BEBERAPA TANGGAPAN TERHADAP ISLAM
Sebab-sebab Ummat Islam Maju
1. Mulai dari berdirinya "Daulah Tauhid" dibawah pimpinan Nabi dan Rasulullah, akidah tetap mendapt nur (cahaya) kesucian dari suara wahyu Illahi dan ajaran-ajaran dari langit dan bertitik tolak dari Kitab dan Sunnah. Tujuannya yang utama ialah menumbuhkan atau mendidik watak atau karektor, meningkatkan mutu naluri-naluri (kudrat yang tersimpan dalam jiwa) menghaluskan adat istiadat sehingga manusianya naik kepada martabat yang sesuai dengan manusia terhormat dan dari akidah yang tepat dan suci disusunlah kekuatan yang aktif dan positif dalam kehidupannya.
2. Agama Islam yang baru lahir diseluruh jazirah Arab diwaktu itu, segera diikuti dan ditaati benar-benar oleh bangsa Arab di qabilah-qabilah disekitar Semenanjung Arab. Dengan petunjuk dan pimpinan yang benar itu terhindarlah mereka dari berpecah belah dan bercerai-berai. Mereka jadi satu, seia dan sekata, dari biadab menjadi beradab, dari bodoh menjadi pandai, dari dungu menjadi cerdik, dari kekerasan hati dan perangai menjadi lunak, peramah dan kasih sayang sesama makhluk dan dari menyembah berhala menjadi penyembah Tuhanmu Yang Maha Esa.
3. Mereka berubah dan berganti dengan semangat baru yang dapat menjadikan mereka itu segala-galanya baru sehingga dapat menyampaikan mereka itu ketingkat yang tinggi, mulia, cerdik, cerdas, kuat dan kaya. Dalam pada itu, mereka bergerak dan menaklikkan separuh dunia dengan cepat dalam masa yang tidak lebih dari setengah abad.
4. Seandainya tidak terdapat konflik yang mengulangi riwayat lama pada masa akhir khalifah Othman dan permulaan Khalifah Ali, nescaya mereka telah dapat menyempurnakan missi penaklukan disegenap penjuru dunia ini dan tidak ada yang menghalanginya.
5. Jelas sekali bahawa Al-Quran telah dapat menubuhkan bangsa Arab seluruhnya dengan sekali tumbuh yang dapat mendatangkan kehidupan yang baru mengeluarkan mereka dari jazirah Arab dengan membawa pedang disalah satu dari kedua tangannya yang satunya membawa cahaya Al-Quran untuk membuka dan menaklukkan negara-negara lain dan mengaturnya dengan cara sebaik-baiknya.
6. Menurut riwayat Tanah Arab itu pernah dijajah oleh bangsa-bangsa lain. Penduduknya pernah diperintah dan diperhamba bangsa-bangsa asing yang mencengkam negara mereka seperti bangsa Parsi di Yaman, Uman dan Hirah, bangsa Habsi di Yaman, bangsa Rome disekitar Hijaz dan di Utara Sham. Dengan demikian terang sekali bahawa sebenarnya negara-negara dan bangsa Arab itu pada umumnya tidak pernah merdeka dalam erti kata yang sebenarnya kecuali dengan Islam. Mereka tidak pernah diketahui atau dikenal bangsa-bangsa lain melainkan dengan sebab pimpinan Nabi Muhammad S.A.W dan atau sesudah mereka menganut agama Islam.
7. Dengan memegang teguh tali iman pada Allah Yang Maha Esa dan Kitab Suci Al-Quran serta Sunnah Rasul menjadi pedoman dan ideoloji atau cara hidup berlumba-lumba memperdagangkan dirinya masing-masing hanya semata-mata kerana Allah, mencari keredhaan Allah. Mereka berlumba-lumba dan berduyun-duyun ke medan pertempuran untuk melawan musuh guna menyahut seruan Tuhan demi mengejar kematian untuk mendapat pahala syahid tetapi hanya sedikit sahaja yang memperolehinya. Disaat menyerbu kegelanggang pertempuran untuk melawan musuh, mereka berkata "Sesungguhnya aku mencium bau syurga" dan apabila datang kematian syahid kepada mereka maka berkatalah mereka dengan bangga sekali "Inilah hari kesenangan, inilah hari kegirangan." Dan apabila tidak datang kematian syahid kepadanya maka kecewa dan menyesallah mereka dan kembali kekampungnya dengan penuh luka nestapa kerana tidak memperoleh syahid yang dikejarkan.
Sebab-sebab Kemunduran Ummat Islam
1. Manusia lahir dari perut ibu lalu bertambah besar dilengkapi dengan akal. Kemudian hidup berpasangan. Semuanya terjadi kerana kuasa Allah. Manusia menyusun PBB tetapi manusia-manusia yang di PBB dari putaran otak mereka adalah dibawah kuasa Illahi. Mereka takkan dapat membuat apa-apa tanpa izin dari Allah. Otak PBB tidak mampu untuk mengatur dunia kalau mereka merupakan Allah. Manusia membuat pemerintah atau penguasa. Semua yang berkuasa itu dibawah kuasa Allah. Rumahtangga kita pun dibawah kuasa Allah. Takkan ditemui selamat dan senang tanpa izin Allah. Diri kita sendiri pun dalam ketentuan Allah. Terjauh daripda Allah, diri ini akan terjerumus kepada kecelakaan. Benda-benda hanya alat yang tidak akan ada manfaatnya tanpa diberkati Allah.
2. Dengan mendekati Allah, hidup ini rasa terjamin. Dengan menjauhi diri dari Allah muncullah kehancuran, persengketaan, kecelakaan dan serba tak berseimbangan. "Orang yang zalim (melanggar penentuan Allah) pasti jatuh kepada perpecahan atau kehancuran yang maha hebat". (Q:Surah 22, Ayat 53). Bukti-bukti sejarah melalui zaman Noh, Nimruz, Nero, Napoleon, Liga Bangsa, Hitler, Stalin, Sukarno, Idin dan lain-lainnya telah membuktikan kebenaran ayat suci tersebut.
Manusia mencetuskan revolusi demi revolusi (revolusi Amerika, Perancis, Komunis, Tiongkok, kebudayaan dan lain-lainnya). Demi tegaknya keadilan, keamanan dan kesejahteraan dimuka bumi ini tetapi jelasnya sampai kini hasrat cita-cita mereka yang dianggap luhur oleh mereka itu sampai kini masih jauh daripada menjadi realitasi. Sebab yang utamanya ialah tidak lain dari bukan bahawa mereka melupakan diri mereka itu dibawah kekuasaan Allah.
3. Bila mana ummat Islam sedar sudah mulai melepaskan dirinya dari hubungan Hablum Minallah dan mulai meninggalkan buku pegangan hidupnya iaitu Al-Quran dan As-Sunnah maka mereka pun mulalah kehilangan mutu-mutu atau kualiti-kualiti seperti yang dipunyai datuk nenek mereka. Jiwa keberaniannya bertukar menjadi pengecut dan dayus, jiwa berkorban, harta benda berubah menjadi kikir dan kedekut, jiwa beramal dan berusaha dan bergiat bertukar menjadi pemalas dan peminta. Watak-watak dan sifat mulia yang ada dan yang pernah bersemarak dalam darah datuk nenek kita yang pernah jaya itu justeru diambil oleh dan diwarisi oleh musuh-musuh Islam yang agama mereka tidak memerintahkan supaya mereka bersifat demikian.
Renunglah betapa pengorbanan jiwa dan harta benda mereka gadaikan dalam masa perang dunia satu dua serta betapa besarnya pengorbanan harta benda orang-orang Yahudi untuk mempertahankan Plastin atau Israel. (Jika di bandingkan dengan pengorbanan jiwa dan harta benda oleh Islam).
4. Kerana akidah sudah lemah, maka timbullah kelemahan-kelemahan peribadi iaitu kelemahan di rumahtangga, kelemahan dalam masyarakat, kelemahan dalam pemerintahan dan kelemahan total dalam segala bidang kehidupan. Kelemahan itu menjalar keseluruh penjuru dunia Islam sehingga ummat Islam tidak berdaya lagi bergerak maju dan menenggulangi persoalan hidup mereka di dalam dan di luar negeri. Mereka tidak lagi menjadi ummat yang dikehendaki Allah iaitu "satu ummat yang layak untuk menjadi tauladan dan pemimpin bagi bangsa- bangsa di dunia".
5. Dalam hubungan ini, Muhamad Abduh mengatakan : "Sekarang ini apa yang telah engkau namakan Islam disekeliling engkau sebenarnya bukanlah Islam. Di antara amal kewajipan Islam yang masih tamak terpelihara sekarang ini ialah hanya solat, puasa, haji dan ucapan-ucapan atau bacaan-bacaan yang sesungguhnya sudah dirosakkan erti dan tujuannya yang sebenar. Ummat Islam dalam mengerjakan agamanya sudah sesak dengan perbuatan-perbuatan bidaah, tahyul dan khurafat yang membawakan kepada jumud dan kebekuan, yang demikian bekulah otak benak mereka dan tumbuhlah dalam hati sanubari mereka benih kemalasan, kerendahan budi dan kehinaan perangai sehingga menjadikan mereka sebagai seketul batu yang tidak mempunyai keinginan untuk hidup dan berdiri sendiri.
Tetapi menuduh bahawa agama Islam yang merentangi dan menghalangi kemajuan adalah tuduhan yang bukannya berasal atau berpokok dari agama Islam tetapi semuanya itu adalah berasal dari sari barang tiruan atau palsu yang dinamakan Islam. Dan Al Quran pada setiap saat dan sepanjang masa sentiasa siap sedia untuk menunjukkan bukti yang sebenarnya;
"Al-Quran tidak akan dicampuri kesalahan (kesesatan); baik dari arah mukanya mahupun dari arah belakangnya kerana ia diturunkan dari Yang Maha Bijaksana lagi Terpuji".
Jelasnya : Al-Quran sanggup menjadi saksi untuk menunjukkan kedustaan dan kebohongan mereka kerana mereka (para ulamak jumud) itu memang tidak suka mengambil pelajaran daripadanya dan telah berpaling dari apa-apa yang telah didatangkan olehNya.
Rumusan Untuk Menuju Ke Arah Pembentukan Peribadi Muslim
1. Buya H.A. Malik Ahmad, wakil Ketua Muhammadiah seluruh Indonesia sekarang ini dalam bukunya "Akidah Islam" (menurut Quran dan Hadis) antaranya menulis, "Kalau sudah disedari bahawa sebab yang terpokok dari tidak berdayanya ummat Islam tidak mencapai tujuan-tujuan Islam yang tinggi dan luhur itu bersumber dari kelemahan akidah maka haruslah dalam rangka usaha kita mahu mengembalikan kemegahan ummat Islam ini dengan jalan menuruti khitan (program) yang telah digariskan oleh Rasulullah untuk merawat, melatih dan menimbulkan akidah itu sampai kepuncak kebahagiaan hidup dan meningkatkan mereka ketingkatan ummat yang benar-benar bermutu tinggi dann terhormat.
2. Al Amier Syakieb Arsalan dalam bukunya, "Mengapa kaum Muslimin mundur dan mengapa kaum selain mereka maju?" Mengatakan : "Dunia Islam seumumnya mungkin dapat bangun kembali dan maju pula dapat mengejar kemajuan bangsa- bangsa yang mulia dan menang dewasa ini, bilamana ummat Islam mahu menempuh kemajuan itu dengan teguh pendirian mereka tentang itu. Islam tidaklah menambah atas ummat Islam melainkan kecerdikan dan kemajuan yang kukuh kuat. Dalam pada itu, mereka tidak sesekali menolak akan ilmu pengetahuan yang mahupun juga kerana segala macam ilmu pengetahuan itu memang baik oleh Al-Quran : (Q : 2:247, 129:269, 3:7, 29: 4:45, 39:9, 58:11, 62:2, dll)
3. Ada orang yang berkata : "Mengapa kita harus kembali kepada Al-Quran dalam membangkitkan semangat dan cita-cita ummat Islam supaya mempelajari ilmu pengetahuan kerana sesungguhnya pembangunan sesuatu bangsa itu tidaklah sewajarnya jika didasarkan atas keagamaan tetapi harus didasarkan atas kenegaraan dan kebangsaan, sebagaimana pembangunan bangsa Eropah". Oleh A.S. Arsalan dijawab, sesungguhnya yang dimaksudkan itu ialah pembangunan atau kesedaran baik nasionalisme ataupun keagamaan dengan syarat hanya dengan keteguhan jiwa, ketabahan hati yang cinta kepada ilmu pengetahuan. Kerana kita khuatir jika kita nanti menyimpang atau menyimpangkan Al-Quran, nescaya kita akan sampai kejurusan ingkar kepada Allah, menghambakan kepada diri sendiri dan mengikut kepada keinginan hawa nafsu dan tidak dapat memisahkan mana yang berbahaya dan mana yang bergerakkan pendidikan tentang macam-macam ilmu pengetahuan disertai juga pendidikan tentang keagamaan yang sejati.