Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib  hari Khamis ( 25.11.1999 / 17 Syaaban 1420 )

Pengajian Sebelum Ini.
Mengenali Sifat Adil dan Fadhal Allah

Sambungan Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Bermula besar dosa tatkala dikenderai(dikerjakan) itu atas daripada perkara;

[Pertama] bahawasanya besar padanya dengan besar yang ditanggungkan akan dia daripada taubat daripadanya dan meninggal daripadanya  dan tiada sekali-kali mencita kembali kepadanya(dosa).  Maka inilah dosa besar yang mahmudah iaitu setengah daripada alamat orang yang beriman seperti yang kami kata akan dia.  Dan dikata bahawasanya taat itu manakala dikecilkan ia maka besar kepada Allah Taala dan bahawasanya maksiat itu manakala dibesarkan ia,  maka kecil kepada Allah Taala dan yang

[Kedua]  bahawa besar padanya dengan besar yang dijatuhkan akan dia dalam putus daripada rahmatnya dan membawa kepada jahat sangka pada Allah Taala.  Maka inilah dosa besar yang mazmumah yang memberi cedera dalam Iman iaitu yang terlebih jahat  atasnya daripada segala dosanya dan sebab demikian itu wujud jahilnya pada segala Sifat TuhanNya Al-Muhsinu Al-Jawad Al-Karim.  Dan berdiriNya(Allah) serta dirinya(hamba).

Keterangan Suluk

Keterangan Tok Pulau Manis di atas adalah bertujuan untuk menilai besar dan kecilnya sesuatu dosa yang dikerjakan oleh seseorang hamba.  Golongan yang pertama terdiri daripada mereka yang sentiasa menganggap besar dosa-dosa yang dikerjakan oleh mereka walaupun syarak menetapkannya sebagai dosa yang kecil.  Contohnya seperti dosa melihat aurat perempuan/lelaki  yang ajnabi dengan syahwat.  Walaupun ianya dosa kecil,  apabila mereka sedar dari kesalahan tersebut,  mereka akan segera bertaubat dengan sebenar-benar taubat dan bertekad untuk tidak mengulanginya lagi.  Sesalan mereka adalah lahir dari hati yang tinggi keimanannya terhadap azab siksa dan kemurkaan Allah.  Inilah salah satu dari sifat-sifat mahmudah iaitu sentiasa Taubat kepada Allah.  Golongan yang tidak memperlecehkan dosa-dosa kecil ini adalah alamat golongan mukmin yang beriman kepada Allah.  Mereka ini akan sentiasa mendapat limpah kurnia petunjuk dari Allah kerana memiliki hati yang yakin percaya kepada siksaan dan rahmat dari Allah.

Dengan kerana inilah setengah ulama sufi berkata bahawasanya taat itu manakala dikecilkan ia maka besar kepada Allah Taala dan bahawasanya maksiat itu manakala dibesarkan ia,  maka kecil kepada Allah Taala.

Berbeza dengan golongan yang kedua.  Golongan ini adalah golongan yang jahil dalam mengenal Sifat-sifat Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.  Apabila mereka terjatuh dalam sesuatu dosa,  mereka menganggap dosa itu teramat besar kepada mereka sehingga menganggap bahawa Allah tidak akan mengampuninya lagi.  Mereka berputus asa dengan rahmat Allah yang luas ke atas hambanya.  Sudahlah berdosa,  mereka menambahkan  lagi dosa dengan dosa yang lain iaitu Putus asa dengan Allah.  Inilah salah satu dari sifat-sifat mazmumah yang akan menjauhkan lagi rahmat Allah.  Lebih parah lagi,  putus asa ini menunjukkan akan kecacatan dan kecederaan iman mereka.  Sifat-sifat yang lemah iman ini akan membawa mereka kepada jahat sangka kepada Allah di mana inilah sebesar-besar dan sejahat-jahat dosa seorang hamba terhadap TuhanNya.

Semua ini adalah berpunca dari kejahilan mereka.  Mereka jahil dengan segala Sifat TuhanNya Yang sentiasa berbuat baik kepada hambaNya(Al-Muhsinu),   Yang Maha Pemurah(Al-Jawad) dan Yang Maha Mulia(Al-Karim).  Mereka juga buta dengan makrifat di mana mereka tidak sedar dan tidak nampak bahawasanya Allah itu sentiasa bersama dengannya dalam setiap waktu. Dan berdiriNya(Allah) serta dirinya(hamba).  Mereka adalah golongan yang buta hakikat dan tidak punya cahaya makrifat untuk memahami Firman Allah Taala "Wallahu kholakokum wama ta'malun" "dan sesungguhnya Akulah yang menjadikan kamu dan apa-apa yang kamu lakukan"

Salahnya adalah pada diri mereka sendiri.  Mereka tidak berusaha untuk belajar atau menuntut ilmu yang boleh membawa mereka kepada mengenali Zat Allah,  mengetahui Sifat-sifat Allah,  Asma-asma Allah dan Af'al Allah.  Dengan kerana inilah,  Tok Pulau Manis melanjutkan lagi keterangannya sebagaimana berikut;
Dan jikalau ia Arif(mengenal) pada Allah Taala dengan sebenar-benar makrifat nescaya sedikitlah segala dosanya pada pihak Sifat KaramNya dan FadhalNya seperti yang dikata Muaalif(Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari r.a.)
 

Tiada kecil apabila membetul akan dikau AdilNya dan 
tiada besar apabila berhadap akan dikau FadhalNya.

Terjemahan dan Keterangan Tok Pulau Manis dari Kalam Hikmah di atas;

Apabila telah zhohirlah Sifat Yang Maha Tinggi itu,  maka batallah amal daripada segala orang yang mengerjakan amal kerena bahawasanya apabila telah zhohirlah Sifat AdilNya atas orang yang dibenci dan dimurkai,  maka batallah segala kebajikannya dan jadilah segala kepada dosa kecil itu besar.  Dan apabila telah zhohirlah FadhalNya atas orang yang dikasihNya,  maka hapuslah segala kejahatannya dan jadilah segala dosa besar kepada dosa kecil.

Keterangan Suluk

Keterangan selanjutnya adalah untuk menjelaskan pandangan orang-orang Arif yang memiliki Ilmu MakrifatuLlah.  Orang-orang yang hidup cahaya mata batinnya dengan cahaya-cahaya ketuhanan sentiasa syuhud(memandang) akan segala yang berlaku di muka bumi ini adalah sebagai penyataan penzhohiran Allah sama ada dalam bentuk AsmaNya,  Af'alNya dan Sifat-SifatNya Yang Maha Tinggi lagi Maha Mulia.  Jiwa mereka yang bersih dan bercahaya ini sentiasa menerima pancaran tajalli dari Allah mengikut kadar limpah kurnia dari Allah Yang Maha Menghendaki lagi Maha Menguasai di atas tiap-tiap sesuatu.  Di antaranya;   atau pada sesuatu ketika,  mereka  dapat merasakan dan memandang bahawa Allah Taala itu memiliki Sifat Karam(Yang Murah) dan Fadhal(Yang memberi limpah kurnia).  Dengan tajalli sifat yang Maha Tinggi ini,  maka kecillah sesuatu dosa yang dikerjakan kerana telah tahqiq pada jiwa mereka bahawa Allah Taala itu sentiasa berSifat dengan Mengasihani hambanya dan sentiasa memberi limpah kurnia keampunan dan Rahmat Petunjuk untuk setiap hambaNya yang bermakrifat denganNya.

Seterusnya sebagai meneruskan keterangan selanjutnya dari Kalam Hikmah Syeikh Ibnu Athoillah,  Tok Pulau Manis menjelaskan bahawa apabila zhohir dan nyata Sifat Allah Yang Maha Tinggi iaitu KeadilanNya,  maka binasalah dan batallah segala amal-ibadat seorang hamba yang dimurkai dan yang dibenciNya.  Zikir yang beribu-ribu batal dan tidak terima,  sholat puasa sedekah yang banyak binasa dan tidak dipandang olehNya malah dosa yang kecil pula akan dikira amat besar.  Inilah pengajaran besar yang terdapat dalam pengertian hakikat Tauhid dan Keesaan Allah.  Apabila dihadapkan sesuatu perbuatan hamba dengan Sifat AdilNya,  maka semua perkara akan diperhalusiNya hatta kepada perkara-perkara yang seni-seni dan tersembunyi yang tidak diketahui atau disedari oleh seorang hamba.  Di kala menerima tajalli Sifat Adil ini,  jiwa mereka akan kecut dan takut dan bersifat dengan Sifat Khauf.  Firman Allah Taala dalam Surah Az-Zilzaal: 8 yang bermaksud;

"Barangsiapa yang mengerjakan kejahatan,  meskipun seberat zarrah,  akan dilihatnya(balasan) kejahatan itu".

Apakah firman Allah ini tidak cukup untuk mendatangkan kegerunan dan ketakutan kepada Keadilan Allah?.  Amal yang banyak jika disertai dengan Riya atau Ujub yang sedikit,  tidak akan diterima dan terbatal kerana tidak memenuhi syarat-syarat penerimaan amal iaitu ikhlas.  Demikian juga ibadat batin yang banyak jika tidak membetuli syariat akan ditolak dan terbatal kerana tidak disahkan oleh hukum syarak yang jelas.  Pendek kata,  jika Allah ingin "berkira" dengan hambanya,  maka tidaklah ada ruang untuk seorang hamba melolosi syarat-syarat pengesahan dan penerimaannya amalan yang ketat dan Adil dan tidaklah ada peluang untuk menyembunyikan sesuatu kesalahan atau kejahatan kita.

Kita mungkin tidak rasa bersalah apabila mengambil sesuatu barang dari kawan baik kita tanpa izinnya,  sedangkan itu sudah masuk ke dalam hukum "merampas".  Kita mungkin tidak rasa bersalah apabila membeli sekilo ikan kembung untuk jiran kita yang memesan supaya dibeli sekilo ikan cencaru sedangkan itu "tidak amanah".  Kita mungkin tidak rasa apa-apa apabila membaca al-Quran atau berzikir dengan kuat sedangkan itu telah masuk ke dalam hukum "tidak melaksanakan haq jiran tetangga" kita.  Di dalam kita seronok berbicara mengenai peribadi seorang hamba Allah,  kita tidak sedar yang kita telah berdosa kerana telah "mengumpat" kepadanya. Bayangkanlah bagaimanakah perasaan kita apabila kesalahan kita yang kecil-kecil ini,  yang zhohir ataupun yang batin  akan dipertontonkan kepada umum di hari perbicaraan nanti seterusnya dimasukkan ke dalam neraka sedangkan kita menganggap bahawa semua itu adalah perkara yang kecil-kecil sahaja.  Inilah sebahagian daripada wajah atau rupa Keadilan Allah.  Tidak sesuatupun yang yang tidak akan dikira.

Sebaliknya pula,  apabila zhohir atau nyata Sifat Karam Allah yang sentiasa memberi limpah kurniaNya yang tidak dapat dihitung oleh seorang hamba yang dikasihiNya,  maka beruntunglah hamba itu kerana  dihapuskan segala kejahatannya dan jadilah segala dosa yang besar itu dosa kecil di sisiNya. Buat amal-ibadat yang sedikit tetapi mendapat bonus pahala yang berganda-ganda.  Buat kejahatan yang sengaja atau tidak sengaja akan diampuninya.  Dosa-dosa yang besar akan dikira kecil oleh Allah atau mungkin tidak akan dikira langsung.  Apa tidaknya sebab Allah itu adalah Tuhan.  Bila ia Tuhan,  maka kuasa Mutlak berada padanya.  Dia bisa mengampunkan dosa-dosa besar seorang hamba yang tidak bertaubat.  Dia bisa memasukkan seorang yang kafir ke dalam SyurgaNya.  Tidak ada sesiapa yang boleh mempertikaikan kehendakNya dan keputusanNya kerana Dia adalah Tuhan Yang Menguasai dan Menghendaki di atas segala sesuatu.  Inilah sebahagian besar makna Ketuhanan,  makna Tauhid atau Keesaan Allah.  Inilah sebahagian dari pengertian yang boleh dilihat dari Sifat Karam dan FadhalNya.

Keterangan seterusnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan kata Yahya bin Muaz r.a.  jikalau dihantarkan atas mereka itu AdilNya,  nescaya tidalah lagi tinggal bagi mereka itu kebajikan.  Jikalau diperoleh mereka itu Fadhalnya,  nescaya tiadalah lagi tinggal bagi mereka itu kejahatan.

Dan setengah daripada doa Syeikh r.a.(Ibnu Atoillah);  Hai Tuhanku jikalau engkau kasih akan daku nescaya engkau ampunkan segala kejahatanku dan jikalau engkau benci akan daku nescaya tiada engkau terima segala kebajikan.

Dan kata Sayyidi Abu Hassan Al-Syazali r.a. dalam doanya;  Dan Tuhanku jadikan olehMu Ya Allah akan segala kejahatan aku iaitu kejahatan segala orang yang Tuhan Kasih dan jangan jadikan segala kebajikan kami akan kebajikan orang yang dimurkai.  Maka kebajikan itu tiada memberi manfaat ia serta benci daripadamu dan kejahatan itu tiada memberi mudhorat serta Kasih daripadaMu.

Keterangan Suluk

Tiga petikan dari seorang sahabat Rasulullah s.a.w dan Mushonif serta Guru kepada Sheikh Ibnu Athoillah di atas adalah sebagai nak memperteguhkan lagi keterangan dan maksud Kalam Hikmah yang berkaitan dengan Sifat Adil dan Sifat Karam Allah.  Tegasnya sebagai seorang hamba yang mentauhidkan Allah...kita sepatutnya berusaha untuk memiliki Ilmu-ilmu Makrifat sebagaimana yang dimiliki oleh orang-orang Arif agar dapat kita mengenal Sifat-sifat Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Sempurna.  Dengan jalan makrifat inilah nanti kita akan dapat membezakan antara Yang Haq dengan yang batil.  Namun yang paling utama ialah untuk menemui "jalan yang lurus" jalan yang ditunjukki dan dibimbingi;  jalan yang tidak dimurkai dan tidak disesati.  Fahamilah isi pengajaran yang banyak manfaat ini untuk kita semua.

Bersambung dalam pengajian yang berikutnya... Alamat Diterima Sesuatu Amal

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH