Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Kembali

Bincangkan faktor-faktor yang menyebabkan keluarga berpecah-belah dan nyatakan kesan-kesannya.


       Keluarga merupakan institusi asasi masyarakat yang menjadi agen sosialisasi anak-anak dalam pembangunan mereka untuk menjadi generasi masa depan negara. Keluarga yang rukun dan sejahtera akan membentuk anak-anak yang bersahsiah mulia dan berhemah tinggi. Anak-anak sebeginilah merupakan generasi pelapis yang akan mewarnai lembaran sejarah dan menerajui kepimpinan negara. Walau bagaimanapun, saban hari kita seringkali terbaca bermacam-macam isu tentang keluarga yang berpecah-belah. Isu-isu seperti kenaikan dalam kadar perceraian dan pengabaian sudah menjadi sebagai satu fenomena lumrah dalam masyarakat kita.

        Apakah yang menyebabkan keluarga berpecah-belah? Dunia telah melalui pelbagai perubahan. Negara semakin pesat membangun. Kalau dahulu kaum lelaki yang merupakan ahli keluarga yang bertanggungjawab dalam pencarian nafkah keluarga dan kaum wanita pula hanya duduk di dapur sahaja, kini, dengan adanya persamaan dan dasar liberal bagi kaum wanita, mereka mempunyai kerjaya yang setaraf dengan kaum lelaki. Oleh sebab itu, semakin ramai kaum wanita keluar bekerja. Akibatnya, kedua ibu bapa asyik mengejar kemewahan dan kebendaan hidup sahaja. Dalam kerakusan mengejar materialisme, mereka tidak ada masa untuk anak-anak, keinginan untuk sumbang kepada keluarga pula semakin hari kian pupus kerana kurangnya rasa tanggungjawab dan iltizam kepada keluarga. Ibu bapa sebegini hanya pentingkan diri mereka sendiri sahaja. Mereka tidak ada kemahuan untuk melabur dalam sumber psikologi dan kewangan bagi pembentukan anak-anak. Mereka hanya ingin mencari kebendaan sahaja. Apabila kedua ibu bapa bekerja, ibu bapa yang merupakan sumber ikatan kemesraan serta fokus perhubungan dalam keluarga pun menghilang. Kesejahteraan sesebuah keluarga akan terjejas akibat hubungan yang renggang dan timbul jurang antara generasi. Ibu bapa memainkan peranan penting kerana mereka ialah nakhoda kapal sesebuah keluarga. Ibu bapa perlu sentiasa mengawal tingkah laku anak-anak dan mengambil tahu tentang kelakuan anak-anak. Malangnya, ibu bapa yang bekerja tidak mempunyai masa untuk itu semua dan anak-anak mereka dibiarkan terbiar.

        Tambahan lagi, ibu bapa yang bekerja itu biasanya akan mengalami ketegangan perasaan setelah penat sehari bekerja. Anak-anaklah yang akan menjadi mangsa luahan perasaan ibu bapa. Dengan tidak semena-menanya, anak disalahkan apabila sesuatu yang buruk berlaku di tempat kerja. Anak-anak ini akan beras diri mereka kurang baik dan hilanglah keyakinan diri mereka.

         Selain itu, hubungan isteri dengan suami juga akan menjadi renggang. Kaum wanita yang asyik bekerja akan mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai seorang isteri yang baik. Sehubungan denganitu, suami akan mencurigai atau mengesyaki kesetiaan isterinya. Isteri tidak akan dapat melayan segala kehendak suaminya sewaktu di rumah kerana asyik dengan kerjanya. Bahkan, ada sesetengah isteri yang berpendapatan tinggi memilih untuk berdikari dan tidak memerlukan naungan sesiapa. Seterusnya, berlakulah masalah rumahtangga kerana kontroversi ini.

        Masalah rumahtangga juga merupakan salah satu faktor yang menyebabkan keluarga berpecah-belah. Antaranya ialah perceraian ibu bapa. Hal ini menyebabkan anak-anak kurang mendapat perhatian dan perasaan mereka turut berbelah bagi terhadap ibu bapa mereka. Bagi mengatasi masalah ini, mereka menjerumuskan diri ke kancah kehinaan bagi mendapat perhatian dan keseronokan. Selain itu, ibu yang telah bercerai pula akan mengalami kesempitan wang. Mereka terpaksa membesarkan anak dengan nafkah yang kecil. Oleh sebab tertekan dengan kesempitan hidup, ibu ini akan melepaskan geram kepada anak. Hal ini boleh menjadi lebih serius dan seterusnya menjadi satu penderaan jika ibu itu tidak dapat mengawal perasaannya.

         Penderaan juga boleh berlaku jika salah satu daripada ahli keluarga mempunyai personaliti yang kurang baik. Mereka mungkin merupakan kaki botol, penagih dadah atau kaki judi. Orang-orang sebegini hidup mereka sentiasa tertekan dan tidak semena-mena mereka boleh mengancam keluarga apabila perasaan mereka tidak boleh dikawal lagi. Mangsa dera ini akan mengalami kesan jiwa yang berpanjangan. Dia akan berasa hilang harga diri, mudah bersedih dan sentiasa mencari kasih dari orang lain. Ada yang akan menjadi ahli anggota kumpulan samseng bagi mendapat teman dan perhatian. Mangsa juga akan menganiaya anak sendiri setelah berumahtangga. Pada masa jangka panjang, dia akan hilang perasaan untuk saling menyayangi dan tidak menyayangi orang lain akibat terikut-ikut perangai ganas ibu bapa.

        Salah satu faktor lagi ialah pasangan senang berputus asa apabila masalah rumahtangga timbul. Pasangan ini tidak cuba saling memahami bagi menyelesaikan masalah, tetapi mengambil jalan mudah dengan bercerai. Masing-masing dengan pendiriannya sendiri, tidak mahu beralah. Ada pasangan pula yang berkahwin sebelum sedia untuk memberi komitmen yang penuh. Oleh sebab itu, mereka kurang matang dalam menghadapi pancaroba hidup dan rumahtangga mereka menjadi porak-peranda. Keluarga juga boleh berpecah-belah jika pasangan itu berkahwin tanpa kerestuan ibu bapa. Misalnya, kerana berlainan bangsa. Hidup pasangan ini akan menjadi tertekan kerana cemuhan yang diberi oleh pihak keluarga. Jadi, mereka terpaksa bercerai bagi kerukunan keluarga masing-masing.

         Dewasa ini, seringkali kita terbaca bermacam-macam rencana tentang isu remaja kini melalui media massa. Isu-isu seperti lari dari rumah, mencuri, gejala pembuangan bayi dan kumpulan-kumpulan samseng sangat hangat diperkatakan. Mengikut kajian, kebanyakan kes ini berpunca daripada keluarga yang porak-peranda dan berpecah-belah. Anak yang terbiar dan ketandusan kasih sayang ini mengambil jalan yang mudah untuk mendapat kepuasan dan keseronokan. Dengan tidak sengaja, mereka menjerumuskan diri ke lembah hina bagi melupakan masalah yang dihaddapi. Anak-anak yang terbabit dalam masalah sosial akan membawa keburukan kepada negara. Pada mulanya, mereka akan hilang minat untuk ke sekolah. Untuk mengisi masa lapang, mereka akan melakukan jenayah kecil seperti mencuri. Seterusnya, timbul yang lebih serius pula seprrti membunuh dan terbabit dengan najis dadah. Keruntuhan akhlak merupakan satu bencana kepada masyarakat, khususnya di kalangan generasi muda. Jika ramai anak remaja berkelakuan sedemikian, negara akan kekurangan pekerja yang bijak dan berkaliber pada masa hadapan. Ini akan mengurangkan produktiviti negara dan ekonomi dan kestabilan negara juga akan terjejas. Musibah ini akan berlaku apabila anak-anak remaja ini tidak lagi menghormati, malah tidak mengikuti norma-norma yang menjadi teras kepada pembentukan diri dan institusi sosial yang mantap.

         Natijahnya, bibit-bibit keruntuhan moral bukan sahaja setakat perlu dicantas, tetpai harus tidak dibenarkan tumbuh sama sekali. Walau apa pun yang terjadi dalam sesebuah keluarga, didikan agama dan moral harus ditancapkan ke dalam jiwa anak-anak agar mereka mengamalkan sikap-sikap yang terpuji. Ibu bapa juga perlu menjadi teladan yang baik kepada anak-anak, seperti kata pepatah, ‘bapa borek, anaknya rintik’. Anak-anak sebagai bakal pewaris kepimpinan negara harus dikuatkan jati dirinya dan diberikan tarbiah sebagai penyuluh supaya mereka dapat terus berjalan pada jalan yang terang dalam menghadapi masalah keluarga.

Sulastri M. Thamrin