Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

PANDANGAN SATU DALAM BANYAK DAN PELBAGAI
SYUHUUDUL  WAHDAH FIL KASRAH
Mengikut Pandangan Syeikhul Akbar Ibnu 'Arabi Muhyiddin

Orang-orang Hakikat melihat banyak dalam satu kerana mereka nampak bahawa Nama-nama Allah  itu meskipun banyak dan berbagai-bagai,   namun adalah Satu jua dalam ZatNya.  Banyak itu hanyalah pada anggapan sahaja.  Zat atau AinNya adalah  Satu jua.  Apabila terzhohir nampak banyak,  tetapi dasarnya satu ZatNya.

Meskipun diri seorang itu satu,  namun

Pandangan seorang itu terdiri daripada berbagai bahagian atau anggota;  halus dan kasar.  Namun begitu,  ia tetap satu.  Ini memang betul.  Apabila dikatakan ia banyak ,  itupun betul juga.  Dari segi satunya,  kita katakan dia melihat   dirinya sendiri.  Dari segi banyaknya,  kita kata Ini banyak namanya.  Tidak ada lainnya,  hanya dia(manusia) dalam semua itu.

Dia banyak dan dia  Satu.  Dia Satu dalam banyak.  Dia banyak dari segi bentuknya dan satu dari segi Ain(Zat)Nya.

Jika anda seorang yang mengetahui,  anda akan tahu bahawa tidak ada kesatuan dalam Wujud kecuali Kesatuan Keseluruhan.

Jika anda seorang yang mengenal Allah,  anda akan tahu iaitu Nama-Nama itu adalah untuk "Yang DiNama" itu juga iaitu diri ZatNya.

Kita tahu Nama-nama itu menunjukkan maksud-maksud yang berlainan.

"Katakanlah:  Serulah Allah atau Serulah Al-Rahman;   Dia mempunyai Nama-nama yang Indah".

Walau dengan apa pun anda seru Dia,  Kita seru Allah Yang Satu itu jua,  meskipun Nama-namaNya banyak dan menunjukkan berbagai-bagai makna.  Nama-nama ini Qadim dan menunjukkan tempat-tempat tersimpannya yang mumkin.  Walaupun dipandang semua,  banyak dan berbilang-bilang,  namun Zat adalah satu jua.  Inilah Esa Ketuhanan.

Golongan 'Asyariyah berkata bahawa seluruh Alam semuanya dapat dimisalkan satu dengan satu yang lain dan ianya adalah satu jauhar.  Ini serupa(sama) dengan apa yang kita katakan bahwa jauhar(zat) itu satu. 'Asyariyah juga berkata bahawa zat itu berbeza-beza dari segi 'aradh.  Inilah apa yang kita maksudkan bila kita katakan ianya berbeza,  banyak bentuk dan nisbah,  agar ada perbezaan dan dapatlah dikatakan yang ini berbeza dari yang itu dari segi bentuk rupa,  'aradh,  perangai dan sebagainya.  Tetapi Zat yang satu adalah sama dengan zat  yang lain-lain.  Oleh itu Zat itu didapati bersama dengan batasan-batasan(had) tiap-tiap bentuk rupa  dan keadaan.  Kita katakan itu bukan lain dari Allah.  Mutakallimun  berfikir bahawa apa yang diistilahkan sebagai zat ( Ain),  meski pun hakiki;  bukanlah Allah itu sendiri,  sebagai mana yang dikatakan oleh orang-rang Ahli Kasyaf dan Tajalli.

Tiap-tiap bentuk dan rupa dalam Alam adalah 'Aradh ( Jauha atau 'Ainnya ).  Hilang dan binasa hanya bagi bentuk-bentuk.  Jauhar (zat) tetap satu.  Perbezaan hanya dalam bentuk,  bukan pada zat.

Abu Sa'id Al-Khoraz telah ditanya,  "Bagaimana anda kenal Allah?"  Beliau menjawab,

"Melalui cantuman dua perkara yang bertentangan."   Kemudian beliau membaca ayat yang bermaksud,

"Dialah Yang Awal dan Yang Akhir,  Yang Zhohir dan Yang Batin."  yakni dari Ain yang satu dan dalam Ain yang Satu.

Apabila Allah menamakan Dirinya  Yang Zhohir dan Yang Batin,  ini bukan dimaksudkanNya ada bertindihan atau berselisihan;  kerana yang zhohir tidak boleh bertindih dengan yang batin,  dan tidak pula yang batin tertindih dengan yang zhohir.  Yang bertindihan ini hanya berlaku jika ada dua perkara yang zhohir dan dua perkara yang batin.  Dia  adalah Yang Zhohir jika berkenaan perantaraan (media) penzhohiranNya,  dan Dia adalah Yang Batin jika berkenaan dengan Hakikat.

Perantaraan (media) itu berbilang dari segi dirinya tetapi bukan dari segi apa Yang Terzhohir di dalamnya.  Semua media itu menzhohirkan yang satu saja meskipun diri-diri media itu banyak.  Di situ tidak ada bertindihan,  dan tidak ada salah susun.

Ada penzhohiran  (manifestasi) Tuhan yang khusus dalam tiap-tiap makhluk.

Kecuali seseorang yang berkata bahawa alam ini bentuk dan HakikatNya(Allah). Ia(bentuk)  itu adalah nama Allah yang diluar (zhohir);  seperti juga Allah itu ruh kepada apa yang zhohir tetapi ia tetap batin (tersembunyi).  Perkaitannya dengan apa yang zhohir itu;  ialah seperti perkaitan nyawa kepada bentuk.  Manuia itu contoh zhohir dan batinnya.  Begitu juga tiap-tiap benda yang terhad.  Allah itu terhad oleh terhadnya benda-benda itu.  Bentuk-bentuk alam ini tidak diketahui banyak dan bilangannya.  Tidak seseorang pun yang tahu batas (had) tiap-tiap bentuk itu kecuali setakat apa yang didapati dari Allah oleh orang-orang yang tahu.  Oleh itulah,  definasi Allah diketepikan sesungguhnya,  ia tidak terdapat diketahui melainkan melalui pengetahuan tentang tiap-tiap bentuk.  Ini mustahil dicapai.  Kerana itulah definasi Allah itu tidak mungkin dibuat.

Ketahuilah apabila berbagai Asar (bekas/kesan) disedari dari sesuatu perkara dan mempunyai Ain(Zat)  yang sama.  Apabila anda periksa(selidiki/perhalusi)  masalah ini dari segi ini,  maka pendapat Ahli Hikmah(Falsafah) yang mengatakan hanya satu benda sahaja terjadi dari satu perkara; pendapat itu adalah pendapat yang salah.

Api dalam keadaannya sebagai api,  tidak bertukar hakikatnya.  Tetapi kita dapati api itu mempunyai berbagai-bagai asar atau kesan. Ia membakar setengah jisim (benda) tetapi tidak membakar yang lain-lain pula mesti pun api itu menyala dan udara pun ada.  Api menjadikan setengah benda beku dan setengahnya cair.  Ia dijadikan setengah benda itu hitam dan setengah putih.  Api itu memanaskan,  membakar,  memasak dan mencairkan,  namun hakikatnya tetap satu.

Orang yang mencari Yang Esa itu pada ZatNya,  tidak akan(mustahil) akan mendapat apa-apa kecuali kekeliruan dan kebingungan;  kerana tidaklah mungkin yang mencari dan yang dicari dipisahkan dari keseluruhan

Allah menyusun dan mengimbangi Alam ini  supaya menjadikanya  (alam ini)  jauhar yang dapat menerima sebarang bentuk atau rupa yang Allah kehendaki.   Didalamnya bentuk-bentuk itu berbeza.  Bentuk galian (mineral) berbeza dari bentuk tumbuhan-tumbuahan dan binatang,  namun semua itu adalah satu dalam Ain atau zat mereka.  Oleh itu jauhar (Ain atau Zat) mereka mempunyai definisi yang sama.  Definisi mereka itu hanya berbeza dari segi bentuk-bentuknya.  Demikianlah keadaannya dengan bapa dan ibu fizikal.  Pendeknya,  jauhar seluruh alam ini adalah sama.  Ianya berbeza dari segi bentuk-bentuk dan kualiti-kualiti yang dipunyainya.  Ianya satu dalam banyak dan satu dalam pelbagai satu,  sebagaimana hal Zat dan nama-nama Allah.

Kita telah kaji diri Ain sesuatu perkara dalam alam ini dan bagaimana diri-diri itu saling melibatkan satu dengan yang lain,  dari segi Esa mereka dalam Zat,  dan banyak dalam bentuk.  Di tempat lain kami telah beritahu anda apakah Ain Alam zhohir ini dan bagaimana Ain itu tidak bertukar,  dan yang bertukar hanya rupanya atau TajalliNya saja.

Jauhar Alam ini  pada asalnya satu dan hakikatnya tidak bertukar.  Pertukaran terjadi hanya pada bentuk-bentuk,  bentuk-bentuk ini adalah sementara (Muhaddas).

Bentuk-bentuk itu tidak apa-apa;  selain dari hanya identiti atau untuk mengenalkan yang mumkin.  Jauhar Alam ini tidak ada apa-apa selain dari apa yang telah kita katakan dulu.  Apa yang kita ceritakan tentang Jauhar Alam adalah berlainan dengan apa yang kita ceritakan tentang bentuk-bentuknya.

Apa yang berkenaan bentuk-bentuk tidaklah berkenaan Jauharnya.

    Dahan banyak,  pokok satu
    Demikianlah kita dengan Allah yang satu.

    Jika anda lihat apa yang kita lihat
    Anda akan jumpa apa yang kita jumpa
    Dia satu,  Dia banyak
    Begitulah kita dapati dia bila kita jumpa Dia
    IaNya satu bukan banyak

    Betul apa yang kita katakan
    Naiklah melampaui perbezaan
    Anda akan lihat apa yang benar

    Katakanlah apa yang anda hendak kata
    Banyak,  semua,  atau satu,  yang mana anda suka
    Antara Tuhan dengan hambaNya
    Tuhan,  atau makhluk,  katakanlah mana yang anda suka.

Tanbih

Anda akan dapat mengerti dengan sepenuhnya;  dan dengan tahqiqnya idea dan maksud pandangan ini;  jika anda kupasinya dengan Ilmu Martabat Tujuh.  Bertanyalah kepada ahlinya kerana;

"Bagi setiap ilmu ada ahlinya; dan setiap orang dimudahkan untuk mendapat apa yang diuntukkan baginya"(Imam Ghazali)

Allahu A'lam
                                                                                             11.15 pm 07.10.99 / 27 Jamadil Akhir 1420


 

Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH