Senario perkembangan politik semasa, telah meninggalkan kesan trauma
yang berpanjangan ke atas rakyat Malaysia keseluruhannya untuk merenung
nasib masa depan mereka. Keadaan tidak keruan ini, telah mengundang perasaan
cemas, sangsi dan duka terhadap segala apa yang berlaku dan diperlakukan
sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira aspek perundangan, bagi rakyat
yang sentiasa berhasrat menjunjung cita-cita menegakkan kebenaran dan keadilan
untuk semua.
Sebagai tanda kasih dan menjunjung tinggi prinsip Raja Berperlembagaan
di negara ini, patik-patik sekalian menuntut campur tangan SPB Yang DiPertuan
Agong dengan disokong oleh Majlis Raja-Raja Melayu dalam membantu menyelesaikan
sengketa politik tanahair atas dasar menjaga perpaduan rakyat berbilang
kaum di negara ini.
Justeru itu, kami rakyat Malaysia berikrar dengan sumpah dan taat
setia
menegaskan bahawa:
* Berteraskan kehendak majoriti rakyat dan peruntukan-peruntukan perlembangan yang memberi kuasa/locus standi kepada DYMM SPB Yang DiPertuan Agong untuk bertindak.
* Berikut adalah tindakan-tindakan, yang diharapkan dapat diambil dalam kadar segera :
1. DYMM SPB Yang DiPertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu haruslah campurtangan dalam menyelesaikan konflik negara dan mengengkari nasihat-nasihat yang bertentangan dengan peruntukan dan semangat perlembagaan.
2. Menasihat atau dengan apa cara sekalipun meminta Dr. Mahathir Mohammad meletakkan jawatan dan membubarkan Parlimen serta-merta sekaligus mengumumkan tarikh pilihanraya umum.
3. Memastikan ahli-ahli politik diawasi di bawah peruntukan perlembagaan dan menyarankan kepada mereka kepentingan untuk memahami ‘separation of powers’.
4. Mengutuk kaedah pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang melambangkan proses ‘rules of law’ dikhianati dan dipergunakan untuk menjaga kepentingan golongan-golongan tertentu. Akibatnya, berlaku perlanggaran kaedah dan hak asasi manusia.
Patik-patik sekalian mempersembahkan ikrar sumpah dan taat setia ke bawah DYMM SPB Yang DiPertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu selaku payung negara. Patik-patik sekalian memohon limpah perkenan dan kurnia DYMM SPB Yang DiPertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu bertindak segera menyelamatkan keadaan politik semasa serta menyelamatkan kedudukan DS Anwar Ibrahim demi kepentingan negara yang tercinta. Segala kezaliman dan ketidakadilan yang berlaku jika dibiarkan, akan mencemar kedaulatan DYMM SPB Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua Negara dan menghina maruah kebebasan rakyat Malaysia. Atas limpah perkenan DYMM SPB Yang DiPertuan Agong dan DYMM Raja-Raja Melayu patik sekalian menjunjung kasih.
DAULAT TUANKU.