|
Menyentuh tentang Tauhid Al-Khowas atau Al-Khossah itu, maka bolehlah dijelaskan bahawa ia adalah suatu jenis Tauhid yang terhasil secara zauqi di tengah-tengah Tajribah Al-Sufiyyah. Dalam perkataan lain zauqi atau kecapan terhadap pelbagai pengertian Tauhid diperolehi secara langsung hasil daripada pengertian tersebut tertajalli di dalam hati(Qalbu) seorang Sufi. Ia merupakan suatu "hal" di mana seseorang Sufi yang mengalaminya menjadi tenggelam dan fana daripada dirinya sendiri dan daripada segala sesuatu selain daripada Allah. Oleh itu apa yang tersyuhud kepadanya cumalah Allah sahaja. Kesedaran dan perasaannya dilimpahi dengan Qudrah Ilahi yang termanifestasi pada setiap benda; dengan Iradah Ilahi yang melaksana segala sesuatu; juga dengan perbuatan Ilahi yang muncul kesannya pada setiap gerak dan diamnya dalam persada wujud ini.
Inilah wajah kefahaman Ahli Sufi berkenaan Tauhid, pengertian Tauhid di sisi mereka yang tidak bisa ditanggapi kebanyakan manusia awam, kerana kefahaman mereka adalah berdasarkan penghayatan jiwa yang berjelira dengan Hakikat Tauhid; memperkayakan pengalaman keruhanian mereka sehinggakan membuahkan Makrifat yang kehalusannya sukar difahami oleh pandangan biasa yang tumpul.
Inilah apa yang dikatakan oleh Al-Tahanawi bahawa orang yang mengalami Tauhid jenis ini melihat setiap zat, pelbagai sifat dan pelbagai perbuatan, adalah tenggelam hapus dalam pancaran cahaya Zat Allah, pelbagai Sifat KesempurnaanNya dan PerbuatanNya.
Di samping pemuka-pemuka Sufi yang ada, Ulama Sufi yang banyak memperkatakan dan menghayati Tauhid jenis ini ialah Al-Junaid Al-Bagdadi. Beliau didapati telah membuat penganalisisan yang cukup menarik dengan merujuk kepada asal-usul Al-Nafs Al-Insaniyyah dan persekitarannya. Al-Junaid dalam hubungan ini ada mengatakan;
".....daripada jenis Tauhid Al-Khossah, maka seseorang yang wujud tanpa kemahuan berdiri di hadapan Allah[dalam keadaan] keduanya; seorang yang tadbiran Allah menjadi berlangsung ke atas dirinya, iaitu Allah dalam QudrahNya menentukannya. Dan dia menjadi tenggelam dalam lautan kesatuan Allah, benar-benar fana' daripada dirinya dan daripada seruan Allah kepadanya serta daripada jawapannya kepada Allah; iaitu merupakan satu pengrealisasian yang sejati terhadap Wahdaniyyah Allah dalam kehampirannya yang sejati dengan Allah. Lalu kesedaran dan aksinya menjadi hilang kerana Allah melaksanakan di dalam dirinya apa yang diKehendaki olehNya. Ilmu tentang hal yang demikian diperolehi apabila telah kembalilah seseorang hamba dari akhir ke awalnya; supaya ianya menjadi sebagaimana semula; iaitu sebelum ia menjadi seperti sekarang. Dalil dalam hal ini ialah firman Allah;
"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan Zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanya-Nya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab, "Benar ... ." (Surah al-A 'raf 7:172)
Maka siapa dan bagaimana keadaan semula sebelum terjadi (seperti sekarang)?. Apakah ada siapa yang memberi jawapan selain daripada ruh-ruh yang suci tulen bersih selaras dengan Qudrah dan mashi 'ah sama seperti semula sebelum ianya wujud (seperti sekarang). Inilah matlamat merealisasikan Tauhid terhadap Allah, di mana orang yang mengalami menjadi hilang keindividuannya. (Al-Junaid, Rasa'il, hlm 56-57)
Nyatalah bahawa penganalisisan konsep Tauhid seperti mana yang dijelaskan oleh Al-Junaid di atas adalah dihubungkan secara jelas dengan aspek asal usul Al-Nafs atau Al-Ruh Al-Insanniyyah. Realisasi Tauhid menjadi terlaksana bilamana hamba kembali semula ke taraf wujudnya yang awal sebelum ia wujud sebagai sekarang. Pemerihalan dalam hal ini melibatkan pembicaraan satu konsep menarik yang dihuraikan oleh Al-Junaid bersandarkan kepada firman Allah dalam Al-Quran:
"Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam(turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan dijadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri(sambil Dia bertanya dengan firmanNya); "Bukankah Aku Tuhan kamu?" Mereka semua menjawab , "Benar(Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi", Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari Akhirat kelak, "Sesungguhnya kami adalah lalai(tidak diberi peringatan) tentang (Hakikat Tauhid) ini"
Mengenal ayat di atas, Al-Junaid menjelaskan bahwa Tuhan menceritakan perihal Dia bercakap dengan insan dalam suatu tempoh dimana insan masih belum sebagai sekarang. Kewujudan dalam tempoh tersebut adalah tidak sama dengan kewujudan sebagai makhluk Tuhan seperti sekarang. Itu cumalah kewujudan yang diketahui dan disedari oleh Tuhan sahaja, yang sifatnya tidak terikat dengan masa. Oleh itu, menurut Al-Junaid, kewujudan insan adalah berlaku dalam dua jenis:
Pertama; Kewujudan yang bersifat suci, iaitu sebelum insan didatangkan ke alam semesta ini. Wujudnya insan dalam tahap tersebut adalah penuh dengan kesucian dan kekudusan, berhubung secara langsung dengan Allah tanpa apa-apa hijab; kerana hijab menjadi terhasil oleh wujudnya hubungan dengan alam benda dan menjadi sibuk oleh kehendak-kehendak kejasadan dan syahwat. Oleh itu, dalam keadaan demikian nufus/arwah insan mengikrarkan dengan pastinya Keesaan Allah ketika dikhitabkan kepada mereka menerusi "Alastu birabikum"; kerana nufus/arwah tersebut tidak pun melihat apa-apa dalam wujud, selain daripada Allah yang melakukan sesuatu, Yang Menghendaki dan Yang Memiliki Kuasa, lalu ia fana' dan hilang wujud dirinya sendiri.
Kedua. Wujud insan dalam alam semesta yang diciptakan ini. Kewujudan ini adalah bersama jasad, yang dengannya menghasilkan kelupaan pada "persetiaan" awalnya oleh wujudnya hijab serta penguasaan syahwat.
Ternyata bahawa unsur pendekatan yang dilihat oleh al-Junaid serta sufi-sufi lain adalah terjadi pada peringkat insan masih berada di dalam arwah/nufus, di mana persoalan tentang Ketauhidan Allah dijawab dengan jitu dan pasti dengan sebenar-benar pengenalan(makrifat). Bagaimanapun, apabila insan telah diwujudkan sebagai manusia yang sekaligus terdiri daripada jasad dan ruh, maka "persetiaan" awal itu menjadi semakin kabur. Ia dikaburi oleh kehendak syahwat dan tuntutan jasad. Lalu untuk mendapatkan kembali taraf Ketauhidan awal tersebut, perlulah insan bergerak semula ke arah keadaan awalnya sebagaimana sebelum ia diwujudkan dalam bentuk sekarang.
Bagaimanapun pengembalian sempurna ke taraf awal sebagaimana sebelum wujudnya insan seperti sekarang, adalah tidak mungkin selagi hubungan di antara ruh dan jasad terus-terusan ada. Pembebasan ruh daripada ikatan dan tautan jasad dalam kadar kekuasaan insan mestilah diusahakan supaya terjadi. Hal ini, menurut Al-Junaid mestilah berlangsung menerusi Suluk Al-Thoriqah Al-Sufiah dan ketundukan serta penyerahan diri secara mutlak kepada Allah, yang melibatkan kegiatan-kegiatan riadah al-nafs dan pembersihannya serta pengekangan diri daripada kehendak-kehendak syahwat. Hasil daripada kegiatan tersebut, mengikut Al-Junaid, seseorang hamba akan menjadi individu yang tidak memiliki kehendak, dan dirinya diurus oleh Allah mengikut kehendakNya. Sedang diri hamba itu sendiri telah tenggelam di dalam lautan Tauhid; fana' daripada dirinya sendiri dan daripada seruan makhluk lain sejauh yang berhubung dengan urusan keduniaannya. Hal ini semua terjadi disebabkan syuhudnya terarah secara tajam ke arah pelbagai hakikat kewujudan dan Keesaan Allah dalam suatu kedudukan yang benar-benar hampir denganNya. Ketika itulah, sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Junaid, kesedaran hamba tentang diri dan aksinya menjadi hilang kerana Allah, menerusi IradahNya, dan menguasai perbuatan hamba tersebut. Lalu kembalilah, pada ketika itu, pengakhiran seorang hamba ke tahap awalnya, sebagaimana ianya masih belum wujud seperti sekarang. Di situlah terlaksananya pengrealisasian sejati terhadap konsep Tauhid yang hakikatnya tidak boleh dicapai oleh akal, tetapi termanisfestasi secara langsung ke dalam Al-Qalb.
Sebenarnya, daripada penganalisisan sebagaimana di atas memperlihatkan bahawa pengrealisasian terhadap konsepTauhid, adalah sama dengan al-Fana al-Sufi dalam Ilmu Tasauf; iaitu al-Fana al-Sufi tersebut adalah merupakan suatu hal di mana kesan-kesan Iradat, sakhsiyah, kesedaran tentang Zat serta setiap apa yang bukan al-Haq semuanya terselindung dan tidak dapat dilihat oleh sufi yang mengalamainya. Sejauh yang dapat dilihat dan dirasakan oleh sufi yang mengalaminya tersebut cumalah kewujudan al-Haq bersama Perbuatan dan IradahNya. Atau dalam kata lain al-Fana itu merupakan satu hal kejiwaan dalam mana hubungan insan dengan alam dan diri menjadi hapus dan hilang lenyap. Dalam suasana tesebut insan menjadi baqa dalam wujud syuhudi yang berakhir di dalamnya segala sesuatu yang lain daripada al-Haq.
Contoh yang paling baik berhubung dengan al-Fana ini ialah apa yang terjadi dan dialami oleh seorang tokoh sufi abad ketiga hijrah, Abu Yazid Al-Bustomin. Beliau menggambarkan pengalaman mikraj keruhaniannya yang dilambangkan menerusi ibadat "Haji". Beliau dalam hubungan ini mengatakan;
Abu Said Ahmad ibn Isa Al-Khoraaz ada mengatakan;
"Maqam awal bagi orang yang memperolehi dan merealisasikan Ilmu Tauhid ialah Fana Qalbunya daripada menyebut perkara-perkara yang selain daripada Allah, dan (hatinya) ditumpukan khusus kepada Allah Taala".
Golongan Arif yang lain pula ada mengatakan;
"Adapun Tauhid itu ialah sesuatu yang boleh membutakan pemandangan, menghairankan orang yang berakal serta mendasyatkan seorang yang teguh pendirian".
Pendapat ini telah diulas oleh Al-Thusi sebagaimana berikut;
"......kerana orang yang merealisasikan Tauhid tersebut menerusi Qalbunya akan Kebesaran dan Kehebatan Allah yang melahirkan kedasyatan dan kehairanan kepada akal, kecuali orang yang Qalbunya telah benar-benar diteguhkan oleh Allah".
Al-Syibli mengatakan;
"Tahukah engkau mengapa Tauhid engkau menjadi tidak sah?" Lelaki itu menjawab; "Tidak" Al-Syibli berkata lagi; "Kerana engkau menuntutnya dengan diri engkau" Dan inilah hakikat sebenar apa yang dicatatkan oleh Afifi; "Orang yang percaya berasaskan pandangan fikirannya adalah terhijab daripada hakikat Tauhid.......kerana pada sudut pandangan golongan sufi Keesaan Ilahi tidak akan tersyuhud selama mana seorang itu masih melihat dirinya sebagai ada".
Dengan penjelasan dan perbincangan di atas, jika difahami dengan serius, maka dapatlah dikatakan bahawa kesempurnaan dalam Mentauhidkan Allah dari sudut pandangan Ahli Sufi bukanlah cuma Mengesakan menerusi peribadatan semata-mata, malah lebih daripada itu mesti pula diEsakan menerusi perbuatan, kudrat, iradah serta pengurusan tadbir. Hal ini semua bermaksud;
Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.(Surah Yusof:106)
Allahu A'lam
|
|