Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
HADAS KECIL DAN HADAS BESAR

Maksud hadas itu ialah wujud yang sementara(hadis) iaitu wujud ghairuLlah.  Hadas ini tidak akan hilang dari Ahli Makrifat kecuali hadas itu dibersihkan dengan Air Ghaib itu.

Apabila seseorang itu dibersihkan dengan air tersebut,  maka barulah ia layak duduk di Majlis Tuhan.

Si hamba itu pasti menganggap adanya  wujud makhluk.  Maka ini adalah hadas.  Oleh itu si hamba itu hendaklah membersihkan hadas itu daripadanya dengan menggunakan Air Mutlak itu.  Bersihkan diri dengan Air Mutlak ini hingga tidak ada lagi yang kelihatan melainkan Allah Yang Maha Esa itu saja.

Kebersihan yang didapati dari hadas kecil itu menunjukkan Fana dalam tujuh sifat iaitu Qudrat,  Iradat,  Ilmu,  Hayat,  Sama',  Bashar dan Kalam.

Membersihkan diri dari hadas besar itu hanya didapati oleh Nabi-nabi dan Aulia Allah yang besar.  Membersihkan diri dari hadas besar ini bererti memFanakan diri seluruhnya.  Apabila ia bersih dari hadas besar ini,  maka barulah ia dapat "Melihat Allah" dengan segala Keagungan dan KemuliaanNya;  dan seluruhnya dilihatnya Allah,  sesuai dengan firmanNya;  "Ke mana sahaja engkau memandang,  di situ ada wajah Allah".

Dalam membersihkan hadas ini,  air hendaklah disapu dan diratakan ke seluruh badan.  Ini ialah kerena penzhohiran Yang Haq itu meliputi semua perkara,  yang tinggi dan yang rendah,  yang agung dan yang indah.  Bersihkan seluruh anggota dengan Air Hakiki itu.  Maka barulah si hamba itu mencapai "Maqam Kehampiran"(Khullah).  di mana ia diserap dengan Cinta kepada Yang Dikasihi itu;  bercampur dengan darah dan daging;  di luar dan di dalam

Sebab itulah perlu "membasuhkan keseluruhan rambut,"  agar Ahli Makrifat itu basah kuyup dengan Cinta kepada Yang Haq itu seperti rambutnya basah dengan air.


Ilmu menurut pandangan ulama ialah perkataan-perkataan dan maknanya.  Menurut ArifbiLlah,  Ilmu itu ialah mengetahui Asma dan objek-objek(bentuk) yang ditunjukkan oleh Asma itu.

Mana mungkin seseorang yang sibuk menghuraikan maksud dan makna dari istilah yang didirikan dapat mengetahui(menyedari) Tajalli yang sentiasa berselindung di sebalik bentuk-bentuk objek itu.

Sebenarnya amal ialah ilmu yang berupa atau berbentuk.  Lampaui kedua-duanya dan capai "hal" iaitu sempadan yang paling hujung bagi kedua-dua itu.

                                                                                                      11.30 pm 27.01.2001 / 02 Zulkaedah 1421

Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH