Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Sebagai penjelasan buat mereka yang masih belum memahami
WAHDATUL WUJUD 
BUKANNYA WAHDATUL MAUJUD!!!
<Ihsan Dari  Abdul Jamil Lam>

ASSALAMUALAIKUM Sahabat ku saudara/i yang disayangi, dikasihi, diingati dan dirahmati Allah Ta'ala sentiasa.

Izinkan saya menjawab persoalan yang berkaitan dengan Wahdatul Wujud

InsyaAllah, diharap penjelasan yang sewajarnya ini tidak menimbulkan ketegangan di mana-mana pihak. Di dalam persoalan yang unik dan genius ini, hati-hati kita memerlukan kesabaran dan keikhlasan di dalam memberi dan menerima pendapat yang dikemukakan. Jangan melatah atau mebuat telahan yang kita sendiri masih berada di dalam persimpangan was-was dan ada keraguan.

Penjelasan di dalam mempertahankan Wahdatul Wujud sudah dilayarkan hasil suntingan dari buku "Mengenal Diri Dan Wali Allah", oleh Syeikh Mustafa Muhammad Al-Jiyasi. Saya rasa itulah jawapan yang terbaik untuk difahami oleh kita semua! Tetapi masih ada lagi yang tidak berpuas hati dan kebingungan dengan persoalan itu sendiri. Mengapa???

MUKADDIMAH

TULISAN ini tidak bermaksud untuk mengemukakan satu kajian lengkap dan menyeluruh tentang apa yang dinamakan konsep Wahdatul Wujud cuma sekadar untuk menarik perhatian yang diharapkan dapat meredakan ketegangan perbincangan dalam masalah tersebut. Maka dengan itu biarlah kita tegaskan kesimpulan dari awal lagi bahawa kita adalah berhadapan dengan Wahdatul
Wujud bukannya Wahdatul Maujud.

Firman Allah Ta'ala, yang bermaksud :

"Allah (Pemberi) cahaya (kepada langit dan bumi. Perumpamaan cahaya-Nya adalah seperti sebuah lubang yang tak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam kaca (dan) kaca itu seakan-akan bintang  (yang bercahaya) seperti mutiara yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang banyak barkahnya, (iaitu) pohon zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur (sesuatu) dan tidak (pula) di sebelah barat (nya), yang minyaknya (saja) hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah membimbing kepada cahaya-Nya siapa yang Dia kehendaki, dan Allah memperbuat perumpamaan bagi manusia, dan Allah Maha
Mengetahui segala sesuatu." [An-Nur : 35]

Firman-Nya yang cukup simbolik dan genius. Untuk diperolehi kebenaran mutlak bagi mereka-mereka yang diberi petunjuk untuk memahami ilmu-Nya dan ma'rifah kepada-Nya sebagai seorang "kekasih".

Saudara,  untuk memahami apa yang dikatakan Wahdatul Wujud! Ianya bukanlah subjek di dalam bentuk silibus mata pelajaran untuk atau boleh diajar, belajar dan dipelajari!

Ini kena ingat! Selalu kena ingat dengan teliti. Wahdatul Wujud adalah satu "anugerah" Allah berkenaan ilmu dan rahsia-Nya, yang dilemparkan kepada makhluknya yang benar-benar diredhoi dan terpilih.

Bukan dibuat-buat dan bukan direka-reka dan bukan ditokok tambah! Ini bukan ilmu buatan manusia!

Sendiri mahu ingat!

TASAUF DAN WAHDATUL WUJUD

AL-MAUJUD itu memang banyak dan tidak terkira; langit dan bumi,  gunung-ganang, bukit-bukau, lautan, daratan, tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia serta lain-lainnya, yang berbeza dari segi jenis, bentuk, warna, bau, rasa dan seumpamanya. Tidak ada seorang pun dari ahli Sufi atau tokoh
Sufi yang sebenar, termasuklah Al-Hallaj dan Ibnul 'Arabi yang mengatakan Wahdatul Maujud. Malahan setiap mukmin tidak mungkin akan sanggup mengatakan dan mengakui Wahdatul Maujud. Betapa pula dengan ahli Sufi yang dikenali oleh sejarah sebagai golongan istimewa dari kalangan mukmin, sehingga berani mengatakan dan mengakui Wahdatul Maujud?

Mungkin timbul pertanyaan : kalau begitu dari manakah awal puncanya idea tentang Wahdatul Maujud yang salah ini seperti yang diperkatakan oleh kebanyakan orang bahawa ahli Sufilah yang tela mengatakan idea : Wahdatul Maujud itu? Jawapannya mudah sahaja. Segolongan ahli falsafah dalam zaman purba juga dalam zaman moden telah pun memperkatakan idea ini dan telah mendokongknya dengan erti bahawa Allah dengan segala makhluknya adalah satu jua seperti yang didakwakan dan didustakannya itu.

Dalam zaman Yunani purba Heraclius telah mengatakan bahawa;

Maha Suci Allah daripada segala yang dikatakan. tapi juga menurutnya itulah kehodohan di mana-mana, samalah seperti kanak-kanak yang punya kecomelan dan keindahan semulajadinya itu yang akhirnya akan mati menjadi bangkai, dimakan ulat dan cacing dalam kuburnya. Kata-kata seperti ini walaupun datangnya dari orang-orang yang digelar ahli falsafah hanya akan disambut oleh seorang mukmin dengan ucapan panjang Astaghfiru'llah!

Idea Wahdatul Wujud dengan erti Wahdatul Maujud itu mempunyai peminat dan pendokongnya pada setiap zaman. Manakala ahli-ahli Sufi mengemukakan al-Wujud al-Wahid atau Wujud Yang Tunggal lantas mereka yang memusuhi atau tidak bersetuju dengan perjalanan dan aliran Sufi segera mentafsirkannya dengan teori dan idea falsafah; ditafsirkannya dengan Wahdatul Maujud
sedangkan amat jauh sekali perbezaan antara dua pengertian dan maksudtersebut. Tetapi biasanya kerana tidak sealiran dan lebih-lebih lagi bermusuhan seorang itu sanggup berdusta dan mengelirukan asalkan dapat mencapai matlamat dan tujuan untuk menjatuhkan lawannya. Memang tepat kalau
pernah dikatakan : Matlamat menghasilkan cara.

Suatu perkara yang sangat penting sebagai satu faktor dalam usaha mengelirukan fahaman dan idea ahli Sufi yang sebenar tentang al-Wujud al-Wahid ialah Imam Abu Hasan al-Asy'ari r.a. Beliau telah mengemukan pendapat tentang falsafah ilmu kalamnya bahawa al-Wujud itulah 'Ayn al-Maujud. Pendapatnya itu tidak dipersetujui oleh ahli Sufi, bahkan juga tidak diakui oleh banyak tokoh-tokoh ahli fikir Islam, juga oleh ahli falsafahnya. Pendapat yang dikemukakan oleh Imam Abu Hasan merupakan idea falsafah yang mungkin salah atau pun mungkin benar. Segala pendapat-pendapatnya yang lain yang bersifat falsafah itu adalah juga sama kedudukannya dengan pendapat-pendapat ahli-ahli falsafah atau ahli fikir dalam bidang yang sama yang mungkin salah ataupun benar.

Mereka yang tidak menyetujui Imam al-Asy'ari berpendapat bahawa al-Wujud itu bukanlah al-Maujud. Al-Wujud ialah yang dengan sebabnya al-Maujud itu wujud.  Manakala ahli Sufi mengemukakan idea al-Wujud al-Wahid lantas ditafsirkannya dengan pendapat Imam al-Asy'ari tanpa sedikit pun mera'ikan perbezaan aliran dan pendapatnya. Maka kata-kata al-Wujud al-Wahid telah ditafsirkan dengan idea al-Maujud al-Wahid. Dengan tafsiran yang mengelirukan dari ahli
falsafah ini dapat mengikis kepercayaan kepada musuhnya, ahli-ahli Sufi.

Satu perkara lain yang sewajibnya diberikan perhatian kerana menurut logik kajian adalah tidak bernilai sehingga tidak perlu untuk diberikan perhatian; iaitu pendapat-pendapat yang dikemukakan dan tersebar luas di sana sini tentang Wahdatul Wujud.  Semua pendapat itu adalah rekaan, pengeliruan yang sesat dan tidak benar dari segi maknanya, rendah dari segi nilai falsafahnya, dan begitu asing dari suasana keIslaman, yang menggambarkan dari segi makna dan bentuknya hanya sengaja direka-reka. Segala pendapat atau kritik yang dihubungkan dengan Al-Hallaj atau kepada yang lain-lainnya tidak ditulis oleh penanya. Mereka dari golongan yang tertentu sengaja mereka-reka dan mengada-ngadakannya, kemudian atas rekaan itulah dijadikannya asas untuk membuat hukuman; kafir atau sesat. Cara ini menurut timbangan logik penyelidikan sudah cukup menjadi bukti bahawa keilmiyahannya tidak boleh dipercayai.

Al-Wujud al-Wahid;  apakah dalam kata-kata ini mengandungi keraguan? Itulah wujudnya Allah yang terkaya dengan Zat-Nya dari segala yang selainnya. Itulah wujud yang Maha Haq yang memberikan dan mengurniakan kewujudan kepada segala sesuatu. Tidak ada sesuatu selain-Nya yang dapat memberikan dan mengurniakan wujud. Maha Suci Dia yang wujudnya dari Zat diri-Nya. Maha Suci Dia Tuhan Maha Pencipta, Penjadi dan Pembentuk segala sesuatu yang dijadikannya; Al-Khaliq, al-Bari', al-Musawwir.

Firman-Nya, bermaksud :

"Dialah (Allah) yang membentuk (kejadian) kamu dalam rahim sebagaimana yang
dikehendaki-Nya."[Ali-Imran : 6]

Di antara ayat-ayat Al-Quran yang menjelaskan makna "Pembentukan" itu ialah Firman-Nya, bermaksud :

"Sesungguhnya Kami (Allah) telah mencipta manusia (insan) dari saripati tanah. Kemudian Kami jadikannya setitis air mani (yang tersimpan) dalam tempat yang kukuh (rahim), kemudian Kami ciptakan mani itu 'alaqah, lalu Kami ciptakan 'alaqah itu mudhghad, lalu Kami ciptakan mudhghad itu tulang,  lalu Kami pakaikan tulang itu (dengan) daging. Kemudian Kami jadikan ia makhluk yang lain (berbentuk). Maka Maha Suci Allah Maha Pencipta yang paling indah. Kemudian sesudah itu sesungguhnya kamu sekalian pasti mati. Kemudian sesungguhnya kamu sekalian akan dibangkitkan (dari kuburan) pada hari Kiamat."[Al-Mu'minun : 12-14]

Jadi hubungan Allah dengan manusia ialah bahawa Allah telah memberikan dan mengurniakan wujud mengikut apa yang dikehendaki pada setiap detik dan ketika yang sentiasa bersambungan lalu tergambarlah bahawa hidupnya itu sentiasa bergantung kepada limpahan wujud Allah yang tidak terpisah walau sedikit pun.

Hubungan Allah dengan alam kejadian yang lain adalah dalam bentuk yang sama. Allah yang memegang langit dan bumi dari jatuh, dan sekiranya jatuh tidak ada siapa pun yang dapat memegang (menahannya) selain-Nya. Dialah Allah yang memegang kedua-dua; langit dan bumi dari segi wujudnya; Dialah Allah yang memegang kedua-duanya dari segi penyusunan, kerapian dan keselarasannya. Manakala terputus sahaja hubungan wujudnya maka akan berkecailah kedua-dua,
bumi dan langit, sama ada kualiti atau kuantitinya.

Sesungguhnya Allah meliputi (Muhit) alam semesta raya ini. Allah mengusai dan mengawali (al-Muhaymin), yang sentiasa mengawasi dan menguasai (al-Qayyum) setiap yang di langit dan di bumi, setiap jiwa dan diri dalam setiap apa yang dilakukan, setiap atom yang ada dalam sel-sel, bahkan pada setiap yang kecil dari itu, sehingga tidak ada suatu pun yang terlindung dari "Haymanatih Wa Qayyumiyyatih" walau sebesar debu atom sekali pun.

Sifat Qayyumiyyatullah ini telah dibincang dan diceritakan oleh Al-Quran dan Sunnah secara meluas demi untuk menggerakkan, menggoncang dan menggegar perasaan jiwa manusia supaya tidak merasakan bahawa ia akan kekal di bumi dan tidak mentaati hawa nafsunya, tetapi supaya ia meningkat tinggi dengan pandangannya, supaya menjangkau ke alam tertinggi dengan hakikat
keinsanannya; iaitu dengan membersihkan dirinya dari pengabdian kepada kebendaan, supaya dengan itu dapat pula menTauhidkan Allah dalam ubudiyyah yang tulin dan suci, tidak dicampuri oleh apa jua kesyirikan sama ada syirik hawa nafsu, syirik dari penguasaan kebendaan atau penguasaan sifat-sifat naluri kemanusiaan.

Di sini ingin kita jelaskan setengah dari pendirian Al-Quran dalam perkara tersebut. Allah sentiasa menarik perhatian kita kepada beberapa ayat dalam surah Al-Waqi'ah, yang mengandung beberapa masalah yang biasanya kita lalai dan melupainya.

Firman-Nya, bermaksud :

"Apakah kamu lihat air mani yang kamu keluarkan? Adakah kamu yang menciptakannya ataukah Kami yang menciptanya? "[Al-Waqi'ah : 58-59]

"Apakah kamu lihat apa yang kamu tanamkan? Adakah kamu yang menumbuhkannya ataukah Kami yang menumbuhkannya?" [Al-Waqi'ah : 63-64]

"Apakah kamu lihat air yang kamu minum? Adakah kamu yang menurunkan dari simpanannya ataukah Kami yang menurunkannya?" [Al-Waqi'ah : 68-69]

Apakah kamu lihat api yang kamu nyalakan? Kamukah yang menjadikan kayu itu atau Kamikah yang menjadikannya?" [Al-Waqi'ah : 71-72]

Kembalikan dari kenyataan itu ialah bahawa sekiranya dikehendaki oleh Allah nescaya tidak akan diciptanya manusia; nescaya dihapuskan tanam-tanaman menjadi debu; nescaya tidak diturunkan air hujan dari tangki simpanannya; nescaya tidak diterbitkan pokok yang mengeluarkan api. Maka terbuktilah dari keterangan ayat ini bahawa di tangan-Nya sahaja urusan segala perkara : yang negetif atau positifnya. Di tangan-Nya sahaja urusan penciptaan, mewujudkan atau mentiadakan.

Firman-Nya lagi, bermaksud :

"Kemenangan di medan perang sebenarnya adalah kemenangan dari Allah."[An-Anfal : 10]

"Demikian juga musuh-musuh gugur di medan perang bukanlah tangan kita yang membunuhnya tetapi hakikatnya adalah Allah yang membunuhnya. Lontaran anak panah yang anda panahkan itu sebenarnya bukanlah dari lontaran anda tetapi Allah yang melontarnya." [Al-Anfal : 17]

Cuba amati ayat ini di dalam firman-Nya, yang bermaksud :

"Maka hendaklah manusia memperhatikan makanannya! Sesungguhnya Kami benar-benar telah mencurahkan air (dari langit). Kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya, lalu Kami tumbuhkan bijian di bumi itu. Anggur dan sayur-sayuran. Zaiton dan pohon Kurma. Kebun-kebun yang lebat. Dan buah-buahan serta rumput-rumputan. Untuk kesenangan dan untuk binatang ternakan kamu." ['Abasa : 24-32]

Haymanatullah dan Qayumiyyatuh adalah tetap dan pasti pada setiap kejadian dan ciptaan-Nya. Ia tetap dilalui cuma tidak dirasakan dan disedari olehsegolongan terbesar manusia yang sama taraf rasaan dan kesedarannya itu seperti haiwan. Wujud-Nya Allah yang empunya sifat tadi tidak sedikit pun terasa dalam dirinya. Yang menjadi tumpuan dan perhatian pada setiap pagi dan petang hanyalah harta dan kekayaan, menimbus emas dan perak, berlumba-lumba memburu pangkat dan kedudukan, atau berusaha dan berjuang untuk mengekalkan kedudukan atau kekuasaan. Berapa banyak ayat Allah telah dilalui tetapi tidak mereka menyaksikannya, bahkan mereka sentiasa dikelilingi oleh kesan-kesan dan tanda-tanda kekuasaan Allah tetapi tidak melihat dan memperhatikannya. Mereka tetap dilimpahi oleh nikmat Allah tetapi tidak menyedari untuk bersyukur. Sesungguhnya Allah tidak mendapat tempat sedikit pun dalam hati mereka, pun tidak dalam fikirannya, pun juga tidak dalam hidupnya.

Berlainan dari golongan tersebut terdapat segolongan yang benar-benar tenggelam dalam lautan Ketuhanan; yang benar-benar merenangi dan mengharunginya; yang benar-benar menyedut kenyamanan tiupan bayunya; yang benar-benar diselubungi oleh sinar dan pancaran cahayanya. Mereka telah pun memuji dan mensyukuri nikmat-nikmat-Nya yang penuh melimpahi dari seluruh
arah kelilingnya, lalu ditambahi dengan limpahan nikmat :

Firman-Nya yang bermaksud :

"Dan sekiranya kamu bersyukur nescaya Kami tambah (rezeki) kamu." [Ibrahim : 7]

Mereka telah benar-benar bertaqwa menepati konsepnya yang dikehendaki lalu diberikan pada-Nya ilmu : Firman-Nya lagi, bermaksud :

"Bertaqwalah kepada Allah, Allah yang mengajar kamu." [Al-Baqarah : 282]

Memada pada mereka bahawa Allah itu penunjuk dan penolong maka mereka telah menerima hidayat ke jalan yang lurus, mereka telah diberi kekuatan untuk mengalahkan dan menguasai hawa nafsunya dan juga musuh-musuhnya yang abadinya dan hakiki. Seterusnya sedikit demi sedikit mereka berusaha dengan jaya untuk menghakikatkan Tauhid yang tulen dalam segala aspek kehidupannya dalam kata dan pertuturannya, kepercayaan dan aqidahnya dalam rasaan dan hakikatnya. Dengan itu mereka melihat dan merasakan dalam kalimah sakti "la ilaha ilallah" itu kedalaman, kehalusan dan keindahan maknanya yang tidak dirasakan oleh golongan-golongan lainnya.

Seiringan dengan itu makna syirik pula semakin terang dan semakin jelas sehingga dalam bentuk yang tak pernah terlintas dalam hati dan fikiran orang-orang yang lalai kerana dibuai oleh harta dan keluarga. Seterusnya ia semakin berusaha untuk meruntuhkan dinding-dinding dan tembok-tembok syirik; menghancur dan memusnahkan patung-patung berhalanya, hawa nafsu, syaitan, naluri kehaiwanan, dan naluri keinsanan, sehingga runtuhlah jenis-jenis syirik itu dari bisikan hati. Tegasnya runtuhlah syirik yang jali dan syirik khafi. Yang kekal dan tetap terpaku kukuh dalam rasaan, ehwal dan maqamnya ialah kalimah "la ilaha ilallah".

Firman-Nya, yang bermaksud :

"Maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah), di situlah arah yang diredhoi Allah." [Al-Baqarah : 15]

Di mana pun mereka berada maka Allah ada bersamanya. Dia lebih hampir dari urat lehernya; lebih dekat dari teman duduk dan teman hidupnya. Allah melimpahi seluruh dirinya, lalu tidak ada yang dilihat selain hanya Dia sahaja, yang bersifat Qayyum di langit dan di bumi. Tidak melihat selain dari hanya Dia yang mengurus segala sesuatu, dari yang sekecil-kecilnya hinggalah yang sebesar-besarnya. Ia tidak melihat selain dari hanya Dia yang memiliki kekuasaan.

Firman-Nya, yang bermaksud:

"(Allah) yang mempunyai kuasa pemerintah, Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki, Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki."  [Ali-Imran : 26]

Mereka telah menepati sifat golongan yang dipanggil (Rabbaniyun). Allah telah menguasai penglihatan,  pendengaran, anggota dan hatinya. Benar-benar Allah telah mengisi seluruh diri, mengisi segenap ruang jiwa sehingga tidak ada tempat untuk yang lain.

Golongan manusia Sufi cuba mengajak segolongan dan sebilangan kecil dari manusia kepada Allah. Mereka berusaha dengan terus tanpa putusan, tanpa jemu dan bosan untuk mencabut pandangan manusia yang ditumpu ke alam kebendaan supaya mengangkatkan pandangannya ke langit. Mereka cuba menarik pandangan dan perhatian manusia kepada Allah melalui ayat-ayat yang sentiasa meliputi kehidupan mereka, melalui rahsia kejadian dan ciptaannya. Sesungguhnya Allah yang mengindah segala ciptaan-Nya.

Mereka berusaha ke arah itu melalui keindahan kuntum bunga yang sedang kembang mekar; melalui tumbuh-tumbuhan yang mengarahkan wajahnya ke langit;  melalui matahari yang memancarkan sinar cahaya; melalui bulan yang indah mengambang di awan; melalui planet bintang dan peredarannya; dan melalui pada segala ciptaan-Nya yang sentiasa berlaku di alam semesta.

Golongan manusia ini cuba memahami dan menjelaskan kandungan ayat-ayat Allah seperti :

Firman-Nya Allah Ta'ala yang bermaksud :

"Maha Suci Allah yang ditangan-Nyalah terletak segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa ke atas segala sesuatu. Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji kamu siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. Yang telah mencipta tujuh lagit berlapis-lapis;  kamu sekali-kali tidak melihat pada ciptaan Tuhan yang Maha Pemurah sesuatu pun yang tidak seimbang. Oleh itu lihatlah berulang-ulang kali adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang. Kemudian pandanglah sekali lagi nescaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu cacat dan penglihatanmu itu pun dalam keadaan payah." [Al-Mulk : 1-4]

Ta'biran atau expresi mereka adalah ta'biran orang yang penuh kehalusan rasa, bukannya ta'biran yang berjiwa kasar membantu dari golongan ahli falsafah dan Ulama' Kalam. Dengan ta'biran itu mereka menjelaskan bahawa Allah jua yang menghulurkan wujud bagi segala yang maujud. Dialah yang menghulurkan gerak berdiri bagi setiap yang berdiri, yang menghulurkan gerak berjalan bagi setiap yang berjalan, yang menghulurkan gerak bagi setiap yang bergerak.

Menurut gambaran yang diberikan oleh ahli Sunnah Wal-Jama'ah dan Asy'ari bahawa Dialah Allah yang memotong bukannya pisau yang memotong.  Dialah yang membakar bukannya api yang membakar. Dialah yang mengatakan kepada api manakala dikehendaki-Nya :

Firman-Nya, bermaksud :

"Wahai api sejuklah engkau dan sejahtera."

lalu jadi sejuk dan memberikan kesejahteraan kepada yang dikehendaki-Nya.

Melalui peningkatan dalam perjuangan nafsu tadi maka nafs atau jiwa diri insan itu akan berubah sifatnya dari setingkat ke setingkat mengikut sejauh mana darjah kebersihan dan kesuciannya, kejernihan dan keheningannya, kecahayaan dan kesinarannya. Setiap peringkat itu diberikan namanya :

Setiap nama itu menepati sifat dan keadaan al-Nafs al-Insani atau Diri Jiwa Insan hasil dari sejauh mana usaha melaksanakan konsep Tazkiyyah atau pun tidak. Yang dimaksudkan dengan nama-nama yang tersebut itu bukanlah dari sudut fizikalnya tetapi sudut kerohaniannya yang halus dan tersembunyi serta rahsia, iaitu seperti yang diistilahkan oleh ahli Sufi dengan Lata'if : Akhlak yang telah digariskan oleh wahyu ini pun masih memerlukan gambaran contoh atau corak teladan yang tepat menepati dengan garis akhlak yang terkandung dalam wahyu untuk diikuti dan dicontohi oleh manusia. Dengan penjelasan lain bahawa akhlak yang layak menjadi wasilah kepada matlamat Tasauf itu perlukan kepada al-Dalil al-Akhlaqi dalam kedua-dua garisnya, iaitu panduan akhlak yang tersirat dalam diri seseorang manusia. Sebagai terjemahan yang tepat dan hakiki kepada akhlak yang tersurat, atau sebagai pelaksanaan yang tepat dan menepati dengan panduan yang tersirat, demi untuk dijadikan contoh ikutan dan model tauladan dalam kehidupan manusia.

Demikianlah kedudukan akhlak dalam Tasauf yang merupakan sebagai wasilah yang terpenting untuk mencapai matlamatnya. Akhlak sebagai kekuatan Iradah untuk menjalani jihad nafsu demi untuk membersih dan menjernihkan jiwa,  serta mempertingkatkan kesucian dan kerjenihan jiwa sehingga ke peringkat yang layak untuk menjadi pusat limpahan ma'rifat dan musyahadah.

Suatu yang perlu dijelaskan di sini bahawa bentuk akhlak yang layak menjadi wasilah kepada matlamat Tasauf iaitu akhlak Allah, iaitu akhlak Allah yang telah digariskan oleh Allah sendiri melalui Kalamullah yang qudus dan suci,  terpelihara dari perubahan dan pengubahan, penambahan dan pengeliruan jelasnya melalui wahyu yang kekal dan abadi.

Al-Quran adalah panduan yang tersurat secara abdi qudus dan suci sementara Rasulullah SAW adalah panduan yang tersirat yang telah melaksanakan panduan-panduan akhlak Al-Quran dengan tepat dan bulat, padu dan padat. Hanya Baginda Rasulullah SAW sahaja yang telah dapat menterjemahkan panduan Tasauf itu dengan sempurna dan tepat sebagaimana yang diakui dan diiktiraf sendiri oleh Al-Quran :

Firman-Nya, yang bermaksud :

"Demi pena dan dan apa yang mereka tulis. Engkau (Muhammad) bukanlah orang yang gila lantaran nikmat Tuhanmu. Engkau tetap akan mendapat pahala yang besar, tidak putus-putus. Engkaulah pemilik akhlak yang sangat agung." [Al-Qalam : 1-4]

Allah telah bersumpah dengan tiga perkara yang amat penting dalam ilmu dan Ilmiyyah :

"Da'wat - Pena - dan Tulisan"

Sumpahan ini diikuti dengan penafian sifat rendah, kekurangan dan hina pada diri Nabi Muhammad, seterusnya diiringi pula dengan pujian dan sanjungan dalam bentuk bahasa yang penuh kesungguhan, "Sesungguhnya engkau pemilik akhlak yang sungguh agung." Kemudian diakhiri dengan penegasan yang bulat dan kuat bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad pemilik akhlak yang agung.  Penegasan ini diperkukuh dengan tiga alatnya, huruf "inna", huruf "lam" dan huruf "'Ala".

Keagungan akhlak Muhammad adalah kerana akhlaknya menepati akhlak Al-Quran.  Tidak ada keagungan yang sebenar dan hakiki melainkan keagungan yang diberikan oleh Allah yang Maha Agung yang empunya sifat-sifat Maha Tinggi dan yang empunya nama-nama yang Maha Indah.

Pengakuan dan pengiktirafan daripada Allah inilah yang satu kelayakan yang mutlak untuk menjadi contoh ikutan dan model tauladan yang abadi kepada umat manusia. Sebagaimana panduan akhlak yang tersurat itu terjamin kekal dalam kekudusan dan kesuciannya demikian juga panduan akhlak yang tersirat dalam Sirah Muhammad adalah terjamin kekal dalam pemeliharaan :

Firman-Nya, yang bermaksud :

"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang-orang yang mengharapkan keredhoan Allah dan balasan di akhirat serta ia pula banyak menyebut dan mengingati Allah." [Al-Ahzab : 21]

Berdasarkan hakikat ini, perjuangan nafsu untuk membersih jiwa dan menyucikan hati pastilah mengikut panduan Al-Quran dan Sunnah. Tegasnya berakhlak dengan akhlak Allah sebagai wasilah untuk mencapai matlamat dalam  Tasauf itu pastilah dan sememangnya sudah pasti mengikut panduan akhlak Rasulullah SAW. Hanya itulah panduan yang akan mencapaikan kepada matlamat Sufi yang sebenar dan hakiki sehingga melayakkan diri unruk menerima gelaran  "Rabbaniyyun."

KESIMPULAN

JANGAN sekali-kali berani mengaku diri Tuhan sama ada zahir ataupun batin selagi manusia itu berada di dalam dirinya. Maksudnya bukan'arad atau rupa yang berbentuk itu Tuhan, Tuhan tidak dapat dilihat dan tidak dapat diraba dengan tangan (is not tangible).

Saya ingin menari perhatian apa kata Hadhrat Mansur Al-Hallaj, menasihati khadam dan anak lelakinya, kata beliau :

"Jangan tunduk kepada hawanafsumu, jika kamu tunduk kepadanya ia akan mempengaruhi kamu supaya membuat dosa dan maksiat. Dan dunia ini mencari hidup berakhlak, tetapi kamu carilah hidup Ketuhanan, itu lebih baik.  Walaupun sedikit kamu mendapat hidup Ketuhanan itu, maka ianya adalah lebih baik dari semua amalan yang dilakukan oleh manusia dan Malaikat dan ingat!  Selagi seseorang itu di dalam kesedaran pancainderanya jangan sekali-kali menyebut (Ana Al-Haq) "Aku Yang Benar" atau akulah Tuhan, sama ada lisan maupun di dalam hati. Kerana selagi ia manusia, ia bukanlah Tuhan. Jika ia menyebut perkataan itu, maka ia adalah palsu dan bid'ah."

Apa yang dinasihati oleh Hadhrat Mansur Al-Hallaj itu adalah benar. Bukan semudah apa yang kita fikirkan. Ramai yang tersalah tafsir mengatakan manusia itu Tuhan, manusia tidak tahu apa-apa dan tidak mempunyai ilmu atau dapat mengenal Allah. Bererti tidak dapat hendak memperbezakan "al-innas" dengan "al-insan". Oleh kerana ilmu Tasauf sudah banyak dirosakkan orang dalam penyampaian dan tafsiran yang bid'ah. Kerana tidak berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW, dan dengan adanya Al-Quran, Hadis-hadis Rasulullah SAW dapatlah manusia petunjuk jalan yang lurus dan dapat mengenal ilmu Tauhid dan Ma'rifat.

Firman Allah Ta'ala, bermaksud :

"Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, oleh kerana itu turutlah dia, dan janganlah kamu mengikut jalan-jalan lain, kerana hal itu akan memisahkan kamu dari jalan-Nya. Demikianlah Ia wasiatkan kepadamu supaya kamu memelihara diri".
[Al-An'am : 153]

Bila membicarakan perihal Wahdatul Wujud ini, tiada apa yang "melucukan".  Tetapi cukup "very interesting subject"! Yang " "melucukan" adalah bagi manusia-manusia yang tidak berakal dan hidup di dalam kebingungan. Buta mata hati mereka! Ada akal tetapi tidak mahu berfikir, ada mata tetapi buta.  Kalaulah dah mata yang zahir itu "dibutakan", apatah lagi "mata batin"?!

Oleh itu sebagai rakan yang sama-sama memperjuang dan memartabatkan Syiar Islami ini, adalah suka saya nasihat-menasihati untuk saudara-saudara dan dan rakan-rakan yang lainnya, di dalam
membicarakan persoalan Tasauf dan wahdatul Wujud ini, adalah lebih baik jangan diperlekehkannya! Gunakanlah fatwa Al-Quran, Al-Hadis, Ijma Ulama' dan Qias dengan tafsiran-tafsiran yang rasional perbahasannya. Jangan hentam-kromo dengan tuduhan-tuduhan sesat, bid'ah, murtad dan sebagainya
dengan sewenang-wenang tanpa memikirkan implikasi yakni kesan daripada perbuatan keceluparan mulut dan akal fikiran kita.

Saya tidak memaksa untuk tuan-tuan ikut dan menyokong setiap apa yang saya luah dan ketengahkan. Saya tidak meminta setiap ulasan-ulasan, pendekatan dan kefahaman saya diterima pakai untuk diamalkan. Apa yang saya usahakan ini adalah untuk mengajak sahabat-sahabat membaca message yang hendak saya sampaikan.

Pendekatan saya mudah saja di dalam menuntut dan mempelajari sesuatu ilmu itu. Kalau fahaman yang saya bawa ini salah dan berlawanan dengan hukum  Allah,  maka tolak dan gugurkanlah ianya! Jangan ikut dan patuhi arahan. Bukan ke mudah! Buat apa nak pening-pening kepala dan pusing-pusing berbelit-belit bermain dengan kata-kata dan hujjah???

Tiga kiasan diberikan untuk berfikir sejenak supaya dapat kita memikirkan apakah maksud kata-kata kiasan yang dipaparkan di bawah ini :

a) Besi ada tiga jenis, katakanlah. Besi berani, besi biasa, besi berkarat.   Cuba kita masukkan ketiga-tiga besi itu ke dalam api, apabila semua besi itu sudah bersatu atau sebati dengan api, dapatkah kita mengagaknya yang mana satu besi dan yang mana satu api. Kerana leburnya sifat keaslian besi itu ke dalam sifat api dan yang mana satu sifat yang kita hendak musyahidahkan,  adakah 'ain besi atau 'ain api itu. Akal hanya mengetahui yang api itu sebagai bahan pembakar saja tidak lain dari itu.

b) Kerana mungkin bagi seseorang yang tidak pernah melihat cermin seumur hidupnya akan terpesona oleh cermin itu apabila ia melihat cermin itu dan menyangka apa yang dilihatnya dalam cermin sebagai bentuk rupa cermin itu sendiri. "Serupa" dengannya, yang mana satu cermin dan yang mana satu rupa orang itu. Kerana rupa orang itu sudah bersatu atau fana' dengan 'ain cermin.

c) Seseorang lain melihat arak dalam gelas dan menyangka arak itu sebagai warna gelas. Jika sangkaan itu telah menjadi sebati di fikirannya ia pun lenyap dalam sangkaannya itu, lalu ia menyanyi : "Gelas itu nipis, arak itu jernih, kedua-duanya serupa, perkara ini rumit sekali, kerana seolah-olah ada araknya dan tidak ada gelas arak di situ atau seolah-olah ada gelas arak dan tidak ada araknya." Dapatkah kita meneka mana satu gelas dan yang mana satu arak kalau kedua-duanya sudah sebati menjadi satu.

Itulah tiga kiasan atau perbandingan berkenaan ilmu ma'rifat-tu-ma'rifat yang dapat saya terangkan dengan ringkas saja.

Adakah saudara faham maksud message saya ini???

Adakah saya ini pendokong Wahdatul Wujud???

Murtad? Syirik? Kafir? Zindik??? Mengapa perkataan-perkataan ini keluar apabila membahaskan Wahdatul Wujud???  Siapa yang layak menerima "anugerah" tersebut???

Secara peribadi, saya memang "sentiasa" merujuk kepada Guru-guru Mursyid yang mu'tabar di dalam perkara Wahdatu Wujud ini. Tok fakir mana yang tidak saya jumpa! Dan jalan yang paling terbaik di dalam persoalan ini ialah merujuk terus ke Hadhrat Ilahi. Bagaimana???

Ilmu adalah untuk diimplementasikan, bukan untuk diperaga!

Jangan suka membuat telahan dan tuduhan yang bukan-bukan. Apa yang lebih mendukacitakan, tuan-tuan rakus membuat tuduhan dan kritikan terhadap fahaman dan aliran Wahdatul Wujud. Tetapi dalam masa yang sama juga tuan-tuan sendiri tidak faham apakah pendekatan dan kefahaman yang ada pada Wahdatul Wujud itu. Inikan pelik bunyinya!

Jadi, fikir-fikirlah! Setiap amalan dan perbuatan kita akan dihisabkan kelak di Yaumul Mahsyar, satu persatu. Jangan pula menyesal dikemudian hari, apabila DITERLANJANGKAN kepada umum akhirat nanti!

Harap maaf! Segala kesulitan amat dikesali!

Wallahu ta'ala a'lam.......

Wassalamu.......

Al-Fakir Ilallah - Abdul Jamil Lam Al-Qadiri.

10.30 pm 09.11.99 / 01 Sya'ban 1420

 
Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH