|
Ahli Makrifat
itu tidak mempunyai makrifat jika ia tidak mengenal Allah dari segala
sudut dan
dari segala arah mana saja ia menghadap. Ahli Hakikat hanya ada satu
arah iaitu ke arah Yang Hakiki itu sendiri. "Ke mana saja kamu
memandang, di situ ada Wajah Allah" (Al-Qur-an)
"Ke mana saja kamu memandang", sama ada dengan deria atau akal atau khayalan, maka di situ ada Wajah Allah".
Persoalan kita kenal dan tahu berkenaan ahli makrifat dan apakah makrifat itu tidak timbul di sini. Petah berkata-kata dan cekap dalam berhujah berkenaan dengan apa yang berkaitan dengan mereka tidak diperlukan di sini.
Apa yang perlu di sini adalah kesedaran diri kita berkenaan pekerjaan dan keadaan mereka. Mereka cuma ada satu pandangan sahaja yakni "Ke mana saja kamu memandang, di situ ada Wajah Allah"
Tahu dan boleh tidak sama dengan "yang sedar diri". Yang sedar kepada pekerjaan diri mereka dan yang sedar dengan keadaan diri mereka.
Apabila diminta mereka berkata, maka mereka akan bertutur mengikut pekerjaan diri mereka dan mengikut keadaan diri mereka. Bukan dengan sangka-sangkaan ilmunya, bukan dengan cerita itu dan cerita ini, tetapi disampaikan mengikut kesedaran berkenaan pekerjaan dirinya dan keadaan dirinya.
Mereka berkata dalam keadaan sedar diri dan bertutur dengan bahasa pekerjaan dan keadaan dirinya.
Ini bukanlah soal Mengenal Allah apabila hijab itu tersingkap, tetapi adalah soal MengenalNya dalam hijab itu sendiri..........Kesempurnaan adab itu ialah memerlukan hijab itu dipelihara.........
Berhadapan dengan yang buta tidaklah perlu kebenaran itu dipertahankan. Tidak usah berhujah, jauh sekali daripada berjidal kerana itu adalah hal-ahwal mereka yang buta. Biarkan si buta melalak-lalak mempertikaikan barang yang kita miliki. Walau bagaimana kita susun aturkan perihal barang milik kita dengan kata-kata yang benar, si buta akan tetap tidak akan dapat nampak "barang pesaka' yang kita simpan. Kefahaman mereka berkenaan barang pesaka ini tidak sama dengan mata yang melihat dan menyaksikan keujudannya. Bersabarlah dengan lidah yang kelu tanpa bahasa.
Jika pemberian yang sedikit itu sudah kita hilang kesabaran diri, bagaimana mungkin untuk menanggung sesuatu yang lebih besar.
Yakinilah wahai saudara-saudaraku. Semoga Allah memberikan PetunjukNya kepada anda bahawa.......
Hanya Cinta kepada Allah yang boleh menamatkan perbalahan ini. Hanya Cinta yang boleh menolong apabila anda meraung meminta tolong dari cengkaman mereka. Mulut bisu dalam Cinta; perbalahan tidak ada. Si 'asyik kuatir untuk menjawab balik perbalahan itu, kerana takutkan mutiara keruhanian(mistik) itu keluar dari mulutnya.
Umpama burung hinggap di atas kepala anda dan anda kuatir ia terbang lari. Anda tidak bergerak atau menghembuskan nafas yang kuat. Anda tahankan diri anda supaya tidak terbatuk. Semua itu takutkan burung itu terbang. Kalau ada orang bertanya, anda letakkan jari di mulut yang bertutup memberi isyarat "diam".
Cinta Ketuhanan ibarat burung itu. Ia membuatkan anda tidak mahu membuka mulut. Ibarat cerek yang panas dan menggelegak airnya. Tudung cerek itu anda tutupkan supaya airnya tidak keluar.
Fudhoil bin Iyadh seorang wali Allah berkata kepada seorang lelaki;
"Jika sesiapa bertanya kepada mu samada kamu cinta kepada Allah, hendaklah kamu diam kerana jika kamu kata: "Saya tidak cinta kepadaNya", maka kamu kafir dan jika kamu berkata, "Saya cinta", maka perbuatan kamu berlawanan dengan katamu."
FAHAMILAH WAHAI DIRIKU............