Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
Tulisan ahakim@islam.gov.my

SYARAT PENERIMAAN KASYAF

Dalam tasauf,  kasyaf adalah merupakan satu sumber dalil atau ilmu. Ilmu kasyaf merupakan satu anugerah yang bernilai daripada Allah untuk hambanya yang terpilih. Guru-guru tarikat seringkali dikaitkan dengan ilmu kasyaf.

Mengikut Imam Al-Kusyairi “Kasyaf dari segi bahasa ialah terangkatnya hijab”. Mengikut istilah pula ialah “Dapat mengetahui apa yang berlaku disebalik hijab daripada perkara yang ghaib dan tidak diketahui oleh orang lain hakikat sebenar perkara tersebut”. Keujudan kasya ini adalah berbentuk ma’nawi dan tidak dapat dikesan oleh panca indera. Kasyaf berlku dengan cara musyahadah. Seperti dapat melihat roh atau perkara ghaib yang lain. Kasyaf juga boleh berlaku melalui pendengaran seperti Rasulullah s.a.w. mendengar wahyu yang diturunkan oleh Allah yang berbebntuk suara atau bunyi loceng …. Musyahadah atau kasyaf adalah tajalli daripada Allah s.w.t.

Dalam suasana masyarakat yang sering memperkatakan tentang kasyaf terdapat golongan menggunakan kasyaf sebagai sumber untuk mendapatkan pengaruh dan kepentingan tertentu. Ajaran sesat yang terdapat di Malaysia pada keseluruhannya menggunakan kasyaf sebagai salah satu perkara untuk mengekang pengikut mereka supaya taat dan patuh kepada pemimpin ajaran tersebut.

Dalam hal ini Profesor Abdul Hayyi Abdul Syukur dari Universiti Malaya cuba mengulas “Kasyaf dari perspektif Islam”.

Suatu perkara asas yang wajib kita ketahui ialah sumber hukum dalam Islam. Sumber hukum yang utama ialah Al-Quran dan Sunnah Rasulullah. Firman Allah yang bermaksud:
“Sekiranya kamu bercanggah dalam sesuatu perkara maka hendaklah kamu kembali kepada Allah dan RasulNya (AL-Quran dan Sunnah)”
Annisa’:59

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selagi kamu berpegang teguh kepada keduanya: iaitu Kitab Allah dan sunnah Rasulullah s.a.w.”
(Al-Imam Malik)

Umat Islam tidak akan terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan Islam kalau mereka meneliti ayat dan hadis tersebut, kerana ayat dan hadis tersebut merupakan asas utama untuk menjadi rujukan umat Islam. Sumber hukum dan akidah umat Islam tidak boleh lari dari dua sumber hukum tersebut. Setiap keputusan tidak boleh diambil daripada khurafat, mimpi, kasyaf, musyahadah, yaqzah, ilmu bathin dan sebagainya.

Kasyaf merupakan suatu perkara yang tidak boleh dinafikan didalam Islam, ini berdasarkan dalil daripada apa yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w., para sahabat, salafussalih dan sebagainya. Ulama’ Ahlussunnah Wal Jamaah sepakat bahawa kasyaf memang ujud dan ia merupakan anugerah daripada Allah Taala kepada hambanya yang terpilih. Mengikut setengah pendapat bahaw kasyaf juga berlaku kepada orang kair. Kasyaf berlaku samada semasa jaga ataupun tidur. Semasa tidur dinamakan ru’yah assadiqah dan semasa jaga dianamakan ilham.

Kita perlu tahu setakat mana kebenaran kasyaf itu, apakah setiap perkara yang dianggap kasyaf itu boleh diterima atau sebaliknya?

Suatu garis panduan telah dinyatakan oleh para dinyatakan oleh ulama’ sejarah sejauh mana kebenaran kasyaf. Sesuatu perkara yang dianggap kasyaf perlu dilihat melalui Al-Quran dan Al-Sunnah. Kalau ianya bertentangan dengan Al-Quran atau Al-Sunnah maka kita wajib menolaknya dan kalau ia tidak bertentangan dengan kedua-dua sumber tersebut kita boleh menerimanya.

Dalam sejarah Islam banyak terdapat kisah yang menunjukan kasyaf ini benar-benar berlaku. Kalau kita perhatikan dalam kitab Hayatus Sahabah oleh Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi, banyak kisah para sahabat yang mendapat kasyaf. Begitu juga dalam kitab Jami’ Karamatul Aulia’ oleh Al-Nabhani. “Kasyaf merupakan anugerah Allah kepada hambaNya dan ia tidak boleh dilakukan melalui usaha tertentu atau ilmu kasab (secara usaha)”.

Kasyaf terbahagi kepada beberapa jenis, tidak semua kasyaf datangnya daripada Allah. Kasyaf juga datang dari syaitan dan jin. Syaitan yang menjadi musuh manusia sentiasa mencari jalan untuk menyesatkan manusia. Dan antara jalannya ialah perkara ghaib yang dianggap kasyaf.

Oleh itu ulama’ telah menetapkan syarat, untuk menerima kasyaf sebagai sumber ilmu dan hujjah. Antara syarat utamanya ialah: ianya tidak bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah, ijma’ dan qias dan kasyaf juga tidak boleh diterima sebagai sumber hukum atau hujah. Sekiranya kasyaf berhubung dengan waktu sembahyang, tarikh puasa Ramadhan, tarikh hari raya dan sebagainya, kita wajib menolaknya kerana kasyaf seperti ini boleh menyesatkan manusia.

Dinegara kita ilmu kasyaf amat terkenal dikalangan pengamal tarikat tasauf, dan ajaran sesat. Ada setengah ajaran sesat menggunakan kasayaf sebagai batu loncatan untuk mengikat pengikut-pengikutnya supaya patuh dan taat kepada pemimpin. Sebagai contohnya jika derhaka kepada guru, mengikut kasyafnya ia akan ditimpa bala’ atau tidak dijamin masuk syurga.

Dalam hal ini, kita jangan mudah terpengaruh dengan ilmu kasyaf kerana perkara yang berkaitan dengan musibah bala’ yang menimpa seseorang. Dosa atau pahala, syurga atau neraka seseorang itu adalah ketetapan daripada Allah. Penggunaan ilmu kasyaf seperti ini banyak digunakan oleh pengikut Syiah, Bahai, ajaran sesat dan sebagainya dengan tujuan untuk mendapatkan pengaruh dan kedudukan.

Secara umunya kasyaf adalh suatu perkara diluar usaha manusia dan ia merupakan anugerah daripada Allah kepada hambanya yang terpilih.

Walaubaaimanapun kasyaf yang diperolehi perlu ditimbang dengan neraca Al-Quran dan Sunnah, Ijma’ ulama’ dan hukum alam yang lain. Kasyaf juga tidak boleh menjadi sumber hukum atau hujah untuk menentukan kesahihan sesuatu. Kita juga jangan mudah terpengaruh dengan orang yang mendakwa ia mendapat kasyaf. Kerana kasyaf juga datang dari syaitan untuk menyesatkan seseorang dari jalan yang sebenar.


[ Kembali  Ke Index Bicara Dari Alam Siber ]