Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Aulia Allah Sheikh Ahmad Al-'Alawi
BERKENAAN FANA

Syeikh Ad-Darqawi meriwayatkan bahawa Abu Said Al-Arabi pernah berkata apabila ditanya berkenaan maksud FANA

FANA ialah apabila Keagungan Allah Subhanahuwa Taala  yang tidak terbatas itu kelihatan kepada si hamba dan menjadikan ia lupa kepada alam ini dan alam akhirat dengan segala Hal,  Martabat dan Maqamnya dan lupa kepada mengingati seluruhnya itu,  dan ia tidak nampak lagi kepada segala yang zahir dan segala yang ternampak oleh akal dan jiwanya,  dan ia hancur lebur di sana,  hinggakan hancur lebur itu pun hilang sirna dari ingatannya,  sehingga seluruh dirinya tenggelam dan hilang dalam lautan Ma'rifat yang tidak bertepi dan tidak terkira dalamnya itu.

Syeikh Al-'Alawi berkata:-

Ahli Ma'rifat mengalami mati sebelum mati (bercerai nyawa dari badan).  Nabi pernah bersabda,  "Mati sebelum kamu mati",  dan inilah mati yang sebenarnya.  Bercerai nyawa dari badan itu bukanlah mati.  Itu hanya pertukaran tempat atau pertukaran alam.  Mati yang sebenarnya menurut pandangan orang-orang Sufi ialah FANA atau lenyapnya si hamba itu.  Ahli Ma'rifat itu mati kepada dirinya sendiri dan mati kepada alam seluruhnya.  Ia hidup semula di dalam Allah Subhanahuwa Taala.  Kalau anda tanya tentang wujud dirinya,   dia tidak akan menjawab kerana ia tidak nampak wujudnya sendiri.  Abu Yazid Al-Bustomi pernah ditanya tentang dirinya,  lalu beliau menjawab,

"Abu Yazid telah mati.  Mudah-mudahan Allah cucuri rahmat ke atasnya". 

Inilah mati yang hakiki.  Di Hari Pembangkitan Semula di akhirat kelak,  jika ditanya orang yang hanya kenal kepada mati biasa (bercerai nyawa dari badan) saja itu  "Siapakah kamu?"  Ia akan menjawab,  "Aku ini si anu".  Kerana nyawanya tidak mati dan ia tidak langsung mencium mati,  tetapi hanya sekadar berpindah alam saja.  Tidak ada siapa pun yang tahu maksud mati ini melainkan mereka yang telah benar-benar mengalami mati yang hakiki ini.  Demikianlah orang sufi itu menghitung dirinya sebelum Hari Perhitungan di akhirat kelak.  Nabi pernah bersabda,

"Perhitungkanlah dirimu sebelum engkau diperhitungkan (di akhirat)".

Mereka sedaya upaya dan bersusah payah memperhitung diri mereka sendiri hingga mereka bebas memikirkan Tuhan dan bagi mereka inilah pembangkitan semula sebelum "Pembangkitan Semula" di akhirat kelak.

Keadaan hidup dalam Allah yang dinyatakan oleh kalimat "Muhammadun Rasulul-Lah"  itu dinyatakan oleh Syeikh Al-'Alawi selanjutnya demikian:-

Apabila Ahli Ma'rifat mengenal Allah dari segi Zat dan SifatNya dan tenggelam dalam memandang itu,  maka ma'rifat ini tidak pula membawa mereka melampaui batasan.  Di samping hakikat ia tetap mengamalkan syariat.  Perpisahan (farq) beliau tidak menghijabkan dari persatuan (jami').   Begitu juga persatuan beliau tidak menghijabnya dari perpisahan.  Dia memandang hakikat dalam dirinya secara langsung,  namun begitu Syari'at mengikatnya dari luar.  Imam Al-Ghazali dalam bukunya berjudul "Misykat Al-Anwar" ada berkata:-

1.  Si Arif (ahli ma'rifat) itu naik dari lembah majasi (bukan sebenarnya) ke puncak gunung Hakikat;  dan setelah terlaksana kenaikannya itu maka disaksikannyalah di hadapan mukanya bahawa tidak ada yang wujud kecuali Allah,  dan benarlah kata-kata Allah:  "Segala-galanya akan hancur musnah kecuali WajahNya",  bukan sahaja musnah pada sesuatu yang tertentu bahkan sentiasa hancur musnah........

Tiap-tiap sesuatu ada dua wajah (muka);   iaitu wajahnya sendiri dan satu lagi wajah Allah.  Berkenaan dengan wajahnya sendiri adalah tidak ada; dan yang berkenaan wajah Allah itulah yang sebenarnya ada.  Oleh itu,  tidak ada yang wujud kecuali Allah dan Wajahnya,  kerana segala-galanya akan hancur musnah kecuali WajahNya selalu,  sentiasa dan selama-lamanya.....

Dengan yang sedemikian,  seorang ahli sufi tidak perlu menunggu Hari Kebangkitan untuk mendengar firman Tuhan Yang Menjadikan:  "Milik siapakah kerajaan pada hari ini?.  Milik Allah Yang Maha Esa dan Maha Perkasa"  (Al-Quran,XL,16),  kerana firman Tuhan ini sentiasa kekal dalam pendengarannya,  dan tidak perlu lagi mengetahui dari ucapan Allahu Akbar (Allah Yang Maha Besar) yang Dia adalah lebih Agung dari yang lain.  Sebenarnya tidak ada yang lain dari Dia Sendiri dalam wujud ini,  dan oleh yang demikian tidak ada perbandingan tentang KebesaranNya".

2.  "Tidak ada 'Dia' kecuali 'Dia",  kerana 'Dia' itu ialah menunjukkan kepada apa yang dirujukkan dan tidak ada rujukan melainkan kepada Dia sahaja; kerana apabila anda membuat rujukan,  maka rujukan itu adalah sebenarnya kepada Dia meskipun anda tidak mengetahuinya disebabkan kejahilan anda tentang Hakikat Yang Sebenarnya...........

Oleh yang demikian ucapan 'La ilaha illal-Lah' (Tidak ada Tuhan selain Allah) adalah ucapan Tauhid bagi orang-orang awam,  dan ucapan 'Tidak ada Dia selain Dia adalah ucapan orang-orang yang terpilih (yang khusus),  kerana yang mula itu adalah lebih umum dan yang kemudian itu adalah yang khusus dan lebih meliputi,  lebih benar,  lebih tepat dan lebih sesuai untuk membawa orang yang menggunakannya kepada Kesatuan dan Keesaan Yang Maha Mutlak".

Syeikh Ad-Darqawi menyatakan bahawa abu Said ibn Al-arabi pernah berkata apabila ditanya tentang maksud FANA;

"Tentang FANA  ini Kemuliaan dan Keagungan Tuhan Yang Maha Agung itu nampak pada si hamba dan dengan itu lupalah si hamba tadi pada dunia dan akhirat dengan segala hal,  peringkat dan maqamnya dan dari mengingati segalanya itu.  Hilanglah dari si hamba itu segala yang zahir dan yang dalam fikiran dan jiwanya.  Hapus segala yang lain.  Bahkan kelupaan,  kehilangan dan kehapusan itu pun hilang dan musnah darinya sehingga si hamba itu tenggelam dan hilang dalam lautan Ma'rifat kepada Keesaan Tuhan Yang Maha Agung itu.


 

Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH