|
Berkata Kalam Hikmah Sheikh
Ibni Athoillah As Kanddari RA.
|
Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam
Jangan sekali-kali kiranya melalui akan Allah cintamu (hemah/maksud hati) kepada lainnya. Maka yang Karim itu tiada dapat melangkah akan Dia (oleh) segala angan-angan kepada lainnya dalam sesuatu kerana bahawasanya Yang Karim itu iaitu yang meliputi kepada tiap-tiap kesempurnaan yang dikasihiNya. Maka kurnianya itu amat besar dan janjiNya itu tiada dusta dan tiada redho Ia bahawa engkau mengangkatkan hajat kepada lainnya.
Keterangan Suluk
Hemah atau keazaman yang kuat untuk mencapai sesuatu maksud atau tujuan hati seorang Salik dalam menempuh perjalanannya untuk sampai kepada Allah sentiasa sahaja dibayangi oleh sesuatu yang berupa ujian atau cubaan. Terkadang suka dan ghairah dengan kekeramatan (perkara yang mencarik adat kebiasaan) yang ada pada manusia. Terkadang dengan diberikan keistimewaan kepada wiridnya sehingga dapat menyembuhkan beberapa penyakit yang ganjil yang dideritai oleh orang lain. Kadang-kadang dibukakan sebahagian daripada yang ghaib-ghaib seperti dapat membaca detik hati seseorang yang berada di hadapannya atau berjauhan dengannya. Banyak lagilah contoh-contoh keistimewaan yang lain di mana apabila perkara-perkara ini dihadapkan kepada Salik, ramai antara mereka yang terpesong dari tujuan perjalanan mereka yang asal dan sebenar kerana cenderung hatinya dan mungkin tertambat hatinya kepada keistimewaan-keistimewaan itu dengan puji-pujian serta penghormatan dari manusia yang dapat melihat tanda-tanda kelebihan yang ada pada Salik itu.
Mereka menjadi tersohor dengan keajaiban yang jarang ada pada manusia lain. Maka di kala ini ramai antara mereka yang terhenti perjalanannya kerana hatinya sudah berpaling kepada sesautu selain daripada Allah.
Inilah sebahagian daripada maksud dan isyarat yang cuba diutarakan dalam Kalam Hikmah di atas Jangan sekali-kali kiranya melalui akan Allah cintamu (hemah/maksud hati) kepada lainnya. Sememangnya itu hanyalah khayalan atau sangkaan atau semata-mata hanya sebagai angan-angan mereka yang mereka itu telah benar dengan Allah Taala sedangkan keadaan diri mereka berada dalam kebergantungan kepada amalan atau wirid (makhluk) yang disangkakan dapat memberikan sesuatu keistimewaan. Sentiasalah hamba itu berhajat kepada wirid/amalan yang dikatakan sebagai sumber keistimewaan yang dimilikinya.
Ini adalah satu pemesongan dari hakikat yang sebenarnya kerana bahawasanya Yang Karim itu iaitu yang meliputi kepada tiap-tiap kesempurnaan yang dikasihiNya. Maka kurnianya itu amat besar dan janjiNya itu tiada dusta dan tiada redho Ia bahawa engkau mengangkatkan hajat kepada lainnya.
Dengan sebab itulah Tok Pulau Manis menjelaskan hal ini dengan huraiannya seperti berikut;
Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam
Maka barangsiapa berpegang ia akan Allah tiada kepada tiap-tiap suatu, maka keluar ia daripada tiap-tiap barang yang lain daripadaNya.
Keterangan Suluk
Ini membawa maksud kepada jika seseorang itu kuat keimanannya dan keyakinannya kepada Allah, nescayalah ia akan sentiasa bergantung dan berpegang kepada Allah dalam setiap hal atau keadaan. Dengan teguhnya pegangan kepada kekuasaan serta limpah kurnia Allah Taala, maka ia akan bebas dari dibelenggu dan dipenjara oleh sesuatu yang lain termasuk dirinya, amalannya atau hal-ahwalnya atau apa sahaja selain daripada Allah..
Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam
Dan selagi yang Salik itu berpaling ia kepada yang lain daripada TuhanNya, maka tiadalah patut Ia (Allah) bagi kasih akan dia. Dan tiadalah ada Tauhid yang kholis akan Dia.
Keterangan Suluk
Berpaling kepada Allah bermaksud memanjatkan sesuatu hajat atau merasa senang dan selesa dengan sesuatu selain daripada Allah sama ada kepada;
Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam
Maka orang yang Aqil (berakal/Arif) itu iaitu (mereka) yang tiada redho ia dalam kedua negeri (dunia dan akhirat) lain daripada TuhanNya dan tiada meminta (mengadu) ia lain daripadaNya kerana telah diketahui dan telah ditahqiqkan bahawa tiada di sana (pada pandangan hakikat) melainkan Ia (Allah) jua. Maka yang wajib atas seorang itu bahawa jangan diangkatkan(minta atau pohon) akan hajatnya melainkan kepada Yang Esa dengan KeesaanNya. Dan apabila ada pekerjaannya (hakikatnya) seperti demikian itu, maka kata Muaalif;
Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari
RA.
|
Keterangan oleh Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam
Maka jangan engkau angkatkan hajat kepada yang lain daripadaNya (kerana) Ia jua yang mendatangkan dia atasmu daripada umpama Fakir dan sakit dan barang yang lain daripada itu. Maka bahawasanya segala Agyar (sesuatu selain Allah) itu berkehendak ia kepadaNya dan tiada jua didatangkan atasmu hajat melainkan kerana Tadaru' kepadaNya dalam segala kerajaan . Maka bahawasanya Haq Taala itu Ghoni lagi Qawi dan lainnya itu fakir lagi 'Ajir dan barang yang dihantarkanNya tiadalah boleh lainnya mengangkatkan dia.
Keterangan Suluk
Setiap sesuatu hal seperti miskin, susah dalam penghidupan, sakit, bala atau musibah yang mendatangi ke atas seseorang hamba adalah mengikut Iradat(Kehendak) dan Ketentuan Allah yang Maha Berkuasa. Biasanya semasa menerima sesuatu bala atau musibah kehidupan ini, hamba itu kadang-kadang menjadi hilang pertimbangannya dan ingin cepat-cepat ianya berlalu dari terus mencengkam kesusahannya. Berbagai-bagai usaha dan ikhtiar yang akan dilakukannya untuk mencapai hajat dan kebutuhannya itu. Ada yang sanggup tunduk dan patuh kepada manusia lain yang dianggap berkuasa untuk membantunya.
Kalam hikmah di atas ini cuba memberi kefahaman kepada kita semua, bahawa setiap hajat dan kebutuhan untuk membebaskan diri dari keresahan dan kesusahan itu, hendaklah diajukan atau dihadapkan kepada Allah. Ini adalah kerana pada pandangan hakikatnya Allahlah yang menimpakan sesuatu kesusahan itu dan Dialah juga yang akan melepaskannya. Maka amatlah tidak wajar sekali untuk dihadapkan rayuan dan hajat kita itu kepada makhluk kerana makhluk itu sendiri lemah dan berhajat seperti kita dan sentiasa berada di bawah KekuasaanNya..
Adapun sesuatu kesusahan yang mendatangi seorang hamba itu, ada mempunyai berbagai-bagai hikmahNya dengan tujuan supaya seorang hamba itu sedar akan dirinya yang lemah, dhoif, fakir dan hina dan sentiasa berhajat kepada Allah. Maka jiwa yang sedar ini akan sentaiasa merendah diri, tunduk dan akur dengan pelakuan Allah terhadapnya. Biasanya Manusia ini bila sentiasa diberi kesenangan dan keselesaan, mereka akan cepat lupa pada Allah malah ada antara mereka yang kufur dan menentang Allah. Inilah antara bahaya yang terdapat dalam kesenangan yang berpanjangan dan contoh-contohnya boleh dilihat kepada Qarun, Firaun serta orang-orang kaya dan para penguasa yang lupa diri. Mereka angkuh, sombong dan kadang-kadang sanggup menghina manusia lain bahkan hukum-hukum Allah.
Oleh itu, yakinilah sesuatu kesusahan dan kesempitan hidup itu adalah bertujuan untuk mendekatkan hamba itu kepada Allah dengan menginsafi bahawa Allah itu Maha Kaya lagi Maha Gagah(Menguasai). Jadi semestinyalah sesuatu yang Allah timpakan kepada seseorang, Allah lah juga yang berkuasa untuk mengangkat/membebaskannya. Semua makhluk tidak berupaya untuk berbuat apa-apa malah mereka sendiri pun adalah lemah seperti kita juga.
Dengan kerana itulah, didatangkan Kalam Hikmah yang seterusnya oleh;
Sheikh Ibni Athoillah As Kanddari
RA. yang diterjemahkan oleh Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam dengan
katannya;
|
Keterangan Suluk
Dalam bahasa mudahnya Kalam Hikmah di atas membawa maksud seperti berikut;
"Maka bagaimanakah sesuatu selain Allah akan dapat menyingkirkan sesuatu yang diletakkan oleh Allah".
Keterangannya adalah seperti berikut;
Adalah tidak munasabah sekali bagi hamba yang lemah ini menyandarkan sesuatu kebutuhan dan keperluannya kepada selain daripada Allah sedangkan Allahlah Yang Menentukan dengan KekuasaanNya sesuatu yang menyebabkan hamba itu merasa berhajat dan memerlukan sesuatu itu. Setiap sesuatu itu adalah dikuasai dan diperintah oleh Taala. Dialah Allah Yang Mengatur dan Memerintah tiap-tiap sesuatu mengikut KehendakNya. Dialah Yang Kaya dan Yang Kuat dan tiap-tiap sesuatu itu selainNya adalah lemah dan dhoif. Sentiasa berhajat kepadaNya dan mengharapkan limpah kurnia dan Kasih SayangNya.
Dialah Yang Menaikkan seseorang dan Dia juga Yang Menjatuhkan. Dialah Yang Menimpakan Ribut Taufan yang kuat menghancurkan dan melenyapkan tamadun sesuatu daerah dan Dialah juga Yang menurunkan hujan dari langit yang membawa keberkatan untuk bumi yang gersang. Tidak ada sesuatu yang dapat menghalang Qadanya dan tidak kuasa (pada pemerintah/penguasa) yang berhak campurtangan dalam urusan PentadbiranNya dan ada tidak teknologi yang dapat menahan sesuatu Yang Allah inginkan dan tidak ada kepakaran yang mampu menjadikan sesuatu yang Allah tidak mahu MenjadikanNya. Benarlah firman Allah dalam Al-Quran yang bermaksud;
"Dan Akulah Yang Menjadikan kamu dan apa-apa yang kamu kerjakan"
Jadi amatlah tidak wajar seorang hamba mengharapkan sesuatu daripada yang lemah dan dhoif sepertinnya juga. Juga amatlah bodoh hamba itu menyandarkan hajatnya kepada sesuatu yang ia sendiripun menyandarkan kepada Yang Lain untuk mewujudkannya.
Berkata Tok Pulau Manis, Pengarang Kitab Hikam
Kata seorang Arif;
Telah dikata orang bagiku dalam antara jaga dan tidur. Katanya;
"Jangan engkau zohirkan hajat bagi lain daripadaKu
(Allah). Maka adalah atas mu itu dengan sejahat-jahat adab
bagimu. Dan hanyasanya telah Aku cuba engkau dengan hajat (bala atau
susah) dan telah Kuhukumkan bagi diriKu (Allah) dengan Kaya supaya
terkejut (sedar) engkau daripadanya (hajat itu) kepadaKu (Allah) dan Tadaru'
engkau dengan dia (hajat itu) bagiKu(Allah) dan tawakkal engkau di dalamnya
(hajat itu) atasKu (Allah). Maka jikalau engkau sampaikan(pohonkan)
akan dia (hajat itu) padaku nescaya Ku sampaikan akan dia dengan
KayaKu dan jikalau engkau sampaikan akan ia (hajat itu) lain daripada Ku
(Allah ) nescaya Ku putuskan kepada mu Kasih dan TolongKu dengan jauh engkau
daripada Ku.
Keterangan Suluk
Bagi orang Salik yang ingin menjejaki hakikat Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid Rububiyah, mereka sepatutnya menjaga adab-adab kehambaan dan Ketuhanan. Sejahat-jahat adab bagi mereka ialah menyatakan kehajatan mereka kepada sesuatu selain daripada Allah. Natijah yang akan ditimpakan kepada mereka yang melanggari adab ini ialah terputusnya pertolongan Allah dalam perjalanan mereka malah lebih teruk daripada itu. Waspadalah Salik akan jurang yang curam ini kerana kesalahan syirik ini adalah sebesar-besar kesalahan bagi mereka yang dalam perjalanan hati untuk sampai kepada Allah. Perhatikan kata-kata ahli sufi Wahab bin Munabbih ini;
"Allah telah mewahyukan kepada Nabi Daud A.S.: Hai Daud, Demi Kemuliaan dan KebesaranKu, tiada seorang hambaKu yang meminta tolong kepadaKu dengan sungguh-sungguh kepadaKu, tidak pada lainnya dan Aku ketahui dari niatnya, kemudian hamba itu akan diperdayakan oleh penduduk langit yang tujuh dan bumi yang tujuh, melainkan pasti Aku akan menghindarkannya dari semua itu. Sebaliknya demi Kemuliaan dan KebesaranKu, tiada seorang yang berlindung dengan seorang makhlukKu, tidak kepadaKu dan Aku ketahui yang demikian dari niatnya melainkan Aku putuskan ia dari rahmat yang dari langit dan Aku longsorkan bumi di bawahnya, dan tidak Aku hiraukan dalam lembah jurang yang mana ia binasa".
Semoga anda bisa menghayati apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Allah memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya
Allahu A'lam.
|
|