Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Hasil tulisan seorang sahabat

Iktiqad Yang Selamat

Mana satu iktiqad dan kepercayaan yang selamat ?

Orang - orang Arab sebelum Islam, menganut berbagai-bagai ugama dan kepercayaan. Maka orang-orang Quraisy Mekah tiada ada kepercayaan pada tuhan dan tiada berugama dan orang - orang suku Tamim menganut fahaman Mazdak (bersekutu pada perempuan dan harta sebagaimana Komunis bersekutu pada harta dan perempuan) dan mereka menganut ugama Majusi menyembah api dan suku Ghassan menganut ugama Yahudi dan Nasrani dan lain - lain Arab menyembah berhala.

Dalam suasana Tanah Arab yang begitu rupa dibangkitkan Nabi kita Nabi Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dengan membawa ugama Islam dan Iman dan Ihsan setelah 13 tahun lamanya, maka seluruh Tanah Arab telah bersih dari menyembah berhala dan dari samun menyamun dan ajaran Islam telah bersinar di dalam hati - hati dan kehidupan menjadi tenteram.

Setelah Nabi Sayyidina Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam wafat dan kembali pada Arrafiqul A'la (pent. - zaman perpecahan) maka ada orang-orang di sudut-sudut Tanah Arab itu keluar dari ugama Islam dan ada orang-orang yang hendak membezakan antara perkara dunia dari perkara ugama dengan enggan membayar zakat kepada khalifah.

Maka para sahabat-sahabat RadhialLahu 'Anhum telah menganggap semua orang-orang itu murtad keluar dari ugama Islam sedangkan ugama Islam telah menghimpunkan dua muslihat dunia dan akhirat . Dan ugama Islam itu mempertahankan dua muslihat itu dari dikacau oleh orang-orang yang degil dan angkuh itu. Maka sahabat-sahabatpun mengambil tindakan bersenjata ke atas orang - orang yang murtad itu, dipaksa mereka kembali pada Islam dan fitnah itu selesai dan Islam bersinar semula di seluruh Tanah Arab.

Pada zaman Khalifah Umar Radhiallahu 'Anhu tampil seorang bernama Subaigh bin Asal membangkitkan perkara-perkara yang Mutasyabih, yang membawa kesamaran fahaman dan fikiran dan iktiqad, maka Sayidina Umar telah memanggil Subaigh itu lalu dibelasahnya. Subaigh itu bertaubat dan dibuang negeri ke bandar Basrah Iraq dan di sana dia telah siuman dan baik kelakuannya.

Bagaimana kesedaran Khalifah Sayidina Umar Radhiallahu 'Anhu di atas gerak geri dan kelakuan orang-orang yang suka membuat kacau di kalangan orang ramai padahal tiada ada sesuatu perkara berbangkit yang mesti dihuraikan dan mesti cari jalan keluar.

Manakala berlaku kacau bilau dan fitnah pada zaman khalifah yang ketiga dan keempat, maka orang-orang yang suka membuat fitnah dan kacau bilau dari berbagai - bagai bangsa yang menyamar diri di antara orang-orang Islam. Mereka telah dapat lapangan yang luas bagi menabur benih-benih kejahatan dan kerosakan fikiran di antara orang-orang Islam Mereka juga cuba memecah-belahkan orang Islam dengan berbagai hasutan dan mendatangkan bermacam - macam rupa syubhat dan keraguan. Ini adalah kerana mereka hendak membalas dendam dan sakit hati disebabkan Islam telah bertapak di tanahair mereka dan orang-orang Islam telah menawan negeri mereka.

Maka ahli-ahli fitnah itu dan ahli sayap kelima itu telah berjaya menjalankan setengah-setengah dari pelan-pelan dan rancangan-rancangan jahat mereka.

Adalah orang-orang Khawarij iaitu orang-orang yang telah keluar dari taat setia kepada Khalifah Sayidina Ali Karramalallahu Wajhahu. Mereka adalah golongan yangn mula-mula cuba memecah belahkan umat Islam dalam masa-masa kecemasan itu.

Lahirnya puak Khawarij itu bukan dari sebab ada sesuatu syubahat dan keraguan di dalam masalah-masalah ugama tetapi terbit dari semangat siasah (politik) yang melampau dan menyeleweng.

Puak Syi'ah iaitu puak yang mahabah (menyayangi) yang memuliakan ahli bait RasululLah Sallallahu Alaihi Wasallam terbit dari "semangat" juga sebagaimana puak Khawarij.

Tetapi ada beberapa golongan dari berbagai-bagai bangsa yang tiada simpati dengan Islam dan kebaikan Islam telah menyamar diri lalu menyusup di antara puak-puak Syi'ah itu dan mereka pudarkan dan rosakkan kasih sayang dan mahabah kepada ahli bait dan keluarga RasululLah Sallallahu Alaihi Wasallam

Lahir pula puak Muktazilah manakala Sayidina Al Hassan bin Ali bin Abi Thalib Karramallahu Wajhahuma menyerahkan kuasa pemerintahan Islam kepada sahabat Mu'awiyah Radhiallahu 'Anhu dan orang-orang Muktazilah meninggalkan Sayidina Al Hassan dan sahabat Mu'awiyah dan orang ramai dan mereka pergi bertapa di rumah-rumah dan di masjid-masjid dan mereka berkata :

"Kami bekerja menyiarkan ilmu Islam dan beribadat dan mula asal orang-orang Muktazilah itu ialah orang yang mengikut Khalifah Sayidina Ali Karramallahu Wajhahu" .

Maka orang-orang yang bertapa di lubuk-lubuk rumah dan ruangan masjid itu dinamakan Muktazilah. Akan tetapi dengan sebab banyak sangat berlaga mereka dengan puak-puak yang menyeleweng dari Islam dan banyak menggunakan akal dan akal mereka dijadikan kata pemutus dalam tiap - tiap perkara maka puak Muktazilah itu telah jatuh ke dalam gaung sesat yang sangat membahaya.

Dipetik dari pendahuluan Syaikhuna Al Allamah Al Kusairi pada Kitab At-Tabsiru Fid Din; Wattam Yizul Firqati An Najiyati 'Ani Firaqil Halikina oleh Al Imam Hujjatul Mutakallimin Wal Mufassiru An Nadzoru Abul Muzzafari Al As Faraini yang meninggal tahun 471H

Disebutkan sebelum ini bagaimana lahirnya puak Khawarij dan puak Syi'ah dan puak Muktazilah. Maka puak Khawarij dan puak Syi'ah bukan terjadi sebab ilmu, tetapi keduanya terjadi dari semangat yang berpunca dari siasah negeri, kemudian menyusup beberapa golongan daripada orang-orang yang tiada berugama dan orang-orang yang bencikan ugama ke dalam puak tersebut itu. Kedua-dua puak itu bertukar corak menjadi buruk dan sesat dan setengah-setengah cabang kedua puak itu keluar dari Islam dan kufur. Puak yang keluar dari Islam dinamakan "Ghulatun" (Pelampau Khawarij dan Syi'ah). Timbul pula satu puak iaitu "Murjiah" di mana dengannya terbit satu rupa aliran ilmu iaitu mereka berkata : Iman itu tiada terjejas dengan disertakan membuat dosa iaitu lawan iktiqad Khawarij yang berkata melakukan dosa besar itu mengeluarkan dari Islam dan menjadi kafir

Adapun puak Jabariah itu iaitu puak yang mengajak pada lembab fikiran dan pada kebinasaan, bukan terbit dari ilmu pengetahuan, tetapi terbit dari mengikut fikiran seperti fikiran berahimah atau berhaman Hindu, yang faham semua perkara itu boleh buat sama ada halal atau haram.

Dan puak Qadariah iaitu puak yang berpendapat bahwa manusia menjadikan perbuatan mereka sendiri. Puak Qadariah itu terbit dari kesan malas dari memahamkan sesuatu dan dari kesan menerima sahaja apa yang ada, yang berlaku pada fikiran puak - puak yang lain yang ada pada masa itu. Fikiran Qadariah itu terbit dari kesan fikiran puak Majusi Parsi sebelum Islam yang mengatakan ada dua tuhan iaitu tuhan cahaya dan tuhan gelap (Majusi Thanuwiah)

Adalah pendita-pendita Yahudi dan Padri Nasrani dan Ketua-ketua Ugama Majusi telah masuk Islam zaman Khalifah Ar Rasyidin. Kemudian lepas zaman Khalifah Ar Rasyidin mereka menyiarkan kisah-kisah dan cerita-cerita sebelum Islam kepada orang-orang Islam yang belum mengetahui betul akan hakikat ugama Islam, maka mereka ambil kisah-kisah itu dengan hati yang lurus dalam perkara yang berhubung AlLah dan sifat-sifat Allah Taala, yang membawa AlLah Taala bersifat jisim dan membawa AlLah pada serupa dan tasybih dengan sifat-sifat makhluk dan dicampurkan dengan fikiran mereka yang ada sedia sebelum mereka masuk Islam. Kadang - kadang mereka sandarkan kisah itu kepada RasululLah. Maka timbullah perkara tasybih dan merupakan(mewajahkan Zat) AlLah dengan makhluk dengan meluas. Kerajaan Bani Umaiyyah pada masa itu'tiada mengambil berat pada menjaga iktiqad umat Islam melainkan apa yang menyentuh siasah mereka. Adapun mula-mula orang yang terpedaya dengan kisah-kisah itu ialah puak Syi'ah, kemudian mereka terhenti dari fikiran tasybih dan merupakan Allah dengan makhluk itu oleh sebab dihujah dan dibantah oleh puak Muktazilah.

At Tabi'e Al Jalil Al Hassan Al Basri seorang yang sentiasa menyiarkan ilmu Islam di bandar Basrah beberapa tahun lamanya dan duduk di majlis ilmunya orang-orang yang pandai daripada ahli ilmu Islam. Pada suatu hari datang hadir di majlisnya beberapa orang daripada orang-orang yang membawa kisah-kisah dan cerita ahlul kitab yang dibawa masuk oleh pendita-pendita Yahudi dan padri-padri Nasrani yang masuk Islam. Mereka berkata dengan kata yang tidak betul dan salah di majlisnya. Maka Al Imam Al Basri menyuruh mereka itu pergi dan mereka duduk di tepi sudut majlisnya itu dan mereka dinamakan puak Hasyawiyah.

Puak Hasyawiyah ini ialah puak yang jahil dan lembab hanya mengikut fikiran-fikiran jahiliyah sebelum Islam yang mereka warisi dan mengikut fikiran Majusi Thanawiyah, fikiran ahlul kitab dan fikiran Sabiah yang menyembah bintang-bintang.

Puak Hasyawiyah itu puak yang hidup tiada cara mewah yang mengelirukan orang ramai dan mereka orang-orang jahil dan keras hati mudah berbuat sesuatu angkara di dalam negeri mereka tiada nampak melainkan ketika Islam lemah, mereka musuh kepada akal dan pada ilmu akal dan musuh kepada puak-puak yang ada pada masa mereka dan puak Muktazilah adalah musuh kepada puak Hasyawiyah kerana puak Muktazilah menggunakan ilmu dan menggunakan akal dengan berlebih-lebihan dan musuh mereka ialah puak-puak yang lembab fikiran dan fikiran-fikiran yang menyusup dari uar ke dalam Islam dengan membantah mereka dengan membawa hujah-hujah dan dalil dan mereka bersungguh mempertahankan Islam terhadap puak Dahriah, puak ingkarkan Nabi - nabi, puak Majusi Thanawiyah, Yahudi dan Nasrani.

Puak Hasawiyah itu terus berjalan dengan bodoh, dan ikuti oleh orang-orang yang berfikiran rendah Mereka berkata mengenai AlLah Taala dengan perkara yang tiada harus dikatakan pada syarak, dan tiada diterima pada akal seperti

yang diambil oleh mereka dan fikiran-fikiran itu dari ahlul kitab dan Majusi dan Sabiah dan fikiran-fikiran mereka sebelum masuk Islam dan mereka mengarang kitab-kitab dalam perkara tersebut itu dan mereka mengaku bahwa mereka orang salaf dan orang yang memegang sunnah.

Adapun Ahli Sunnah Wal-Jama'ah dari puak ulama Fiqah dan puak ulama Hadis bekerja menjalankan usaha pada menguatkan kedudukan ilmu-ilmu mereka dengan tiada berbuat onar dan angkara.

Kebanyakan ulama Feqah dan ulama Hadis daripada Ahli Sunnah Wal-Jama'ah sepanjang masa pergolakan di antara puak-puak itu, tiada mahu masuk dalam pergolakan dan tiada mengambil bahagian di dalam perkara-perkara yang ditengkarkan dan mereka berjalan di atas jalan yang dijalankan oleh sahabat-sahabat dan jalan golongan orang-orang terbilang dan terpilih daripada tabi'en, dengan menggunakan ilmu-ilmu yang sabit adanya di dalam Islam dan tiada keluar dari yang tersebut.

Di dalam keadaan cemas itulah maka Al Imam Abu Al Hassan Al Asy'ari RadhialLahu Anhu melihat apa yang telah kena ke atas umat Islam dari berbagai - bagai rupa serangan ke atas iktiqad dan dia bangun bagi mempertahankan Sunnah RasululLah SallalLahu Alaihi Wasallam dan membasmikan bida'ah.

Mula-mula dia berusaha mendamaikan di antara dua pihak yang bertikai itu dengan mengembalikan kedua-dua pihak itu ke jalan tengah, maka dia berkata kepada puak yang pertama bahwa kamu benar apabila kamu kata Quran itu baharu lafaznya, baharu pada bacaannya, baharu pada tulisannya, dan dia berkata kepada satu puak yang lain bahwa kamu adalah benar bahwa tujuan kamu bahwa Quran itu qadim iaitu sifat yang ada pada zat AlLah yakni kalam nafsi dan tiadalah kamu boleh ingkarkan baharu lafaz orang yang membaca Quran dan bacaan orang yang mengaji Quran itu, begitu juga kamu puak yang lain itu tiada boleh menafikan sifat yang ada pada zat AlLah iaitu kalam nafsi yang tiada berlafaz dan tiada bersuara itu.

Al Imam Al Asy'ari telah berkata kepada pihak yang pertama bahwa menafikan AlLah Taala dari sifat dekat dan bertemu dengan makhluk itu dan dari berupa adalah betul, tetapi wajib di atas kamu mengaku tajalli AlLah itu dengan tiada berkaifiat. Dan dia berkata kepada pihak yang lain: Jangan kamu sabitkan rupa dan dekat dan bertemu dan segala perkara membawa AlLah Taala menjadi baharu (muhaddas) dan kamu betul jika kamu sabitkan boleh melihat AlLah bagi orang - orang mukminin di akhirat dengan tiada kaifiat.

Begitulah Al Imam Asy'ari telah berjaya menghimpunkan umat Islam dan menjadikan mereka bersatu padu, dan membasmikan orang-orang yang degil dan mematahkan keterlaluan mereka dan telah datang banyak soal dari merata negeri Islam dan dia jawab akannya, maka masyurlah namanya merata - rata alam Islam dan penuh dunia Islam dengan kitab - kitab Al Imam Al Asy'ari dan kitab tulisan pengikut -pengikutnya dalam perkara Sunnah RasululLah dan perkara menolak berbagai - bagai puak ahli bida'ah dan ahli ilhad dan ahlul kitab Yahudi dan Nasrani dan pengikut-pengikutnya telah berselerak di tanah Iraq, Khurasan, Syam dan negeri Maghribi. Ikuti Tajuk Seterusnya Iktiqad Ahli Sunnah Wal-Jamaah

Index Pengajian Kitab Usuluddin