Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 14. 09. 2000 / 15 Rejab 1421)
KEJAHILAN AHLI ILMU
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Petikan Huraian Pengajian Terdahulu

orang yang mengharuskan akan dia(Warid)  itu ialah merujuk kepada mereka yang "tidak memperwajibkan"  diri mereka untuk menjaga adab-adab dan hikmah yang ada di sebalik sesuatu Warid.  Warid itu adalah amanah Tuhan,  Orang yang tidak menjaga dan memelihara(yakni tidak memperwajibkan dirinya) sesuatu Warid yang dikurniakan itu sesungguhnya telah membinasakan hurmat atau adab-adab sebagai seorang yang mendapat Warid.

Perkara inilah yang akan menjadi intipati perbincangan dalam pengajian yang seterusnya  sebagaimana yang disebut oleh Tok Pulau Manis sebagaimana berikut:
 
 

Barangsiapa engkau lihat akan dia memberi jawab daripada tiap-tiap yang ditanyai daripadanya daripada Makrifat dan Tauhid;  dan mengibaratkan daripada tiap-tiap yang dipandang daripada Sir dan Kashaf dan menyebutkan bagi tiap-tiap yang diketahui daripada ghaib,  maka engkau mengambil dalil dengan demikian itu akan diperoleh jahilnya akan Haq TuhanNya dan akan hikmatnya pada makhluk. 

Keterangan Suluk

Kalam Hikmah di atas membawa kita untuk mengenali antara wajah atau rupa perihal orang-orang tidak tahu menjaga adab-adab kedatangan Waridat Ilahiyyah. sehingga membinasakan hurmatnya.   Meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.    Sama-sama kita perhalusi dalam Pengajian ini mengikut Syarah oleh Tok Pulau Manis;.

Bermula memberi jawab daripada tiap-tiap tanya dan mengibaratkan bagi tiap-tiap yang dipandang dan menyebutkan bagi tiap-tiap yang diketahui,  itu alamat atas wujud jahil orang yang bersifat  dengan dia seperti yang telah dikata Muallif.

Keterangan Suluk

Terdapat tiga isyarat utama yang ingin diketengahkan sebagai menyatakan alamat atau tanda-tanda yang menunjukkan wujudnya kejahilan seorang hamba dalam menyambut sesuatu Waridat Ilahiyyah yang mendatang.  Mereka jahil kerena;

3menyebutkan bagi tiap-tiap yang diketahui yakni menyebutkan apa sahaja yang tinggi-tinggi dengan tidak mengira masa,  tempat dan keperluan dan orang yang menerimanya..   Perbuatan ini seolah-olah ingin menafikan keluasaan Ilmu Allah yang tiada terhad dan bersempadan itu.  Satu juzuk dari titisan air manakan sama dengan lautan air itu.  Manakan mungkin yang terhad itu dapat memperihalkan tentang yang tidak terhad?  Semata-mata kerana wujudnya kejahilan orang-orang yang menyebutkan bagi tiap-tiap yang diketahui  berlagak pandai.....tetapi jahil,

Untuk huraian dan keterangan yang lebih terperinci berkenaan tanda-tanda atau alamat seorang yang Jahil yang mendakwa dirinya sebagai seorang Ahli Ilmu,  atau Ahli Kasyaf  atau Yang Serba Tahu,  sama-samalah kita jelujuri Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Adapun menjawab bagi tiap-tiap tanya itu,  maka dari kerana menghendaki akan dia daripada mengliputi pada sekelian maklumat(alamat ada wujud riya dan penyakit dalam hati);  dan demikian itu Muhal(mustahil) dalam haknya(hamba) seperti firman Allah;  "dan tiada didatangkan akan kamu daripada Ilmu melainkan sedikit jua"  dan betapa tasawwur(terupa) daripadanya(hamba) menjawab daripada tiap-tiap tanya itu jikalau tida wujud jahilnya.

Keterangan Suluk

Adapun menjawab tiap-tiap soalan yang dihadapkan adalah kerana cenderung kepada keinginan untuk menyatakan dirinya tahu akan serba-serbi dalam segala ilmu.   Tidakkah disedari bahawa perkara ini adalah mustahil pada haq seorang hamba???.  Mana mungkin hamba yang terhad ini boleh mencapai sesuatu yang tidak terhad!!!.  Bukankah ini menunjukkan wujudnya hama-hama "Sombong" "Ujub",  "Suma'ah" dan pelbagai penyakit dalam hatinya!!!.

Hendaklah disedari kenyataan ini telah diperingatkan oleh Allah Taala dalam firmanNya yang bermaksud;  "dan tiada didatangkan akan kamu daripada Ilmu melainkan sedikit jua"  .  Tidak banyak yang dia ada,  seumpama setitik air dari sebuah lautan yang tidak bertepi.  Cuma sedikit jua.  Itu yang perlu disedari dan sentiasa diingat-ingatkan selalu di sisi orang yang merasakan dia berilmu dan  boleh menjawab semua soalan.  Cuma sedikit jua,  malah lebih sedikit dari yang sedikit  itu.

dan betapa tasawwur(terupa) daripadanya(hamba) menjawab daripada tiap-tiap tanya itu jikalau tida wujud jahilnya. yakni;   Jadi bagaimana mungkin tidak jahilnya (yakni tentu sekali jahil) seorang yang suka menjawab tiap-tiap soalan yang diajukan kepadanya.

Hairan ya!.   Tahu menjawab setiap soalan tetapi dikatakan Jahil?.  Semestinya begitu,  kerana orang yang  suka menjawab tiap-tiap soalan yang diajukan kepadanya membuktikan mereka itu Jahil.


Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan lagi pula,  bahawasanya wajib atasnya memelihara hal yang bertanya daripada ahlinya bagi barang yang ditanya daripadanya.  Maka tertegah daripada menjawab bagi orang yang tiada ahlinya dalamnya.

Keterangan Suluk

Di samping wujudnya jahil-jahil yang disebutkan di atas,  mereka ini jahil pula berkenaan adab-adab dalam memelihara Hurmat Ketuhanan.  Mereka perlu sedar darjah dan tingkat-tingkat ilmu yang diberikan kepada mereka hendaklah sentiasa dijaga hak-hak dan adab-adabnya.  Antaranya ialah;

Sebab itu,  selalu ditegaskan dan diingatkan dalam webpage suluk ini,  bahawa bagi tiap-tiap ilmu itu ada ahlinya.  Jika terdapat kekeliruan dalam memahaminya,  dan jika ada kemusykilan yang bersarang dan jika mahu perincian yang lebih detail,  hendaklah dirujuk kepada ahli-ahlinya.  Secara mengadap,  bersua muka dan berhadapan dengan yang ahli.  Bukan dengan membina kefahaman sendiri yang kelaknya terjerumus dalam lembah tipu daya atau melatah menyatakan sesuatu yang bukan dalam bidang keahlian kita.

Perlu diingatkan.  tulisan catatan pengajian suluk ini adalah semata-mata perkongsian maklumat untuk saudara-saudara yang mungkin tidak pernah berdepan dengan Pengajian Kitab Tua.  Semoga berputik minat dan kecenderungan untuk mengambil manfaat dari kitab-kitab tua.  Seperkara lagi;  Kefahaman dan ilmu sebenarnya bukan pada tulisan-tulisan di sini,  tetapi ianya perlu ditalkinkan oleh seorang guru yang ahli.  Dan bagi yang sudah melalui kitab ini,  sekurang-kurang boleh menambah beberapa sudut pandangan yang mungkin dipinggirkan dari kefahaman sebelum ini.

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan adapun mengibaratkan bagi tiap-tiap yang dipandang itu,  maka iaitu membukakan sir yang wajib mensembunyikan dia.

Keterangan Suluk

Pelanggaran adab-adab dalam mengibaratkan(membukakan) sentuhan pengalaman hakikat mereka itu ialah dengan kerena mereka mendedahkan sesuatu yang wajib disembunyikan untuk dirinya semata-mata.    Jadi... dengan ini,  orang yang membukakan sesuatu rahsia pengalaman hakikatnya kepada umum adalah seorang yang jahil tentang hakikat,  malahan adalah seorang seorang yang kotor ,  cemar hati dan banyak aibnya.

Hanya yang bersih dan yang suci sahaja yang dapat menyimpan rahsia-rahsia ini  sebagaimana

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan kata mereka itu(Sufiah);

Bermula segala hati-hati orang yang telah suci itu tempat menanam segala rahsia.


Keterangan Suluk

Bermula segala hati-hati orang yang telah suci itu tempat menanam segala rahsia.  yakni rahsia-rahsia ketuhanan dan pengalaman hakikat tempat tetapnya ialah pada hari-hati Ahli Makrifat yang telah suci hatinya  daripada jahat-jahat adab.  Di hati yakni pada  Sir merekalah Tajalli Allah mencurah-curah datang menutupi buminya yang menumbuhkan pelbagai pohon-pohon rahsia ketuhanan.  Ini adalah untuk mereka dan menjadi bahagian khusus untuk mereka.  Tidak dapat untuk dikongsi dengan saudara-saudaranya yang lain hatta yang paling dekat dengannya sekalipun.  Sebabnya hati ini pandai menjaga Sir mereka  Dan itu amanah Allah Taala kepada hamba.    yakni sedar dan tahu untuk menjaga Amanah  Allah yang dikhususkan buat mereka.

Maka mengisyaratkan dengan ibarat daripadanya itu khiyanat.  yakni dengan kerana rahsia itu adalah amanah,   maka jika seseorang  ahli yang menerimanya jika cuba memperihalkan pengalaman hakikatnya dengan berbagai-bagai kiasan atau bandingan atau pertuturan,  mereka itu telah jatuh dalam khianat dengan TuhanNya.  Mereka khianat,  sedangkan  Allah Subhanahuwa Taala itu tiada suka bagi segala orang khianat  yakni Allah memurkainya.  Memang sepatutnya mereka dimurkai kerana mereka seakan-akan cuba untuk memperihalkan  segala pekerjaan yang zauqiyah itu dengan bahasa pertuturan sedangkan ianya adalah mustahil sema sekali.  Manakan mungkin yakni mustahil didapat Haqaiq dengan segala ibarat Nutqiyah(pertuturan).  yakni yang membawa maksud pekerjaan hakikat itu tidak akan didapati dari isyarat,  kiasan,  bandingan atau ilmu.   Tegasnya pengalaman hakikat itu adalah sesuatu yang sudah melewati bidang rasa,  bukan lagi bidang tahu dan lihat atau dengar.  Rasa yang hasil dari Zauq dan Wujdan.
Maka membawa demikian itu kepada ingkar  yakni kepada ketetapan dan ketentuan Tuhan dan memberi kecelaan dalam Ilmu orang yang telah merdeka Maqamnya  yakni kejahilan seorang yang tidak amanah ini menjadi sesuatu yang tercela di sisi ahli Ilmu yang telah bebas dari kurungan hissi(perasaannya).
 

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan adapun menyebutkan bagi tiap-tiap maklumat itu,  maka dari kerana ketiadaan bercerainya antara segala maklumat.

Maka kerana inilah

itu jahil kepada seorang yang ahli Al-Kamil.

Keterangan Suluk

Melanjutkan lagi keterangan berkaitan dengan kenapa tidak bolehnya sesuatu rahsia itu dibukakan kepada orang lain,  Tok Pulau Manis mendatangkan keterangan sebagaimana di atas.

Apabila seseorang cuba untuk menyatakan tiap-tiap maklumat yang diketahui dan dirasai itu seakan-akan menunjukkan sedikitnya Ilmu Allah ini.  Seakan ketiadaan pecahan-pecahan yang lain,  tiada pada orang lain atau di tempat lain yang mana ianya seperti menafikan jenis-jenis Ilmu Allah yang tiada kehinggaan itu.

Maka,......dengan kerana tidak sedikitnya Ilmu Allah;   bahkan tidak terhad adanya,

adalah jahil mengikut pandangan mereka yang ahli Al-Kamil  yakni HambaNya yang sempurna.

Hanya hamba yang Kamil sahaja yang tahu beradab dan tahu kaifiat berkata-kata dengan ilmunya sebagaiamana dalam Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan kata Sheikh Junaid r.a;

Bermula jawab itu atas kadar yang bertanya,  tiada atas kadar yang ditanyakan.

Keterangan Suluk

Lihat dulu kepada kedudukan dan pengetahuan orang yang bertanya.  Lihat dulu hal-ahwal/peribadinya yang bersangkutan dengan syariat dan aqidahnya.  Jangan dipedulikan kepada kadar ilmu atau jenis-jenis soalan  yang ingin diketahuinya.
Jika seorang ahli dunia yang lalai bertanyakan berkaitan hakikat atau makrifat,  maka jawablah mengikut kedudukannya sebagai ahl ghaflah dengan disembunyikan kehendak soalan-soalannya.  Menyembunyikan ilmu ini adalah tidak salah,  malah adalah amat wajar sekali dilakukan kepada yang tidak ahli sebagaimana Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan telah ditanyai setengah ulama daripada suatu[ilmu].  Maka tiada menjawab ia.  Maka kata yang bertanya;  "Tiadakah engkau ketahui bahawasanya Rasulullah SAW. telah bersabda;  Barangsiapa ditanyai daripada ilmu maka disembunyikan,  nescaya diganggang Allah akan dia pada hari kiamat dengan kekang daripada api neraka".  Maka katanya(ulama);  "Iaitu bagi orang yang mustahak akan dia".

Keterangan Suluk

Mereka yang ahli al-Kamil ini memahami maksud hadis Rasulullah SAW di atas kepada mereka yang menyembunyikan sesuatu ilmu itu kepada yang sangat-sangat memerlukannya dari kalangan ahlinya.  Bukan untuk dibawa berbual-bual di warung kopi atau di tepi jalan.  Jika syariat masih tunggang-langgang bagaimana seorang yang benar-benar faham akan menjawab soalan-soalan hakikat yang tinggi-tinggi dan halus-halus.

Menjawab kepada orang yang sebegini bukanlah menjadi tuntutan malah hendaklah dielakkan dengan apa cara sekali pun.  Sesuatu yang suci,  halus dan mulia hanya layak untuk yang suci,  berjiwa halus dan mulia juga.   Kenyataan ini tidak bertentangan dengan.......Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan kata Isa alaihissalam bagi segala sahabatnya;

Dengan sebenar-benar kataku bagi kamu,  jangan kamu gantungkan mutiara dalam segala binatang leher babi.

Keterangan Suluk

Menjawab soalan-soalan ahli syariat yang jahil hakikat,  atau ahli bidaah yang lalai adalah merosakkan kemurnian dan kesucian ilmu-ilmu Ketuhanan ini.

Bukan setakat itu sahaja,  jika diberikan kepada kepada si bodoh yang singkat akalnya akan menyebabkan mereka teraniya terkial-kial dalam cuba memahami maksud-maksud di sebalik jawaban yang dikehendaki.   Kenyataan ini boleh didapati dari ...... Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan dalam khabar daripada Nabi kita Assolatuwassam;

Keterangan Suluk

Dengan kata lain,  jika ingin memberi,  hulurkan kepada yang berhak;  dan jika ingin menahan pemberian,  sembunyikannya daripada yang bukan ahli baginya.

Keterangan Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis;

Dan ketahui olehmu bahawasanya sekalian Musyahadah itu dan ahwal itu tiada sempurna Haqaiqnya melainkan dalam negeri akhirat kerana bahawasanya negeri akhirat itu tempat balas yang sempurna;  dan negeri dunia itu tempat Sitrun dan takhlif dan amal;  dan akhirat itu negeri kashaf jaza' dan fadhol.

Bersambung dalam catatan pengajian yang selanjut.
Insya Allah.....jika direzekikan lagi

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]

Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar