Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
 


Bahagian Ketiga

  Penerangan tentang perumpamaan berkenaan 70 000 Hijab.

4.  Matlamat Yang Dicari.


    Bagi mereka yang telah mencapai (Mengenal Allah dengan sebenarnya) akan mendapat yang keempat.  Kepada mereka diterangkan bahawa yang ditaati itu,  jika dikenalkan sebagai Allah,  tentu sekali disifatkan sebagai Yang Maha Esa dan Maha Sempurna.  Tujuan kitab ini bukanlah untuk menghuraikannya.  Antara yang ditaati ini dengan Wujud Hakiki itu ialah ibarat perkaitan matahari dengan dengan cahayanya atau sesuatu yang menyala dengan api;  dan dengan itu "memalingkan muka-muka mereka"  kepada  Dia Yang Menggerakkan langit  dan Dia Yang Mengeluarkan Perintahh(Amar) untuk gerak mereka,  dan mencapai satu Wujud yang melampaui semua yang dicapai oleh penglihatan mata atau kesedaran batin manusia.  Ini adalah kerana mereka dapati ianya melampaui dan berasingan dari setiap sifat yang kita sebutkan dulu.

    Yang ini pun terbahagi kepada beberapa kelas.  Bagi satu kelas dalam golongan ini,  seluruh apa yang nampak habis lenyap,  hapus dan fana;  namun begitu jiwa (ruh) itu sendiri tetap bertafakur tentang Keindahan dan Kekudusan Mutlak itu dan merenung dirinya dalam keindahanNya,  yang dikurnia kepadanya kerana ia telah mencapai Hadirat Ilahi.  Pada mereka, benda-benda yang nampak ini {tetapi bukan ruh yang melihat itu},  fana dan hancur sirnanya.

    Di atas peringkat tersebut ada lagi peringkat yang hanya dicapai oleh beberapa orang pilihan sahaja,  iaitu mereka yang hancur lebur dalam Keagungan Wajah Yang Maha Suci dan Kebesaran Tuhan Yang Maha Mulia.  Dan dengan ini mereka sendiri pun fana dan lenyap hilang.  Tidak ada lagi ruang bagi tafakur diri kerana tidak ada yang bersangkutan dengan diri.  Tidak ada lagi yang tinggal kecuali Allah.  Ruh akan mengalami firmanNya;  "Semuanya hancur musnah kecuali Wajahnya"-(Al-Quran). Berkenaan ini telah kita bincangkan dalam bab pertama dan telah diterangkan juga apakah maksud yang mereka gelarkan keadaan ini sebagai  "persamaan" dan bagaimana mereka memandang perkara ini.

    Demikian penjelasan kita tentang kelas-kelas orang yang terhijab juga di antara mereka itu  dalam perjalanan.  Tidak perlu naik peringkat demi peringkat,  dalam peringkat-peringkat yang telah kita sebutkan dulu,  dan kenaikan mereka itu tidak pula mengambil masa yang panjang dan lanjut,  tetapi hanya dalam masa yang singkat sahaja mereka telah mencapai makrifat dan mengakui Kebesaran dan Keagungan Allah itu melebihi segala-galanya.  Mereka mencapai peringkat makrifat ini dengan pantas sekali.  Kedatangan "Tajalli"  Tuhan melimpahi mereka sehingga "Keagungan WajahNya telah menelan"  segala yang diketahui dengan penglihatan deria atau kesedaran akal.

    Mungkin jalan pertama (berperingkat demi peringkat) itu adalah jalanya Nabi Ibrahim a.s. (KhalilulLah);  dan yang kedua (jalan pantas sekaligus) itu jalannya Nabi Muhamad SAW. (HabibulLah).  Allah sahaja Yang Maha Tahu rahsia kemajuan perjalanan mereka dan maqam-maqam (stesyen-stesyen)  mereka dalam perjalanan ini.

    Demikian penjelasan kita tentang kelas-kelas orang-orang yang terhijab oleh hijab-hijab.  Tidaklah hairan sekiranya semua maqam ini diperjeniskan sepenuhnya dan dikaji sepenuhnya tentang hijab-hijab orang-orang dalam perjalanan ini.  Maka akan didapati bahawa bilangan kelas-kelas ini boleh sampai kepada 70 000.  Namun,  jika saudara lihat baik-baik,  saudara dapati semuanya termasuk dalam bahagian-bahagian yang saya(Imam Ghazali) terangkan itu.  Seperti yang kita lihat,  mereka mestilah terhijab;

    Sekianlah sahaja yang dapat saya jawab pertanyaan saudara,  meskipun perkara ini datang kepada saya semasa fikiran saya berbelah bahagi dan sedang bertafakur,  dan perhatian saya menumpu keepada perkara yang lain daripada perkara ini.  Saya harapkan supaya saudara maafkan saya kerana mungkin pena saya tersilap atau kaki saya tergelincir,  kerana bukannya mudah untuk menceburkan diri ke dalam lautan rahsia-rahsia Ketuhanan yang tidak bertepi itu;  dan sukar,  amat sukar sekali hendak mengarang dan menceritakan tentang cahaya-cahaya Maha Tinggi yang terletak jauh di sebalik tabir.
4.10 pm 07/08/1999 / 25 Rabiul Akhir 1420

T            A            M            A        T

Index Masykaatul Anwar