Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Jalaluddin Al-Rumi
SEPERTI LEMBAGA BAYI DALAM RAHIM IBU


Sekiranya anda berkata kepada lembaga dalam rahim ibu,  "Di luar tempatmu ini ada dunia yang luas,  bumi yang indah,  penuh dengan berbagai perkara.  Ada lautan,  ada gunung-ganang,  ada lembah,  ada lurah.  Banyak barang yang boleh dimakan,  enak dan sedap rasanya.  Ada taman,  kebun dan ladang,  banyak kota dan kampung.  Langit yang tinggi,  penuh dengan bintang,  matahari dan bulan.  Ramai orang dan binatang dan berbagai-bagai lagi.  Hairan juga!!!  Kenapa anda tinggal dalam rahim yang sempit ini?.  Anda puas hati dengan tempat yang kotor ini?!!".

Lembaga dalam rahim itu akan memalingkan mukanya dengan cemuhan serta tidak percaya;  kerana orang yang buta itu tidak ada pandangan.

Begitu jugalah sekiranya dalam dunia ini,  apabila seseorang Wali Allah menceritakan ada alam tanpa bau dan warna;  tidak akan ada orang biasa yang akan percaya kepadanya.  Hawa nafsu mereka itu ibarat dinding yang tebal dan kuat.  Itu menyebabkan mereka tidak percaya.  Sebagaimana juga lembaga dalam rahim itu memakan darah yang jadi makanannya dalam tempat yang rendah itu,  yang mendiindingnya dari memandang ke dunia luar,  oleh kerena ia tidak mengenal makanan lain kecuali darah.

Demikianlah pengucapan berhikmah dan penuh bermakna dari seorang Sufi yang tersohor,  Jalaluddin Al-Rumi yang cuba memperikan hal-ahwal kebanyakan orang-orang yang buta dalam memandang sesuatu hakikat atau yang haq.  Memang payahlah,  bila adat dan tabiat yang menguasai diri ini mendindinginya.  Mereka makan makanan yang enak dan lazat tetapi untuk dimuatkan dalam tong najis.  Mereka membina rumah yang besar dan gah tetapi untuk ditinggalkan.  Mengejar pangkat dan kedudukan tetapi untuk diisi dengan mazmumah.

"Mereka (seolah-olah orang yang) pekak, bisu dan buta; dengan keadaan itu mereka tidak dapat kembali (kepada kebenaran).(Al-Baqarah:2)

Kita katakan ada satu makanan yang lebih lazat dan enak lagi siap tersedia di alam yang lagi satu ini.  Mereka mencemuh dengan mengejek  mana bau dan aromanya?  Kita katakan di alam yang tinggi itu,  kebun dan ladangnya terlebih luas sehingga tidak cukup dengan usia kita yang ada ini untuk mencari sempadannya,  mereka tersengih lucu dengan mengejek,  orang yang berkata tidak punya pun satu keping tanah pun hatta rumahnya hampir nak roboh.  Kita katakan di sini pangkat dan kedudukan adalah lebih mulia dan bermakna,  mereka ketawa berdekah-dekah sambil menyindir,  pangkat "Datuk" adalah dari panggilan cucu-cucunya.  Pendek kata,  katalah apa sahaja;   terus sahaja mereka akan mencemuhnya malah mengingkarinya.  Benarlah firman Allah Taala;

Pada hal mereka telah mengingkarinya sebelum itu, dan mereka pula selalu melemparkan tuduhan-tuduhan buta terhadap kebenaran itu dari tempat yang jauh? (Saba:53)

Makanan yang paling bagus dalam dunia ini ialah Mengingati Allah.  Demikianlah kata Al-Wasti bila mengisyaratkan sesuatu kelazatan dan keindahan dalam Mengenang Allah.  Mereka tidak faham isyarat ini,  malah mengatakan apakah dengan semata-mata mengingati Allah apakah kita akan kenyang?  Apakah badan kita akan bertenaga untuk terus hidup? Bila dah sampai ke tahap ini payahlah kita bukakan lagi perkara-perkara mengenai keruhanian ini.  Untuk orang ini bolehlah kita bacakan firman Allah Taala ini;
 
 Bertanyalah (kepada mereka): "Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?"(Al-An'am:50)

Bandingan dua golongan  itu samalah seperti orang yang buta serta pekak, dengan orang yang celik serta mendengar; kedua-dua golongan itu tidaklah sama keadaannya. Maka tidakkah kamu mahu mengambil peringatan dan insaf?(Hud:24)

" Bertanyalah lagi: "Adakah sama, orang yang buta dengan orang yang celik? Atau adakah sama, gelap-gelita dengan terang? .(Al-Rad:16)

Jika demikian,  merekalah sendiri yang akan menanggung beban hasil kebebalan mereka,  kejahilan mereka dan kesombongan mereka.

Dan  sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (matahatinya), maka ia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya.(Al-Israa':72)

Sebagai renungan,   hayatilah kata-kata Sheikh Junaid Al-Bagdadi ini;

"Satu hari,  sedang aku memberi syarahan dihadapan orang ramai,  seseorang daripada mereka berkata dia tidak faham syarahan itu.  Aku katakan kepadanya supaya meletakkan amal ibadatnya selama tujuh puluh tahun (umurnya lebih daripada 70 tahun) itu dan tunduk dengan merendah diri,  maka dapatlah faham."

Wallahu A'lam

10.30 pm 19.02.2000 / 13 Zulka'edah 1420

 
Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH