormat-menghormati antara satu sama lain dijadikan pegangan asas dalam hubungan sosial. Rakyat sama-sama saling memahami dalam memelihara warisan budaya mereka yang unggul. Masyarakat yang utuh dan kukuh ikatan kebudayaannya dapat membentuk sebuah negara yang harmoni. Tanpa suasana negara yang harmoni, mustahil negara akan melangkah sebagai sebuah negara yang maju dan disegani.

        Selain itu, Singapura merupakan sebuah negara yang mempunyai ketahanan daya saing. Untuk menghadapi cabaran abad yang mendatang, negara perlu mempunyai rakyat yang berdaya tahan, teguh dan berjiwa murni. Ini kerana, rakyat yang mempunyai iltizam tinggi sahaja yang tangkas menghadapi segala bentuk rintangan. Di sinilah kualiti masyarakat dapat dinilai melalui pembentukan budaya yang menjadi teras hidup masyarakat yang berbilang kaum selama ini. Sekiranya kekuatan dalaman seseorang itu rapuh, maka tidak mustahil pegangannya akan mudah terlucut hanya kerana diusik oleh anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab. Sebagai tamsilan, negara kita berdaya tahan kerana sikap pemerintah yang tidak mudah melatah. Kita tidak suka bersengketa dan lebih senang mengambil jalan untuk menjernihkan air yang keruh apabila berlaku pergeseran gara-gara kenyataan afidavit Menteri Kanan Singapura, Encik Lee Kuan Yew yang dikatakan menghina negeri Johor. Encik Lee Kuan Yew pula telah menarik kenyataan tersebut dan meminta maaf dua kali. Beliau tidak menjawab hambatan yang telah dilemparkan kepada Singapura dengan kata-kata yang kesat juga, sebaliknya beliau telah menggunakan kata-kata yang menusuk kalbu, yang menunjukkan peribadi yang mulia. Masyarakat kita percaya, 'anjing menyalak bukit, bukit takkan runtuh', orang baik walaupun dicela, tetap baik juga. Jadi, dengan mengambil jalan yang baik, iaitu tanpa persengketaan, kedamaian negara dapat dipelihara dan seterusnya membawa kepada kemajuan negara. Satu lagi contoh untuk menunjukkan ketahanan daya saing Singapura ialah semasa kegawatan ekonomi yang melanda rantau ini. Negara-negara jiran telah meletakkan pengawalan terhadap pelaburan wang ringgit dan peminjaman bank tetapi Singapura mengambil langkah terbalik dengan membawa masuk persaingan asing. Walau bagaimanapun, Singapura berdaya tahan dan sekali lagi menunjukkan kehebatannya mengatasi krisis ekonomi dengan mempunyai ekonomi yang lebih stabil dari negara-negara jirannya yang lain.

        Oleh disebabkan sikap berlumba-lumba masyarakat Singapura dan sistem meritokrasi yang wujud di negara ini, masyarakat amat mementingkan pelajaran. Moral dan kecintaan terhadap ilmu merupakan ukurtara bagi membentuk sebuah masyarakat madani. Pelajaran penting kerana, dalam arus teknologi yang semakin kuat mendesak ini, jelas nyata negara memerlukan pembangunan. Generasi hari ini perlu pandai menggunakan sains dan teknologi. Sumbangan mereka terhadap pembangunan tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh membawa kepada kemajuan. Pendidikan moral juga ditekankan di sekolah-sekolah. Ia memberi kesedaran tentang asal-usul kita. Segelintir generasi muda terkeliru dalam memilih falsafah kemodenan. Bagi mereka, modenisasi diukur menurut acuan Barat dan nilai tradisi dan keagamaan dianggap ketinggalan zaman. Tanpa pengajaran ini, negara akan melahirkan manusia yang jelik moralnya dan rendah akal budinya. Sahsiah yang rendah ini akan menghalang negara daripada terus maju kerana kekecohon boleh timbul akibat keruntuhan akhlak di kalangan rakyat. Oleh itu, sikap mementingkan pelajaran perlu untuk kemajuan negara.

        Seterusnya, Singapura adalah sebuah negara yang ketat undang-undangnya. Pentadbiran negara tidak mudah dikotak-katikkan. Walaupun ia memaparkan imej rakyat yang seperti 'lembu dicucuk hidung', kita sepatutnya bersyukur kerana undang-undang yang ketat telah membawa kepada kedamaian negara yang kita alami sekarang. Undang-undang yang ketat juga membantu dalam kebersihan dan kecantikan negara. Selain daripada menarik pelancong kerana kecantikan negara, orang asing juga akan tertarik kerana taraf keselamatan yang tinggi di sini. Ini membawa kemaslahatan kepada sektor pelancongan dan sekaligus, ekonomi negara. Ini semua membantu dalam memajukan negara.

        Natijahnya, ciri-ciri unik masyarakat di negara ini telah banyak membantu dalam pembangunan negara. Dalam arus teknologi yang semakin mendesak ini, negara Singapura harus giat bersaing supaya dapat menempatkan diri sebaris dengan negara-negara masyarakat progresif, berdaya cipta serta berpandangan positif ke hadapan.

Sulastri M. Thamrin