Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Kembali

Media Barat telah mempengaruhi cara hidup remaja kita. Huraikan.


       Media barat merupakan alat atau perantara komunikasi dari negara-negara barat seperti Amerika dan Eropah yang dapat menyampaikan maklumat kepada orang ramai sejagat. Oleh itu, dalam arus pembangunan dan pemodenan negara, kita sentiasa berlumba-lumba untuk meniru dan mengikut-ikut teknologi Barat yang dianggap canggih dan terkini. Tanpa kita sedari, di samping kemasukan teknologi Barat ini, budaya barat telah menular secara perlahan-lahan dalam cara hidup dan budaya masyarakat negara kita, lantas membawa kepada perubahan terutamanya dalam pemikiran, bicara dan tabiat remaja kita.


        Antara pendekatan orang-orang Barat adalah melalui penggunaan teknologi maklumat berkomputer yang hangat diperkatakan, iaitu Internet. Perkembangan dalam teknologi siber ini amat pesat sekali dan banyak memudahkan kehidupan manusia. Keunggulan Internt begitu terserlah apabila diaplikasikan dengan pelbagai bahan komunikasi, multimedia, komponen yang melibatkan teks, bunyi dan grafik. Oleh disebabkan itu, ramai remaja akan tertarik untuk membuat kajian melalui Internet. Mereka boleh mendapatkan maklumat dengan cepat dan tepat melalui ‘World Wide Web’ (WWW) dengan hanya menekan beberapa butang sahaja. Selain itu, remaja juga boleh melepaskan tekanan jiwa mereka dan menenangkan fikiran mereka dengan berkomunikasi bersama rakan-rakan di seluruh dunia melalui mel elektronik atau berbual menerusi ‘Internet Relay Chat’ (IRC). Tambahan lagi, remaja boleh mengadakan forum eletronik atau video konferensi menerusi Uneset dengan pelajar-pelajar dari negara lain untuk bertukar-tukar pendapat bagi projek-projek mereka. Justeru, melalui internet, remaja kita berpeluang untuk memperoleh lebih ramai rakan dan fikiran mereka lebih luas dan terbuka. Mereka tidaklah seperti katak di bawah tempurung kerana mereka lebih peka dengan keadaan sekeliling mereka.

         Namun demikian, penggunaan internet juga telah menimbulkan krisis nilai moral yang ketara. Ketagihan IRC boleh menyebabkan seseorang remaja itu menyendiri kerana mereka asyik menggunakan internet dan tidak bercampur dengan rakan-rakan yang lain. Hubungan remaja itu dengan keluarganya juga akan menjadi renggang kerana kurangnya interaksi. Ini akan mengurangkan keyakinan diri mereka dan remaja itu akan menghadapi masalah apabila bertemu dan berbual dengan orang biasa. Cara pertuturan mereka juga berubah menjadi kesat dan kasar kerana terpengaruh dengan cara pertuturan teman berbual mereka, jika teman berbual itu berbual secara demikian.

         Selain itu, internet digunakan sebagai bahan atau alat penyaluran untuk pengetahuan mengenai bahan lucah, kegiatan subversif, pengganas, ideologi songsang dan ajaran agama ekstrem. Memang tidak dapat dinafikan juga, bahawa penggunaan internet dikaitkan dengan gejala sosial yang negatif apabila dibanjiri oleh bahan-bahan pornografi dalam internet ataupun perisian-perisian lain seperti CD-ROM. Bahan-bahan porno yang menguasai ruang siber boleh menjejaskan minda para remaja. Ruang sebegini menyebabkan kejadian-kejadian yang tidak diingini terjadi, seperti hubungan seks rambang, akibat dari melihat bahan porno tersebut yang membangkitkan nafsu. Dalam pada itu, di sebalik ledakan teknologi oleh internet, ada terselindung beberapa kelemahan. Internet telah melahirkan keasyikan dan kelekaan untuk penggunaan komputer di kalangan remaja.

         Selain internet, televisyen juga memainkan peranan dalam mempengaruhi cara hidup remaja kita. Ahli psikologi telah mendapati bahawa manusia asalah makhluk yang meniru apa-apa yang dilihatnya dilakukan oleh manusia lain. Biasanya, filem yang ditayangkan diimport dari negara luar seperti Amerika dan Britain. Filem yang diimport ini memang dibuat untuk penonton di negara masing-masing. Ada antaranya yang tidak sesuai dengan budaya kita. Mentelah lagi, adegan ganas yang diperlihatkan di kaca televisyen boleh mempengaruhi remaja. Misalnya, filem-filem yang mengandungi adegan perkelahian seperti perlawanan silat Cina atau kungfu. Pada masa kini, kita sudah dapat melihat kesannya. Pelajar sekolah yang juga merupakan golongan remaja telah berani membelasah rakan-rakannya sendiri atau lebih teruk lagi, gurunya. Disebabkan itu, kadar jenayah ganas juga semakin meningkat. Selain unsur keganasan, adegan filem juga memaparkan tentang dadah, seks dan jenayah. Kita juga dapat lihat bahawa remaja kita sekarang tidak segan silu lagi bermesra-mesraan dengan pasangan mereka. Mereka kini telah dipengaruhi dengan gaya hidup orang Barat yang lebih bebaas dan sambil lewa.

         Iklan-iklan yang merupakan selingan dalam rancangan televisyen juga telah mempengaruhi cara hidup remaja kita. Iklan di kaca televisyen memaparkan model-model yang langsing bagi menarik perhatian. Para remaja perempuan, khususnya, akan tertarik dengan keayuan dan kelangsingan model tersebut dan ingin mempunyai bentuk badan seperti mereka. Kumpulan remaja ini sanggup tidak makan sehinggalah kesihatan mereka terjejas dan masalah kesihatan seperti anoreksia dan ‘bulimia’ pun timbul.

         Iklan yang bertujuan menarik perhatian remaja pula memaparkan barang-barang berjenama yang diperagakan oleh idola-idola yang diminati oleh para remaja. Akibatnya, para remaja akan tertarik dan sanggup membelanjakan beratus-ratus dolar bagi memiliki barangan yang diperagakan. Dengan berkelakuan sedemikian, para remaja ini telah membazirkan wang mereka dan yang tidak berkemampuan pula akan cuba cara lain untuk mendapatkan barangan tersebut, iaitu dengan mencuri. Ini akan menyebabkan keruntuhan moral di kalangan remaja kita.

         Muzik juga merupakan satu punca terjadinya perubahan dalam cara hidup remaja kita. Jika ditanya, adakah para remaja kenal permainan muzik gamelan, caklempong dan randai yang iramanya muluk-muluk sekali? Tentu jawapannya menghampakan. Malah mereka lebih mengenali irama moden dan kebaratan seperti Alternatif, Metal, Rock dan lebih mengetahui mengenai penyanyi Spice Girl dan Backstreet Boys. Lirik lagu dari Barat ini kebanyakannya kasar dan mengandungi kata-kata kesat. Ini menggalakkan remaja bertutur dengan cara kasar dan kesat kerana terikut-ikut dengan cara pertuturan idola mereka. Yang fanatik tentang idola-idola mereka pula akan juga berpakaian seperti mereka. Ada yang bertatu, bertindik dan memakai pakaian yang menjolokkan mata yang biasanya tidak diamalkan oleh masyarakat setempat.

         Sebagai kesimpulan, memanglah media barat telah banyak mempengaruhi dan mengubah cara hidup remaja kita. Remaja sebagai aset penting dalam negara harus pandai membezakan antara yang baik dan yang buruk. Dalam negara mengejar modenisasi ini, diharapkan negara Singapura bukan sahaja dapat dikenali sebagai negara yang pesat membangun, bahkan juga sebagai negara yang mempunyai golongan remaja yang bersahsiah mulia.

Sulastri M. Thamrin