Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Ihsan Dari Muhammad Nasir [alkausar1@hotmail.com]
TAFSIR SURAH AN NUR : 35
Terjemahan Bahasa Indonesia:

Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahayaNya, adalah seperti sebuah lubang yang tidak tembus, yang di dalamnya ada sebuah pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkahnya, (yaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak disebelah timor (sesuatu) dan tidak pula disebelah barat(nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis). Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha Mengetahui segala suatu.

Terjemahan Bahasa Malaysia:

Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. 
 

1.0 Kandungan ayat

Dua perkara dalam ayat:

1. Kenyataan pada ayat berkenaan.
2. Perumpamaan yang dibuat untuk mejelaskan lagi kenyataan itu.

Secara objektif, perlu dibezakan apa yang dinyatakan daripada apa yang diumpamakan. Ini adalah kerana kenyataan ialah apa yang hendak disampaikan dan perumpamaan adalah persamaan dan perbezaan melalui bandingan kenyataan itu dengan suatu yang lain. Kenyataan adalah isi dan perumpamaan adalah pembayang maksud dan bukan maksud itu sendiri. Tujuan perumpamaan adalah untuk menampakkan dan menjelaskan lagi kenyataan itu.

Perumpamaan hendaklah dikaitkan dengan kenyataan untuk memberi sebarang maksud dan tidak boleh diambil sebagai maksud dengan tersendirinya. Sebaliknya kenyataan adalah fakta dengan sendirinya, walaupun tanpa sebarang penjelasan atau perumpamaan.

Kenyataan pada ayat

1. Allah, Dialah cahaya langit dan bumi.
2. Bandingan nurNya adalah seperti sebuah "misykaat"
3. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya kepada nurNya itu;
4. dan Allah mengemukakan berbagai-bagai perumpamaan untuk umat manusia;
5. dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Dan selebihnya adalah perumpamaan:

1. nurNya adalah seperti sebuah "misykaat"
2. "misykaat" yang berisi sebuah lampu;
2. lampu itu dalam geluk kaca (qandil),
3. geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang;
4. lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya,
5. (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api;
6. cahaya berlapis cahaya.

Allah, Dialah cahaya langit dan bumi adalah suatu kenyataan yang luas pengertiannya, justeru memerlukan suatu perumpamaan yang dapat difaham oleh manusia. Bandingan nurNya adalah seperti sebuah "misykaat" adalah suatu kenyataan untuk menjelaskan bahawa ayat seterusnya adalah suatu perumpamaan terhadap apa yang Allah maksudkan sebagai NurNya.

Walaupun dengan memberi perumpamaan, cuma Allah saja yang dapat membimbing manusia kepada NurNya dan BUKAN NurNya dapat membimbing manusia kepada Allah. Lebih asas lagi, cuma Allah saja yang dapat membolehkan seseorang itu dapat memahami apa yang Allah maksudkan sebagai NurNya.

Atas dasar ini, perumpamaan yang diberi adalah perkara kedua/secondary dan amat susah  untuk difahami bagi mereka yang tidak mengenal Allah terlebih dahulu. Hendaklah kita mengingati diri sendiri terhadap firman Allah s.w.t berhubung dengan perumpamaan-perumpamaan yang diberi seperti:

Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya, iaitu kalau orang-orang yang beriman maka mereka akan mengetahui bahawa perbandingan itu benar dari Tuhan mereka; dan kalau orang-orang kafir pula maka mereka akan berkata: "Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?" Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang-orang yang fasik; (Al-Baqarah:26)

Jelas disini BUKAN "cahaya langit dan bumi" ataupun NurAllah yang dapat membawa seseorang itu kepada Allah tetapi sebaliknya. Allah saja yang dapat membimbing seseorang itu kepada cahayaNya. Tegasnya, NurAllah adalah 'secondary' atau perkara kedua/sampingan; yang penting adalah Allah. Bimbingan kepada Nur Allah adalah melalui Allah s.w.t. Cuma orang yang mengenali Allah saja yang MUNGKIN sampai kepada cahayaNYa, itupun jika Allah Kehendaki. Walaupun mengenali Allah tidak semua yang mungkin sampai kepada NurNya.

Pada masa yang sama, pemahaman ini juga mengariskan bahawa seandainya seseorang itu tidak mengenali Allah, mustahil ia akan sampai kepada NurAllah. Tegasnya perbincangan berhubung dengan NurAllah sewajarnya dihadkan kepada mereka yang "mengenali Allah", wallahu a'lam.

Jalan kearah usaha untuk sampai ketahap ini tegasnya bukanlah untuk mempertikaikan/mengungkap/mengkaji aspek NurNya tetapi sebaliknya ialah untuk mengariskan institusi 'mengenal Allah' secara formal dan kukuh terlebih dahulu. Pada hemat penulis, ini adalah satu anjuran yang menarik, amat menarik sekali, bagi mereke yang berfikir.

Perkataan "masala" pada ayat "masala Nuuruhu" ini memainkan peranan yang penting dalam memahami perumpamaan yang diberikan. Perkataan ini telah diterjemahkan dalam Bahasa Malaysia/Indonesia sebagai 'perumpamaan' oleh sebahagian penterjemah dan sebagai 'perbandingan' oleh sebahagian yang lain.

Jika perbandingan digunakan, ia membawa membawa implikasi kenyataan dan 'objek' yang dibandingkan adalah mirip diantara satu sama lain. Kedua aspek yang dibandingkan  itu mempunyai ciri yang hampir sama melainkan sedikit sahaja. Justeru perbandingan itu adalah untuk menampakkan jurang beza dalam kesamaan yang ada diantara kedua aspek yang diperbandingkan.

Jika perumpamaan digunakan, ia membawa maksud kedua aspek yang diumpamakan itu adalah tidak sama melainkan ciri yang hendak dinampakkan. Ia bermaksud kedua aspek yang diumpamakan ini adalah  berbeza tetapi mempunyai persamaan pada ciri itu sahaja; pertama, dari sudut yang sebenar iaitu kenyataan pada ayat, dan kedua, dari sudut 'objek' yang diumpamakan itu pula mempunyai ciri yang satu itu sahaja yang sama dengan kenyataan yang sebenar. Tegasnya perumpamaan itu adalah untuk menampakkan ciri kesamaan dalam dua aspek yang berbeza. Umpamanya seperti ayat dibawah:

Dan bandingan/perumpamaan (?) orang-orang kafir, samalah seperti orang yang berteriak memanggil binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja; mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta; oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya. (Al-Baqarah:171)

Pada ayat di atas, amat jelas,  orang-orang kafir diumpamakan seperti binatang yang tidak dapat memahami selain dari mendengar suara panggilan sahaja. Sebaliknya orang-orang kafir bukan dibandingkan dengan orang yang berteriak memanggil binatang.

Implikasinya, panggilan Islam terhadap orang-orang kafir tidak akan terupaya oleh akal orang kafir itu untuk memahaminya, dan bukan difahamkan sebagai orang yang berteriak itu adalah seorang yang pekak, bisu dan buta maka binatang yang dipanggil itu tidak dapat mengunakan akal untuk memahami akan panggilan tersebut!!

Perkara ini perlu dibangkitkan disini kerana pada Surah An-Nur:35, NurNya diumpamakan sebagai sebuah "misykaat" dan bukannya NurNya itu sebagai sebuah lampu pada misykaat itu ataupun cahaya berlapis cahaya pada misykaat itu. Allahu A'lam.
 

2.0 Tafsiran Oleh Para Pentafsir

Tafsiran yang diberi oleh para pentafsir untuk ayat ini boleh dibahagikan kepada beberapa ketagori untuk memudahkan pemahaman:

1. Huraian kepada kenyataan, justeru makna dan maksud yang lebih terpeinci.

2. Memberi maksud kepada perumpamaan yang Allah umpamakan itu. Justeru makna dan maksud yang lebih terpeinci dari perumpamaan itu terhadap kenyataan.

3. Huraian kepada perumpamaan. Ini tidak memberi maksud kepada kenyataan secara langsung tetapi perincian penamahaman kepada perumpamaan sahaja. Sebagai perumpamaan, maka firman tersebut tidak bermakna literal tetapi suatu kiasan kepada maksud yang sebenar. Justeru, jika diambil perumpamaan itu sebagai maksud maka ia tidak tepat.

Dalam meneliti tafsiran yang dibentangkan dibawah perlu dibezakan ketiga-tiga aspek berikut agar penelitian terhadap tafsiran itu membuahkan pemahaman daripada menambahkan lagi kekeliruan.
 

3.0 Penilaian Terhadap Tafsiran Yang Paling Tepat:

Walaupun pentafsir masing-masing mempunyai kewibawaan dan lebih utuh pendirian mereka dari  pendapat kita sendiri, akan tetapi kewibawaan tafsiran mereka adalah utuh kerana asas yang ada pada diri mereka sendiri dan penggunaan asas ini dalam mentafsir ayat berkenaan. Justeru asas pentafsiran yang paling tepat hendaklah:

1. asas yang paling dekat dengan pendirian Rasullullah sendiri; kemudian pendirian para sahabat termasuk cara bacaan para sahabat. Rujukan pasa asas ini adalah dalam ayat bergaris pada pentafsiran dibawah.

2. Pendapat para pentafsir yang sehaluan dan bersetujuan di antara satu sama lain.

3. Penilaian pentafsir dari segi pengunaan bahasa Al-Quran, dan perkaitannya dengan nas-nas lain dari Al-Quran.
Pengunaan asas ini tidak boleh mendahului asas pertama dan kedua diatas, kerana para sahabat  sedia maklum bahasa Al-Quran, tahu mengaitkan  nas-nas Al-Quran, dan tahu kaedah bacaan yang sempurna dan mendahulukan pendirian Rasulullah dari pertimbangan mereka sendiri.

4. Pendapat pentafsir sendiri.


Tafsiran berikut adalah berdasarkan daripada terjemahan kitab-kitab:

Ibn Juzayy: at-Tashil fi 'ulum al-Qur'an

Jalalayn: Tafsir al-Jalalayn

As-Sawi: Hashiya (huraian terhadap Jalalayn)

Ibn Kathir: Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir

Al-Qurtubi: Jam' li-Ahkam al-Qur'an

Al-Burusawi: Tafsir Ruh al-Bayan

1. Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi.

Ibn Juzayy: Cahaya masing-masing ditujukan kepada realiti -cahaya yang dapat dilihat oleh mata-, dan juga satu metafor bagi maksud yang dapat difahami oleh hati. "Tiada yang sama dengan Allah."Jadi pentafsiran ayat ini ialah Allah adalah Pemunya cahaya langit dan bumi, dan Dia menjelaskan DIRINya sebagai cahaya seperti jika anda berkata, "Pemurah itu adalah Zayd." apabila anda hendak menekankan fakta yang dia (Zayd) adalah seorang yang pemurah. Jika Allah memaksudkan cahaya itu adalah yang dapat dilihat oleh mata, maka maksud bagi "cahaya langit dan bumi" ialah yang Dia menjadikan cahaya yang mengandunginya-matahari, bulan dan bintang, atau Dia menjadikan semuanya dan membawanya ke dalam kenyataan daripada tiada. Jadi semuanya terbentuk olehNYA sebagai terbentuk oleh cahaya. Dalam maksud ini, 'Ali bin Abi Talib membaca ayat ini sebagai, "Allahu nawwara" (bentuk kedua) bermaksud Dia memasukkan cahaya ke dalamnya.

Jika dengan cahaya Dia memaksudkan cahaya yang dapat dilihat dengan hati, erti cahaya langit dan bumi ialah Dia meletakkan cahaya ini kedalam hati orang-orang langit dan bumi. Inilah kenapa Ibnu Abbas berkata," Maksudnya ialah Petunjuk orang-orang langit dan bumi."
 

Al-Qurtubi: Dari segi metafor atau perumpamaan, orang-orang Arab berkata bahawa, "Ayat-ayatnya mempunyai cahaya" dan "Kitab yang menerangi (lisan, mengeluarkan cahaya)." Dibolehkan, jika dikatakan bahawa Allah adalah cahaya untuk memujiNYA kerana Dia telah membawa benda-benda kedalam kenyataan, dan Dia memula dan mengasalkan cahaya semua benda-benda. Tetapi Dia bukannya satu cahaya fizikal yang boleh ditelah dengan deria. Pun bagitu, Rasullullah s.a.w pernah ditanya, "Pernahkah kamu melihat Tuhan kamu?" dan baginda menjawab,"Aku nampak Dia sebagai Cahaya."

Sebagai suatu petunjuk, Ubayy ibn Ka'b dan lain-lain berkata," Dia menghiasi segala langit dan bumi dengan matahari, bulan dan bintang, dan Dia menghiasi bumi dengan para nabi, ulama' dan yang beriman."

Ibn Kathir: Anas ibn Malik berkata bahawa Allah berfirman, "CahayaKu adalah petunjuk." Ubayy ibn Ka'b berkata dengan merujuk kepada yang beriman yang mana dada Allah telah memasukkan kepercayaan dan Al-Quran.

Jalalayn: Allah meneranginya dengan matahari dan bulan.

as-Sawi: Ketahuilah bahawa realiti cahaya, samaada ditelah oleh mata atau benda-benda yang nampak dengan mengunakannya, menyerupai mutu yang sinaran daripada dua sumber cahaya terhadap objek yang mampat. Maksud ini tidak boleh disamakan dengan atau kepada Allah.

Ayat ini juga dikatakan bermaksud bahawa Allah adalah Pencipta segala cahaya di langit oleh matahari, bulan, bintang-bintang, Arasy dan malaikat, dan di bumi oleh lampu-lampu, cahaya, lilin. Para nabi-nabi, para ulama' dan mereka yang benar. Ini bermaksud Dia menerangi mereka. Ia dikatakan bahawa Dia menampakkan segala di langit dan di bumi kerana istilah cahaya memberi maksud menifestasi. Maksud seperti ini boleh dikaitkan kepada Allah Yang Maha Kuasa memandangkan Dia membuat benda-benda 'lahir' daripada tiada.Ibn 'Ata' berkata dalam Hikam, "Peristiwa kejadian disebut dan gelap gulita. Kenyataan yang sebenar dalam sesuatu yang memberikan cahaya" - (klik untuk rujukan hadith berkaitan). Jadi, alam semesta wujud kerana Allah yang memberi kewujudannya. Jika tidak dengan keWujudan Allah, tiada daripada alam semesta ini akan wujud.
 
 

2. Perumpamaan cahayaNya, adalah seperti suatu keluk, yang di dalamnya ada  pelita.

Ibn Juzayy: Kedudukannya ialah pada suatu lobang pada suatu dinding yang bukannya suatu tingkap, dan lampu itu mengeluarkan satu cahaya yang kuat. Ia juga dikatakan bahawa kedudukan ini adalah pelantar di atas suatu tiang dimana lampu ini terletak. Pendapat yang pertama adalah lebih kukuh dan masyhur.  Maksudnya ialah sifat cahaya dari Allah ialah ia jelas seperti suatu tempat yang mempunyai lampu memandangkan ia adalah yang paling jelas seseorang makhluk dapat bayangkan cahaya dan sinarnya. Ia disepertikan kepada suatu tempat, walaupun cahaya dari Allah lebih kuat lagi kerana ia adalah had yang manusia dapat menelah berkenaan cahaya. Dia membuat perumpamaan kepada mereka mengikut apa yang mereka dapat terima.

Telah dikatakan bahawa gantinama bagi "CahayaNya" merujuk kepada Saidina Muhammad s.a.w,  dan ia dikatakan sebagai merujuk kepada Al-Qur'an, dan terhadap mereka yang beriman. Kenyataan-kenyataan ini adalah lemah kerana tiada yang mendahului gantinama ini yang ia boleh dirujuk. Jika ditanya: Bagaimana ia boleh diterima yang Allah boleh dikatakan  'Cahaya langit dan bumi' sementara Dia sendiri yang menyatakan bahawa Dia adalah Cahaya dan kemudian Dia yang meletakkan cahaya terhadap DiriNya dalam firmanNya, "perbandingan CahayaNya" maka membuat yang dikaitkan itu sama dengan  yang dikaitkan? Jawapannya ialah ia boleh diterima dengan tafsiran yang kita telah sebut berkenaan Allah sebagai Pemunya cahaya segala yang dilangit dan dibumi, atau dicontohkan seperti dikatakan, " Pemurah itu adalah Zayd," dan kemudian kita berkata bahawa orang diingatkan akan sifat pemurah itu oleh Zayd.

Al-Qurtubi: Dia memaksudkan mutu dari bukti-buktiNya yang Dia masukkan kedalam hati-hati mereka yang beriman, dan bukti-bukti inilah yang dinamakan 'cahaya'. Allah menyebut KitabNya suatu cahaya dalam firmanNya, Kami turunkan suatu cahaya yang jelas kepada kamu,"(4:174)Dia juga menyebut RasulNya cahaya dimana Dia berfirman, "Telah datang suatu cahaya kepada kamu dari Allah dan Kitab yang nyata." (5:15) Ini adalah kerana Kitab itu membimbing dan menjelaskan, seperti juga Rasullullah. Satu sebab yang ia dikaitkan kepada Allah ialah kerana Dia yang membuat bukti itu kukuh dan menjelaskannya.

Terdapat satu lagi pengertian bagi ayat ini dimana ayat yang kedua itu menyerupai ayat yang pertama jika cahaya diambil bermaksud sebagai petunjuk dan kesempurnaan sinaran sebagai keterangan dan bukti-bukti dari Allah dalam kejadianNya. Gantinama "cahayaNya" boleh juga dirujuk kepada mereka yang beriman.

Jalalayn: "Perbandingan CahayaNya" bermaksud mutu cahaya dalam hati mereka yang beriman.
 
 

3. Pelita itu di dalam kaca

Ibn Juzayy: Lampu itu adalah sumbu dengan apinya. Maksudnya ia adalah di dalam lampu yang diperbuat dari kaca kerana cahaya di dalamnya menjadi lebih terang kerana lampu itu mempunyai badan yang telus.

Ruh al-Bayan: Tujuan lampu ini di dalam kaca dan kaca ini di dalam suatu 'geluk' atau 'lekuk' supaya apabila diletak pada tempat yang lebih tersekat, cahayanya menjadi lebih tertumpu sinarnya (terang). Jika lampu itu diletak pada tempat yang terbuka, maka cahayanya akan tersebar(malap).
 
 

4. kaca itu seakan-akan bintang (yang bercahaya) seperti mutiara,

Ibn Juzayy: Perumpamaan kaca itu mengeluarkan cahaya seperti bintang yang memancar. Itu boleh mempunyai dua pengertian. Samaada Dia bermaksud ia mengeluarkan cahaya kerana lampu yang ada di dalamnya , atau Dia memaksudkan ia dengan sendirinya adalah kuat dengan cahaya kerana ketulinannya dan kesempurnaan bentuknya. Ini lebih sesuai kerana ia mengabungkan cahayanya dengan cahaya dari lampu itu sendiri.

Dengan 'bintang yang menyilau', Dia bermaksud satu daripada cakerawala yang bercahaya seperti Jupiter, Venus, dan Zuhal atau sepertinya. Ia telah dikatakan bahawa Dia bermaksud Venus, tetapi tiada petanda kepada yang khusus seperti ini (dalam Al-Quran). Nafi' membacanya sebagai durriyyun. Pembacaan ini boleh bermaksud bahawa bintang itu di umpamakan  kepada durr (mutiara) oleh keputihannya dan ketulinannya. Ia juga dibaca dengan hamzah yang di ambil dari dar', bermaksud ditolak (ie. bintang-bintang yang ditolak dari satu tempat ke satu tempat yang lain).

Al-Qurtubi: Ka'b al-Ahbar membuat keseluruhan ayat ini merujuk kepada Muhammad s.a.w, ie, perumpamaan kepada cahaya Muhammad (Nur Muhammad). Rasullullah s.a.w adalah tempatnya, kaca itu adalah hatinya, pokok yang berkah itu adalah wahyu dan malaikat yang membawanya, minyak itu adakah bukti dan kenyataan yang terkandung dalam wahyu.

Jika ia diambil sebagai bermaksud mereka yang beriman, seperti yang di perkatakan oleh Ubayy, maka tempat itu ialah dadanya, lampu itu adalah keimanan dan pengetahuan, kaca itu adalah hatinya, dan minyak itu adalah bukti dan kenyataan yang ia kandungi.

Jalalayn: "Menyilau" bermaksud ia membuang kegelapan. Perkataan ini di ambil dari 'mutiara' kerana keasliannya.
 
 

5. yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak berkahnya, pohon zaitun

Ibn Juzayy: Ia dibaca sebagai yuqadu dan tawaqqada dalam nahu selepas. Nama merujuk kepada lampu itu. Jika ia dibaca sebagai tuqdau dalam nahu semasa maka ia merujuk kepada kaca itu. Ia bermaksud bahawa ia adalah seperti minyak dari pokok yang di limpah rahmat. Ia telah dinyatakan sebagai 'diberi rahmat' kerana betapa banyaknya kelebihan padanya dan bukan kerana ia ditanam pada tanah yang diberi rahmat, iaitu di Syria.

Al-Qurtubi: Ini boleh juga diambil sebagai merujuk kepada para Ambia, dimana bagi Adam a.s akan bermaksud pokok yang diberi rahmat, atau Ibrahim a.s kerana Allah mengelarnya 'yang diberi rahmat.'
 
 

6. tidak tumbuh disebelah timor dan tidak pula disebelah barat,

Ibn Juzayy: Telah dikatakan ia adalah di Syria, jadi ia tidak disebelah barat maupun disebelah timor. Zaitun terbaik adalah zaitun dari Syria. Ia telah dikatakan ia terdedah dan matahari menyinarinya sepenuh hari, maka ia tidaklah keseluruhannya dari timor untuk mengatakan ia adalah ketimoran maupun dari barat untuk mengatakan kebaratan. Sebaliknya ia adalak ketimoran dan kebaratan kerana matahari beredar mengelilinginya dari timor ke barat. Ia dikatakan bahawa ia adalah pokok yang menengah yang tinggi yang tidak menyondong ke timur maupun ke barat. Ia telah dikatakan ia adalah suatu pohon dari Syurga yang mana, jika ia adalah dari dunia ini, semestinya condong kebarat ataupun ke timur, untuk menekankan ketulinan dan keunggulan.
 
 

7. yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api.

Ibn Juzayy: Untuk menekankan penjelasan terhadap keaslian dan keistimewaannya.

Ibn Kathir: Ibn 'Abbas pergi kepada Ka'b al-Ahbar dan berkata, "Beritahu aku berkenaan FirmanNya, yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api" Dia berkata, "Muhammad hampir menampakkan semua perkara dengan terang kepada orang ramai tanpa perlu menyatakan bahawa dia adalah seorang nabi, hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api."

Atau bukti dari Al-Quran hampir membuat semua perkara itu jelas sebelum ia di bacapun.
 
 

8. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis).

Ibn Juzayy: Iaitu, pergandingan cahaya lampu, ketulinan kaca dan ketulinan minyak. Dengannya Dia memaksudkan kesempurnaan cahaya itu digunakan sebagai contoh.

Ibn Kathir: Ibn 'Abbas berkata yang ia bermaksud kepercayaan dan perlakuan hamba-hamba Allah.  Ubayy ibn Ka'b berkata, "Seseorang yang beriman berubah kedalam lima bentuk cahaya: perkataannya adalah cahaya, perlakuannya adalah cahaya, keluarnya adalah cahaya, dan dia akan pergi ke cahaya pada hari kebangkitan itu ke syurga."

Ia juga dikatakan bahawa "cahaya di atas cahaya" ialah cahaya Al-Quran dan cahaya keimanan apabila ia bercantuman.

Jalalayn: Cahaya itu sendiri dengan cahaya api. Cahaya petunjuk Allah s.w.t pada mereka yang beriman di atas cahaya keimanan.

As-Sawi:  Bukti yang Allah berada dalam hati mereka yang beriman adalah bukti di atas bukti. Jika anda akan bertanya kenapa Dia mengunakan cahaya minyak zaitun sebagai perumpamaan dan tidak cahaya matahari, atau bulan atau lilin, maka jawabnya ialah kerana minyak itu mempunyai perbagai guna dan adalah mudah bagi semua orang. Dengan cara yang sama mereka yang beriman sepenuhnya mendapat pelbagai guna dalam keimanan. Terdapat beberapa percanggahan pendapat samaada perumpamaan ini adalah suatu yang berganda atau tidak, termasuk pada permulaan ayat ini dan yang menyatakan petunjuk, atau samaada ia adalah satu dalam mana setiap gambaran bersamaan dengan sesuatu. sebagai contoh, yang beriman sebagai geluk atau tempat, kaca adalah hatinya, minyak adalah ilmu pengetahuannya, dan lampu itu keimanannya.

Ruh al-Bayan: al-Qushayri berkata bahawa mereka memperolehi satu cahaya dengan usaha, penyelidikan dan pengamatan mereka, sementara mereka memperolehi juga cahaya lain dengan pengasihnya Allah s.a.w dalam artikata dan perlakuan. Allah berfirman, "Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." (29:69)

9. Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki,

Ibn Juzayy: iaitu Allah memberi kejayaan kepada sesiapa yang Dia kehendak dalam menemui kebenaran, i.e Islam

Ibn Kathir: Telah disebut dalam hadith, "Allah menjadikan kejadian dalam kegelapan dan kemudian pada hari itu Dia menyinari terhadap sebahagian CahayaNya. Sesiapa yang mendapat CahayaNya pada hari itu mendapat petunjuk, dan sesiapa yang tidak akan sesat." (balik ke atas) Maka telah dikatakan bahawa Dia mengetahui sesiapa yang layak mendapat petunjuk daripada sesiapa yang layak disesatkan.

Abu Sa'id al-Khudri melaporkan bahawa Rasullullah s.a.w berkata," Terdapat empat jenis hati: hati yang TERBUKA ialah seperti lampu dan bercahaya; hati yang tertutup ialah seperti yang terikat dalam selubungannya; hati yang terbalik, dan hati yang mendua. Hati yang terbuka ialah hati mereka yang beriman yang merupakan LampuNya dan adalah CahayaNya. Hati yang tertutup ialah hati mereka yang tidak beriman. Hati yang terbalik ialah hati mereka yang berpura-pura(hipokrit) yang mengenali dan sebaliknya menolak. Hati yang mendua adalah hati yang mengandungi kedua-duanya iaitu kepercayaan dan kepura-puraan. Kesamaan dalam kepercayaan dalamnya ialah seperti pokok yang air yang baik memanjangkannya, dan contoh kepura-puraan di dalamnya ialah seperti luka yang menjalar dengan darah dan nanah. Ia adalah ketara berdasarkan kepada yang mana satu yang lebih menguasai hati itu.

Ruh al-Bayan:  Sumber kawalan dan arah petunjuk adalah Kehendak Ilahi, walaupun sebab-sebab lain nampak seperti mempengaruhi.
 
 

10. dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia,

Jalalayn: Dia membuatkan perkara nampak jelas bagi mereka supaya mereka mengambil iktibar dan percaya.

as-Sawi: Justeru, tiada kesangsian akan mempengaruhi mereka yang percaya. Mereka akan nampak dengan tenggapan sebagaimana mereka nampak dengan mata mereka sendiri. Allah akan menjadikan keduanya sebagai saksi. Dalam hadith, " Takutlah akan kamu akan tanggapan orang-orang yang beriman. Mereka melihat dengan cahaya dari Allah."

4.0 Penutup

Tafsiran yang dkemukakan oleh kelima-lima pentafsir yang dibentangkan di atas seakan-akan bersetujuan dan ada yang tidak. Ini membawa implikasi terhadap kewibawaan para pentafsir itu sendiri, tidak kira mana yang sebenarnya betul ataupun salah. Ini adalah kerana sejarah keIslaman telah menerima bahawa kelima-lima ini adalah antara pentafsir yang paling ulung dalam bidang ini. Bagaimana mungkin mereka boleh bercanggah pendapat dalam cuma menghuraikan baru satu ayat? Bagaimana pula implikasinya terhadap huraian mereka terhadap ayat-ayat lain dan Al-Quran seluruhnya?

Pandangan yang cetek ini juga boleh membuat mereka yang bertanggapan sedemikian mengambil kesimpulan yang tidak kurangnya cetek juga. Ini boleh melalut-lalut kepada memandang tafsiran dan pentafsirnya sebagai lemah, atau para pentafsiran Al-Quran adalah tidak sehaluan, tetapi sebaliknya tanggapan seperti ini yang sebenarnya lemah dan melemahkan umat Islam itu sendiri. Maka timbullah golongan yang cuba memberi tafsiran  sendiri tanpa menghormati kematangan perkembangan sejarah Islam sejumlah 1400 tahun itu. Cetek dan kurang matang golongan seperti ini yang telah melemahkan umat Islam sekarang kerana tidak berupaya untuk melihat kematangan Islam yang sebenarnya.

Pandangan para pentafsir di atas sebenarnya mempunyai titik pertemuan di antara satu sama lain dan mempunyai kedudukan dan tempatnya yang tersendiri dalam pentafsiran ayat berkenaan. Tiap-tiap pandangan mereka sebenarnya tidak bercanggah dan  dijelaskan dengan bagitu matang dan mendalam sekali oleh Hujjatul Islam Al-Imam Al-Ghazali pada Misykatul Anwar