Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
  Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 21. 06. 2001 /  28 Rabiul Awal 1422)
MAKSIAT YANG MEMPUSAKAI SIFAT UBUDIYAH
INKISAR ORANG YANG BERBUAT MAKSIAT
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Petikan Dari Keterangan Terdahulu

Betapa tidak memberi manfaat untuk dirinya kerana dengan memandang kepada dhoifnya diri,  lemahnya upaya, hinanya diri,  merujuk dan kembali kepada Allah,  menjadikan mereka seorang yang kembali menetap kepada hakikat kehambaan(Ubudiyah) sebagaimana yang dikehendaki;  tidak sebagaimana seorang yang mendakwa Sifat Rububiyah Tuhan-Nya.

Maka mengata  Muaalif akan makna demikian itu dengan katanya......

Terjemahan  Tok Pulau Manis,  dari Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari ra yang berikutnya;
 

Maksiat yang mempusakai ia akan kehinaan dan Iftiqor,  maka keluar hamba itu daripada dirinya dan kembalilah ia kepada Tuhan-Nya terlebih baik daripada taat yang mempusakai ia akan kemuliaan dan kebesaran.  Maka keluarlah hamba itu daripada Sifat Ubudiyah kepada mendakwa Sifat Rububiyah.  Maka inilah maksiat yang mempusakai Sifat Ubudiyah iaitu yang terlebih mulia sifat.

Keterangan Suluk

Jika kita permudahkan kalam hikmah di atas,  mungkin kita boleh memahaminya  dengan cara yang sebegini;

Bagi seorang mukmin yang beriman dan punya makrifat dengan Allah,  jika mereka  mengerjakan maksiat,  mereka tidak melakukannya melainkan  kerana terlalai atau tanpa sengaja tuju untuk menderhakai Allah.  Hal ini jauh bezanya dengan ahli-ahli ghoflah dan ahli al-hijab yang secara terang-terangan mengerjakan maksiat dan dosa hinggakan ada yang merasa seronok dan berbangga kerana dapat berbuat maksiat.

Orang mukmin yang beriman bukan begitu.  Mereka terjatuh dalam kesalahan;  dan amat menyesali dengan keadaan itu.  Maksiat itu menyedarkan mereka betapa lemahnya diri,  betapa lekehnya diri dan betapa hinanya diri.   Walaupun kedudukan dirinya mulia di sisi manusia atau dirasakan dekat dengan Allah sebelum itu,  dengan amal taat yang banyak,  dengan kebajikan yang melimpah,  namun sekali mereka terjatuh di dalam dosa,  mereka sedar yang semua amal taat dan kebaikan yang dikerjakan itu tidak dapat memberi apa-apa keistimewaan yang boleh menghalang mereka daripada terjerumus ke dalam maksiat.   Timbullah rasa hina dan iftiqor diri yang tidak pernah dirasai selama waktu ia mengerjakan amal taat sebelumnya.  Memang lumrahnya,  jarang sekali seorang yang sentiasa berada dalam amal-taat tidak merasa dirinya baik dan mulia di sisi Allah kerana merasakan diri sebagai ahli taat.  Mereka rasa selesa dan selamat bila memandang kepada amal kebajikan yang didirikan,   mereka rasa dekat dan hampir dengan Tuhan-Nya yang mana semua rasa-rasa dan kecenderungan ini semuanya tanpa disedari menumbuh-biakkan sifat ego dan keakuan diri.

Tetapi maksiat yang mengenai hamba yang sedar diri,  akan menyentak lamunan mereka yang mereka tetap hina dan lekeh di sisi Allah sebagai seorang hamba yang lemah.  Maka keluarlah hamba yang sedar diri ini daripada lamunan diri dan perasaannya kembali menghadap kepada Allah.  Hal ini adalah terlebih baik berbanding dengan ahli taat yang sentiasa memakai pakaian kemuliaan dan kebesaran kerana merasa diri punya kebaikan dan kelebihan dengan amal taatnya.

Maka maksiat yang menimbulkan rasa hina dan iftiqor itu terlebih baik daripada taat yang mempusakakan rasa mulia dan kebesaran diri.  Ini adalah kerana seorang yang merasa dirinya hina dan lekeh itu adalah seorang yang kembali kepada sifat Ubudiyah sebagai seorang hamba;   tidak sebagaimna ahli taat yang seringkali mendakwa sifat-sifat Ketuhanan(Rububiyah) seperti merasa baik,  mulia,  tinggi kedudukan,  hebat diri dan sebagainya lagi.

Dengan demikian,  perlu ditegaskan di sini,  yang terpuji dalam maksiat itu ialah maksiat yang menimbulkan rasa hina dan iftiqor,  bukannya ada kena-mengena dengan kejahatan ahli maksiat yang hanyut dan angkuh dengan kesombongan dirinya yang jahil terhijab.
 

Keterangan dan Huraian oleh Tok Pulau Manis

Dan hasilnya,  bahawasanya tiada diperoleh kebajikan dalam taat yang melazimkan daripadanya(taat) barang yang membinasakan Sifat Ubudiyah kerana bahawasanya membatalkan akan dia seperti yang tiada mengapa maksiat yang melazimkan akan dia Sifat Ubudiyah kerana bahawasanya ia(taat) menghadapkan kepada maksiat.

Keterangan Suluk

Kesimpulannya dari maksud kalam hikmah di atas ialah amal taat yang membinasakan sifat Ubudyiyah seorang hamba tidak dikira sebagai satu kebajikan untuk seseorang hamba,   kerana ia dihadapkan kepada maksiat.  Dikatakan ianya berhadapan kepada maksiat  bila mana amal-taat itu dirasakan dapat memberi kelebihan,  kemuliaan dan kebesaran  di sisi Allah;  sedangkan apa yang patut ditujui ialah mentahqiqkan sifat Ubudiyah,  yakni membetulkan dirinya sebagai seorang hamba yang lemah,  yang hina,  yang faqir,  yang dhoif  lagi yang haqir.    Jika seorang hamba tidak dapat mentahqiqkan sifat Ubudiyahnya sewaktu mengerjakan amal taat,  maka adalah lebih baik kedudukannya di sisi Allah seorang yang terjatuh ke dalam maksiat tetapi dapat mentahqiqkan Sifat Ubudiyahnya dengan menanggali segala sifat-sifat Rububiyah yang ada padanya.   Ini adalah kerana apa yang dikehendaki oleh Allah ialah hamba-Nya yang dapat menyempurnakan haq Ubudiyahnya.

Fahamilah hak Ubudiyahmu sebagai seorang hamba.

Keterangan dan Huraian oleh Tok Pulau Manis

Dan kata Sayyidi Abu Madyan ra.;

Bermula Inkisar orang yang maksiat itu terlebih baik daripada syukur orang yang taat.  Maka apabila berdosa hamba itu,  maka mempusakai akan dia dosanya kehinaan dan Iftiqor;  maka adalah ia hampir kepada Tuhan-Nya.  Dan apabila taat ia maka mempusakai kan dia taat kemulian dan kebesaran.  Maka adalah hampir kepada api neraka.

Keterangan Suluk

Inkisar bermaksud pecah hati.  Pecah hati  seorang hamba yang berdosa.

dan pelbagai rasa lagi adalah sesuatu yang terlebih baik daripada syukur orang yang taat.

Kenapa Inkisar itu terlebih baik dari Syukur?.

Ini adalah kerana apabila berdosa seorang hamba yang mukmin,  maka dosa-dosanya itu menyedarkan mereka siapakah dirinya.   Dengan dosa itu mereka disedarkan bahawa tidak ada kemuliaan pada dirinya,  malahan yang nyatanya ialah kehinaan;  dan dengan dosa itu juga mereka itu adalah manusia yang jahat,  yang lalai,  yang lemah,  yang dhoif,  yang kotor,  yang hina,  yang lekeh,  yang haqir,  yang fakir  sebagaimana yang dimaksudkan sebagai Iftiqor diri.    Dan dengan tahqiqnya iftiqor inilah,  maka menunjukkan kedudukan seorang hamba yang hampir dengan Tuhan-Nya.   Kedudukan orang yang tidak mempunyai harga diri lagi,  putus asa dari kewujudan dirinya dan sepi pandangan pada membilang-bilang  maqam itu dan maqam ini.

Hal ini hanya boleh berlaku pada seorang hamba yang sedar akan kedudukan dirinya,   dan untuk menyedari hal-ahwal ini,  bukanlah mudah dengan syukur seorang ahli taat.  Ini adalah kerana ahli taat sentiasa dibayangi oleh rasa mulia dan kebesaran dirinya.  Mulia kerana diberikan upaya dan kekuatan dalam melangsungkan sesuatu kebajikan,  mulia kerana diberikan perhatian dengan melimpahkan nikmat dan taat dan besar dirinya dengan barang pekerjaan yang dapat dihasilkan.  Rasa mulia dan besar diri ini secara nyatanya seperti mahu menyaluti Pakaian Ketuhanan.  Maka ini adalah satu penderhakaan yang besar yang boleh melontarkan seseorang itu ke dalam api neraka.

Untuk itu,  ingatlah wahai diriku,  engkau tetap sebagai seorang hamba yang lemah dan dhoif,  yang hina dan lekeh.  Apalah dipandang sangat pada daya dan upaya diri sedangkan yang telah hilang upaya  diri itu terlebih baik dari kedudukan diri yang kau muliakan itu.
 


Kembalilah kepada kedudukan yang selayaknya buatmu,  yakni sebagai seorang hamba Iftiqor dengan Allah,  di mana masa jua dan pada mana ketika jua.
 

Keterangan dan Huraian oleh Tok Pulau Manis

Maka inilah i'tibar maksiat yang mempusakai hampir itu terlebih baik daripada taat yang mempusakai jauh.

Maka barangsiapa berdosa,  hendaklah ia meminta ampun;  maka bahawasanya minta ampun itu adalah ia mensentosakan daripada azab an-nar.

Maka tersebut dalam hadis [dari] Dailami ra.;

Bermula hamba itu sentosa ia daripada azab Allah iaitu barang yang meminta ampun ia kepada-Nya.

Keterangan Suluk

Maka keterangan dan perbincangan sebelum ini adalah satu bandingan dan satu pengajaran berkenaan dengan maksiat yang mempusakakan hampir itu terlebih baik daripada taat yang membinasakan.

Untuk itu,  sesiapa sekali pun sebagai seorang manusia,  akan terjebak dan terjatuh ke dalam dosa,  sama ada dosa yang kecil atau yang besar;  atau sama ada dosa yang zhohir mahupun yang batin.  Pasti sekali kita akan terjatuh ke dalam dosa.  Maka selayaknya kita mengambil pengajaran daripada maksud perbincangan dari dua orang Aulia Allah ini.

Hendaklah kita meminta ampun.  Kita ada peluang yang lebih baik berbandingan ahli taat yang lupa diri.  Bawalah dosa kita itu pada kegoan dan keakuan diri kita.  Hadapkan kepadanya(keegoan dan keakuan) diri hinanya dirinya,  lemahnya diri,  dhoifnya diri,  kotornya diri,  jahatnya diri,  jahilnya diri,  fakirnya diri,  haqirnya.  Biar pecah bersembur hati kita dengan Inkisar yang akan membawa kita kepada Iftiqor;  tempat duduk yang selayaknya untuk kita.

Mintalah ampun sebagaimana saranan junjungan besar kita kerana dengan meminta itu menunjukkan hal-ahwal seorang yang Iftiqor.  Tidak akan meminta seorang yang kaya melainkan seorang yang papa dan fakir,  tidak akan mengharapkan seorang yang mulia melainkan seorang yang haqir lagi hina.  Yang pastinya kita akan mendapat kesentosaan daripada azab an-nar.  Azab An-Nar(buta mata hati) di dunia ini dan Azab An-Nar di akhirat nanti.
 

Keterangan dan Huraian oleh Tok Pulau Manis

Dan kata 'Arsy;

Adalah Sheikh Al-Marsi ra.  memuliakan orang yang derhaka terlebih banyak daripada memuliakan orang yang kebaktian.  Maka dikata orang baginya;  Maka katanya,  "Bahawasanya zhohir bagiku orang yang taat itu memuliakan dirinya dan takbur pada taatnya dan daripada orang yang maksiat itu menghinakan dirinya dan ihtiqornya;  maka aku mengerjakan sekira-kira barang yang di dalam batinnya.
 

Keterangan Suluk

Sheikh Al-Marsi ra.  adalah seorang sufi yang agung,  yang sentiasa dihormati oleh manusia yang sezaman dengannya.    Beliau sentiasa dikunjungi oleh pelnagai lapisan  masyarakat yang terdiri dari orang-orang  awam dan orang-orang khusus.  Namun di dalam melayani kunjungan manusia,  beliau lebih suka dan banyak melayan golongan-golongan mereka yang banyak berdosa dan menderhaka kepada perintah Allah.  Tidak,  pada mereka yang alim dan ahli ibadat,  hanya beberapa orang sahaja yang dimuliakan oleh beliau.

Menjawab pertanyaan seorang saudara berkenaan sikapnya yang pelik dan ganjil itu,  beliau menegaskan,

Telah nyata penglihatanku keadaan hati dan jiwa orang-orang yang taat itu biasanya akan memuliakan dirinya.  Berbangga dengan pencapaian ilmu dan amal ibadat yang dikerjakan.  Minta dilayani dengan lebih khusus dan istimewa yang menunjukkan mereka punya sesuatu nilai yang perlu diberikan sedikit keistimewaan oleh orang lain.  Hati ahli taat ini  penuh dengan kesombongan dan tidak sedar diri.  Berbanding dengan hati  yang berdosa,  mereka sentiasa menghinakan diri mereka,  melekehkan diri dan merasa diri amat lemah dan tidak punya apa-apa yang istimewa,  yang ada hanya kehinaan dan rasa cemar dan kotor dan sentiasa berhajat kepada Allah..

Maka aku lebih suka berurusan dengan mereka yang jahat berdosa daripada mereka yang ahli taat kerana apa yang aku pandang pada seseorang itu ialah hatinya,  bukannya amal perbuatan mereka..  Hati orang yang hina dan iftiqor itu terlebih daripada hati ahli taat yang merasa mulia dan somong dengan ketaatannya.
 

Hasilnya,  sedarlah kita bahawa jalan untuk hampir dengan Allah itu ialah dengan jalan kehinaan dan penuh kelekehan.  Jalam kemuliaan dan jalan ketinggian bukanlah jalan yang betul dan selamat.  Untuk itu,  di mana sahaja kedudukan diri kita,  sama ada sebagai seorang ahli maksiat,  ahli fasid,  ahli ghoflah atau pun ahli taat,  ahli ibadat,  ahli ilmu,    jejakkan kaki perjalanan anda di atas jalan kehinaan dan iftiqor.    Tetapkan pijakan kakimu itu di atas jalan yang diredhoi ini.   Jalan Ubudiyah seorang hamba.

Keterangan dan Huraian oleh Tok Pulau Manis

Dan ceritera Syu'bi daripada Khalid bin Ayub katanya;

Pada suatu masa ada seorang lelaki yang jahat hidup di kalangan Bani Israel.  Beliau telah diberikan gelaran khulayi' yang bermaksud sejahat-jahat manusia kerana kehidupannya penuh dengan mengerjakan perbuatan yang jahat dan fasid.

Pada suatu hari lalu seorang abid(ahli ibadat) Bani Israel yang diberikan kekeramatan awan sentiasa menaungi perjalanannya.  Melihat hal tersebut,  maka berkatalah si khulayi di dalam hatinya;

"Akulah sejahat-jahat manusia Bani Israel dan dia ini Abid Bani Israel.  Maka jikalau aku duduk kepadanya,  mudah-mudahan Allah Taala memberi Rahmat kepadaku dengan sebabnya".

Maka duduklah si khulayi' itu bersama-sama dengan si abid itu.   Melihat ada manusia jahat yang duduk bersama-sama dengannya,  maka berkatalah si abid di dalam hatinya;

"Aku abid Bani Israel dan ini khulayi' Bani Israel duduk dia bersama denganku.  Aku minta dipeliharakan diriku daripada hal dirinya yang jahat itu".

Maka berkatalah si abid tadi dengan sombong;

"Berdirilah engkau jauh daripadaku".

Tatkala itu maka Allah telah mewahyukan kepada Nabi Isa alahissalam;

"Suruh olehmu kedua-kedua(khulayi' dan abid) memulakan semula amal ibadat mereka.  Maka sesungguhnya telah Aku ampunkan dosa-dosa bagi khulayi'  dan telah kubinasakan semua amal si abid".

Maka.  berpindahlah awan itu di atas kepala si khulayi'.
 

Keterangan Suluk

Cerita di atas amat baik sekali dijadikan pengajaran bagi mereka yang mahu mengambil i'tibar di atas kerendahan hati si penderhaka dan kesombongan hati si abid.    Semoga Allah menjauhkan diri kita semua daripada memiliki sifat-sifat "yang tidak sedar diri" ini.

Bersambung dalam pengajian berikutnya di bawah tajuk

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]
Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar