Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Kembali

Warga tua perlu bersiap-sedia untuk menghadapi masalah-masalah hari tua mereka. Huraikan langkah-langkah yang boleh diambil oleh warga tua dan pemerintah dalam menangani hal ini.


        Dengan wujudnya kecanggihan penjagaan kesihatan pada masa ini, ramai orang yang melampaui usia 65 tahun. Menjelang tahun 2030 pula, ditaksirkan seperempat rakyat Singapura adalah warga tua. Tren warga tua atau proses penduduk beruban merupakan satu fitrah kemanusiaan dan adalah fenomena sejagat; penduduk negara-negara seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Kanada juga mengalami tren sebegini. Apa yang membimbangkan ialah, majoriti warga yang bakal bersara belum bersedia menghadapi hari-hari tua mereka. Oleh itu, pemerintah harus memainkan peranan penting dalam menggubal dasar atau mengatur rancangan baru bagi mempersiapkan bakal pesara ini menghadapi hari senja mereka.

         Masalah kesihatan biasanya dikaitkan dengan warga tua. Semakin usia kita lanjut, kerentanan tubuh semakin berkurangan. Dengan taraf kehidupan yang lebih tinggi, kita tidak lagi menghadapi masalah-masalah penyakit berjangkit seperti dalam tahun 40-an dan 50-an. Sebaliknya, penyakit-penyakit yang lebih serius lagi seperti barah, kencing manis, angin ahmar, darah tinggi dan sakit jantung merangkumi 60 peratus kematian di Singapura. Dengan ramainya jumlah penduduk yang semakin tua, keadaan ini menjadi lebih meluas. Oleh itu, sejak muda lagi, seseorang individu harus mengamalkan gaya hidup yang sihat dengan bersenam, pengambilan makanan yang seimbang dan masa rehta yang mencukupi. Dengan berseman sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, seseorang individu itu dapat menjaga berat badannya, lantas menghindarinya dari penyakit yang merbahaya seperti sakit jantung. Individu itu juga akan menjadi lebih cergas dan aktif dalam menjalani kehidupan sehariannya. Pemakanan yang seimbang pula, mengurangkan berat badan dapat mengurangkan kadar kolesterol. Kadar kolesterol yang tinggi boleh menimbulkan penyakit darah tinggi. Penyakit ini boleh menjadi lebih ketara lagi semasa tua. Dengan mengamalkan masa rehat yang secukupnya, seseoarng individu itu tidalakh akan berasa letih dan tekanan perasaannya juga dapat dikurangkan. Individu itu dapat menghadapi hari esok dengan lebih ceria, sihat dan bermakna lagi. Malangnya, tidak ramai yang mengamalkan gaya hidup sihat sebegitu. Jadi, semakin penduduk menghadapi hari-hari tua, semakin meningkat bilangan warga tua dan keperluan untuk menjaga warga tua ini pun semakin meningkat.

         Ramai orang yang bertanggapan bahawa masalah penjagaan orang tua bukanlah menjadi masalah mereka sekarang ini. Mereka berpendapat bahawa anak-anak memang harus memikul tanggungjawab untuk menjaga orang tua mereka. Walau bagaimanapun, dianggarkan terdapat 6500 orang tua yang tinggal sendirian di Singapura. Ada warga tua yang ditinggalkan oleh anak-anak hidup sebatang kara sehingga mereka terpaksa mencari perlindungan di rumah tumpangan orang tua. Ada pula anak-anak yang meninggalkan orang tua mereka di rumah tumpangan kerana tidak mahu menjaga mereka. Oleh itu, pendidikan asas harus ditancapkan ke diri golongan muda ini bagi mencambahkan keprihatinan mereka terhadap warga tua. Penerapan nilai-nilai murni agama juga dapat membantu dalam usaha membudayakan rakyat agar menghormati orang tua. Pengaruh media massa seperti televisyen, radio dan akhbar jelas dapat memenuhi jurang antara orang muda dengan warga tua. Televisyen sewajarnya menyiarkan drama, dokumentari atau iklan yang berkaitan. Di Singapura, memang sudah ada usaha bagi menyedarkan rakyat terhadap tanggungjawab mereka untuk menjaga dan menghormati warga tua. Sebagai tamilan, di televisyen, kerap kali diudarakan ‘lakonan pendidikan’ ringkas. Ini juga memberi peringatan kepada golongan muda yang mereka juga akan menghadapi masa tua pada suatu hari nanti.

         Selain itu, keadaan akan menjadi lebih buruk lagi jika anak-anak tidak mahu memberi bantuan kewangan kepada ibu bapa mereka yang banyak mengorbankan harta benda, termasuk wang dalam Simpanan Tabung Pekerja (CPF) untuk memberi mereka pendidikan. Bagi mengatasi masalah ini, pemerintah boleh mencari jalan melalui undang-undang di mana anak-anak diikat kepada tanggungjawab memberi sekurang-kurangnya bantuan kewangan kepada ibu bapa mereka. Walau bagaimanapun, dengan adanya simpanan CPF yang lumayan, mungkin ada segelintir orang tua pada masa hadapan yang mahu hidup berdikari dari segi kewangan. Jadi, mereka tidak akan tinggal di rumah tumpangan orang tua. Sebaliknya, mereka membayar untuk tinggal dalam kompleks atau ‘taman persaraan’ yang menyediakan pelbagai kemudahan beriadah, beribadat, bergaul denagn rakan sebaya dan mungkin juga mereka dapat terus berkerja.

         Dalam jangka panjang, soal warga tua akan ditentukan oleh keupayaan ekonomi negara menyerap khidmat mereka. Kini, terbatas sekali bilangan pesara yang bekerja semula. Selagi mereka masih sihat lagi cergas serta masih dikehendaki, pesara masih masih dapat bekerja terus walaupun bidang tugasnya lebih mudah dan kurang mencabar. Perubahan struktur pekerjaan mungkin perlu difikirkan semula demi membolehkan majikan merasa terdorong untuk mengambil pekerja bersara. Walaupun pemerintah telah melanjutkan usia persaraan kepada 60 tahun, namun kesan ini hanya akan berguna jika majikan menyambut baik kehadiran pekerja tua. Selanjutnya, bagi pesara-pesara yang betul-betul mahu bersara, badan-badan masyarakat haruslah dapat menyediakan kegiatan bermanfaat untuk mereka. Warga tua juga boleh melibatkan diri mereka dalam kerja-kerja kebajikan bagi menambah amal jariah mereka. Selain menambah ilmu dan meningkatkan kemahiran, warga tua juga dapat bergaul dengan masyarakat dari pelbagai lapisan umur. Dengan berkhidmat sebegini, warga tua ini tidaklah kesunyian dan berasa terasing dari masyarakat.

         Selain itu, semua warga tua harus diberikan peluang untuk menikmati kehidupan mereka dengan penuh bermakna. Dengan meningkatnya warga tua, kita terpaksa merancang kemudahan-kemudahan yang sesuai bagi mereka. Misalnya, warga tua mendapat potongan harga dalam pengangkutan awam. Selain itu, Hospital Masyarakat Ang Mo Kio membolehkan pesakit mendapatkan potongan harga bagi perbelanjaan rawatan mereka. Baru-baru ini, pemerintah juga telah melancarkan ‘flat studio’ bagi warga tua. Persekutuan Koperatif Kebangsaan Singapura (SNCF) juga ada rancangan untuk menyediakan ‘kampung pesara’ pada hari muka, yang lengkap dengan kemudahan-kemudahan asas seperti klinik. Oleh itu, lebih banyak lagi prasarana yang harus dibina dan diubah-suai bagi memenuhi cara hidup warga tua.

         Dalam pada itu, sebagai sebuah masyarakat, kita harus sama-sama mengubah gaya hidup dan merancang persaraan awal-awal lagi. Kebanyakan orang tidak memandang berat tentang isu ini sehinggalah mereka terpaksa meniti hari persaraan dengan masalah kewangan, perumahan dan cara hidup. Ia tidak semestinya terjadi begitu. Namun apa pun huraiannya, yang terbaik ialah di tangan individu. Menyungsung hari tua haruslah bermula hari ini.

Sulastri M. Thamrin