Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Pengajian Kitab Hikam Kuliah Maghrib Hari Khamis ( 22. 03. 2001 /  26 ZulHIJJAH 1421)
HAKIKAT TEGAH DAN KURNIA
Sambungan Dari Pengajian Terdahulu

Petikan dari Keterangan Pengajian Terdahulu;
 

Terkadang dianugerahi Allah akan dikau,  maka ditegahkan akan dikau;  dan 
terkadang ditegahkan dikau,  maka dianugerahiNya akan dikau. 
Manakala dibukakan Allah bagimu pintu faham dalam tertegah yang tersebut itu,  nescaya kembali tegah itu iaitu anugerah yang amat besar.

Keterangan Suluk

Terkadang bermaksud "bukan selalunya" atau "bukan semestinya begitu".  Dalam sesuatu masa yang tertentu mungkin sesuatu itu akan berlaku,  tetapi tidak semestinya ia selalunya begitu.

Menurut hukum kebiasaan atau yang teradat,  apabila Allah ingin memberikan sesuatu Kurnia,  maka  Dia akan melimpahkan pemberianNya mengikut apa yang dihajati  atau yang dipohon atau yang didoakan atau mengikut keinginan seseorang  hamba.

Tetapi kadang-kadangnya,  anugerah yang ingin diberikan boleh menjelma dalam bentuk tegahan.  Dengan kata yang lain,  jika Allah ingin memberi,  maka ditegahkan hamba dari memiliki sesuatu yang lain.

Jika Allah ingin memberi ketinggian akhirat kepada hambaNya,  maka ditegahNya dari memiliki dunia

Jika Allah ingin memberikan ketinggian makrifat kepada hambaNya,  maka ditegahNya daripada memperolehi keistimewaan diri dan keramat yang mencarik adat; Seakan segala sesuatu yang diingini dan dicita-citakan oleh seorang hamba,  akan disekat,  ditahan dan tidak diberikan seperti apa yang dimiliki oleh beberapa golongan hamba-hambaNya yang lain.
Nak ini tak dapat,  nak itu pun tak dapat dan apa sahaja yang diingini semuanya tidak dapat.
Maka adalah segala tegahan Allah ini menunjukkan sebagai satu Kurnia Allah Yang Pemurah dan Lemah Lembut.  Itu pun hanya boleh ditanggapi oleh mereka yang dibukakan pintu faham oleh Allah Taala.  Jika tidak,  maka mereka akan tetap menganggap tegahan itu semata-mata sebagai satu keadaan yang menyakit dan menyedihkan.

Sebaliknya di satu pihak yang pula,  jika Allah ingin menegahkan sesuatu kepada hambaNya,  maka terkadangnya akan diKurniakan apa sahaja yang diingini oleh hambaNya.

Jika Allah ingin menegahkan hambaNya daripada memiliki Ketinggian di akhirat nanti,  maka akan dianugerahkan barang sesuatu apa dunia yang diingini oleh hamba;

Jika Allah ingin menegahkan hambaNya daripada memiliki ketinggian Makrifat,  maka diberikan pelbagai keistimewaan dan  keramat; Dan pelbagai keistimewaan serta keramat yang mencarik adat sebagaimana yang dibanggai oleh Ahli Al-Hijab;  yang mereka jadikan nilaian dekat dan jauhnya seseorang itu dengan Allah.  Lantas tertipulah mereka dengan kegembiraan dan keseronokan mendapat sedikit nikmat yang akan binasa;  tetapi tertegah dan terhalang daripada mendapat ketinggian dan kesempurnaan nikmat yang sebenar-benarnya.

Kadang-kadang pada si jahil pula akan mudah ditipu oleh mereka yang Ahli Zindiq yang berupaya melakukan sesuatu yang mencarik adat di hadapan mereka sebagai bukti bahawa merekalah guru mursyid yang telah sampai dan boleh membimbing mereka kepada Allah dengan mudah dan cepat.  Tidakkah mereka pernah terfikir,  sami budha dan sami hindu juga boleh melakukan sesuatu yang hebat-hebat,  tetapi keistimewaan itu adalah sebenarnya Istidraj yang membinasakan diri mereka???

Kenapa boleh jadi begini rupanya anugerah dan tegahan Allah itu?
Kenapa Allah apabila ingin memberikan sesuatu kurnia,  maka diluluskan melalui tegahan?
Dan kenapa pula tegahan itu dijelmakan melalui anugerah?
Seakan ia berlawanan dengan jalan kebiasaan yang teradat.

Inilah apa yang cuba diisyaratkan pada frasa Manakala dibukakan Allah bagimu pintu faham dalam tertegah yang tersebut itu,  nescaya kembali tegah itu iaitu anugerah yang amat besar   di mana  hanya mereka "yang faham" sahaja yang dapat mengerti dan memahami bahawasanya Anugerah Allah yang amat besar ialah apabila ditegahnya mereka daripada mendapat nikmat kedunian atau keistimewaan diri.

Penjelasan berkenaannya boleh diperolehi dari.................................

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Bermula tegah Allah Taala akan hambaNya daripada diperoleh segala syahwatnya dan lazatnya,  maka iaitu anugerah yang amat besar kerana adalah tegah itu memuliakan dan anugerah itu menghinakan.

Keterangan Suluk

Melalui keterangan di atas,  dinyatakan bahawa hakikat sebenar sesuatu tegahan itu adalah sebenarnya merupakan sesuatu yang akan memuliakan kedudukan seseorang hamba sebaliknya  anugerah itu adalah sesuatu yang menghinakan mereka.

Dan betapa pula tidak menghinakan seorang yang diberikan segala bentuk dunia dan masyiwaLlah itu,  sedangkan mereka sentiasa terpenjara dengan kurungan nafsu syahwatnya yang tiada kehinggaan itu.  Terhijab dan menghijab dari cahaya hakikat dan makrifat. Waspadalah,  berhati-hatilah  dan amat-amatilah pada anugerah yang telah diterima sekian lama itu atau yang akan diterima nanti!!!!!!!!

Adakah ianya semata-mata sebagai satu limpah Kurnia dari Allah Taala????, atau semata-mata sebagai satu satu TEGAHAN  dari Allah daripada menjejaki kesempurnaan nikmatNya dan kesempurnaan MakrifatNya yang sebenar.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Kata Sheikh Muhyidin Al-Arabi ra.;

Apabila ditegahkan engkau maka demikian itu anugerahNya;  dan apabila dikurniai engkau,  maka demikian itu dtegahNya.  Maka pilih olehmu akan meninggalkan atas mengambil.  Maka yang wajib atas hamba itu bahawa meninggalkan tadbir dan ikhtiar.

Keterangan Suluk

Menurut Sheikh di atas ini pula,  dalam memahami "tegah" dan "anugerah" ini maka hendaklah dipilih akan meninggalkan atas mengambil  yakni menjauhkan diri dari mengambil anugerah yang datang dalam bentuk keduniaan itu.  Bukan setakat itu sahaja  bahkan WAJIB kepada mereka yang ingin mendapat sebenar-benar anugerah yang besar ialah meninggalkan tadbir dan ikhtiar;


Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan kata Abu Hubaib Liyadawiyyu bagi Sufian At-Thauri ra.;

Hai Sufian,  bahawa sanya menegah Allah akan dikau itu KurniaNya bagimu.  Dan demikian itu tiada menegahkan ia akan dikau daripada bakhil dan tiada daripada ketiadaan.  Hanya sungguhnya menegahkan Ia akan dikau dengan nazhor daripadaNya kepadamu.

Keterangan Suluk

Keterangan Sufi di atas pula menjelaskan lagi berkenaan dengan "memahami" di sebalik tegah itu sebenarnya adalah sebagai satu Kurnia Allah yang terkhusus untuk seseorang;

Tetapi bahkan tegahan daripada mendapat habuan keduniaan itu adalah menunjukkan adanya tilikan dan perhatian Allah kepada seseorang hamba.  Bukanlah mudah bagi seorang hamba untuk mendapat perhatian yang khusus dari Allah dan tidaklah sedikit Anugerah Allah itu bila mereka berada dalam tilikanNya.

Tidakkah semua ini membuktikan bahawa di sebalik tegahan itu ada anugerah,  di sebalik kesusahan itu ada kesenangan sebagaimana firman Taala (Asy Syar-h:5,6);

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,   (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis

Dan kata Abu Al-Abbas ra.;

Tiap-tiap jahat adab dan berbuat ia adab,  maka iaitu adab.

Katanya pula;

Tiada yang mengetahui anugerah dalam tegah itu melainkan yang sidiq.

Keterangan Suluk

Sebagai rumusan keterangan berkenaan dengan memahami tegah dan kurnia Allah Taala maka didatangkan kata-kata di atas yang bermaksud;

Dan sesungguhnya tidaklah akan mengetahui rahsia anugerah dalam tegahan itu melainkan orang-orang yang Siddiq yakni Bersambung lagi dalam catatan pengajian yang berikutnya  di bawah Tajuk Dunia Dari Pihak Zhohir dan Batinnya

[[Kembali ke Index Pengajian Kitab Hikam]]
Semoga Allah memberi taufik dan hidayahnya
Tiada daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Besar