Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Hasil tulisan buat seorang sahabat yang berhajat.
Maqam Menuju Allah
"Dan mereka yang bermujahadah kepada jalan Kami, nescaya Kami tunjukkan jalan-jalan Kami itu. Sesungguhnya Allah berserta dengan orang-orang yang berbuat baik." [Al-Ankabut: ayat 69)

Bermula puji-pujian yang memenuhi setiap sesuatu itu hanya tertentu buatmu Allah, Tuhan yang mengatur dan Tuhan yang menyusun pentadbiran Alam ini mengikut bayangan Jamal dan JalalNya.

Seorang ArifbiLlah pernah mengeluarkan Kalam Hikmahnya yang berbunyi;

"Sesungguhnya pemberian sedekah itu hanyalah untuk fakir yang berhajat".

Hikmah ini mengandungi isyarat dari Alam Tinggi yang memaparkan urusan Qhaibi pada jiwa berilham yang dipenuhi dengan Ilmu Laduni. Ilmu Fekah telah menggariskan bahawa salah satu golongan yang berhak menerima zakat fitrah dan sedekah ialah golongan fakir miskin. Demikian jugalah halnya dengan keadaan ilmu tasauf yang menjadi batin fekah. Anugerah pemberian rezeki makrifat dari Allah hanya akan diberikan kepada fakir yang berhajat kepada limpah pertolongan Allah. Fakir yang berhajat ini berhak untuk menerima pemberian sedekah makrifatullah ini dari Allah Taala.

Ketahuilah olehmu ....dalam menuju kehampiran dengan Allah, dan dalam melepaskan tambatan dari belenggu nafsu syahwat, dan dalam membebaskan diri dari kurungan basyariah, seorang hamba yang kenal diri akan menggantungkan segala hajat dan keperluannya hanya kepada Allah, Tuhan yang Maha Pemberi, Maha Pendorong, Tuhan yang Maha Meliputi di atas tiap-tiap sesuatu.

Maka dengan kehendak dan izinNya dilimpah kurniaNya kepada hamba yang fakir lagi berhajat itu mengikut kadar keperluan yang sesuai sebagai anugerah rezeki buat hamba-hamba yang menyedari diri. Dengan itu suluk datang lagi kali ini menemui saudara sebagai memaksudkan makna sedekah buat hambaNnya yang berhajat.

"Anda lihat huruf...jangan lupa pada dakwat".

Memandangkan sudah beberapa kali saudara datang kepada suluk dengan tanda-tanda sebagai seorang yang berhajat, maka suluk terpaksa paparkan bicara dengan sekadar butiran yang diizinkanNya. Ini adalah kerana mempelekehkan [menghina-hinakan] orang yang berhajat [fakir] itu adalah cabang-cabang dari sifat keji mazmumah yang akan membinasakan kesucian hati.

Ketahuilah olehmu duhai saudaraku......suluk bukanlah seorang guru atau seorang ulama atau seorang Masyayeik yang Mursyid yang boleh membimbing seorang lain. Suluk cuma seorang hambanya yang masih penuh dengan dosa-dosa dan noda serta cemar-cemar yang mengaibkan. Seperti yang pernah suluk utarakan dalam salah satu daripada tulisan suluk sebelum ini bahawa seorang Wali Allah pernah berkata;.

"Pembimbing itu boleh jadi dibarat, tetapi beliau tahu keadaan muridnya di timur. Kebolehan yang paling kurang bagi seseorang guru (thoriqat/keruhanian} ialah mempunyai Kasyfil Qulub (membaca hati muridnya) dan Kasyfil Qubur{sedar tentang orang yang mati dalam kubur}. Jika dia tidak mempunyai kebolehan ini, maka haramlah dia membimbing muridnya".

Oleh itu, suluk bukanlah seorang yang layak untuk membimbing saudara dan carilah pembimbing seperti di atas.

Berhati-hatilah dalam mencari Syeikh Thoriqat ini...kerana berdasarkan pengalaman suluk...seorang guru yang Alim dalam pelbagai bidang Ilmu Agama pernah tertipu dengan seorang munafiq yang mendakwa beliau Syeikh yang mempunyai beribu-ribu murid. Jadi gunakan petunjuk Aulia Allah di atas dalam usaha saudara jika ingin meneroka alam keruhanian ini mengikut Thoriqat-thoriqat yang khususiah. Jika anda tersilap langkah....usaha saudara akan sia-sia yang saudara hanya bermimpi menjadi seorang pengikut syaitan laknatullah.

Untuk tidak menghampakan hasrat dan semangat saudara yang ingin mengikuti laluan perjuangan ini, maka pertama-tamanya, saudara perlu melihat terlebih dahulu di maqam mana saudara berada kini?. Apakah pada maqam asbab atau pun pada maqam tajrid.? Seorang Arifbillah pernah berpesan kepada kita dalam hal ini dengan kalam hikmahnya;

"Berkehendak engkau akan tajrid beserta mendirikan Allah akan dikau pada segala asbab adalah setengah daripada syahwat yang tersembunyi."

Hanyasanya adalah syahwat itu tersembunyi kerana bahawasanya pada zahirnya menampakkan seakan hamba itu bercita-cita untuk keluar daripada nafsu dan sememangnya hal yang demikian itu adalah dituntut dan dikehendaki oleh Allah Taala. Tetapi satu hal yang perlu dingat ialah sesuatu kehendak atau cita-cita besar itu hendaklah berlandaskan dengan keredhaan Allah bukannya daripada keredhaan nafsu.

Sesungguhnya apa yang diredhoi oleh Allah Taala akan dirimu ialah berdiam(tetap) pada apa yang telah didirikan Allah atas engkau sama ada pada makam asbab(golongan yang beribadat sambil melaksanakan keperluan ahli keluarga)atau makam tajrid(semata-mata beribadat kepada Allah tanpa memikirkan usaha dan tanggungjawab kepada ahli keluarga).

Kata Muallif(pengarang) Kitab Tanwir Qulub bermula yang dikehendaki hak Allah Taala akan dikau ialah bahawa diam(tetap dalam sesuatu hal) kepada yang telah didirikan Allah akan dikau hinggalah ke satu masa di mana Allah memerintahkan keluar engkau ke satu hal atau maqam yang lain sebagaimana Allah memerintahkan masuk engkau kepadaNya dulu.

Dari itu,...perhatikanlah akan muslihat dan tipu daya yang tersembunyi ini di sebalik setiap kehendak anda dengan perhatian yang berlandaskan ilmu makrifat. Keghairahan anda untuk menyertai mana-mana thoriqat yang khususiah, walau pada dasarnya menunjukkan tingginya hemah dan baiknya cita-cita...tetapi seandainya anda lupa bahawa anda masih perlu tetap pada maqam asbab dengan melaksanakan hak dan tuntutan-tuntutan yang wajib seperti, menuntut ilmu syariat, tauhid, bekerja, belajar serta menyara kehidupan ahli keluarga. Kiranya anda teruskan juga usaha untuk merobahkan ketetapan Allah ini, percayalah ianya tidak tahan lama. Anda akan tewas dan jemu dengan thoriqat itu atau mungkin anda akan ditemukan dengan guru-guru yang telah diperalatkan oleh syaitan dan iblis. Akhirnya usaha anda akan terbengkalai dan anda tidak mendapat apa-apa manfaat atau sebarang kekuatan untuk meneruskan perjuangan anda.

Oleh itu, teruskan kehidupan anda dengan asbab ini, walaupun ianya tidak nampak hebat, kerana terpaksa bekerja mencari rezeki, menuntut ilmu, berjaga malam serta beberapa riadah dan mujahadah sebagai memperlengkapkan makna Nur Tawajjuh anda.

Ingat!!! bukan tajrid yang menjadi tujuan anda, bukan karamat yang menjadi pintaan anda..tetapi Istiqamah dalam perjuangan itu yang diharapkan.

Keupayaan anda untuk tetap berada pada maqam sekarang, dengan melakukan riadah, mujahadah dan menuntut ilmu agama adalah perintah Allah untuk anda sekarang. Itulah yang terbaik untuk melaksanakan haq Ubudiyah anda. Jangan sekali-kali cuba memandai-mandai untuk mencari sesuatu yang lebih tanpa perintah dan kebenaran dari Allah terlebih dahulu. Jika anda dapat Istiqamahkan hal serta kedudukan saudara seperti yang tersebut di atas, InsyaAllah, akan tiba pada suatu masa nanti, anda akan diminta[diperintahkan]untuk beruzlah, bersuluk dan melakukan upacara thoriqat yang khususiah sama ada dengan ditemukan oleh seorang guru yang mursyid atau dengan bimbingan dari alam atas dari Guru Murabbi. Itu adalah limpah kurnia Allah buat hamba yang shodiq dengan fakirnya.

Untuk itu, sebagai permulaannya hiasilah diri anda dengan syariat yang betul, agar anda akan dimasukkan ke dalam thoriqat yang benar. Dekatilah ulama-ulama fekah dan usuluddin dahulu dengan belajar akan kesempurnaan hukum amal ibadat anda seperti sembahyang, kaifiat sholat berjamaah, jual beli, berhutang, sewa menyewa,bergadai, nikah kawin, hudud dan semua bicara tentang ilmu fekah. Di samping itu biarlah dahulu anda mahir dengan semahirnya ilmu aqal atau ilmu tauhid mengenai sifat-sifat Allah, takluq pekerjaan sesuatu Sifat Allah agar mantap aqidah dan pegangan anda. Selebihnya sucikan hati dengan belajar ilmu-tasauf dan mengamalkan adab-adab beribadat sebagai memperhiasi dan memperelokkan syariat anda.

"Hakikat tidak akan muncul sewajarnya jika syariat dan thorikat belum betul lagi kedudukannya. Huruf-huruf tidak akan tertulis dengan betul jika pena tidak betul keadaannya".

Wallahu A'lam

Suluk