Site hosted by Angelfire.com: Build your free website today!

Memahami Pendirian Mereka
PERBEZAAN PENDAPAT DALAM AGAMA


Dalam agama Islam,  72 mazhab itu pasti ada hingga ke hari kiamat.  Orang bercakap dan bertengkar tanpa henti.

Bilangan kunci pada peti harta menunjukkan nilai ketinggian harta di dalam peti itu.  Jalan yang berliku-liku,  menurun dan mendaki,  perompak penyamun dalam perjalanan;  membuktikan keagungan tempat yang dituju oleh si pengembara.

Setiap ajaran dan mazhab palsu ibarat lurah dan gunung,  perompak dan penyamun.  Orang yang tidak dalam pengetahuannya akan berada dalam keadaan serba-salah kerana masing-masing mazhab mengatakaan mazhabnya betul.

Hanya Cinta kepada Allah yang boleh menamatkan perbalahan ini.  Hanya Cinta yang boleh menolong apabila anda meraung meminta tolong dari cengkaman mereka.  Mulut bisu dalam Cinta;  perbalahan tidak ada.  Si 'asyik kuatir untuk menjawab balik perbalahan itu,  kerana takutkan mutiara keruhanian(mistik) itu keluar dari mulutnya.

Umpama burung hinggap di atas kepala anda dan anda kuatir ia terbang lari.  Anda tidak bergerak atau menghembuskan nafas yang kuat.  Anda tahankan diri anda supaya tidak terbatuk.  Semua itu takutkan burung itu terbang.  Kalau ada orang bertanya,  anda letakkan jari di mulut yang bertutup  memberi isyarat "diam".

Cinta Ketuhanan ibarat burung itu.  Ia membuatkan anda tidak mahu membuka mulut.  Ibarat cerek yang panas dan menggelegak airnya.  Tudung cerek itu anda tutupkan supaya airnya tidak keluar.

Untuk itu mengertilah saudaraku.  Orang yang sedang bercinta tidak ada masa untuk berhujah dan berdebat dengan kekeliruan dan kebodohan anda.  Anda boleh tuduh mereka gila.  Anda boleh katakan mereka sesat.  Anda boleh panggilkan mereka pelampau.  Katakan apa yang anda ingin katakan.  Tuduhan dan tohmahan itu sedikitpun tidak akan memberi sebarang kesan kepada mereka.   Malah kesannya kembali kepada diri anda sendiri.  Anda yang menganiayai diri anda sendiri

Wahai anda yang menikam "Tiada Diri" dengan pedang dan nista.  Anda sebenarnya menikam diri anda sendiri.   Waspadalah!!!  Ini ialah kerana yang "tiada diri" itu telah mati dan dia mendapat selamat di sisi Allah.  Dia berada dalam selamat selama-lamanya.

Sebenarnya dia tidak ada lagi.  Dia hanya cermin.  Cermin bagi Allah.  Tidak ada di cermin itu,  kecuali bayangan wajah Allah.

Jika anda lihat muka hodoh dalam cermin itu,  itulah anda.  Jika anda lihat Nabi Isa dan Maryam di cermin,  itulah anda.  Wali Allah itu bukan "ini" dan bukan "itu".  Dia suci dan bebas dari anda.  Dia meletakkan bayangan anda di hadapan anda.

Fahamkanlah!!!

Wallahu A'lam

10.30 pm 26.02.2000 / 20 Zulka'edah 1420

 
Sebarang kesamaran dan kemusykilan sebaiknya dirujuk kepada mereka yang ahli dalam ilmu ini
LAA HAULAWALA QUWWATAILLA BILLAH