Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Kembali

Kemajuan sains dan teknologi membawa pelbagai perubahan. Jelaskan.


        Dunia kini sedang melalui tahap pasca-perindustrian. Era ini ditandai dengan perkembangan yang pesat dalam sains dan teknologi, khususnya penggunaan komputer yang semakin meluas dalam sektor industri, teknologi maklumat, teknologi telekomunikasi serta teknologi perubatan.

        Komputer telah mengambil-alih banyak kerja yang dahulunya dijalankan manusia. Komputer mempunyai keupayaan untuk membuat kerja berulang-ulang dengan pantas, tanpa jemu, serta mempamerkan kepersisan yang tinggi. Sebarang kerja yang mempunyai struktur yang jelas boleh diprogramkan dan seterusnya dijalankan oleh komputer. Komputer yang bergerak yang digelar robot dapat melakukan kerja-kerja yang rumit, seperti memasang komponen elektronik yang memerlukan perhatian yang teliti dengan konsisten, persis dan cepat. Cip elektronik yang terlalu kecil saiznya untuk dilihat manusia dapat dibuat oleh robot. Di samping itu, kerja yang terlalu bahaya unutk manusia, seperti mengimpal dalam suhu yang sangat tinggi atau rendah kini dapat dilakukan oleh robot.

        Seterusnya, perkembangan yang paling ketara dalam teknologi maklumat adalah internet. Internet menjadikan dunia seolah-olah lebih kecil. Internet berupaya membawa seseorang mengelilingi dunia dengan hanya memainkan jari-jemari di depan layar komputer. Jika dahulu, perhubungan dengan telefon teleks dan faksimili sudah dianggap revolusi telekomunikasi yang mengagumkan, kini internet benar-benar menukar dunia menjadi satu perkampungan. Dengan internet, sempadan antara negara-negara seperti sudah dibolosi. Internet pula sudah digunakan oleh firma-firma untuk mempromosi barangan keluarannya ke peringkat serantau dan antarabangsa. Hal ini membantu pedagang-perdagang tempatan untuk menembusi pasaran dunia yang bakal menjanjikan pulangan yang lumayan. Pembekal dan pembeli dapat menjalankan transaksi walaupun kedua-dua pihak saling tidak mengenali dan saling tidak bertemu. Golongan profesional pula berpeluang untuk bertukar-tukar pendapat, menerima dan berkongsi maklumat demgan rakan sebidang yang berada di serata pelosok dunia.

        Kemajuan dalam sistem komunikasi yang moden pula menjanjikan wahana perhubungan yang efisen. Kemudahan telekomunikasi yang sering digunakan dewasa ini ialah telefon, telegram, telefaks, faks, televisyen, radio dan satelit. Teknologi komunikasi membolehkan proses penghantaran maklumat dari satu destinasi ke destinasi yang lain dengan cepat tanpa melibatkan pergerakan fizikal seseorang. Natijahnya, kos material, masa dan tenaga dapat dikurangkan. Sebagai tamilan, dengan hanaya menelefon seseorang di daerah lain untuk memberitahu pesanan penting, kita tidak perlu pergi ke daerah berkenaan yang mungkin jauh jaraknnya. Selain itu, aktiviti perdagangan dan perniagaan tempatan dan antarabangsa tidak mungkin dapat berkembang sekiranya sistem komunikasi tidak wujud.


         Peningkatan teknologi pengeluaran dan pasaran sejagat mengakibatkan kebanjiran barangan dan perkhidmatan yang mengubah corak penggunaan dan gaya hidup kita. Misalnnya, revolusi hhijau telah meningkatkan daya pengeluaran makanan dan membantu menghapuskan kadar kebuluran di muka bumi ini. Dengan demikian, taraf hidup pengguna dapat dipertingkatakan. Keperluan asas diperoleh dengan mudah dan murah walaupun ada gejala kenaikan harga. Ini adalah hasil pengeluaran secara besar-besaran. Peningkatan mutu pengangkutan dan prasarana memudahkan pengedaran barangan ke mana-mana sahaja. Walau bagaimanapun, kepesatan teknologi komunikasi, pengangkutan dan prasarana mewujudkan masalah baru bagi pengguna di samping meningkatkan taraf hidup. Perbezaan taraf hidup dahulunya tidak begitu ketara, menjadi sebaliknya pula sekarang. Akibatnya, pengguna moden dipengaruhi oleh gaya hidup prngguna kaya. Peningkatan taraf hidup pengguna mewujudkan keperluan asas baru yang dahulu dianggap barangan atau perkhidmatan mewah bagi pennguna kaya sahaja. Sebagai contoh, kalau dahulu telefon dianggap hanya untuk orang-orang yang kaya sahaja, kini telefon sudah menjadi keperluan asas. Tidak lama lagi, komputer pula akan dianggap keperluan asas.

         Menurut pandangan Encik Lee Kuan Yew pula, penghawa dingin telah merubah kehidupan penduduk di iklim khatulistiwa. Sebelum penciptaan penghawa dingin, tumpuan minda dan dengan demikian, kualiti kerja semakin merosot semakin suhu udara meningkat dan kadar kelembapan semakin tinggi. Sekarang, hidup masyarakat ini boleh disamakan dengan penduduk di negara sejuk dan kemajuan negara tidak lagi ketinggalan. Satu lagi contoh ialah negara Australia yang menggunakan satelit yang canggih untuk mengawasi perubahan cuaca, pengeluaran gas rumah hijau dan perubahan alam sekitar.

         Kemajuan dalam teknologi perubatan pula telah dapat meyelamatkan ramai nyawa. Sebagai contoh, dengan menggunakan terapi radiasi, kesempitan arter konorari dapat diberhentikan. Pembedahan ini dapat meyelamatkan pesakit yang mempunyai sten yang telah sempit.

         Perkembangan sains dan teknologi memudahkan serta meningkatkan mutu hidup kita. Maka tidak hairanlah, kebanyakan kita terlalu bergantung kepada teknologi. Malangnya, kita jarang menimba kesan buruknya, terutamanya perubahan kepada alam sekitar. Misalnya, para petani sering menyalahgunakan baja kimia atau racun serangga bagi meningkatkan hasil keluaran. Dengan demikian, rantaian makanan telah terjejas dan membawa kemudaratan terhadap alam sekitar. Selain dari itu, kita juga telah disogokkan dengan beberapa teknologi yang mengakibatkan kebinasaan kepada alam, seperti bom atom yang telah memusnahkan bandar Hiroshima dan mendatangkan mudarat kepada negara-negara di sekelilingnya.

         Berdasarkan kenyataan-kenyataan sedemikian, jelaslah bahawa sains dan teknologi kini mampu membekalkan kita bermacam-macam keluaran yang tidak pernah kita impikan dahulu. Dalam pada itu, kita harus pandai memilih antara baik dan buruk dan menyesuaikan diri terhadap perubahan yang dibawa oleh ledakan sains dan teknologi yang kita alami sekarang, bagi mencorakkan sains dan teknologi yang sesuai menurut acuan negara, budaya dan agama kita.

Sulastri M. Thamrin