Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Buat seorang sahabat yang berhajat
Pendakian Ke Haramil Qudsiyyah

Fakir yang hina,  haqir lagi jahil mula berbicara dengan Taufiq  yang  diberikan  oleh Allah Taala.

Bermula segala puji-pujian kesempurnaan itu hanya tertentu buat Allah 'Azzawalla.  Terpukau pandangan jiwa dengan keindahan HikmahNya,  tercenggang Ruh menatap Keagungan Wajah Uluhiyyah dan RububiyyahNya, silau mata hati dengan pancaran Nur Makrifat yang menyelak tabir kebatilan membukakan rahsia-rahsiaNya yang terpendam.  Dialah Rabbul Jalil Yang menyirami kegersangan jiwa hamba-hamba pilihanNya  dengan hujan laduni yang membenihkan biji hikmah;  lantas bercambah,  berputik, yang seterusnya memaniskan buah yang masak ranum untuk disantap sebagai penyataan kurniaNya Yang melenyapkan segala asma dan rusum untuk memerikannya.  Dan berkat selawat dan salam buat junjungan besar Sayyidil Mursalin,  Nabi Muhammad SAW; dan ahli keluarganya,  sahabat-sahabat dan para siddiqin serta sholihin serta para guru yang arif;  semoga kaki yang mengatur langkah ini berada pada jalan-jalan baginda dan mereka yang dibimbing ke arah "jalan yang lurus".

Ketahuilah olehmu wahai saudaraku,  perkataan orang-orang Arif bukanlah seperti makluman isu pembaca-pembaca berita,  atau catatan para wartawan pada media cetak,  malah kalam-kalam mereka adalah pancaran isyarat-isyarat di alam sana yang di sebut juga sebagai Alam Ghaib atau  Alam Tinggi.  Pancaran ini pula  melekat atau tertancap kepada hati mereka yang telah hidup "Sir" nya.  Dengan itu,  apa-apa yang diucapkan adalah merupakan sesuatu yang tinggi lagi mulia.  Ketinggian dan mulianya sesuatu pengucapan itu sebenarnya diukur atau dinilai berdasarkan kehalusan maknanya yang tersirat serta  "dalam maksudnya"  yang berlapis-lapis tersembunyi di samping bertebaran idea-ideanya yang berpaksikan Ketauhidan.

AlLah berfirman di dalam Hadis Qudsi:

"Hai hambaKu, bila engkau ingin masuk ke HaramilKu (Haramil Qudsiyah), maka engkau jangan tergoda oleh Mulki, Malakut, Jabarut; kerana

病lam Mulki adalah syaitan bagi orang Alim;
病lam Malakut, syaitan bagi orang Arif;
病lam Jabarut, syaitan bagi orang yang akan masuk ke alam Qudsiyah".

Saudara telah bertanyakan tentang kekaburan dan makna-makna yang tersirat di sebalik Firman Allah di atas sebagaimana yang terdapat dalam bicara yang berkaitan dengan "Hal Rahsia Diri". Bukannya  satu  pekerjaan yang mudah untuk mencungkil sesuatu yang terpendam "di dasar yang dalam" kerana pekerjaan ini adalah pekerjaan orang-orang ahli dalam menyelam dan tahu selok belok lautan tempat di mana tersimpannya mutiara-mutiara bernilai.  Selebihnya pekerjaan ini hanyalah  untuk mereka yang  "ahli" dengannya.  Untuk mencapai kesempurnaannya pula,  tidaklah  cukup dengan sekadar ilmu pengetahuan semata-mata;  kerana ia merupakan sesuatu yang  hanya dapat dicapai dengan "zauk" dan "wujdan" di mana segala asma dan rusum(isyarat) tidak dapat memperihalkan.

Demikianlah hal yang bersangkutan dengan rahsia-rahsia ini.  Maka kupasan di sinilah hanyalah sebagai sentuhan dalam tahap ilmu pengetahuan semata-mata yang dikutip dan dihimpun dari kata-kata ahli sufi yang kaya dengan pengalaman keruhaniannya.  Tidak lebih dari itu dan sememangnya ia tidak  akan dapat  melangkah ke sempadan yang satu lagi itu tanpa Rahmat dan KurniaanNya.  Jika ingin sesuatu itu terhurai dengan nyata,  maka kita mesti keluar dari semua alam ini dan pembatasan(barzakh) yang ada,  mematikan diri dan hidup dengan "Sir" atau rahsia diri kita.   Kita akan bincangkan mengenai "Sir" ini dalam bicara berikutnya kerana sememangnya ia amat berkait  rapat  dengan perbincangan ini.  Sebelum itu,   marilah kita bicarakan mengenai "Haramil Qudsiyah".

1.   Penerangan Mengenai Haramil Qudsiyah.

AlLah berfirman di dalam Hadis Qudsi:

"Hai hambaKu, bila engkau ingin masuk ke HaramilKu (Haramil Qudsiyah), maka engkau jangan tergoda oleh Mulki, Malakut, Jabarut; kerana

病lam Mulki adalah syaitan bagi orang Alim;
病lam Malakut, syaitan bagi orang Arif;
病lam Jabarut, syaitan bagi orang yang akan masuk ke alam Qudsiyah".

Ada beberapa istilah dan idea-idea yang berkaitan dengannya perlu dimengertikan terlebih dahulu kerana apabila kita mengetahui dan memahaminya,  maka mudahlah  untuk kita mentafsirkan atau menyelongkarkan rahsia-rahsia makna dan kiasan berhikmah yang terdapat dalam Kalimah berhikmah Firman Allah tersebut.  Itupun hanya sebahagian  kecil darinya sahaja sekadar yang direzekikan oleh Allah,  Tuhan Yang Maha Mengetahui.  Selebih dari itu  adalah untuk hamba-hambaNya yang terpilih sahaja dan selebihnya lagi  hanya Allah jua Yang Maha Mengetahui maksud dan rahsia-rahsianya yang sebenar. "Sesungguhnya barangsiapa  yang Allah tidak berikan cahaya,  maka tidaklah ada cahaya baginya".  (Al-Quran)

Haramil Qudsiyah disebut juga oleh ulama Sufiah sebagai Hadrat Qudsiyah yang membawa makna "tempat yang berkehendak menyucikan semata-mata".  Inilah tempat bagi kesudahan seorang salik yang digelar sebagai "Washil IlaLah" atau sampai kepada Allah.  Untuk menjelaskan dengan lebih terperinci lagi hal-hal yang berkaitan dengan Haramil Qudsiyah atau Hadirat Qudsiyah adalah perkara yang amat sukar kerana ianya telah masuk dalam sempadan di luar kemampuan ilmu pengetahuan di mana tiada masuk ia di bawah ibarat  dan tiada disampaikan oleh isyarat dan tiada memikirkan dia oleh cita hati.  Ini adalah kerana tempat itu adalah tempat   yang "suci semata-mata".  Suci dalam erti kata bersih dari segala bandingan,  ibarat,  kiasan dan barang yang boleh diungkapkan dengan kata-kata atau isyarat.

Walaubagaimanapun,  kita dapat mengambil sedikit idea mengenai hal Hadratul Qudsiyah ini dengan memetik keterangan dari "Kitab Manhalus Shofi" yang membicarakan tentang Ilmu Martabat Tujuh atau Ilmu Tahqiq  dengan kenyataannya seperti  berikut;

Maka sentiasalah kenderaan cintanya itu tiada tetap ketetapan selama-lamanya.  Maka berjalan ia hingga sampai kepada

  • Hadratul Qudsi dan
  • kepada Hamparan  Unsi  dan
  • tempat Mufatahah dan
  • Muwajahah dan
  • Mujalasah dan
  • Muhadasah  dan
  • Musyahadah  dan
  • Muthola'ah.
  • Maka adalah pada Hadrat (Qudsiah) itu tempat tetap hati mereka tu dan kepadanya tempat kembali dan  padanya tempat kediaman. Dengan keterangan di atas,  maka mengertilah kita bahawa Haramil Qudsiyah atau Hadrat Qudsiyah adalah tempat terakhir perjalanan salik dan di sanalah juga terhimpun maqam- maqam yang diangerahi TuhanNya bagi hambaNya yang bersungguh-sungguh hingga kasih Allah Taala akan mereka,  maka dikurniai akan segala maqam yang mulia  ini iaitu maqam yang tiada memasuk ia di bawah ibarat dan tiada disampaikan oleh isyarat dan tiada memikirkan dia oleh cita hati .  Maka dinamakan Maqam ini Jam'ul  Jami' dan Fana Ul Fana dan Baqa bilLah.

    Sebagai menambahkan sedikit kefahaman dengan Maqam Fana Ul Fana ini,  eloklah kita perhatikan kata-kata oleh Imam Ghazali yang dpetik dari karyanya "Misykaatul Anwar" sebagaimana berikut;

    "Apabila keadaan ini wujud,  ianya digelar FANA, bahkan FANA DALAM FANA,  bagi orang yang mengalaminya,  kerana Ruh itu telah FANA dalam dirinya, bahkan FANA DALAM FANANYA,   kerana ia tidak sedar dirinya dan tidak sedar tentang tidak sedarnya.  Kalau ia sedar tentang tidak sedarnya,  maka sedarlah ia tentang dirinya. Bagi orang yang tenggelam  dalam keadaan ini ,  maka keadaan ini digelar dalam bahasa kiasan "persamaan"; dan dalam bahasa hakikat "penyatuan". Di bawah hakikat-hakikat ini ada tersimpan rahsia-rahsia yang mana kita tidak bebas untuk membincangkannya."

    Dengan keterangan di atas,  fahamlah kita sekarang,  bahawa tujuan dan maksud perjalanan Ahli Sufi yang mendapat pimpinan yang benar adalah untuk mencapai Maqam Jam'ul  Jami' dan Fana Ul Fana dan Baqa bilLah atau Hadratul Qudsiyah ini.  Namun sebelum mereka berjaya mendaki ke puncak yang suci ini,  terlebih dahulu mereka perlu menempuh alam-alam di bawahnya sebagaimana keterangan seterusnya yang terdapat dalam "Kitab Manhalus Shofi" sebagaimana berikut;

    2.  Penerangan Mengenai  Alam Mulki,  Alam Malakut dan Alam Jabarut

    Ketahui olehmu bahawasanya orang yang Salik kepada Allah Taala itu apabila bersungguh-sungguh ia berjalan kepada Tuhannya dan serta beradab ia pula dengan gurunya yang menjalaninya,  nescaya diputuskan segala alam hingga sampai ia kepada Tuhannya.

    Maka yang pertama-tama alam  yang diputuskan atau dilalukan ialah Alam Mulki dan dinamakan juga Alam Nasut iaitu barang yang didapatkan dengan mata kepada seperti ijsam dan lain-lainnya yang dinamakan pula Alam Nafsu.

    Kemudian maka dilalukan pula Alam Malakut iaitu barang didapatkan dia dengan mata hati dan iaitu Alam Qalbi dan dinamakan pula Alam Akhirat.

    Maka dilalukan pula Alam Jabarut dan iaitu segala Alam Arwah

    Kemudian dilalukan pula Alam Laahut dan iaitu Alam Sirri yakni RahsiaNya Allah Taala.

    Dengan itu kita akan memahami pula bahawa Haramil Qudsiyah atau Hadrat Qudsiyah seperti yang telah dibincangkan di atas;  jika dilihat dari sudut tingkat-tingkat Alam yang terdapat dalam perjalanan salik,  maka ia dinamakan sebagai Alam Laahut atau Alam Sirri.   Perlu ditegaskan ,  perbezaan istilah ini janganlah sampai mengelirukan anda sehingga anda menganggap berbeza pula idea-idea yang terdapat dalam dua istilah tersebut.

    Sebenarnya ia adalah sama dari segi makna atau idea yang ada.

    Dengan itu,  perbezaannya cuma pada istilah dan keperluan penyataan,  tetapi dari segi makna atau idea-ideanya  ia adalah sama.  Suatu tempat yang tertinggi(puncak) lagi suci yang menjadi rahsia antara Allah dan hambaNya yang terpilih di mana hal-ahwalnya adalah diluar jangkauan Aqal.

    Dengan kerana inilah,  kefahaman  idea tentang Hadrat Qudsiyah dan hal-ahwal Maqam  Fana Ul Fana  ini boleh kita perolehi dari keterangan seterusnya mengenai Alam Laahut atau Alam Sirri ini sebagaimana berikut;

    3.  Penerangan Mengenai Alam Laahut.

    Dan padanya (Alam Laahut atau Alam Sirri) itu

    Maka dinamakan tatkala itu "KaabatulLah" dan "Mahligai Allah" dan "Rumah Allah"  yakni murad(maksud) daripadanya tempat TajalliNya dan tempat tilikanNya dan tempat rahsiaNya dan patutlah baginya menanggung Amanah Rahsia Allah dan dapatlah ia mengenal Allah dengan Allah.

    Kita juruskan perbincangan kita selanjutnya kepada tiga Alam di bawahnya iaitu Alam Mulki,  Alam Malakut,  dan Alam Jabarut sebagai mengupas sebahagian(memang terlalu sedikit) makna yang terdapat dalam kemusykilan  mengenai apakah yang dimaksudkan dengan;

    "Hai hambaKu, bila engkau ingin masuk ke HaramilKu (Haramil Qudsiyah), maka engkau jangan tergoda oleh Mulki, Malakut, Jabarut; kerana

    病lam Mulki adalah syaitan bagi orang Alim;
    病lam Malakut, syaitan bagi orang Arif;
    病lam Jabarut, syaitan bagi orang yang akan masuk ke alam Qudsiyah".

    Sebelum itu,  patutlah diketahui bahawa syaitan yang dimaksudkan di atas ialah kiasan atau isyarat kepada gangguan-gangguan atau pengaruh-pengaruh atau daya tarikan yang boleh memesongkan kecenderungan hati hamba-hamba yang ingin sampai kepada Allah kepada jalan yang sesat atau sia-sia.

    4.  Penerangan Mengenai Maksud Kalimah Syaitan Bagi Setiap Alam.

    Telahpun dimaklumi bahawa pekerjaan syaitan itu adalah untuk menyesatkan manusia dan usaha atau perjuangan syaitan ini tidaklah terbatas pada sesuatu tempat,   dan masa sahaja,  atau sesuatu daerah sahaja,  atau sesuatu alam sahaja malah perjuangan mereka itu hinggalah apabila manusia itu mati dan ada para ulama yang mengatakan sehingga ke dalam kubur.   Allah telah memberi peringatan ini dengan FirmanNya yang seperti berikut;
     

    Iblis berkata: " Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya [Saad : 82]
    Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus; [Al-Araaf : 16]
    Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya [Al-Hijr: 39]

    Dengan penjelasan dan dalil di atas,  maka jelaslah pada kita bahawa dalam tahap perjalanan atau alam-alam yang dinaiki oleh Salik untuk ke Hadrat Qudsiyah,  tentu ada sahaja penggangu,  ada sahaja penghalang,  ada sahaja perosak,  dan ada sahaja penyesat yang akan menggangu,  menghalang,  merosak dan menyesatkannya.  Untuk itu amat sesuai sekali jika kita menggunakan hal-hal ini(penggangu,  penghalang,  perosak dan penyesat)  sebagai merujuk kepada kalimah "syaitan" bagi setiap alam yang dilalui oleh Salik.

    病lam Mulki adalah syaitan bagi orang Alim.

    Alam Mulki ialah alam yang paling rendah yang boleh dilihat dan dirasai dengan mata kepala dan pancaindera yang lain.  Dikatakan juga sebagai Alam Nafsu kerana dipenuhi dengan pelbagai sifat-sifat yang merujuk kepada pengaruh nafsu yang rendah.

    Bagi orang Alim yang berada dalam Alam Mulki tentu sahajalah,  pengaruh-pengaruh keduniaan,  pengaruh nafsu syahwat dan pengaruh basyariah akan menjadi syaitan bagi mereka di mana cinta dan kasihkan keduniaan akan merosakkan keikhlasan mereka,  kecenderungan untuk bermegah-megah dengan Ilmu atau amal ibadat yang ada akan memadamkan cahaya ilmunya dan keterbiasaan memenuhi keperluan basyariah akan melemahkan kekuatan jiwanya.  Oleh itu,  perjuangan orang-orang Alim itu ialah untuk menghilangkan pengaruh-pengaruh dan gangguan tersebut dengan mengamalkan keyakinan ilmu yang dimilikinya.  Dengan itu fahamlah kita apa yang dimaksudkan dengan 病lam Mulki adalah syaitan bagi orang Alim.

    病lam Malakut, syaitan bagi orang Arif;

    Yang dimaksudkan dengan Alam Malakut pula ialah barang(sesuatu yang) didapatkan dia dengan mata hati dan iaitu Alam Qalbi dan dinamakan pula Alam Akhirat.  Berkaitan dengan sesuatu mata hati dan Alam Qalbi ini,  sukalah saya sebutkan kata-kata oleh Imam Ghazali yang dipetik dari Kitabnya Al-Risalatulil Duniyyah seperti berikut;

    Satu golongan ahli tasauf berkata bahawa ' Qalbu ' mempunyai dua mata, serupa juga dengan dua mata bagi jasad ini. Jasad dapat melihat benda-benda yang zahir dengan mata-mata zahir dan Qalbu melihat hakikat dengan mata akal. Rasulullah S.W.T. bersabda yang bermaksud:

    'Tiada ada seorang hambapun melainkan Qalbunya mestilah mempunyai dua mata.'

    Dengan kedua-dua mata ini dapatlah dicapai apa yang ghaib. Bila Allah Taala hendak memberikan kebaikan kepada hambanya, Ia bukakan dua mata Qalbunya supaya dapat melihat sesuatu yang ghaib dari pemandangan mata lahirnya.

    Dengan penjelasan di atas,  maka fahamlah kita bahawasanya orang-orang Arif itu adalah golongan yang dibukakan mata hatinya untuk melihat sesuatu di Alam Ghaib.  Mereka berada dalam lingkungan "hal" atau "maqam" yang boleh kita sebutkan sebagai kehadiran "Warid Ilahiyyah".  Ada di antara mereka dikurniakan berbagai-bagai "keistimewaan" yang kadang-kadang "mencarik adat"  seperti boleh membaca kata hati seseorang, berjalan di atas air,  terbang seperti burung di angkasa,  melipat bumi hingga perjalanan yang jauh dapat disingkatkan dalam selangkah dua sahaja serta berbagai-bagai lagi yang sering digelar sebagai "Keramat".

    Namun bagi yang tinggi hemahnya,  mereka tidak akan cenderung atau memandang kepada pelbagai keistimewaan atau keramat ini kerana telah diketahui bahawa jika perjalanan atau pendakian mereka terhenti setakat itu sahaja,  mereka sebenarnya telah "tertipu" dengan perkara-perkara luar-biasa yang mencarikkan adat itu sebagaimana tewasnya orang-orang yang rendah hemahnya yang suka dan kasih pada "makhluk" (keramat)yang dijadikan itu.  Oleh itu,  keramat inilah yang menjadi syaitan(dalam kiasan) yang menjadi  penggangu,  penghalang,  perosak dan penyesat untuk orang-orang Arif daripada naik ke Alam Jabarut untuk sampai ke Haramil Qudsiyah.  Golongan Arif ini akan tetap meneruskan amal ibadat,  meningkatkan adab khidmatnya dan kecintaan mereka kepada Allah dengan dipimpin ke arah "jalan yang lurus" sehingga mereka berkata;

    "Istiqamah itu terlebih baik daripada 1000 Keramat"

    Sukalah dipetik kalam berhikmah Sheikh Ibni Ruslan r.a yang terdapat dalam Kitab Karangan Wali Qutub Sheikh Abi Madyan r.a yang boleh memberi penjelasan mengenai hal tipu daya ini dengan katanya sebagaimana berikut;

    "Hai orang yang kena tawan  oleh ibadat dan syahwat,  Hai orang yang kena tawan oleh segala Maqaamat dan Mukashafah,  Engkau itu kena tipu-daya dan engkau itu bimbang dengan dikau daripadanya di mana ada bimbang kamu dengan dia(Maqaamat dan Mukashafah) dan hal kamu bimbang kamu daripada diri kamu sendiri "

    Dengan ini fahamlah kita akan (sebahagian dari) maksud firman Allah Taala   病lam Malakut, syaitan bagi orang Arif.

    病lam Jabarut, syaitan bagi orang yang akan masuk ke alam Qudsiyah".

    Alam Jabarut dan iaitu segala Alam Arwah tempat dimana hati atau ruh mendengar firman Tuhan "Alastibirabbikum; Qaalu; Bala Syahidna"  yang menunjukkan bahawa barzakh atau sempadan antara Penzhohir Yang Qadim dengan hamba yang dizhohirnya (wujud).  Melalui firman Allah ini telah membuktikan bahawa "ruh dari urusan TuhanNya" telah diberikan makrifat untuk mengenali Tuhan Penciptanya dan mengenali dirinya dan membezakan antara Yang Qadim dengan Hadas(baru).

    Dengan ini,  penghalang atau perosak di Alam Jabarut ini ialah "wujud dirinya sendiri"  Keadaan orang Arif itu walaupun syuhudnya terarah kepada Alam Arwah,  namun dia masih lagi memandang dan menyabitkan akan adanya(wujud) dirinya di samping adanya(wujud) Allah.  Sebagai penjelasan berkenaan perkara ini,  eloklah dipetik kata-kata Imam Ghazali sebagaimana berikut;

    Bagi satu kelas dalam golongan ini,  seluruh apa yang nampak habis lenyap,  hapus dan fana;  namun begitu jiwa (ruh) itu sendiri tetap bertafakur tentang Keindahan dan Kekudusan Mutlak itu dan merenung dirinya dalam keindahanNya,  yang dikurnia kepadanya kerana ia telah mencapai Hadirat Ilahi.  Pada mereka, benda-benda yang nampak ini {tetapi bukan ruh yang melihat itu},  fana dan hancur sirnanya.

    Di atas peringkat tersebut ada lagi peringkat yang hanya dicapai oleh beberapa orang pilihan sahaja,  iaitu mereka yang hancur lebur dalam Keagungan Wajah Yang Maha Suci dan Kebesaran Tuhan Yang Maha Mulia.  Dan dengan ini mereka sendiri pun fana dan lenyap hilang.  Malah Fana dalam Fananya.   Tidak ada lagi ruang bagi tafakur diri kerana tidak ada yang bersangkutan dengan diri.  Tidak ada lagi yang tinggal kecuali Allah.  Ruh akan mengalami firmanNya; "Semuanya hancur musnah kecuali Wajahnya"-(Al-Quran).

    Peringkat terakhir inilah yang dikatakan sebagai;

    Demikianlah serba sedikit,  penjelasan dan kupasan mengenai perkara yang berkaitan dengan perjalanan Salik ke Hadrat Qudsiyah yang terpendam dalam maksud Hadis Qudsi;

    "Hai hambaKu, bila engkau ingin masuk ke HaramilKu (Haramil Qudsiyah), maka engkau jangan tergoda oleh Mulki, Malakut, Jabarut; kerana

    病lam Mulki adalah syaitan bagi orang Alim;
    病lam Malakut, syaitan bagi orang Arif;
    病lam Jabarut, syaitan bagi orang yang akan masuk ke alam Qudsiyah".

    Hanya setakat itu sahaja kadar rezeki ilmu dan kefahaman yang dituangkan oleh Allah Taala kepada Fakir Yang Jahil ini.  Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa fakir yang hina jika ada pena yang tergelincir dari yang "haq" kerana maklumlah untuk memperkatakan sesuatu yang halus itu,  kesamaran dan kekeliruan sentiasa sahaja membayanginya.  Hamba yang fakir ini mohon berlindung dari kemurkaanMu Ya Allah.  Sesungguhnya hambamu ini sentiasa menzholimi diri sendiri.  La haula wala Quwwatailla billahil 'Alim yil 'Azhim.

    Semoga saudara akan mendapat rahmat keberkatan tulisan ini

    Fakir Suluk.                                                               11.45 pm 27 Ogos 1999 /  15 Jamadil Awal 1420