Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!
 Pemaparan Urusan Ghaibi

Apabila lalat tercebur dalam madu,  semua anggota badannya kaku dan tidak bergerak lagi.  Begitulah juga keadaannya ISTIGHRAQ yang bermaksud lenyap atau bersatu dengan Tuhan.  Jika anda mahu gelarkan fana pun itulah yang dimaksudkan.  Gunakan apa istilah sahaja yang anda suka seperti Ittihad atau Hulul atau Jami' atau Sakr atau Wahdatul Wujud atau lain-lain istilah lagi,  kesemuanya adalah merujuk kepada atau sebagai ingin memaksudkan tidak ada kesedaran wujudnya sendiri dan tidak ada daya usaha dan geraknya sendiri.  Tindakan yang dilakukan bukan tindakannya sendiri.  Perkataan yang terluncur keluar bukanlah atas kehendaknya sendiri.  Dia sedang tenggelam dalam lautan keesaan Tuhan.

Sekiranya ia diibaratkan masih tercungap-cungap dalam air dan berteriak,  "Oh,  aku tenggelam!!!" maka itu menunjukkan ia belum bersatu dengan Tuhan.  Orang yang Istighraq saja yang tahu maksud kata-kata "Anal-Haqq".

Orang yang tidak mengerti mungkin menyangka kata-kata itu keterlaluan dan membesarkan diri.  Malah ada lagi yang lebih tidak mengerti akan mengatakan kata-kata itu ada sesat atau kafir.  Padahal mengatakan "Anal-abd" (Akulah hamba iaitu hamba Tuhan) itulah yang menyombong dan membesarkan diri. Mengatakan "Anal-Haqq" itulah penyataan yang paling merendah diri dan menundukkan diri di Hadrat Tuhan.

Orang yang mengatakan "Anal-abd" mengisbatkan dua wujud iaitu Wujud Tuhan dan wujudnya sendiri.

Orang yang mengatakan "Anal-Haqq" mengisbatkan Wujudnya Allah dan menafikan wujudnya sendiri.  Dia telah menyerahkan seluruh dirinya kepada Allah Yang Esa.  Itulah sebabnya ia berkata,  "Anal-Haqq" yang bererti ;

"Aku tidak ada apa-apa. Yang ada itu hanya Allah. Dialah Maha Segala dan Maha Wujud".

Inilah yang dinamakan paling merendahkan diri,  paling menundukkan diri,  paling sujud kepada Yang Esa,  hingga diri sendiri tidak wujud.

Jadi kenapa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu sendiri tidak ada pengetahuan mengenainya?.  Bukankah erti zholim itu ialah meletakkan sesuatu bukan pada haknya(tempatnya)?.  Kamu zholim kerana kamu menuduh mereka sesat,  kamu zholim kerana kamu telah meletakkan kemuliaan Aulia Allah,  kekasih Allah,  penzhohiran Allah ditempat yang tidak sepatutnya.

Ilmu mereka tidak setanding dengan ilmu yang perolehi dari kitab-kitab atau mulut-mulut manusia.  Kamu tidak memiliki ilmu-ilmu seperti yang mereka miliki malah mereka memiliki sesuatu yang ada padamu dan sesautu yang tidak ada padamu.  Ini adalah kerana ilmu mereka di ambil terus dari Tuhan.  Apabila mereka berkata mereka berkata dengan Kalam Tuhan tetapi apabila kamu berkata,  kamu hanya mengajuk-ngajuk percakapan orang lain atau atas dorongan keegoan nafsumu.

Sedarlah bahawa pengetahuan, khayal dan kefahaman anda adalah ibarat kuda kayu yang ditunggangi oleh anak-anak untuk mainan. Ilmu orang keruhanian meninggikan peribadinya. Ilmu orang biasa jadi beban kepadanya. Allah berfirman: "seperti keldai yang membawa kitab".

Beratlah ilmu yang tidak diilhamkan olehnya, tetapi jika anda bawa ilmu bukan untuk kepentingan sendiri,  beban itu akan diringankan dan anda akan senang. Bagaimana anda boleh bebas jika tidak mabuk dengan dia???.

Wahai anda yang berpuas hati dengan tanda-tandanya saja. Dari sifat dan nama apa yang lahir? khayal semata-mata. Tetapi khayal menunjuki jalan ke Hakikat. Adakah sebarang nama tanpa yang dinama?

Naiklah melampaui nama dan huruf. Jadikan dirimu suci bersih dan lihatlah dalam hatimu semua ilmu Nabi-nabi. Tanpa kitab tanpa belajar dan tanpa guru.

Belajarlah dari bawah ilmu-ilmu mereka,  kenalilah dahulu hal-ahwal ilmu-ilmu mereka nescaya kamu akan mengerti maksud isyarat Imam Ghazalii;

Ilham adalah kesan Wahyu. Wahyu adalah penerangan Urusan Ghoibi manakala Ilham ialah pemaparannya. Ilmu yang didapati menerusi Ilham dinamakan Ilmu Laduni.

Ilmu Laduni ialah ilmu yang tidak ada perantaraan dalam mendapatkannya di antara jiwa dan Allah Taala. Ia adalah seperti cahaya yang datang dari lampu Qhaib jatuh ke atas Qalbu yang bersih, kosong lagi halus(Lathif).

Kamu jua akan memahami kata-kata Jalaludin Rumi;

Ruh dihembuskan pada tanah liat.  Dia zhohir ke dunia dalam tanah liat yang dibentuk.  Dia jadi Nuh dan masuk ke bahtera.  Dengan doanya bumi banjir.

Dia jadi Ibrahim dan masuk ke dalam api.  Api jadi sejuk dan tidak membakar.

Kemudian dia jadi Isa,  naik ke langit dan memuji TuhanNya.  Pendeknya Dialah yang datang dan pergi dalam setiap generasi.  Akhirnya Dia zhohir dalam bentuk orang Arab dan menjadi penakluk kerajaan dunia.  Dia jadi pedang di tangan Ali.  Dialah juga yang meneriakkan "Ana al-Haq" dalam bentuk manusia.  Yang naik ke tempat pembunuhan itu bukan Mansur Al-Hallaj sebagaimana sangka si bodoh.

Jalaludin Rumi tidak pernah berbohong.  Percayalah kepadanya.

Wahyu adalah penerangan Urusan Ghoibi manakala Ilham ialah pemaparannya. Inilah sebahagian daripada pemaparan Urusan Ghoibi(Wahyu) dari firman Allah;

'Lalu kami tiupkan padanya dari roh kami.'(Surah Al-Tahrim ayat 12)
 

                                                                                       10.55 pm 27.11.99 /19 Syaaban 1420


 

Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH