|
Manifestasi tidak akan terjadi melainkan setakat keupayaan atau muatan sesuatu yang menerimanya. Anda tahu bahawa anda tidak akan dapat melainkan menurut keupayaan anda. Jika anda mahu sesuatu.....periksalah sama ada anda mempunyai keupayaan untuk itu. Jika anda dapati yang anda tidak mempunyai keupayaan yang diperlukan (di mana sesungguhnya keupayaan itu ialah kurnia Ilahi), maka ketahuilah bahawa Allah telah memberi tiap-tiap sesuatu itu ada keupayaannya. Jika Allah tidak memberi anda keupayaan khusus ini, maka anda tidak mempunyai keupayaan itu. Jika Allah memberi anda keupayaan itu, maka itu menunjukkan sesungguhnya Allah telah mengurnikannya kepada anda.
Allah hanya mengambil perhatian terhadap sesuatu dalam alam ini menurut tuntutan dan keperluan tiap-tiap sesuatu itu. Allah tidak memberi saja kepada sesuatu itu yang di luar keupayaan yang telah ditentukanNya. Kurnia Allah kepada sesuatu itu ditentukan menurut keupayaan dan kesanggupan sesuatu itu. Selain dari yang diperlukan oleh sesuatu itu, tidak akan diberikan kepadanya.
Seluruh perkara adalah seperti yang kita sebutkan itu. Allah tidak akan memberi kepada sesuatu makhluk itu apa yang bukan haknya. Allah jadikan mereka itu patuh kepadaNya dan memerintah mereka supaya menurut jejak langkah dan jalan yang telah ditempuh oleh Rasul-RasulNya. Allah memberi kepada orang-orang yang mengikuti Rasul-Rasul itu sifat-sifat yang sepatutnya mereka dapat daripadaNya.
Sebab-sebab tidak akan jadi tanpa kesan-kesan. Bentuk-bentuk tiada akan terzhohir melainkan mereka itu serupa dengan dalam peringkat terpendamnya(sebelum ia terzhohir). Ini adalah kerana kalimah Tuhan itu tidak akan berubah-ubah; dan kalimah Tuhan itu tidak lain dari ain maujud.
Ketahuilah bahawa Qada' Tuhan tentang sesuatu itu ialah kontrolNya ke atas sesuatu itu; dan kontrolNya ke atas sesuatu itu bersesuai dengan IlmuNya tentang sesuatu itu dan keupayaan serta bakat yang ada pada sesuatu itu. Ilmu Allah tentang sesuatu itu ialah apa yang sesauatu itu beri kepadaNya dengan kesesuaiannya sendiri berkenaan hakikat-hakikatnya.
Qadar itu ialah ketetapan kepada manusia(penzhohiran) apa yang sesuatu itu sanggup dalam ainnya. Dan berkenaan dengan tiap-tiap hal ain tertentu tanpa sebarang kelebihannya. Kesan ketentuan Ilahi itu tidak akan berlaku melainkan seperti yang demikian itu.
Firman Allah Taala;
"Kami jadikan Rasul-Rasul itu melebihi antara satu dengan lainnya" (Surah Al-Baqarah:253).
Sebagaimana berbezanya mereka itu dalam bakat-bakat diri mereka itu dan dalam perintah mereka yang tersebut dengan bakat-bakat yang terpendam dalam diri mereka itu. Inilah maksud firman Allah;
"Sesungguhnya Kami jadikan Nabi-Nabi itu melebihi antara satu dengan lainnya" (Surah Israil:55).
Berkenaan dengan hak makhluk, Allah berfirman;
"Allah melebihkan rezeki antara seorang kamu dengan yang lain" (Surah An-Nahl:71)
Itu termasuk keruhanian seperti ilmu atau fizikal seperti makanan dan minuman. Rezeki ini diKurniakan Tuhan kepada makhluk menurut banyak yang diperlui oleh makhluk itu yang telah ditentukan oleh Tuhan Rabbul 'Alamin. Allah memberi kepada setiap sesuatu kekhususan yang DiberiNya menurut KehendakNya. Dia tidak memberi sesuatu yang Dia tidak tahu, dan Dia tidak tahu sesuatu itu kecuali Ia telah Kurniakan kepadanya keadaan sebenarnya bagi sesuatu yang Diketahui itu. Penetapan masa ialah untuk yang mumkin, Qada', Ilmu, Iradat dan tindakan adalah semuanya ditentukan(diQadarkan).
Ketahuilah bahawa sahabatku, moga-moga Allah membantu anda,
Bahawa apabila Allah mencipta alam, Ia telah menentukan kedudukan semua perkara. Semua perkara itu tidak akan dapat lari dari ketentuan itu.
"Semua mereka itu bertasbih kepada Tuhan mereka dalam falak" (Surah Al-Ambiya':33)
Begitu jugalah tiap-tiap yang maujud ada mempunyai jalannya sendiri. Dan maujud yang lain sama ada ruhani atau jasmani tidak akan dapat menempuh jalan itu. Dua maujud tidak akan sama wataknya dan tidak akan sama kedudukannya. Malaikat tidak akan jadi manusia, dan manusia tidak akan jadi malaikat. Begitu jugalah Rasul tetap jadi Rasul juga, tidak yang lain. Ada ketentuan dan ketetapan bagi sesuatu makhluk; bahkan tiap-tiap individu dalam sesuatu jenis pun ada mempunyai kekhususan masing-masing; menurut jalannya dan orang lain tidak dapat menurut jalan kita.
Begitu juga perbezaan dalam tindakan atau perbuatan pun telah ditentu dan ditetapkan, kadang-kadang oleh ainnya atau masa, tempat dan keadaan. Tindak tanduk sesuatu itu ditentu dan ditetapkan menurut hakikatnya. Tidak akan ada perbezaan atau peringkat kerana tiap-tiap sesuatu telah ditentukan oleh ukuran dan sukatannya. Berkenaan perkara-perkara yang bertepatan dalam banyak(seperti akal), Allah tidak membagi-bagikan antara manusia dengan ukuran seperti seorang diberi satu ukuran dan seorang lain diberi dua ukuran. Di sini, ketentuan dan ketetapan itu adalah berperingkat-peringlat dan berdarjah-darjah.
Allah berfirman membenarkan Musa a.s.
"Dia beri setiap sesuatu itu keadaannya"
Tiap-tiap sesuatu mempunyai jalannya masing-masing. Pokok-pokok melentuk ke kiri dan ke kanan. Binantang bergerak dengan empat kaki. Jika tidak demikian, tidaklah berguna mereka itu.
Jika pokok tidak tegak, tidaklah ia berguna kerana ia tidak dapat menghisap air melalui akarnya. Jika ia tidak dapat menghisap air dari akarnya, tidaklah ada kekuatan baginya. Begitu juga binatang itu, sekiranya mereka tegak seperti manusia atas dua kaki, maka tidaklah mereka berguna kerana tidak dapat ditunggang dan membawa barang-barang dan lain-lain kegunaan jika ia berkaki empat.
Semuanya berjalan atas jalannya yang betul. Mereka pasti berjalan atas jalannya masing-masing. Tidak lain dari itu. Tidak ada satu pun dalam wujud ini yang tidak betul, kerana PenciptaNya berada di jalan yang betul dalam kedudukanNya sebagai Tuhan. Meskipun jalan-jalan itu bersimpang-siur antara satu dengan yang lain, namun mereka tidaklah di luar jalan yang betul itu. Apa sahaja yang anda lihat masing-masing dalam jalannya yang betul yang memerintah tiap-tiap maujud. Inilah maksud firman Allah Taala;
"Kepadanya kembali segala urusan, dan Dia berada dalam jalan yang betul"
Oleh yang demikian, orang-orang Arif yang mengalami kehadiran Allah dengan nyata mengetahui apa yang Allah kurniakan kepada mereka pada waktu-waktu yang tertentu; dan mereka menerimanya melalui bakat mereka untuknya.
Allah Taala telah menguji Nabi Ayub a.s. dan lain-lain, tetapi mereka tidak berdoa kepada Allah supaya membuang kesusahan yang menjadi ujian kepada mereka itu. Tetapi ada masanya pula, mereka berdoa kepada Allah supaya kesusahan mereka itu dihindarkan menurut tuntutan keadaan keadaan manusia itu. Mereka pun bermohon doa kepada Allah Taala. Maka Allah hindarkan kesusahan mereka itu. Bercepat itu ialah kerana perlunya sesuatu perkara itu diminta cepat, dan kelewatan itu ialah kerana masa yang ditetapkan belum sampai. Jika doa itu bersesuaian dengan masa sesuatu itu pasti dapat, maka dapatlah ia pada waktu itu. Jika waktunya telah berlalu, maka tidaklah ada jawapan yang mana jawapan itu ialah jawapan Allah.
Apabila anda dapat hakikat ini,(lebih daripada ini tidak ada makhluk yang mencapai hakikatnya) maka janganlah meminta lebih lagi dan janganlah bersusah payah menghabiskan tenaga untuk melebihi peringkat ini. Tidak ada lagi hakikat di sana lebih daripada peringkat ini; tidak ada apa-apa selain dari 'adam atau kosong saja.
Oleh kerana dalam pendapat mereka, Allah itu boleh melakukan apa sahaja, maka setengah orang ahli-ahli agama yang lemah akalnya berpendapat bahawa Allah boleh melakukan apa sahaja walaupun berlawanan dengan ketentuan dan ketetapanNya Yang Maha Bijaksana itu; tetapi itu bukanlah sebenarnya.
|
|